Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Empat lagi kluster baharu, kluster aktif kini 85

PUTRAJAYA, 18 OKT: Empat lagi kluster baharu Covid-19 dikenal pasti menjadikan jumlah keseluruhan kluster bagi pandemik itu ialah 160, dengan kluster aktif kini sebanyak 85.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster terbabit ialah kluster Bah Layangan, kluster Alma, kluster Auto dan kluster Penjara Kepayan.

“Kes indeks bagi kluster Bah Layangan (iaitu kes ke-15,654) dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 10 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Labuan. Kes juga mempunyai sejarah perjalanan ke daerah yang berisiko tinggi.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 12 lagi kes positif dan sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 142 individu telah disaring dengan 13 kes dikesan positif, 67 individu negatif dan 62 individu masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 hari ini.

Mengenai kluster Alma, Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan daerah Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang dengan kes indeks bagi kluster itu (iaitu kes ke-18,066) dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 14 Oktober lepas dan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.

Beliau berkata saringan kontak rapat mendapati enam lagi kes positif dan sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 183 individu disaring dengan tujuh kes dikesan positif, 43 individu negatif manakala 133 individu masih menunggu keputusan.

Kluster Auto pula melibatkan daerah Petaling, Kuala Langat dan Klang (Selangor) serta daerah Seremban (Negeri Sembilan) dengan kes indeks (iaitu kes ke-19,354) dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti lapan lagi kes positif Covid-19. Sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak sembilan kes dikesan positif Covid-19. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Kluster keempat yang dilaporkan hari ini iaitu kluster Penjara Kepayan dikenal pasti di Kota Kinabalu dengan kes indeks positif (iaitu kes ke-19,628) hasil saringan kemasukan ke Hospital Queen Elizabeth pada 14 Oktober lepas.

Dr Noor Hisham berkata saringan kontak rapat mendapati 48 lagi kes positif Covid-19 dan sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 170 individu telah disaring dengan 49 kes dikesan positif dan 121 individu negatif.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima lagi kluster baharu dikesan, jumlah kluster aktif kini 81

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengenal pasti lima lagi kluster baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif di negara ini adalah sebanyak 81, setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster tersebut ialah kluster Teduh di Lahad Datu, Sabah dan kluster Menara yang dikenal pasti di daerah Gombak, Petaling, Klang, Sepang dan Hulu Langat di Selangor; Lembah Pantai, Titiwangsa dan Cheras di Kuala Lumpur; daerah Larut, Matang dan Selama di Perak serta Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“Tiga lagi kluster ialah kluster Keladi di daerah Klang, Selangor; kluster Sentral di Kepong, Cheras dan Titiwangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kluster Bah Bemban di daerah Dungun, Terengganu,” katanya pada sidang media maya yang disiarkan di laman Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Memperincikan kluster berkenaan, Dr Noor Hisham berkata kes indeks kluster Teduh (iaitu kes ke-13000) telah dikenal pasti hasil saringan individu yang mempunyai sejarah perjalanan dari daerah berisiko tinggi iaitu Semporna pada 6 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Lahad Datu.

Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 10 lagi kes positif menjadikan jumlah keseluruhan kes kluster itu 11 kes, katanya.

Bagi kluster Menara, kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-16041) dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 9 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 32 lagi kes positif menjadikan jumlah kes sehingga hari ini ialah 33 kes.

“Bagi kluster Keladi, kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-17381) dikenal pasti positif hasil saringan kontak rapat pada 13 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 25 lagi kes positif dan jumlah keseluruhan kes positif dikesan ialah 26,” katanya.

Mengenai kluster Sentral, kes indeks bagi kluster ini adalah kes ke-18676, yang juga merupakan kes kematian ke-176, telah dikenal pasti positif hasil saringan kematian di sebuah pusat perubatan pada 16 Oktober dan sehingga kini terdapat lima kes positif.

Bagi kluster Bah Bemban, kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-12082) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) pada 3 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang.

