Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas tersalah ambil picagari kosong ketika suntik remaja

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Seorang petugas kesihatan (penyuntik) tersalah mengambil satu picagari kosong ketika proses vaksinasi ke atas seorang remaja berusia 12 tahun yang videonya tular baru-baru ini.

Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata siasatan awal oleh ProtectHealth mendapati kejadian tersebut berlaku di pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Malaya (UM) pada 30 September lepas.

“Dalam kejadian pukul 3.16 petang itu, petugas kesihatan tersebut telah tersalah ambil satu picagari kosong yang masih belum digunakan dari ruangan meja yang sama dengan picagari berisi vaksin.

“Petugas kesihatan telah mengikut prosedur yang ditetapkan seperti menunjukkan vaksin dikeluarkan dari botol vaksin melalui picagari dan menunjukkan picagari berisi vaksin dengan dos yang sepatutnya kepada ibu remaja berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) berkata setelah menunjukkan picagari berisi vaksin, petugas kesihatan berkenaan telah meletakkan sebentar picagari tersebut di atas meja untuk melakukan proses nyahkuman di lengan remaja sebelum memberikan suntikan.

“Bagaimanapun, beliau tersalah ambil picagari yang kosong dan membuat suntikan ke lengan remaja tersebut. Setelah selesai, petugas kesihatan itu menyedari kesilapan beliau dan memaklumkan kepada Pegawai Perubatan yang bertugas di PPV UM.

“Kedua-dua mereka segera mengadakan perbincangan dengan ibu bapa remaja tersebut. Setelah memahami penjelasan yang diberikan, ibu bapa remaja berkenaan telah memberi kebenaran untuk remaja tersebut diberikan suntikan vaksin di lengan yang berlainan mengikut Prosedur Dos Kurang,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata Prosedur Dos Kurang merupakan garis panduan klinikal yang mencadangkan pemberian vaksin di lengan yang berlawanan jika dos pertama dianggap tidak mencukupi dan dos semula diperlukan.

“Pihak CITF-A amat kesal dengan kejadian ini dan ingin memohon maaf kepada ibu bapa dan remaja yang terlibat atas kesulitan yang berlaku.

“Kejadian ini disifatkan sebagai kesilapan ketika bertugas atau ‘human error’. Petugas kesihatan berkenaan telah diberi amaran untuk lebih berhati-hati dan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, prosedur dalaman juga telah ditambah baik dengan memastikan tiada picagari lain di ruangan meja yang sama ketika memberi suntikan bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM teliti video tular dakwa beberapa individu maut akibat vaksin

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Semua pihak diminta bertenang dan tidak menimbulkan kebimbangan awam susulan rakaman video tular mendakwa beberapa individu meninggal dunia selepas menerima vaksin Covid-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Menerusi satu ciapan di Twitter rasminya, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti perkara berkenaan dan akan memberikan maklum balas dalam masa terdekat.

“Pihak KKM mengambil maklum akan video tular di media sosial berkenaan dakwaan kesan sampingan susulan pemberian vaksin melalui program vaksinasi remaja.

“Pihak KKM memandang serius perkara ini dan pihak KKM juga sedang mendapatkan fakta yang terperinci bagi setiap isu yang dibangkitkan di dalam video tersebut,” katanya dalam ciapan itu.

Video tular berdurasi satu minit 40 saat itu memaparkan seorang wanita mendakwa beberapa individu termasuk dua pelajar sekolah menengah di Ipoh, Perak dan seorang remaja di Lahad Datu, Sabah meninggal dunia akibat vaksin Covid-19.

Terdahulu, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata dakwaan mengenai dua pelajar sekolah di Ipoh, Perak meninggal dunia selepas menerima vaksin Covid-19 seperti didakwa dalam video berkenaan adalah tidak benar.

Sementara itu, Dr Noor Azmi dalam satu kenyataan berkata hasil siasatan KKM mendapati kedua-dua pelajar berusia 17 tahun di Ipoh itu masing-masing menghidap kencing manis jenis 1 dan penyakit jantung kongenital.

