Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan sentiasa prihatin isu kos sara hidup rakyat – Muhyiddin

BANGKOK, 29 NOV: Kerajaan sentiasa mengambil perhatian dalam menangani isu kos sara hidup rakyat, khususnya kumpulan B40, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata kerajaan melalui pelbagai agensi, jabatan dan kementerian, telah melaksanakan pelbagai langkah untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, dan pada masa yang sama mencari jalan meningkatkan pendapatan rakyat.

Katanya, Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah ditubuhkan, untuk merangka pelan dan merencana formula membantu rakyat meringankan beban dihadapi.

“Namun, rakyat masih mengadu bahawa mereka tidak dapat merasa apa yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan. Mereka tertanya-tanya apakah yang dilakukan Pakatan Harapan sekarang ini? Adakah mereka tidak lakukan apa-apa?

“Saya boleh katakan yang kami sedang lakukan lebih daripada yang boleh anda bayangkan. Untuk menghadapi isu ini bukanlah mudah, kami berhadapan dengan banyak cabaran berikutan salah laku oleh yang lepas (kerajaan)…Kami mewarisi satu legasi yang mempunyai banyak masalah. Lagipun situasi ekonomi yang suram menjejaskan kehidupan ramai rakyat Malaysia

“Kami secara serius melihat kepada setiap usaha untuk memastikan kumpulan sasaran akan dibantu, supaya kami boleh buatkan kehidupan mereka lebih baik,” katanya pada Majlis Ramah Mesra bersama diaspora rakyat Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia, Bangkok. Hadir sama ialah Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel.

Muhyididn yang berada di Bangkok menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan Ke-13 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di sini berkata, walaupun pelbagai langkah dan inisitif telah diambil kerajaan, namun ia akan mengambil sedikit masa untuk melihat kesannya.

Beliau berkata, Malaysia mahu menjadi sebuah negara yang menarik bagi pelabur-pelabur asing untuk projek-projek perindustrian baharu, agar ia dapat menyediakan peluang dan ruang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga mengalakkan rakyat Malaysia agar meningkatkan kapasiti dan kemahiran untuk menjadi pekerja pakar dan mahir, sekali gus dapat meningkatkan pendapatan mereka.

“Saya berharap diaspora Malaysia di Thailand juga memainkan peranan masing-masing, menjadikan Malaysia sebuah negara maju,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isu kos sara hidup, Selangor paling sengsara

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Gaji minimum RM1,200 sebulan bagi individu dewasa yang tinggal di Lembah Klang masih di bawah anggaran gaji kehidupan wajar, menurut seorang ahli ekonomi.

Profesor ekonomi Sunway University Business School, Dr Yeah Kim Leng berkata, dengan gaji minimum tersebut, kemungkinan individu berkenaan perlu mempunyai sumber pendapatan tambahan untuk hidup di kawasan itu, sama ada melakukan dua pekerjaan, atau perniagaan sampingan.

“Menurut kaji selidik Jabatan Perangkaan Malaysia mengenai pendapatan isi rumah pada 2016, median pendapatan bulanan isi rumah berpendapatan rendah (B40) di Kuala Lumpur adalah RM5,344.

“Terdapat dua peratus atau 55,600 isi rumah di Kuala Lumpur daripada sejumlah 2.8 juta isi rumah kumpulan B40 di negara ini. Tanpa pecahan lanjut mengenai profil pendapatan kumpulan B40, sukar untuk menentukan kadar kemiskinan mutlak dan relatif di ibu negara, ” katanya.

Beliau berkata, seperti yang dilaporkan dalam kajian Bank Negara Malaysia pada 2018, gaji kehidupan wajar bagi seorang dewasa di Kuala Lumpur adalah RM2,700 sebulan, untuk pasangan tanpa anak (RM4,500 sebulan) dan pasangan dengan dua anak (RM6,500 sebulan).

“Bagi isi rumah B40 yang mempunyai median pendapatan bulanan sebanyak RM5,344 (pada 2016) di Kuala Lumpur, adalah mencabar bagi isi rumah yang berpendapatan kurang daripada gaji kehidupan wajar untuk membeli rumah, kereta dan barangan lain,” katanya.

Gaji kehidupan wajar atau living wage ditakrifkan sebagai pendapatan minimum yang diperlukan untuk pekerja memenuhi keperluan asas mereka termasuk makanan, perumahan dan keperluan penting lain.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober lepas berkata, kerajaan mencadangkan gaji minimum dinaikkan kepada RM1,200 sebulan di bandar utama berkuat kuasa tahun hadapan.

