Categories
AGENDA NASIONAL

Dakwaan remaja mati 18 hari selepas divaksin, KKM tunggu laporan penuh

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) masih belum menerima laporan penuh forensik dan patologi berhubung kematian remaja berumur 13 tahun yang didakwa meninggal dunia selepas 18 hari menerima vaksinasi COVID-19.

Ketua Pengarah KKM Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di akaun Twitter berkata ketika ini Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sedang bekerjasama rapat dengan pasukan klinisian dan forensik dalam siasatan itu.

“Saya masih belum menerima laporan penuh forensik dan patologi,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata KKM merakamkan ucapan takziah kepada ibu bapa serta anggota keluarga remaja itu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi akaun Twitternya turut menyampaikan ucapan takziah kepada ibu bapa remaja itu dan meminta Dr Noor Hisham mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu secepat mungkin.

Sebelum ini media melaporkan bahawa ibu bapa remaja itu telah meminta supaya satu siasatan dijalankan bagi mencari punca kematian remaja berkenaan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KP Kesihatan: 21,315 kes baharu Covid-19

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Kes baharu Covid-19 dalam negara hari ini meningkat sedikit kepada 21,315 kes berbanding 21,072 kes semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi laman sosial Twitter rasminya, Dr Noor Hisham berkata kumulatif kes kini adalah 3,061,550.

Beliau berkata 99.59 peratus atau 21,228 daripada jumlah kes baharu itu adalah dalam kategori satu dan dua, manakala 87 kes lagi atau 0.41 peratus berada dalam kategori tiga, empat serta lima.

Kategori satu dan dua merujuk kepada pesakit yang tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan, kategori tiga melibatkan jangkitan paru-paru, kategori empat membabitkan jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen, manakala kategori lima adalah kritikal, organ rosak serta memerlukan bantuan ventilator.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kementerian kesihatan lulus vaksin Covaxin

KUALA LUMPUR, 10 FEB:  Vaksin COVID-19 COVAXIN diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataannya, beliau berkata kelulusan bersyarat itu dipersetujui melalui Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-369, yang telah bersidang hari ini.

“Kelulusan itu masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau, serta dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi vaksin tersebut kekal positif,” katanya.

Beliau berkata, COVAXIN yang didaftar di bawah Averroes Pharmaceuticals Sdn Bhd dan dikilangkan oleh Bharat Biotech International Limited, India itu digunakan untuk imunisasi aktif bagi mencegah COVID-19 yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2 dalam kalangan individu berumur 18 tahun dan ke atas.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan Dr Noor Hisham memaklumkan PBKD juga turut bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat kepada produk dolutegravir (DTG) versi generik, iaitu TEGRAD (Dolutegravir FilmCoated Tablets 50mg).

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas persidangan kali ke-369 tersebut dan produk berkenaan dikilangkan oleh Hetero Labs Limited, India dan pemegang pendaftaran di Malaysia, Camber Laboratories Sdn. Bhd.

Katanya penilaian NPRA mendapati TEGRAD sesuai digunakan secara kombinasi dengan produk anti-retroviral lain bagi rawatan Human Immunodeficiency Virus (HIV) dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas.

“TEGRAD adalah produk generik DTG pertama yang didaftarkan di negara ini dan merupakan manfaat daripada perjanjian Voluntary Licensing (VL) di antara Medicines Patent Pool (MPP) dan pemilik paten DTG, ViiV Healthcare yang dimeterai pada bulan November 2020.

“Hetero Labs Limited, India merupakan salah sebuah pengilang yang diberi lesen oleh MPP di bawah perjanjian VL ini, untuk menghasilkan produk generik DTG bagi negara-negara tersebut, termasuk Malaysia,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata usaha menjadikan negara ini mendapat akses di bawah VL dimulakan KKM bermula 2014.

“KKM mula bekerjasama dengan MPP, agar rundingan dengan pemegang paten melibatkan akses ke atas ubat generik DTG bagi merawat pesakit HIV dewasa tahun berikutnya,” katanya.

Menurutnya, ini selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), DTG sebagai rawatan utama bagi pesakit HIV.

