Categories
AGENDA NASIONAL

Ketirisan perolehan: KSN bincang dengan SPRM

KUALA TERENGGANU, 1 OKT: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung dakwaan ketirisan perolehan kerajaan membabitkan penjawat awam.

Katanya, perkara tersebut perlu diatasi segera kerana dikhuatiri merencat proses pemulihan ekonomi, apatah lagi negara sedang berdepan dengan wabak Covid-19.

“Jadi perkara ini pun saya akan bincang apakah tindakan susulan atau tindakan pencegahan yang boleh kita ambil.

“Sudahlah pemulihan eknomi kita berjalan dengan agak perlahan disebabkan Covid-19, ditambah pulak dengan berlakunya ketirisan, saya khuatir kalau-kalau negara ini tidak dapat berkembang maju seperti perancangan kita sebelum ini,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Kompleks Baharu SPRM Terengganu di Bandar Baru Bukit Besar, di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Zuki berkata negara ini telah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa ketika mendepani Covid-19, antaranya Global Covid-19 Recovery Index, sehingga Ogos 2020 yang meletakkan Malaysia di kedudukan keempat terbaik dalam kalangan 184 negara di dunia, manakala menerusi Indeks Toluna-Blackbox bagi Pengurusan Persepsi dan Krisis di kedudukan kelima, berbanding 23 negara.

Katanya, ia membuktikan kesungguhan dan komitmen penjawat awam dalam menterjemahkan strategi yang telah diatur kerajaan, seperti inisiatif Penjana dan Prihatin.

“Usaha memulihkan dan melonjakkan semula ekonomi negara memerlukan usaha yang lebih jitu dan komited dari semua penjawat awam.

“Inisiatif segera pasca Covid-19 seperti pelaksanaan projek berimpak tinggi dan penyaluran bantuan kepada rakyat, sudah pasti akan terencat sekiranya terdapat isu-isu rasuah dan korupsi berlaku di kalangan penjawat awam itu sendiri,” katanya.

Sementara itu Azam yang turut hadir dalam majlis tersebut, memberitahu pemberita bahawa pihaknya telah menyiapkan kertas siasatan berkaitan kes penipuan pembelian hartanah di Melbourne, Australia oleh pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang juga bekas ahli politik pada 2015.

Sehubungan itu, pihaknya menjangkakan proses pendakwaan terhadap dua atau tiga individu itu akan dapat dijalankan dalam tempoh dua atau tiga minggu dari sekarang.

“Kes hartanah Mara kita dah siapkan kertas siasatan, cuma pihak Timbalan Pendakwa Raya sedang meneliti kes berkenaan.

“Dan sekiranya dipersetujui adalah individu yang akan dituduh di mahkamah. Pada saya kes ini adalah ‘high profile’,” katanya yang turut memaklumkan telah membuka 27 kertas siasatan berkaitan rasuah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imbuhan Tetap Keraian pegawai tinggi dikurangkan, sumbang tabung Covid-19

PUTRAJAYA, 9 APRIL: Pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan Tertinggi bersetuju untuk menyumbang kepada Tabung Covid-19 melalui pengurangan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) kepada Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa).

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata keputusan itu dibuat semasa mesyuarat bersama Ketua-Ketua Setiausaha dan Ketua Perkhidmatan pada Selasa (7 April).

“Kadar pengurangan ITK bagi Gred Utama/Khas B dan C adalah sebanyak lima peratus serta 10 peratus bagi Gred Utama/Gred Khas A dan ke atas,” katanya.

Katanya sumbangan tersebut dibuat oleh para pegawai tinggi kerajaan kerana peka terhadap situasi semasa negara.

Bagaimanapun, katanya pengurangan ITK tersebut dikecualikan kepada pegawai petugas barisan hadapan yang menerima elaun khas dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat.

“Segala penjimatan daripada pengurangan ITK akan disalurkan ke dalam Tabung COVID-19. Inisiatif ini dilaksanakan atas rasa tanggungjawab para penjawat awam dan sebagai tanda sokongan kepada negara dalam menangani penularan wabak COVID-19,”katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM sementara pentadbir negara, perkhidmatan awam berfungsi seperti biasa

PUTRAJAYA, 25 FEB: Jawatan Perdana Menteri sementara yang kini digalas Tun Dr Mahathir Mohamad berfungsi sebagai pentadbir negara sehingga perdana menteri dan anggota pentadbiran baharu dilantik, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Dalam hal ini, katanya, Dr Mahathir melaksanakan segala urusan pentadbiran kerajaan dalam pelaksanaan dasar dan program sedia ada serta menjalankan tugasan rasmi yang rutin.