Saringan kontak rapat telah dilakukan dan sehingga kini terdapat 12 kes positif dalam kluster berkenaan.

Dr Noor Hisham berkata terdapat pertambahan kes positif dalam 32 kluster aktif manakala 49 lagi kluster tidak mempunyai tambahan kes hari ini.

Antara kluster yang mencatat kes positif tertinggi ialah kluster Penjara Reman yang merekod 160 kes, kluster Utama (42), Kluster Tembok (38), kluster Tujuh Serangkai (30) dan kluster Penjara Sebarang Perai yang mencatatkan 26 kes.

Satu kluster iaitu kluster Ara tamat, menjadikan jumlah kluster yang telah ditamatkan selepas 28 hari pemantauan dan tidak mencatatkan kes adalah 105 kluster.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima lagi kluster baharu Covid-19 dikesan

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Terdapat pertambahan lima kluster baharu Covid-19 di dalam negara iaitu kluster Tujuh Serangkai dan kluster Tanamera di Sabah, kluster Jalan Pantai di Kuala Lumpur, kluster Bah Arnab di Sarawak dan kluster Bah Bangat di Labuan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Tujuh Serangkai di Tuaran melibatkan kes indeks ke-11,569 yang menjalani saringan bergejala pada 5 Okt dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan.

“Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan 22 lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti manakala 302 individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang akhbar harian yang disiarkan melalui Facebook berhubung situasi Covid-19 hari ini.

Bagi kluster Tanamera, beliau berkata ia melibatkan kes indeks ke-12,868 yang dikenal pasti positif hasil saringan bergejala pada 29 Sept dan dimasukkan ke Hospital Tawau.

“Berdasarkan saringan kontak rapat, lapan lagi kes positif dikesan manakala tiga individu lagi masih menunggu keputusan,” katanya.

Mengenai kluster Jalan Pantai, Dr Noor Hisham berkata kes indeks ke-14,265 dan ke-14,266 itu dikenal pasti positif hasil saringan bergejala pada 8 Okt dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat mengesan enam lagi kes positif dan tujuh individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Seterusnya, mengulas lanjut mengenai kluster Bah Arnab kes indeks ke-13,488 itu dikenal pasti positif hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi Sabah pada 7 Okt dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah mengesan tiga lagi kes positif,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata bagi kluster Bah Bangat, kes indeks ke-12,377 itu dikesan positif pada 3 Okt juga hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi Sabah.

“Saringan kontak rapat mengesan lapan lagi kes positif dan mereka telah dimasukkan ke Hospital Labuan untuk rawatan.

Beliau berkata punca jangkitan bagi semua kluster baharu ini masih dalam siasatan.

Kluster lain yang mencatatkan pertambahan kes termasuk kluster Tembok (14 kes), kluster Jalan Meru (12 kes), kluster Ramai-Ramai (enam), kluster Laut (lima), kluster Benteng LD (tiga), kluster Bah Puchong (dua) manakala kluster Bah Sintok, kluster Selasih, kluster Penjara Reman masing-masing mencatatkan satu kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan kluster kelapan Covid-19 di Sabah – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu iaitu yang kelapan di Sabah, dikenali Kluster Udin, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kluster itu dikesan di Tawau dengan kes indeks (kes ke-9894) melibatkan wanita tempatan berumur 72 tahun hasil saringan warga emas di Klinik Kesihatan Merotai, Tawau pada 12 Sept.

Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan mengesan dua lagi kes positif semalam (22 September).

“Kedua-dua kes positif ini melibatkan warganegara Filipina. Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan.

“Sehingga kini, sejumlah 128 individu telah disaring dengan tiga dikesan positif Covid-19 (termasuk kes indeks), 71 negatif dan 54 masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai perkembangan kluster aktif, empat kluster lain di Sabah merekodkan peningkatan kes baharu iaitu Kluster Benteng LD, Kluster Bangau-Bangau, Kluster Laut, dan Kluster Pulau selain satu di Kedah melibatkan Kluster Sungai.

