Categories
SELANGOR

Selangor sasar tiada kilang plastik haram menjelang Jun

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 APRIL: Kerajaan Negeri menyasarkan tiada lagi kilang plastik haram menjelang Jun ini, kata EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Beliau berkata, tindakan serius sudah diambil sehingga 48 kilang haram ditutup dan diarah menjalankan kerja pembersihan serta pengosongan tapak.

Sementara katanya, 107 kilang plastik haram sudah dikenal pasti di enam lokasi pihak berkuasa tempatan.

“Daripada jumlah itu, 99 kilang diberi notis penutupan termasuk di Kuala Selangor, Hulu Selangor, Shah Alam, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

“Kerajaan Negeri akan mengenakan sitaan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan pada pertengahan tahun ini semua kilang haram ditutup sepenuhnya,” katanya.

Katanya, pemilik tanah atau pengusaha boleh didakwa mengikut Kanun Tanah Negara atas kesalahan guna tanah dan rampasan tanah akan dibuat.

Sze Han berkata, pihaknya juga tidak akan teragak-agak untuk memotong bekalan air dan elektrik bagi kesemua pemilik kilang haram.

“Isu plastik adalah masalah global semenjak China melarang pengimportan sisa plastik dan disebabkan itu terdapat sisa plastik diimport ke Malaysia termasuk dari Amerika Syarikat, England, New Zealand, German, Australia dan lain-lain.

“Saya ingin menegaskan kepada kesemua negara ini, sila ambil balik sampah anda. Mesej dari Kerajaan Negeri sangat jelas, kita tidak benarkan kilang proses sisa plastik tanpa lesen untuk meneruskan operasi di negeri ini,” katanya.

Pada masa sama, Sze Han turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat jika terdapat perkara mencurigakan kepada Jabatan Alam Sekitar di talian 1-800-88-2727.

Categories
SELANGOR

MDHS sita kilang kitar semula plastik tanpa lesen

HULU SELANGOR, 14 MAC: Sebuah kilang kitar semula plastik import di Kawasan Perindustrian Zuhrah, disita Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) kerana beroperasi tanpa lesen.

Yang Dipertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin berkata, pengusaha kilang terbabit masih belum mendapatkan sokongan daripada Jabatan Alam Skitar untuk menjalankan operasi setelah gagal mengemukakan laporan Kajian Impak Alam Sekitar seperti yang diperlukan.

“Hasil pemantauan MDHS mendapati kilang ini masih meneruskan operasi walaupun notis memberhentikan aktiviti perniagaan dikeluarkan Jabatan Penguatkuasaan, pada 17 Januari lalu.

“Tindakan penyitaan dilakukan hari ini ekoran kegagalan syarikat terbabit mematuhi peraturan untuk memberhentikan aktiviti perniagaan.

“Tindakan ini tertakluk di bawah Undang-Undang Kecil 38(1), Undang-Undang Kecil Prelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007, yang membolehkan pihak berkuasa tempatan menyita apa-apa barang boleh alih yang berkaitan dengan kesalahan yang dilakukan di lokasi yang dinyatakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai operasi selama satu jam, di kilang terbabit, di sini, hari ini.

Ketika operasi dijalankan, tiada wakil syarikat berada di kawasan berkenaan dan hanya terdapat hasil pemprosesan plastik, mesin serta jentera.

Turut serta dalam operasi itu ialah EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han; EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian dan Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong.

Dalam operasi itu, MDHS terpaksa memecahkan pintu utama pejabat yang dikunci bagi menyita beberapa aset milik kilang terbabit, iaitu empat buah fork-lift, komputer CCTV (satu unit), tiga walkie-talkie dan satu unit tong gas serta kipas.

Turut dirampas water jet (satu unit), pemecah konkrit (satu unit), gergaji rantai (satu unit), pemotong besi (satu unit), pemotong (tiga unit) serta dua unit troli hidraulik.

Shukri berkata, pengusaha mempunyai tempoh sebulan untuk menuntut semua barangan dengan syarat memindahkan operasi dari Hulu Selangor dan jika gagal, tindakan pendakwaan di mahkamah akan diambil secepat mungkin.

“Jika ada ruang, kita juga akan mengambil tindakan terhadap syarikat yang menyewakan premis ini.

“Jika disabitkan kesalahan, pengusaha boleh dikenakan denda RM500,000 serta penjara,” katanya.

Secara keseluruhan, terdapat hampir 10 kilang mengusahakan aktiviti kitar semula plastik dengan empat daripadanya mempunyai lesen import, di sekitar daerah Hulu Selangor.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

104 kilang plastik haram disita

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 23 JAN: Sebanyak 104 kilang memproses plastik tidak berlesen di Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) disita, sehingga hari ini.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awan dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, ia membabitkan 71 kilang di MPK dan 33 kilang (MDKL).

Katanya, operasi bersepadu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak Imigresen itu dilakukan susulan kebanjiran plastik haram yang dibawa masuk ke negeri itu melalui Pelabuhan Klang.

“Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan tegas dan penguatkuasaaan di dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini.

“Malah, ia juga akan membabitkan PBT lain, kita akan mengambil tindakan yang sama,” katanya selepas Operasi Bersepadu Penguatkuasa Kilang Plastik Tanpa Lesen di Telok Gong, di sini.

Sze Han berkata, hasil siasatan mendapati kilang haram berkenaan mula dibina di dua PBT ini sejak tahun lalu.

“Mereka ini degil. Kebanyakkannya sudah dikompaun tetapi masih beroperasi dan berpindah ke kawasan lain,” katanya.

Dalam operasi itu, sebanyak lima buah kilang diserbu di sekitar Telok Gong bersama beberapa agensi antaranya Imigresen dan Jabatan Alam Sekitar.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Terdahulu, ADN Kinrara itu berkata, dua PBT terbabit menjadi tumpuan kilang-kilang plastik haram ekoran kedudukannya berhampiran dengan Pelabuhan Klang.

 

“Sebab pertamanya dekat dengan Pelabuhan Klang. Keduanya, kebanyakan kawasan di sana status tanah pertanian.

“Tanah pertanian itu sewa dia murah dan dia boleh sembunyi di dalam ladang kelapa sawit, orang lain tidak nampak,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kilang plastik terbakar, tiada kemalangan jiwa

SHAH ALAM, 27 JUN: Sebuah kilang membuat barangan plastik musnah dalam kebakaran di Kawasan Perindustrian Rasa di Kuala Kubu Bahru, kelmarin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 4.40 petang hari kejadian.

“Lima jentera bersama 33 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang, Rawang, Bestari Jaya, Selayang dan Tanjung Malim dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Ketika bomba tiba, api sedang marak dengan hampir keseluruhan kilang musnah. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya dipetik Bernama.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata, kawsan tersebut merupakan gudang pengumpulan sarung tangan dan kebakaran tersebut berjaya di kawal pada jam 10.30 malam kelmarin.

“Kilang tersebut terbakar hampir keseluruhannya, namun tiada kejadian kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.