“Seorang remaja perempuan merupakan pesakit penyakit kencing manis jenis 1 yang bergantung kepada rawatan insulin. Pelajar ini dijangkiti Covid-19 dan meninggal pada 18 Ogos sebelum Program Vaksinasi PICK Remaja bermula.

“Seorang remaja lelaki menghidap penyakit jantung kongenital. Pelajar ini dibawa ke Unit Kecemasan Hospital akibat jangkitan kuman yang teruk. Bantuan pernafasan dan resusitasi diberikan tetapi beliau meninggal dunia pada 17 September dan belum menerima vaksin Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Beliau berkata hasil siasatan itu turut mendapati tiada kematian melibatkan remaja selepas vaksinasi seperti dilaporkan di Lahad Datu, Sabah.

Dalam pada itu, wanita dalam video itu juga mendakwa dua anak seorang wanita sedang mengalami kesan sampingan akibat vaksin (AEFI) di Ipoh.

Merujuk perkara itu, Dr Noor Azmi berkata KKM mendapati dua beradik berusia 16 dan 18 tahun itu mengalami kesan sampingan vaksin Comirnaty dan dimasukkan ke hospital swasta di Ipoh dan semakan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mendapati laporan kesan sampingan mereka masih belum diterima.

Beliau menasihati ibu bapa atau penjaga memantau keadaan remaja selepas menerima vaksin Comirnaty memandangkan AEFI boleh berlaku dan kebanyakan kes adalah kesan ringan.

“KKM ingin menasihatkan semua pengamal perubatan kerajaan dan swasta yang mengesyaki pesakit mereka mengalami AEFI untuk segera membuat laporan AEFI kepada NPRA.

“Sebelum mengeluarkan maklumat awam, pastikan sumber maklumat yang ingin dikongsi disahkan terlebih dahulu dengan sumber sahih atau pihak bertanggungjawab,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar sekolah harian terima suntikan vaksin secara berjadual

PUTRAJAYA, 22 SEPT: Pelajar sekolah harian akan menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja secara berjadual dan bergiliran mengikut tarikh dan masa yang ditetapkan di pusat pemberian vaksin (PPV).

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata jadual vaksinasi yang dipersetujui pejabat kesihatan daerah (PKD) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) akan dikeluarkan pihak sekolah masing-masing untuk edaran kepada pelajar dan ibu bapa.

Bagi remaja di sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) termasuk murid orang kurang upaya (OKU) diberi janji temu melalui MySejahtera, manakala remaja tidak bersekolah dibenarkan terus ke PPV yang menjalankan PICK Remaja tanpa janji temu.

“Remaja OKU di sekolah harian dengan ketidakupayaan masalah pendengaran, penglihatan dan masalah pembelajaran akan diberi janji temu mengikut penggiliran sekolah di PPV.

“Remaja OKU bersekolah dengan ketidakupayaan masalah tingkah laku (ADHD, autism dan mental) akan diberi vaksinasi secara janji temu di hospital atau klinik kesihatan,” katanya dalam sidang media PICK Remaja bersama Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut Dr Noor Azmi bagi remaja OKU yang menghadiri pemulihan di pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) vaksin diberikan melalui program jangkau luar di PDK atau fasiliti kesihatan.

Beliau berkata bagi remaja OKU terlantar di institusi diberi vaksinasi secara program jangkau luar, manakala murid OKU terlantar di rumah akan menerima vaksin di rumah menerusi lawatan petugas kesihatan atau badan bukan kerajaan (NGO).

“Remaja di sekolah swasta atau sekolah antarabangsa menerima vaksinasi di PPV sekolah secara berjadual atau program jangkau luar KKM atau pengamal perubatan swasta, serta secara janji temu ke klinik swasta terpilih.

“Bagi remaja berumur di bawah 18 tahun yang sedang menuntut di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dibenarkan jumpa terus ke semua PPV yang masih beroperasi,” katanya yang juga merangkap Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A).