Katanya Kluster Benteng LD merekodkan 105 kes dan menjadikan jumlah kes positif kluster itu kini 729 kes; pertambahan lapan kes masing-masing bagi Kluster Bangau-Bangau (13 kes) dan Kluster Laut (12 kes); serta pertambahan dua kes Kluster Pulau (37 kes), manakala empat kes baharu bagi Kluster Sungai (87 kes).

Susulan peningkatan kes di Sabah, Dr Noor Hisham berkata KKM teruskan pemantapan kesiapsiagaan menerusi 23 makmal hospital dan 26 makmal klinik kesihatan KKM yang menjalankan ujian Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag).

Selain itu, KKM juga menambah kapasiti makmal ujian real-time Reverse-Transcription Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) yang menjadikan jumlah kapasiti ujian harian makmal sampel Covid-19 di Sabah ditingkatkan kepada 2,500 ujian sehari.

“Sekiranya ujian Covid-19 di Sabah mencecah 2,500 ujian sehari, sampel selebihnya dihantar Semenanjung menggunakan perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia serta perkhidmatan kurier swasta ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“KKM sedang berusaha membangunkan sebuah makmal molekular di Hospital Tawau, selain menunggu penghantaran kaset GeneXpert Covid-19 daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi kegunaan di Hospital Tawau, Hospital Sandakan dan Hospital Lahad Datu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli parlimen bimbang wujud kluster baharu Covid-19

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Kehadiran ramai penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini mendapat perhatian ahli parlimen yang bimbang keadaan itu membawa risiko penularan Covid-19 dan mewujudkan kluster baharu.

Gambar-gambar yang memaparkan orang ramai berhimpun tanpa mematuhi penjarakan sosial dan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) termasuk memakai pelitup muka dengan betul di luar kompleks mahkamah itu tersebar di media sosial dan media dalam talian arus perdana.

Keadaan sesak itu menyebabkan polis terpaksa menggunakan pembesar suara untuk mengingatkan orang ramai yang hadir sejak awal pagi untuk mengikuti keputusan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang melibatkan Najib, supaya mematuhi SOP dan memakai pelitup muka bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020. Foto: BERNAMA

Bimbang dengan keadaan itu, Syed Ibrahim Syed Noh (PAKATAN-Ledang) ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat, berkata kes Covid-19 masih wujud dan kemungkinan wujudnya kluster baharu tetap ada.

“.… terutamanya apabila hari ini kita dengar ada satu himpunan di mahkamah, kita bimbang berlaku kluster baharu akibat daripada satu perhimpunan yang tidak dikekang dan dikawal.

“Langkah pencegahan wajib diamalkan malahan lebih berdisiplin secara bersama bagi memastikan penularan ini benar-benar tamat. Kita tidak kalah, tetapi kita belum menang,” katanya.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun sebelum sesi perbahasan bermula mengingatkan semua Ahli Parlimen untuk sentiasa mematuhi SOP di dalam dan di luar Parlimen.

“Saya menasihatkan agar Ahli-ahli Yang Berhormat (YB) sentiasa patuh SOP fasa pemulihan Parlimen Malaysia. YB juga boleh menasihatkan pegawai dan pelawat YB (untuk patuh SOP) semasa di luar.

“Marilah kita bersama patuhi SOP untuk mengekang Covid-19,” katanya sejurus tamat sesi soal jawab lisan.

Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) dalam perbahasannya turut menasihati seluruh rakyat agar terus mematuhi SOP dan merakamkan penghargaan kepada barisan hadapan yang sentiasa berusaha membendung penularan Covid-19.

“Rakyat diminta untuk patuh segala arahan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: KKM kesan dua lagi kluster baharu

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dua lagi kluster baharu Covid-19 membabitkan sebuah pusat keagamaan di Taman Bukit Tiram, Johor dan syarikat pembinaan Kuching di Sarawak.