Katanya, kelulusan produk akan memberikan akses lebih luas kepada ubat tersebut dengan kos yang lebih berpatutan, tidak kira di fasiliti kesihatan awam mahupun swasta.

“KKM melalui NPRA akan terus memantau dan menilai data-data terkini dari semasa ke semasa berkenaan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk DTG ini, bagi memastikan perbandingan manfaat-risikonya kekal positif.

“KKM juga akan terus komited dengan usaha-usaha untuk mempertingkatkan akses kepada ubat-ubatan yang berkualiti, selamat dan berkesan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

4,362 kes baharu, 98 peratus tiada gejala, gejala ringan

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Kes baharu Covid-19 dalam negara merekodkan sedikit peningkatan dengan 4,362 kes dilaporkan hari ini berbanding 4,262 semalam menjadikan jumlah kumulatif kes kini 2,711,764.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu tersebut,  4,334 adalah kes jangkitan tempatan manakala 28 lagi kes import.

“Sebanyak 89 kes atau dua peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 4,273 kes atau 98 peratus melibatkan kategori satu dan dua”, katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata 5,098 kes dicatatkan menjadikan keseluruhan kes pulih kini 2,625,245, manakala 400 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 198 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata 12 kluster baharu dikesan hari ini dan jumlah kluster masih aktif meningkat kepada 257, selain nilai Rt (kadar kebolehjangkitan) di Malaysia setakat semalam turun kepada 0.90.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata perincian nilai RT setakat 16 Dis mengikut negeri menyaksikan Negeri Sembilan mencatatkan nilai tertinggi dengan nilai 1.02, diikuti Pahang dan Pulau Pinang masing-masing dengan nilai 1.00.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 98.2 peratus kes baharu tiada gejala, gejala ringan

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Kes baharu Covid-19 dalam negara merekodkan peningkatan dengan 4,262 kes dilaporkan hari ini berbanding 3,900 semalam menjadikan jumlah kumulatif kes kini 2,707,402.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 4,262 kes itu, 4,226 adalah kes jangkitan tempatan manakala 36 lagi kes import.

“Daripada keseluruhan kes baharu itu, 78 kes atau 1.8 peratus adalah Kategori Tiga, Empat dan Lima manakala 4,184 kes atau 98.2 peratus melibatkan Kategori Satu dan Dua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kategori Satu dan Dua merujuk kepada pesakit Covid-19 tidak bergejala serta bergejala ringan, manakala Kategori Tiga, Empat dan Lima pula ialah pesakit sama ada mengalami radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen dan alat bantuan pernafasan.

Bagi kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata 4,985 kes dicatatkan menjadikan keseluruhan kes pulih kini 2,620,147, manakala 383 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 198 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata enam kluster baharu dikesan hari ini dan jumlah kluster masih aktif adalah 248, selain nilai Rt (kadar kebolehjangkitan) di Malaysia setakat semalam adalah 0.92.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata perincian nilai RT setakat 16 Dis mengikut negeri menyaksikan Negeri Sembilan mencatatkan nilai tertinggi sebanyak 1.02, diikuti Pahang, Pulau Pinang dan Melaka masing-masing 1.00.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

84 kes positif dikesan sepanjang sidang Parlimen

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Sebanyak 84 kes positif Covid-19 dikenal pasti hasil saringan berkala yang dijalankan sepanjang persidangan Parlimen sejak 27 Okt lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata 18 kes dikenal pasti hasil saringan prapersidangan Dewan Rakyat pada 22 hingga 25 Okt dan tindakan kawalan serta pencegahan telah dijalankan.

“Kesemua kes telah diasingkan dan hasil siasatan mendapati kes-kes tersebut tiada kaitan epidemiologi dan tiada kluster dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan sebanyak 41 kes pula dilaporkan antara 27 Okt  hingga 28 Nov lepas dan semua kes tersebut telah diasingkan dengan segera serta tiada kluster dilaporkan manakala 25 kes dikesan melalui saringan berkala semalam.

