Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sahsiah, kokurikulum pelajar dikira bagi kemasukan sekolah Jais

SHAH ALAM, 22 SEPT: Kemasukan pelajar tingkatan satu ke sekolah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan dinilai melalui beberapa aspek termasuk sahsiah diri memandangkan pembatalan beberapa ujian berikutan penularan Covid-19.

Ketua penolong pengarah pendidikan Jais berkata keputusan peperiksaan pertengahan tahun ini serta keputusan peperiksaan dari tahun tiga hingga enam akan menentukan kelayakan menyambung pelajaran di Sekolah Agama Menengah (SAM), SAM Bestari dan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS).

“Mereka turut dinilai melalui keputusan peperiksaan hujung tahun ini selain penilaian sahsiah diri serta kokurikulum,” kata Anas Ayob selepas Majlis Mesra Media 2020 semalam.

April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Penilaian Sijil Rendah Agama (PSRA), Pentaksiran Hafazan Al-Quran (PPTQ) dan peperiksaan Sijil Kafa Menengah (SKM) tahun ini dibatalkan dan digantikan dengan kaedah pentaksiran lain.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia turut membatalkan pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi subjek bertulis di seluruh negara yang dijadualkan pada 28 September hingga 1 Oktober.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

UiTM bakal perkenal e-sukan sebagai modul kokurikulum

SHAH ALAM, 29 OGOS: Universiti Teknologi Mara (UiTM) bakal perkenalkan sukan elektronik (e-sukan) sebagai antara modul kokurikulumnya pada sesi pengajian semester akan datang.

Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata langkah itu adalah seiring dengan perkembangan industri e-sukan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Kita sedia maklum, industri e-sukan sedang berkembang pesat terutamanya dalam kalangan generasi muda sekarang dan UiTM turut tidak ketinggalan mengikuti perkembangan industri itu seiring dengan perubahan landskap pendidikan masa kini.

“Modul baharu ini akan meningkatkan minat pelajar untuk menyertai bidang e-sukan serta ia boleh dijadikan satu ruang kerjaya baharu,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM dan Kitamen Resources Sdn Bhd (Kitamen) di Bangunan Canselori UiTM, semalam.

Mohd Azraai mewakili UiTM manakala Kitamen diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hazman Hassan menandatangani MoU untuk membangunkan hab e-sukan di universiti berkenaan yang bertumpu kepada ‘Healthy Gaming’.

Menurut beliau, pengenalan modul baharu itu juga secara tidak langsung akan mendedahkan pelajar kepada bidang teknologi digital yang berkaitan dengan sukan, menerusi pendidikan dan penyelidikan.

Mohd Azraai berkata industri e-sukan turut dilihat sebagai platform terbaik yang mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada pelajar universiti tersebut.

“Kerjasama ini juga dapat membantu UiTM untuk membangunkan modul mengikut standard e-sukan yang ditetapkan.

“Kitamen adalah platform terbaik kerana mereka mempunyai kepakaran dalam bidang digital dan teknologi media, pembangunan aplikasi dan permainan e-sukan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sukan, kokurikulum luar bilik darjah dibenarkan mulai 1 September

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Kerajaan membenarkan aktiviti sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah untuk pelajar sekolah mulai 1 September ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini meluluskan pembentangan Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai garis panduan aktiviti tersebut.

“Garis panduan ini merangkumi pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka termasuk amali di luar bilik darjah bagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) serta Sains Sukan dalam keadaan yang terkawal,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Ismail Sabri juga berkata antara garis panduan yang perlu dipatuhi termasuk mendapatkan kebenaran bertulis ibu bapa atau penjaga, penggunaan bilik mandi dan persalinan dihadkan mengikut kapasiti, memastikan penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bagi aktiviti statik dan tiga hingga lima meter bagi aktiviti dinamik serta peralatan perlu dibersihkan dan disanitasi.

Katanya aktiviti sukan dan kokurikulum juga perlu mematuhi Garis Panduan dan tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta KPM, yang sedia ada.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata mesyuarat khas juga meneliti dan meluluskan garis panduan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Amali Teknikal dan Vokasional yang juga berkuat kuasa 1 September.

Katanya garis panduan tersebut melibatkan lebih 89 Kolej Vokasional serta Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Teknik terpilih.

“Antara garis panduan perlu dipatuhi termasuk menentukan bilangan pelajar berdasarkan kapasiti ruang, tempat, peralatan amali dibersihkan dan disanitasi serta pelajar bergejala tidak akan dibenarkan untuk mengikut amali,” katanya.

Katanya garis panduan lengkap boleh didapati di laman sesawang MKN dan KPM mulai 1 September.

– BERNAMA