Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Kleptokrasi, rasuah gugat hak asasi rakyat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 DIS:  Golongan kleptokrasi yang bersenang-lenang di atas aktiviti rasuah sebenarnya menggugat hak asasi rakyat, termasuk mereka yang belum lahir, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, perbuatan tidak bermoral itu menyebabkan kekayaan yang sepatutnya menjadi milik rakyat sewenang-wenangnya dibawa keluar dari Malaysia.

Katanya, antaranya, isu rasuah melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sejak awal merupakan isu hak asasi yang menjejaskan negara tercinta.

“Dalam usaha politikus rasuah menjalankan kegiatan salah atau mengelakkan pengadilan, pelbagai pelanggaran hak asasi boleh dilakukan oleh penjenayah kolar putih ini.

“Pengkritik boleh dipenjara atau dihukum denda seperti penggunaan Akta Hasutan dan sesiapa yang mendedahkan kesalahan mereka boleh hilang kehidupan,” katanya dalam kenyataan.

Pada 9 Disember setiap tahun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menetapkannya sebagai Hari Anti Rasuah Sedunia, diikuti Hari Hak Asasi Sedunia pada 10 Disember.

Mohamed Azmin berkata, institusi demokrasi juga rakus diperalat demi membolehkan mereka yang tidak amanah meragut kekayaan negara.

“Dalam usaha melarikan diri daripada pengadilan politikus rasuah boleh mempergunakan institusi undang-undang; hakim ditekan, Peguam Negara boleh dipecat dan inilah yang dilakukan kleptokrat.

“Namun, di Selangor, kita bertanggungjawab kepada masyarakat, telus dalam urusan kewangan dan mengamalkan urus tadbir baik demi mengembalikan kekayaan negeri kepada rakyat,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Lawanlah Kerajaan Kleptokrasi – Tun Mahathir

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 13 OGOS : Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menyeru masyarakat Malaysia menolak pentadbiran kleptokrasi yang terus menekan kebajikan rakyat.

Beliau berkata, rakyat mempunyai pilihan memilih pentadbiran kerajaan yang telus demi pembentukan negara yang lebih baik pada masa akan datang.

Tun Mahathir berkata, gabungan Pakatan menjadi penanda aras terbaik membolehkan pembentukan kerajaan telus dizahirkan untuk terus membangunkan Malaysia.

“Penganjuran pelbagai program akar umbi melibatkan komponen Pakatan mewujudkan peluang kepada kita untuk menjalinkan hubungan yang lebih rapat sebagai sebuah komponen yang akan bertanding dalam pilihan raya depan.

“Saya yakin, penyatuan ini mampu mengalahkan Barisan Nasional dan menolak kerajaan kleptokrasi, penyangak dan perompak,” katanya.

CP2A0838-1024x683Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berucap pada Pesta Makanan Tradisional Kelantan yang diadakan di Dewan Beringin Taman Seri Gombak, di sini, pagi ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu, negara kini dilaporkan berada dalam kemelut pentadbiran paling lemah susulan pendedahan media antarabangsa berhubung skandal kewangan membabitkan Kerajaan Persekutuan kini.

Ia termasuklah kelemahan pengurusan syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung kegagalan pembayaran liabiliti syarikat berkenaan.