Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian dibuat kenal pasti kluster Sala, Tawar punyai mutasi D614G

TANJUNG MALIM, 21 OGOS: Kajian masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada Kluster Sala dan Tawar mempunyai mutasi jenis D614G seperti Kluster Sivagangga berkaitan wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata pihaknya memandang serius peningkatan kes kedua-dua kluster pandemik berkenaan dan segala pemantauan serta pencegahan giat dilakukan.

“Virus memang bersifat begini…ia akan mutasi kerana mahu hidup, bukan mahu bunuh perumah, tetapi kita tidak tahu adakah ia bersangkutan (mutasi D614G). Kajian masih dilakukan,” katanya di Felda Gunung Besout 4 di sini hari ini.

Virus mutasi D614G dilaporkan berisiko meningkatkan kebolehjangkitan Covid-19 lebih 10 kali ganda dalam kalangan mereka yang tidak mengikuti tatacara operasi piawai (SOP).

Lapan kes baharu dilaporkan pada Rabu lepas melibatkan negeri Kedah dan Pulau Pinang, menjadikan jumlah kes dikesan positif Covid-19 bagi Kluster Tawar sebanyak 55 kes, manakala tiga kes baharu dilaporkan di Kedah, menjadikan 11 kes membabitkan Kluster Sala.

Sementara itu, mengulas mengenai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang dilapor tidak mematuhi kuarantin selepas pulang dari luar negara, Dr Noor Azmi berkata siasatan perlu dilakukan bagi melihat sama ada berlaku perlanggaran SOP.

“Saya tidak tahu perincian perkara ini dan jika ada kebenarannya, maka siasatan dan hukuman mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) perlu dilakukan. Semua rakyat mahu keadilan dan integriti,” katanya.

Dalam pada itu, berhubung pematuhan SOP ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Dr Noor Azmi berkata tiada laporan pelanggaran SOP dibuat setakat ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Dua kes baharu kluster Sala di Kedah

SHAH ALAM, 17 OGOS: Kluster Sala di Yan, Kedah merekodkan pertambahan dua kes positif Covid-19 menjadikan jumlah setakat ini enam, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat jam 12 tengah hari tadi seramai 273 individu disaring di Kedah dan Pulau Pinang.

“Seramai 269 orang disaring di Kedah dengan enam kes positif, 214 negatif manakala 49 individu masih menunggu keputusan.

“Empat lagi individu disaring di Pulau Pinang dan kesemuanya didapati negatif,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya akan terus melakukan pengesanan kes secara aktif selain meneruskan aktiviti pencegahan dan pembendungan jangkitan manakala punca jangkitan masih disiasat.

Kementerian Kesihatan sebelum ini memaklumkan kes positif pertama kluster dikesan membabitkan warganegara Malaysia pada 13 Ogos lalu.

Pengesanan kes 9,148 itu dibuat melalui sistem survelan klinikal jangkitan pernafasan akut teruk (Sari) di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Pertambahan kluster Sala pada 15 Ogos lalu menjadikan jumlah kluster aktif di seluruh negara kini adalah 22.

Categories
AGENDA NASIONAL

Satu lagi kluster baharu dikesan di Kedah

SHAH ALAM, 15 OGOS: Satu lagi kluster baharu Covid-19, Sala direkod di Yan, Kedah selepas kes positif pertama dikesan membabitkan warganegara pada 13 Ogos.

Ketua pengarah kesihatan berkata pengesanan kes ke-9,148 dibuat melalui sistem survelan klinikal jangkitan pernafasan akut teruk (Sari) di Hospital Sultanah Bahiyah.

“Aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan pada 14 Ogos 2020 dan kes-kes dikesan positif pada 15 Ogos 2020.

“Ketiga-tiga kes yang dilaporkan pada hari ini adalah merupakan ahli keluarga kepada kes pertama (kes ke-9,148) dan kesemuanya warganegara Malaysia,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan setakat ini 80 kontak rapat kes ke-9,148 disaring dengan empat orang didapati positif manakala 76 individu lagi masih menunggu keputusan.

Semalam, kluster Muda membabitkan anggota polis dikesan di Kedah selepas pengesanan kluster Tawar membabitkan kanak-kanak berusia tiga tahun serta lima petugas hospital di negeri itu.