Selain di Kuala Lumpur, isu kos sara hidup yang tinggi di bandar besar turut berlaku di negeri-negeri dan yang paling ketara adalah di Selangor, dengan penduduknya berhadapan dengan kos sara hidup yang lebih tinggi berbanding negeri lain, walaupun secara purata pendapatan mereka lebih tinggi.

Penganalisis ekonomi Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, walaupun pendapatan di Selangor lebih tinggi berbanding di negeri lain, penduduk di Selangor berhadapan dengan komitmen hutang rumah dan harga barangan yang lebih tinggi.

Beliau berkata, secara purata isi rumah di Selangor membelanjakan 26 peratus pendapatan untuk perumahan, air, elektrik dan gas, manakala 14.8 peratus pula untuk makanan dan minuman bukan alkohol.

“Perbelanjaan ketiga tertinggi adalah untuk restoran dan hotel (14.6 peratus) dan keempat tertinggi merupakan pengangkutan (13.7 peratus). Kerajaan harus memantau isu isi rumah ini terutamanya dalam kategori B40 supaya mereka tidak tercicir dalam menikmati arus pembangunan di Selangor.

“Pada 2018, Selangor merupakan satu daripada enam negeri yang menyumbang 72.1 peratus kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) nasional dan pertumbuhan KDNK Selangor sendiri adalah 6.8 peratus, iaitu melebihi paras nasional. Disebabkan itu, rakyat Selangor memperolehi purata pendapatan yang lebih tinggi berbanding negeri lain,” katanya.

Ahmed Razman berkata, purata pendapatan kasar isi rumah setiap bulan di negeri ini ialah RM4,307 bagi B40, RM8,790 (M40), manakala RM21,125 bagi pendapatan T20.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perluas dialog isu kos sara hidup belia di peringkat negeri

SHAH ALAM, 7 OGOS: Sesi dialog bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) wajar diperluaskan di peringkat negeri sebagai wadah akar umbi dalam menyampaikan hasrat anak muda, terutama membabitkan isu kos sara hidup.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Johar berkata, sesi dialog berkenaan memberi peluang kepada anak muda dan pemimpin belia memberi cadangan untuk membantu MBM merangka pelan strategik bagi mengawal isu berkaitan.

“Kita menyeru belia mengambil peluang ini untuk menyampaikan input cadangan mereka kepada kerajaan berdasarkan tujuh kluster utama (kesihatan, pendidikan, utiliti, perumahan, e-dagang, pengangkutan, makanan) yang mempengaruhi kos sara hidup belia serta rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) itu berkata, kerajaan disaran memandang serius isu kos sara hidup dalam kalangan belia merangkumi pendidikan, pengangkutan awam dan kesihatan.

Katanya, sesi dialog bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini banyak menyentuh keperluan kementerian untuk mendapatkan cadangan bagi memudahkan KPDNHEP merangka pelan strategik dalam mengawal isu kos sara hidup.

“Antara isu yang banyak menjadi persoalan dalam kalangan peserta adalah hal pemilikan rumah dan bantuan pendidikan yang berkurangan.

“Selain itu, peserta sesi dialog juga memuji inisiatif pihak kementerian memperkenalkan Bank Makanan serta pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 yang sedikit sebanyak mengurangkan beban kos sara hidup dalam kalangan belia.

“Beliau (Saifuddin) turut tertarik dengan beberapa input dan idea baru yang dicadangkan termasuk penyediaan latihan kepada majikan dalam menerima pekerja Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Selain itu, cadangan keperluan pemberian subsidi dalam pembelian alat bantuan golongan OKU yang harganya mahal di pasaran turut mendapat perhatian serta akan dipertimbangkan untuk diberikan potongan cukai,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Hampir 80% rakyat Malaysia tiada simpanan hari tua

Trend ekonomi yang tidak seimbang, pendapatan yang tidak selaras dengan kos sara hidup kini, terpaksa menjelaskan pelbagai bil, pinjaman dan cukai merupakan punca rakyat Malaysia tidak mempunyai baki wang untuk simpanan masa hadapan.

Kajian Jabatan Perangkaan mendapati pendapatan isi rumah bulanan purata bagi negara ini meningkat 6.2 peratus kepada RM6,958 pada 2016 daripada RM6,141 pada 2014.