Ketua pengarah kesihatan berkata Kluster Bukit Tiram dikenal pasti apabila dua individu bukan warganegara yang merupakan kakitangan pusat berkenaan positif Covid-19.

“Kedua-dua kes ini mula mengalami gejala pada 15 Julai lalu namun tidak mendapatkan rawatan segera di mana-mana fasiliti kesihatan dan kemudiannya membuat saringan Covid-19 sebelum dikesan positif pada 24 Julai.

“Sehingga hari ini, terdapat dua kes positif dan 10 orang kontak rapat dikenal pasti dalam kluster ini dan semua kontak sudah disaring serta masih menunggu keputusan,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Syarikat Pembinaan Kuching pula dikesan dengan kes pertama pada 11 Julai lalu.

“55 kontak rapat dikenal pasti terdiri daripada lima rakan serumah serta 50 rakan sekerja sudah disaring dan didapati negatif Covid-19. Kluster ini dikenal pasti apabila satu kes positif iaitu kes ke-8881 dikesan daripada saringan ulangan kontak-kontak rapat kes ke-8715,” katanya.

Pertambahan kluster itu menjadikan keseluruhan 25 kluster dikesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan 10 Jun lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kenal pasti dua lagi kluster baharu, semuanya 21

SHAH ALAM, 22 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dua lagi kluster baharu membabitkan sebuah kapal di Selangor dan pesakit bawah pemantauan (PUI) Melbourne di Sarawak.

Ketua pengarah kesihatan berkata kluster Hyde Park di Pelabuhan Klang berpunca dari kru kapal warga Rusia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Mesir dan India.

“Kluster ini dikenal pasti susulan saringan Covid-19 yang dijalani kru tersebut sebelum pulang ke negara asal. Setakat ini, seramai 24 orang disaring dengan empat daripadanya positif,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kluster itu tidak membawa risiko penularan jangkitan kerana terpencil dan langkah pencegahan seperti proses nyahkuman sudah dijalankan.

Dr Noor Hisham berkata kluster PUI Melbourne pula membabitkan pelajar Malaysia pulang dari Australia 15 Julai lalu dan disahkan positif di Kuching dua hari kemudian.

“Seramai 21 kontak rapat terdiri daripada penumpang pesawat dan kenderaan awam berkaitan disaring dan menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya lagi.

Sehingga semalam, jumlah kluster aktif ialah 19 dengan 13 daripadanya diumum dalam tempoh 10 hari.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan Kluster Rumah Warga Emas Kluang, 14 positif Covid-19

SHAH ALAM, 20 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster baharu di sebuah pusat jagaan warga emas di Kluang, Johor apabila 14 kes didapati positif Covid-19.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes pertama kluster tersebut merupakan kes kematian Covid-19 yang dilaporkan semalam iaitu kes ke-8,770.

“Sehingga jam 12 tengah hari ini, 39 orang disaring terdiri daripada 14 kes positif, 18 negatif dan tujuh masih menunggu keputusan.

“Daripada jumlah kes positif, 13 warganegara dan seorang warga Indonesia. Kes positif melibatkan 11 warga emas (iaitu penghuni rumah jagaan tersebut), satu pekerja dan satu ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata langkah pembendungan dan kawalan jangkitan dijalankan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar di pusat penjagaan terbabit.

Sementara itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menzahirkan kebimbangan susulan pertambahan 13 kluster baharu Covid-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu.

Katanya walaupun jumlah kes kekal rendah tetapi wujud kluster baharu seperti dalam kalangan pekerja restoran yang dilaporkan sejak 6 Julai lalu dan Kluster Stutong bermula Sabtu lalu.

Sejak 7 Julai lalu terdapat empat kluster baharu dikesan berpunca daripada mereka yang pulang dari luar negara iaitu kluster di Sarawak sebanyak tiga kes, kluster di Melaka (lima), kluster di Terengganu (tiga) dan kluster di Kuala Lumpur (dua).