Dr Noor Azmi turut memaklumkan sejak PICK Remaja dilancarkan pada Isnin, seramai 410,489 remaja menerima dos pertama vaksin setakat semalam dengan Sabah merekod jumlah tertinggi iaitu 140,890 remaja; Sarawak (85,291); Kedah (31,294); Kelantan (17,413); Johor (27,936) dan Labuan (2,515).

Bagi memperluaskan akses PICK Remaja, sebanyak 156 PPV awam dan integrasi mula beroperasi esok yang dilaksanakan secara janji temu melalui MySejahtera, jumpa terus dan vaksinasi berjadual, katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar membawa anak mereka ke PPV mengikut jadual vaksinasi yang ditetapkan selain memaklumkan kepada pihak sekolah sekiranya pelajar tidak sihat atau tidak hadir janji temu vaksinasi supaya tarikh baharu dapat ditetapkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM rancang buka dua lagi pusat kuarantin di Lembah Klang

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka dua lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) jika kes positif pandemik itu terus meningkat secara mendadak di Lembah Klang.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata dua PKRC dikenal pasti ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil di Selangor dan Hotel Grand Seasons Kuala Lumpur di Jalan Pahang di sini yang menghentikan operasinya pada 2019.

“PKRC UiTM dapat menempatkan 1,200 katil…ini sudah tentu membantu mengurangkan bebanan di PKRC utama serta penggunaan katil secara keseluruhanan di Lembah Klang yang kini pada tahap kritikal,” katanya semasa menjadi tetamu program ‘THe Nation” bertajuk ‘Malaysia and the Covid-19 Battle’, yang disiarkan secara langsung menerusi Bernama TV hari ini.

Katanya KKM juga mengkhususkan PKRC untuk warga asing di hotel seperti Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur dan sebuah resort di Bangi dengan kos ditanggung oleh mereka.

Dr Noor Azmi berkata KKM juga meningkatkan kapasiti di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Selayang dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bandar Tun Razak, Cheras bagi menampung peningkatan kes positif terutama bagi kategori empat dan lima.

Mengenai Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), katanya kementerian menjangkakan lebih banyak syarikat akan menyertai program tersebut bagi meningkatkan pemberian suntikan vaksin kepada pekerja memandangkan wujudnya banyak kluster di tempat kerja.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ramadan: Suntikan vaksin tidak dibuat waktu malam

BAGAN SERAI, 12 APRIL: Kementerian Kesihatan tidak akan melakukan suntikan vaksin pada waktu malam sepanjang bulan Ramadan, kata Timbalan Menterinya Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, sebaliknya suntikan vaksin akan dibuat seperti biasa sehingga petang sahaja kepada mereka yang sudah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk menerima suntikan, bagi mengelak ibadah di bulan suci itu terganggu.

“Saya berpendapat jika suntikan dibuat pada waktu malam mereka tidak akan datang, kerana mereka mahu melakukan ibadat tarawih yang hanya setahun sekali sahaja.

“Suntikan vaksin bagi fasa kedua pula akan dilaksanakan pada 19 April ini. Bagi mereka yang tinggal di pedalaman seperti Orang Asli, kita akan hantar pegawai perubatan melalui program ‘Out Reach’ untuk memberikan suntikan vaksin CanSino bagi sekali suntikan sahaja,” katanya dalam sidang media selepas Program Malaysia Prihatin dan Sumbangan Ihya Ramadan, di Dewan Komuniti Bagan Serai di sini hari ini.

Noor Azmi yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, jika ramai yang datang pada masa yang ditetapkan, pihaknya boleh menyelesaikan suntikan vaksin sehingga 70 hingga 80 peratus kepada penerima sehingga akhir tahun ini.