Namun, secara tuntasnya, itu bukanlah ukurannya apabila jumlah perbelanjaan isu rumah bulanan purata turut meningkat daripada RM3,578 pada 2014 kepada RM4,033 pada 2016 iaitu peningkatan sebanyak 6 peratus.

1. Rakyat Malaysia khususnya yang berpangkat rendah tidak dapat menyimpan wang setiap bulan selepas membelanjakannya untuk keluarga kerana pendapatan mereka tidak seiring dengan kos sara hidup yang meningkat.

Malahan, lebih 76 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan mencukupi bagi menghadapi masa sukar atau ‘kecemasan’ yang mana hanya 6 peratus sahaja mempunyai cukup wang untuk meneruskan hidup lebih 6 bulan pada waktu kecemasan atau tempoh susah. Manakala 18 peratus lagi, wang mereka hanya boleh bertahan untuk lebih 3 bulan sahaja.

2. Kebanyakan rakyat kita tidak membuat persediaan mencukupi untuk menghadapi ‘kecemasan’ seperti diberhentikan kerja dan sakit menyebabkan mereka menghabiskan wang simpanan dalam masa singkat.

Bagi saya, simpanan ini sebenarnya ada kaitan dengan pendapatan dan perbelanjaan. Jika perbelanjaan naik tetapi pendapatan tidak meningkat secara berkadaran, maka ia tidak akan berlaku penyimpanan.

3. Pendapatan purata bagi setiap individu jatuh sebanyak 15 peratus daripada AS$10,345 pada 2013 kepada AS$8,821 pada 2016 telah menunding arah kepada perancangan kewangan yang lemah bukanlah punca utama rendahnya kadar simpanan.

Terdapat faktor lain yang mengundang kepada situasi ini, seperti kenaikan harga barangan termasuk makanan, produk dan perkhidmatan isi rumah.

4. Maka dengan pelbagai masalah kewangan, hari tua yang sepatutnya dinikmati dengan tenang bersama anak cucu, akan menjadi amat memeritkan dan huru-hara kerana dalam usia yang lanjut itu ada yang terpaksa mencari kerja atau berniaga kecil-kecilan untuk meneruskan sisa-sisa hidup. Sedangkan hari tua adalah satu fasa kehidupan untuk berehat.

Ada di kalangan ibubapa juga terpaksa membuat pinjaman tambahan untuk menampung perbelanjaan harian. Apatah lagi anak-anak mereka juga turut terhimpit dengan hutang yang berat seperti pinjaman kenderaan, rumah, pendidikan dan sebagainya.

5. Hanya 22 peratus daripada 6.7 juta pencarum aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 54 tahun mempunyai simpanan yang mencukupi sebanyak RM196,800 atau lebih untuk menampung kehidupan mereka sepanjang tempoh persaraan.

Realiti persaraan hari ini agak menyedihkan apabila daripada 6.7 juta pencarum KWSP yang aktif, hanya 65 peratus daripada mereka mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam simpanan.

Pesara memerlukan sekurang-kurangnya RM1500 sebulan untuk menampung kehidupan lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar dan amaun ini tidak mencukupi melainkan mereka bebas daripada hutang atau mempunyai simpanan lain.

6. Nampaknya bukan golongan pekerja sahaja menjadi mangsa kegagalan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malah kesemua rakyat turut terkesan.

Sudahlah dipaksa membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang sepatutnya memberi banyak wang kepada kerajaan tetapi nampaknya sejak dilaksanakan cukai ini, rakyat semakin terbeban dan ditekan.

Dato’ Hj. Abd. Halim Hussain
Mantan Speaker DUN Pulau Pinang
Ketua Cabang Balik Pulau
Parti KEADILAN Rakyat

Persepsi Anak Muda : Menangani Kos Sara Hidup Menjelang Wawasan 2020 Bahagian 4

Persepsi Anak Muda : Menangani Kos Sara Hidup Menjelang Wawasan 2020 – 15 April 2016

Persepsi Anak Muda : Menangani Kos Sara Hidup Menjelang Wawasan 2020 Bahagian 3


Persepsi Anak Muda : Menangani Kos Sara Hidup Menjelang Wawasan 2020 – 15 April 2016

Persepsi Anak Muda : Menangani Kos Sara Hidup Menjelang Wawasan 2020 Bahagian 2

Persepsi Anak Muda : Menangani Kos Sara Hidup Menjelang Wawasan 2020 – 15 April 2016