“Ini termasuk menjalankan kuasa yang diberi di bawah undang-undang bagi memastikan pentadbiran harian kerajaan berjalan secara berterusan,” jelas Mohd Zuki mengenai fungsi perdana menteri sementara kepada Bernama di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zuki berkata jentera perkhidmatan awam berfungsi seperti biasa.

“Jentera perkhidmatan awam juga berfungsi seperti biasa dalam pelaksanaan dasar-dasar dan program sedia ada yang diterajui oleh Ketua Setiausaha Negara,” katanya.

Dr Mahathir hari ini memulakan tugas sebagai perdana menteri sementara setelah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik beliau semalam, selepas menerima peletakan jawatannya sebagai perdana menteri ketujuh.

Negarawan berusia 94 tahun itu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh pada 10 Mei 2018 selepas Pakatan Harapan yang diterajuinya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

Mohd Zuki dalam satu kenyataan semalam turut memaklumkan Al-Sultan Abdullah membatalkan pelantikan menteri-menteri atas nasihat perdana menteri.

Sehubungan itu, menurut Mohd Zuki tugas-tugas anggota pentadbiran merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik adalah terhenti pada tarikh yang sama.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

KSN diarah kaji proses dapatkan kelulusan projek

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 11 JUN: Kerajaan Persekutuan mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) mengkaji beberapa perkara untuk mengurangkan jumlah proses dan agensi berkaitan bagi mendapatkan kelulusan sesebuah projek pembangunan atau pelaburan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pengurangan proses mendapatkan kelulusan ini dapat menjimatkan masa sekali gus mampu mempertingkatkan ekonomi negara pada kadar lebih baik.

“Kita lihat pengusaha dan pelabur sukar untuk mendapat kebenaran supaya dapat melabur dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita dapati terdapat sehingga 60 proses dilalui untuk pembangunan misalnya. Kita telah membuat penilaian dan mewujudkan satu pusat sehenti tetapi tidak dapat percepatkan proses,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Pejabat Perdana Menteri selepas mempengerusikan Mesyuarat Ke-3 Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini.

Katanya, ada beberapa perkara yang memaksa pemaju untuk menunggu sehingga tiga tahun bagi mendapatkan kelulusan dan perkara itu menyukarkan mereka mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan.

Dr Mahathir berkata, jika separuh daripada proses itu dapat dikurangkan, ia memberikan kebaikan kepada semua dalam usaha memacu perkembangan ekonomi negara ke arah lebih baik.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

Categories
NASIONAL

Belanjawan Pakatan: KSN dan KSU perlu sedia pelan atasi pembaziran, ketirisan

Belanjawan-Pakatan-Rakyat-2014KUALA LUMPUR 24 OKT : Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian perlu meneliti serta menyediakan pelan tindakan bagi mengatasi ketirisan juga pembaziran seperti yang diumumkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat mencadangkan beberapa langkah yang perlu diambil bagi memastikan tindakan susulan kepada penemuan laporan itu dan langkah perlu diambil untuk menangani sebarang isu.

Perkara itu boleh dilakukan pada mesyurat tahunan antara KSN dan KSU dengan menubuhkan satu jawatankuasa atau petugas di peringkat kementerian yang diketuai KSU masing-masing dengan menetapkan sasaran bagi mengelak pembaziran dan ketirisan.

Skop jawatankuasa itu termasuk mengenalpasti dan menutup jurang daripada segi mengurangkan proses berulang, meningkatkan kecekapan sistem yang hasilnya dapat mengurang ruang sistemik bagi sebarang kemungkinan kebocoran.

Jabatan kerajaan harus mengkaji semula tahap pihak berkuasa dan menentukan tahap pengkuasaan serta tanggungjawab di pelbagai peringkat berkenaan.

Garis panduan atau dokumen urus tadbir yang mengawal perjalanan dan proses bagi setiap kementerian perlu dikaji semula untuk merangkumi tahap paling rendah bagi pihak berkuasa dalam usaha memastikan jurang itu ditangani secara berkesan.

Keputusan itu kemudian akan dibandingkan dengan sasaran yang ditetapkan sebelumnya dan dibentangkan di Parlimen oleh menteri yang diamanahkan untuk sasaran itu, sebelum diumumkan kepada orang ramai untuk diteliti.

-NFN-