Katanya, kes yang dikenal pasti itu mempunyai kadar kebolehjangkitan dengan nilai kitaran ambang (CT) Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) antara 13.70 hingga 36.11.

Dr Noor Hisham menjelaskan setakat ini, semua sampel berkemungkinan besar adalah varian Delta yang dikesan melalui saringan menggunakan ujian PCR Genotyping Assay.

“Bagi mengesahkan jenis varian ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan jujukan genom dan masih menunggu keputusan penuh,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sedang melakukan siasatan dan pengesanan kontak rapat serta penilaian risiko bagi mengenal pasti punca jangkitan bagi memastikan tindakan lanjut dapat dilakukan segera.

Beliau juga menasihati supaya individu yang hadir ke Parlimen terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera dan sekiranya bergejala dinasihatkan agar tidak hadir ke Parlimen, menjalani ujian saringan COVID-19 dan segera mendapatkan rawatan.

Persidangan Dewan Rakyat kini sedang berlangsung sejak 27 Okt hingga 23 Dis 2021.

Pihak Parlimen bersama Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan saringan berkala sepanjang persidangan bagi memastikan kelancaran perjalanan sidang serta mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

261 kes baharu varian bahaya dikesan

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Sebanyak  261 lagi kes baharu COVID-19 melibatkan varian yang membimbangkan (VOC)  dikesan di negara ini dengan varian Delta mencatatkan angka tertinggi iaitu 259 kes jangkitan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata selain Delta, satu lagi varian VOC dikesan adalah Beta yang merekodkan dua kes.

Katanya varian-varian kes ini dikesan hasil kajian berterusan oleh Institut PenyeIidikan Perubatan (IMR), Fakulti Perubatan (FOM-UM), Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE-UiTM), Institut Genom Malaysia (MGI) dan Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC-UM).

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan  Varian Yang Perlu Mendapat Perhatian (VOI) adalah sebanyak 2,645 kes.

“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 2,625 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhan, sehingga kini terdapat 2,385 kes varian Delta, 226 kes varian Beta dan 14 kes varian Aplha berada dalam kategori VOC.

Bagi VOI pula terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

6,637 kes sembuh Covid-19, atasi kes baharu

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Sebanyak 6,637 kes sembuh daripada COVID-19 dilapor di Malaysia hari ini, mengatasi angka harian kes baharu yang merekodkan 6,377 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes pulih COVID-19 kini 2,354,622 manakala kumulatif kes baharu adalah 2,454,749 kes.

Beliau berkata lapan kluster baharu pula direkodkan hari ini dengan lima kes melibatkan kluster tempat kerja dan masing-masing satu kes melibatkan kluster kumpulan berisiko tinggi, komuniti dan institusi pendidikan.

“Daripada 6,377 kes harian dilapor hari ini, 101 kes atau 1.6 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 6,276 kes atau 98.4 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Selain itu, 32 kes melibatkan kes import terdiri daripada 20 warganegara dan 12 bukan warganegara manakala kes tempatan ialah 6,345 dengan 6,011 daripadanya warganegara dan 334 bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan sejumlah 564 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 294 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara hari ini ialah 0.94 dengan Negeri Sembilan mencatat kadar Rt paling tinggi iaitu 1.02 manakala Labuan satu-satunya kawasan mencatatkan kadar kebolehjangkitan sifar.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 dalam negara akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dengan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

149 kes positif dikesan di pintu masuk Langkawi

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Sejumlah 149 kes positif Covid-19 dikesan hasil saringan di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi sejak Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik bermula pada 16 Sept lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu direkodkan sehingga 12 tengah hari tadi melibatkan saringan seramai 40,458 orang merangkumi 34,038 orang di tujuh pintu masuk lapangan terbang dan 6,420 orang melalui feri di Kuala Perlis dan Kuala Kedah.

“Seramai 36,842 orang telah menjalani saringan menggunakan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen dan daripada jumlah ini, sebanyak 149 kes positif Covid-19 dikesan dan 186 individu lagi merupakan kontak rapat kepada 149 kes tersebut.