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan tiga kluster baharu di Pahang – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 31 MEI: Kementerian Kesihatan mengesan tiga lagi kluster baharu melibatkan warga asing di tiga kawasan di Pahang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kluster berkenaan membabitkan 15 warga asing iaitu kluster Ladang Bera, di Bera (tujuh); kluster Kilang Papan di Maran (enam) dan kluster Syarikat Pembinaan (dua) juga di Maran.

“Kluster itu dikesan susulan tindakan pejabat kesihatan di situ yang melaksanakan pensampelan secara rawak dan didapati ada yang positif.

“Bila dikesan ada yang positif kami terus laksanakan pengesanan kes aktif, yang positif diasingkan dan yang negatif dikuarantin selama 14 hari,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Punca jangkitan bagi ketiga-tiga kluster baharu itu sedang disiasat, katanya.

Ditanya mengenai status terkini siasatan punca jangkitan wabak bagi tiga Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Semenyih dan Sepang di Selangor serta di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Putrajaya, beliau berkata siasatan masih dijalankan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham mendedahkan hasil dapatan permodelan dan data terkini KKM mendapati rakyat Malaysia patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) berbanding warga asing.

Justeru itu, katanya, KKM kini memfokuskan kepada kaedah untuk memastikan kepatuhan SOP turut diamalkan dalam kalangan bukan warganegara.

“Sekarang ni yang kami tengah fokus ialah kepatuhan dalam kalangan bukan warganegara, jadi ini fokus yang utama.

“Memasuki lapan hari sejak Aidilfitri kami lihat tiada peningkatan kes melibatkan warga tempatan, ini menunjukan kepatuhan rakyat tempatan pada SOP…jika berterusan (kes warga tempatan menurun) kami akan beri kelonggaran pada sektor melibatkan warga tempatan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Kluster baharu DTI di kesan di Sepang

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kluster baharu Covid-19 dengan enam kes di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Sepang, Selangor, iaitu kluster ketiga melibatkan DTI.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya hari ini.

Semalam, Dr Noor Hisham berkata KKM mengesan kewujudan satu kluster membabitkan warga asing di DTI di Semenyih, Selangor dengan 21 daripada 1,752 sampel yang diambil disahkan positif Covid-19.

Terdahulu, 60 kes COVID-19 dikesan di DTI Bukit Jalil.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata KKM dalam proses mengambil sampel pendatang tanpa izin di DTI Bukit Jalil dan Semenyih melibatkan 3,000 individu yang turut merangkumi petugas dua depoh tersebut.

Katanya mereka yang didapati positif akan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Risiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan kluster baharu di madrasah Solok Duku

SHAH ALAM, 14 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu membabitkan madrasah tahfiz di Solok Duku, Melaka.

Ketua pengarah kesihatan berkata ia susulan empat kes Covid-19 dikesan selepas 35 pelajar, sepuluh guru dan kakitangan serta 62 ahli keluarga warga madrasah disaring.

“Keputusan (saringan) mendapati empat positif iaitu dua orang pelajar dan dua lagi dalam kalangan ahli keluarga mereka,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata sehingga kini KKM mengesan enam kluster membabitkan pusat madrasah tahfiz dengan empat daripadanya adalah subkluster Seri Petaling.

Dr Noor Hisham memaklumkan pihaknya menjalankan persampelan terhadap 12,384 individu terdiri daripada pelajar, guru dan kakitangan di 370 madrasah tahfiz seluruh negara.

“Keputusan mendapati 635 kes positif, 10,755 negatif manakala 994 kes masih menunggu keputusan.

“Kementerian menjalankan pengesanan kes secara aktif dan pendekatan tertumpu di pusat tahfiz susulan penularan kes Covid-19 dalam kalangan peserta himpunan di Seri Petaling,” katanya.