Ditanya mengenai kebimbangan orang ramai di bazar Ramadan jika Covid-19 merebak, beliau berkata, apa yang penting ialah masyarakat mengamalkan penjarakan fizikal, cuci tangan selain mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan serta tidak berhimpun beramai-ramai.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

10,000 katil di pusat kuarantin MAEPS 2.0 dijangka siap Jumaat depan

SERDANG, 18 DIS: Keseluruhan kapasiti 10,000 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (PKRC MAEPS 2.0) dijangka dapat disiapkan Jumaat depan bagi menampung pertambahan jumlah pesakit Covid-19 bukan warganegara.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata pengaktifan semula PKRC MAEPS 2.0 yang memfokuskan kepada pesakit Covid-19 kategori 1 (tanpa gejala) dan kategori 2 (gejala ringan) dan bukan warganegara, adalah berikutan peningkatan kes yang mendadak dan hasil pelaksanaan saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Ini merupakan salah satu usaha kerajaan dalam mengekang penularan wabak ini dengan menyediakan pusat kuarantin yang lebih kondusif untuk pesakit-pesakit ini,” katanya dalam ucapan ketika melakukan lawatan ke PKRC MAEPS 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Ini kerana kerajaan menyedari bahawa terdapat kekangan daripada pihak majikan untuk menyediakan prasarana untuk proses kuarantin pekerja di bawah seliaan mereka, katanya.

Beliau berkata penempatan jumlah katil di PKRC MAEPS 2.0 itu dibuat dalam tiga fasa, dengan anggaran jumlah katil sebanyak 3,000 katil bagi fasa 1, 3,300 katil bagi fasa 2 dan 3,700 katil bagi fasa 3.

Berikutan kapasiti besar di kawasan tersebut, Dr Noor Azmi berharap Jawatankuasa PKRC MAEPS 2.0 turut mengambil perhatian terhadap kebajikan dan keselamatan petugas khususnya yang berhadapan secara langsung dengan pesakit positif Covid-19.

“Ini kerana, seperti kita semua sedia maklum, waktu rehat para petugas amat minimum akibat keperluan yang berkehendakkan mereka untuk bertugas dalam jangka waktu yang lama di MAEPS ini. Mereka telah meninggalkan anak dan keluarga masing-masing demi memberikan khidmat kepada negara,” katanya.

Beliau berharap jawatankuasa tersebut dapat memberikan keselesaan dan kemudahan seperti talian internet yang pantas agar mereka dapat bersemuka dengan keluarga masing-masing dengan kaedah maya bagi mengubati kerinduan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian dibuat kenal pasti kluster Sala, Tawar punyai mutasi D614G

TANJUNG MALIM, 21 OGOS: Kajian masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada Kluster Sala dan Tawar mempunyai mutasi jenis D614G seperti Kluster Sivagangga berkaitan wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata pihaknya memandang serius peningkatan kes kedua-dua kluster pandemik berkenaan dan segala pemantauan serta pencegahan giat dilakukan.

“Virus memang bersifat begini…ia akan mutasi kerana mahu hidup, bukan mahu bunuh perumah, tetapi kita tidak tahu adakah ia bersangkutan (mutasi D614G). Kajian masih dilakukan,” katanya di Felda Gunung Besout 4 di sini hari ini.

Virus mutasi D614G dilaporkan berisiko meningkatkan kebolehjangkitan Covid-19 lebih 10 kali ganda dalam kalangan mereka yang tidak mengikuti tatacara operasi piawai (SOP).

Lapan kes baharu dilaporkan pada Rabu lepas melibatkan negeri Kedah dan Pulau Pinang, menjadikan jumlah kes dikesan positif Covid-19 bagi Kluster Tawar sebanyak 55 kes, manakala tiga kes baharu dilaporkan di Kedah, menjadikan 11 kes membabitkan Kluster Sala.

Sementara itu, mengulas mengenai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang dilapor tidak mematuhi kuarantin selepas pulang dari luar negara, Dr Noor Azmi berkata siasatan perlu dilakukan bagi melihat sama ada berlaku perlanggaran SOP.

“Saya tidak tahu perincian perkara ini dan jika ada kebenarannya, maka siasatan dan hukuman mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) perlu dilakukan. Semua rakyat mahu keadilan dan integriti,” katanya.

Dalam pada itu, berhubung pematuhan SOP ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Dr Noor Azmi berkata tiada laporan pelanggaran SOP dibuat setakat ini.

– BERNAMA