“Mereka telah diasingkan dan diberi Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (HSO),” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau memaklumkan 641 orang telah menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum bertolak ke Pulau Langkawi dan kesemua keputusan adalah negatif manakala baki 2,975 kanak-kanak di bawah enam tahun tidak menjalani ujian Covid-19 dan dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing.

Menerusi Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi yang bermula pada 16 Sept lepas, kerajaan menetapkan semakan ujian saringan Covid-19 dan juga ujian saringan Covid-19 bagi pelancong yang belum menjalani ujian sebelum mereka berlepas ke pulau itu di pintu masuk udara dan laut.

Mengenai Kluster Dah Teluk Nibung yang dilapor di Langkawi pada 1 Okt, Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini, seramai 254 orang telah disaring dengan 59 kes adalah positif Covid-19, 187 negatif dan tiga individu masih menunggu keputusan.

“Kluster itu dikategori sebagai kluster tempat kerja melibatkan penduduk tempatan Langkawi iaitu pekerja dan kontak rapat ahli keluarga.

“Siasatan awal mendapati penularan jangkitan disyaki dari komuniti dan seterusnya merebak di tempat kerja akibat ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja dan asrama penginapan,” katanya sambil menambah semua kontak rapat telah dikenal pasti, disaring serta diberi arahan HSO selama 10 hari.

Memaklumkan penularan jangkitan adalah terkawal sehingga kini, beliau berkata semua kes melibatkan kluster ini adalah kategori satu dan dua sahaja serta pekerja telah menerima suntikan dos lengkap vaksin Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi akan terus memantau perkembangan penularan jangkitan Covid-19 seterusnya memastikan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Susulan pengumuman Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mengenai lebih banyak kawasan gelembung pelancongan dijangka akan dibuka bermula bulan ini, Dr Noor Hisham berkata KKM akan terus menjalankan kerjasama dengan MOTAC.

Ini khususnya bagi menjalankan penilaian risiko untuk membolehkan lebih banyak tempat pelancongan dibuka dari semasa ke semasa.

Mengulas mengenai perkembangan kes harian Covid-19, Dr Noor Hisham berkata kes sembuh yang direkodkan hari ini adalah 15,456 iaitu mengatasi jumlah kes baharu sebanyak 8,075 kes.

Menurutnya daripada jumlah kes baharu itu, 7,917 kes (98 peratus) adalah kategori satu dan dua manakala 160 kes (dua peratus) merupakan kategori tiga, empat dan lima.

“Kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 867 dengan 461 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan 15 lagi kluster baharu dikenal pasti melibatkan tujuh kluster tempat kerja, enam kluster komuniti, serta masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengunjung Langkawi diingat patuh SOP, elak jangkitan Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan semua bakal pengunjung ke Pulau Langkawi, Kedah di bawah projek rintis gelembung pelancongan domestik agar sentiasa mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Dalam usaha mengimbangi antara nyawa dan kelangsungan hidup serta ekonomi, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyeru semua pihak bersama-sama memainkan peranan bagi memastikan tiada peningkatan jangkitan virus Covid-19 di pulau percutian itu.

“Kerjasama anda semua adalah sangat diperlukan,” kata Dr Noor Hisham dalam hantaran di Facebooknya.

Pada 9 Sept lepas, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan pelancong domestik yang memenuhi kriteria SOP dari seluruh negara termasuk dari negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mengunjungi Pulau Langkawi mulai 16 Sept ini.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sedang meningkatkan kapasiti dan kesiapsiagaan Hospital Sultanah Maliha (HSM) bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes Covid-19 di Pulau Langkawi yang memerlukan kemasukan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

HSM merupakan sebuah hospital hibrid yang merawat pesakit Covid-19 dengan 79 katil, manakala untuk bukan Covid-19 sebanyak 142 katil.

Dr Noor Hisham berkata melalui penubuhan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Langkawi International Shooting Range Malaysia (i-PKRC LISRAM) pada 4 Ogos lepas, sebanyak 60 katil tambahan berjaya diwujudkan bagi merawat pesakit Covid-19 kategori satu, dua dan tiga yang berisiko rendah.

