Categories
AGENDA NASIONAL

KKM rampas ubat-ubatan, kosmetik tidak berdaftar lebih RM150,000

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) merampas 531 ubat-ubatan, produk kesihatan dan kosmetik tidak berdaftar dianggarkan bernilai RM152,213 menerusi Op Majestic yang dijalankan di sekitar ibu negara.

Pengarah Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya Dr Nor’Aishah Abu Bakar berkata serbuan dilakukan ke atas tujuh premis perniagaan termasuk sebuah dispensari haram di Jalan Tun Tan Siew Sin, yang menjadi tumpuan terutama dalam kalangan bukan warganegara.

Beliau berkata produk tidak berdaftar dengan KKM yang dirampas itu termasuk ubat-ubatan disyaki mengandungi racun disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952 seperti antibiotik, antihistamin dan tahan sakit.

“Produk tersebut dipamerkan secara terbuka di dalam premis dan ada juga yang disorok di sebalik pelbagai produk barangan am,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Dr Nor’Aishah berkata operasi berdasarkan pemantauan ke atas premis sasaran dan aduan orang awam itu melibatkan 45 Pegawai Penguatkuasa Farmasi dari Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Ibu Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan jika sabit kesalahan, pihak berkaitan boleh didenda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama dan RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar membuat semakan kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-7883 5400.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM rampas ubat, kosmetik beracun lebih RM800,000

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) merampas 105 jenis ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai lebih RM800,000 daripada tiga premis di Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata produk yang dirampas merangkumi pelbagai jenis produk termasuk produk bina badan tidak berdaftar serta mengandungi racun antaranya yohimbine dan hormon testosteron.

“Rampasan ini adalah hasil pemeriksaan berdasarkan maklumat yang diterima oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Perak bahawa terdapat penjualan keluaran-keluaran tersebut secara runcit oleh pemilik premis terbabit.

“Operasi telah dilakukan pada 5 April lepas di tiga buah premis di Ipoh. Semua premis berkaitan disyaki merupakan salah satu rangkaian pengedar terbesar keluaran-keluaran tersebut ke pasaran di sekitar Perak,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata hormon testosteron dikategorikan sebagai racun terkawal dan hanya boleh diambil atas nasihat doktor serta ahli farmasi dan hormon ini kerap disalahgunakan individu untuk tujuan membina otot badan.

“Individu atau syarikat yang didapati terlibat menjual ubat dan kosmetik berkenaan akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

“Jika disabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan individu atau syarikat yang menjual produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi agar menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta memandangkan produk-produk tersebut tidak terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya.

“KKM menyarankan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membeli produk kesihatan atau kosmetik daripada media sosial.

“Orang ramai perlu menyemak status pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik sebelum membeli dengan melayari laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan ‘Product Status’ atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Produk kosmetik FS Turmeric dikesan mengandungi racun berjadual

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Produk kosmetik untuk merawat jeragat dan parut-parut jerawat, FS Turmeric Cream, dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri dan betamethasone 17-valerate, yang boleh memudaratkan kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan notifikasi produk kosmetik tersebut dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf.

Kementerian Kesihatan menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik FS Turmeric Cream kerana dikesan mengandungi racun berjadual. Foto Sumber: KKM

“Bahan itu juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan serta menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit. Sehubungan itu orang awam digesa mengelak pembelian dan penggunaan produk kosmetik itu,” katanya.

Beliau berkata produk yang mengandungi betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Ini kerana penggunaan produk yang mengandungi bahan itu tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti bahagian kulit yang disapu menjadi nipis, mudah mengalami iritasi dan meningkatkan risiko diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh memudaratkan.

Sehubungan itu, katanya penjual dan pengedar produk kosmetik ini diminta menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut serta-merta.

Dr Noor Hisham berkata penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Mereka yang sedang menggunakan produk kosmetik itu dinasihat supaya menghentikan segera penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam juga digalakkan menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

– BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Jabatan Kesihatan Selangor rampas produk kosmetik RM6.2 juta

SHAH ALAM, 27 MAC: Jabatan Kesihatan Selangor berjaya merampas pelbagai produk kosmetik yang tidak didaftarkan dianggarkan bernilai RM6.2 juta dalam satu serbuan di sebuah gudang, di Klang, dekat sini kelmarin.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, serbuan di sebuah gudang yang menyediakan khidmat logistik di Taman Perindustrian Air Hitam, pada 11 pagi Isnin itu dijalankan oleh enam orang pegawai dari Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Selangor selepas mendapat aduan orang awam.

“Dalam serbuan ini, sebanyak 28 jenis produk kosmetik yang diimport dari negara jiran dan tidak bernotifikasi dianggarkan bernilai RM6.2 juta tdirampas.

“Penjualan produk tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952, syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, orang awam dinasihatkan tidak menggunakan produk tidak berdaftar atau kosmetik yang tidak bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan.

“Orang awam boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk atau notifikasi kosmetik menerusi laman npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400, orang ramai juga digalakkan mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkaitan produk meragukan sebagai usaha bersama kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan,” katanya.

Katanya, aduan dan maklumat turut boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi KKM melalui www.pharmacy.gov.my atau portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di laman moh.spab.gov.my. -BERNAMA