“Bagi ICU, sebanyak lapankatil tambahan telah diwujudkan sebelum ini (repurposed) menjadikan kapasiti katil meningkat kepada 13 dan daripada jumlah itu, sembilan katil adalah dikhususkan bagi merawat kes Covid-19,” katanya.

Selain itu, beliau berkata jabatan lain HSM, antaranya Jabatan Kecemasan dan Trauma, Jabatan Patologi dan Transfusi Perubatan, Jabatan Pediatrik, Jabatan Forensik serta Unit Hemodialisis turut merancang pelan kesiapsiagaan masing-masing bagi merawat kes Covid-19 yang mungkin akan bertambah.

“Melalui perbincangan yang diadakan bersama pihak HSM dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, beberapa cadangan penambahbaikan telah diberikan termasuk penetapan nilai ambang kadar kemasukan pesakit harian sebagai petanda amaran agar tindakan proaktif tertentu diambil.

“Ini termasuk keperluan menambah bilangan katil bukan ICU dan ICU untuk kes Covid-19, mobilisasi petugas kesihatan dan aset dari daerah atau negeri lain, evakuasi pesakit melalui pengangkutan udara ke hospital rujukan lain serta penubuhan PKRC yang dikendalikan oleh pihak swasta,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

98.7 peratus kes Covid-19 hari ini kategori satu, dua

PUTRAJAYA, 23 JULAI: Sebanyak 15,368 kes atau 98.7 peratus daripada jumlah keseluruhan 15,573 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan pada hari ini berada pada kategori satu dan dua.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 7,095 atau 45.6 peratus daripada kes yang dilaporkan hari ini dalam kategori dua iaitu bergejala ringan sementara kes kategori satu atau tidak bergejala adalah sebanyak 8,273 atau 53.1 peratus.

“Keseluruhannya hanya 1.3 peratus daripada kes yang dilaporkan hari ini berada pada kategori tiga, empat dan lima,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 102 kes atau 0.6 peratus berada pada kategori tiga iaitu pesakit mengalami radang paru-paru dan 74 kes atau 0.5 peratus pada kategori empat iaitu radang paru-paru yang memerlukan bantuan oksigen.

Sebanyak 29 kes atau 0.2 peratus berada pada kategori lima iaitu kritikal, katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, kes sembuh Covid-19 yang dicatatkan pada hari ini ialah sebanyak 10,094 sementara kes kematian pula ialah 144 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian mencecah 7,718 kes.

Kes aktif di seluruh negara sekarang ialah 147,386 kes dengan sebanyak 939 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 456 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan, katanya.

Beliau berkata kajian berterusan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institusi Kesihatan dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak telah mengenal pasti 119 kes varian baharu yang kesemuanya varian membimbangkan (VOC).

Kata Dr Noor Hisham, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti virus yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) sebanyak 429 dengan 409 ialah VOC manakala 20 kes merupakan VOI.

“Sehingga kini, bagi VOC terdapat 206 kes varian Beta, 189 kes varian Delta dan 14 kes varian Alpha manakala bagi VOI terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pergi pusat penilaian Covid-19 terdekat jika Stadium Malawati sesak

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai di Selangor supaya memilih lokasi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) terdekat bagi mengelak kesesakan di Stadium Malawati Shah Alam.

Menerusi perkongsian di Twitternya, Dr Noor Hisham berkata terdapat 12 lagi CAC di negeri itu yang boleh dikunjungi orang ramai iaitu masing-masing satu di daerah Klang dan Hulu Selangor serta 10 di daerah Gombak.

Berdasarkan infografik dikongsi, CAC daerah Klang terletak di Dewan Sukan Klang (Dewan Sri Andalas) sementara CAC daerah Hulu Selangor adalah di Klinik Desa Ulu Yam Lama.

Selain itu di daerah Gombak, CAC yang boleh dikunjungi adalah Klinik Kesihatan (KK) Kuang; KK Batu 8; KK AU2; KK Hulu Kelang; KK Taman Ehsan; KK Batu Arang; KK Sungai Buloh; KK Selayang Baru; KK Rawang dan KK Gombak Setia.

– BERNAMA