Categories
AGENDA NASIONAL

Produk kosmetik FS Turmeric dikesan mengandungi racun berjadual

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Produk kosmetik untuk merawat jeragat dan parut-parut jerawat, FS Turmeric Cream, dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri dan betamethasone 17-valerate, yang boleh memudaratkan kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan notifikasi produk kosmetik tersebut dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf.

Kementerian Kesihatan menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik FS Turmeric Cream kerana dikesan mengandungi racun berjadual. Foto Sumber: KKM

“Bahan itu juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan serta menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit. Sehubungan itu orang awam digesa mengelak pembelian dan penggunaan produk kosmetik itu,” katanya.

Beliau berkata produk yang mengandungi betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Ini kerana penggunaan produk yang mengandungi bahan itu tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti bahagian kulit yang disapu menjadi nipis, mudah mengalami iritasi dan meningkatkan risiko diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh memudaratkan.

Sehubungan itu, katanya penjual dan pengedar produk kosmetik ini diminta menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut serta-merta.

Dr Noor Hisham berkata penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Mereka yang sedang menggunakan produk kosmetik itu dinasihat supaya menghentikan segera penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam juga digalakkan menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

– BERNAMA

 

Categories
PENDAPAT RENCANA

Idaman Tea, inovasi si cilik Malaysia rangkul pingat emas antarabangsa

Oleh Oleh Muhammad Zulhaziq Ismail

PELABUHAN KLANG, 25 JUN: Mencipta suatu produk inovasi  bukannya mudah, kerana ia memerlukan pemikiran di luar kotak dan daya kreativiti yang tinggi.

Apatah lagi, produk berkenaan berkaitan kesihatan dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat serta menggunakan 100 peratus sumber asli tempatan.

Namun, cabaran inilah berjaya direalisasikan tiga pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Idaman di Pelabuhan Klang, bersama-sama tiga orang guru pembimbing yang menghasilkan Idaman Tea, iaitu inovasi produk minuman berasaskan serbuk daun pucuk jambu batu dan daun pudina dalam uncang serat daun nanas.

Menariknya, uncang teh daripada serat nanas ini boleh diguna berulang kali sekali gus menjadi yang pertama seumpamanya di dunia.

Lebih manis, inovasi hasil idea kreatif bakal ahli sains muda ini berjaya merangkul pingat emas bagi kategori sekolah dalam pertandingan Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition 2020 (IPITEx 2020), yang berlangsung pada 2 hingga 6 Februari 2020 lalu di Thailand.

Pelajar berkenaan ialah Mohamad Khairy Faris Afandey, Nidal Eiman Erwin dan Muhammad Aqil Yahya dibimbing oleh guru mereka iaitu Danial Heryanto Zainal Abidin, 42, selaku ketua pasukan, Mohd Norhizal Ramlee, 40 dan Shahrizal Mohd Azain, 37.

Apa yang membanggakan, mereka juga merupakan satu-satunya pasukan dari Malaysia yang memenangi anugerah khas iaitu I New Gen Award IPITEx 2020 pada pertandingan inovasi peringkat antarabangsa itu.

Malaysia diwakili 300 pasukan ke IPITEx 2020 yang menghimpunan lebih 2,000 pasukan pelbagai peringkat sekolah seluruh dunia, antaranya dari Poland, Iran, Korea, Jepun, Thailand, Kanada, Filipina, China, Arab Saudi dan United Kingdom.

Ini merupakan penyertaan kali kedua sekolah berkenaan di peringkat antarabangsa selepas turut memenangi pingat emas pada pertandingan Indonesia International Young Inventor Award (IYIA) 2019.

Komersialkan Idaman Tea

Menurut Danial Heryanto, kini pihak sekolah sedang dalam proses mendaftarkan Idaman Tea dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan cap dagangan logo produk dalam masa terdekat bagi melindungi idea asal produk ini.

“Harapan kami agar produk ini (Idaman Tea) dapat dipasarkan dan dikomersialkan tahun ini,” katanya kepada Bernama sambil menambah ketika ini guru sekolah berkenaan yang mengusahakan produk berkenaan secara tradisional tanpa penggunaan mesin termasuk dalam aspek pembungkusan.

Pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di MAEPS, Serdang, Selangor banyak membantu dari segi idea pemasaran Idaman Tea, kata Danial Heryanto.

Khasiat Idaman Tea antara lain mengandungi agen antioksida likopena mengandungi Vitamin C, dapat melegakan cirit-birit, mengurangkan kolesterol, dapat mengawal gula dalam darah, mengurangkan risiko kanser payu dara dan kanser prostat, meningkatkan kualiti tidur dan mengawal pengaliran darah ke otak.

Cetusan Idea

Mengimbau bagaimana serbuk teh herba Idaman Tea itu berjaya dihasilkan, Danial Heryanto berkata idea asal dicetuskan oleh guru Mohd Norhizal yang mencadangkan kepada pasukan berkenaan agar ‘mendalami’ petua perubatan orang tua-tua dahulu yang menggunakan sumber alam sekeliling untuk mengubati penyakit.

Melihatkan idea itu berpotensi untuk dikaji memandangkan generasi muda kini lebih gemar menggunakan produk berasaskan herba dan sumber alam semulajadi, beliau dan pasukannya menggembleng usaha melakukan pelbagai kajian serta penyelidikan ke atas dedaun herba yang boleh diinovasikan untuk merawat penyakit.

“Kita perlu melakukan pelbagai proses bagi melihat keserasian gabungan dedaun herba terdiri daripada pucuk daun batu dan daun pudina yang dikeringkan secara tradisional di bawah cahaya matahari,” katanya.

Menurut Danial Heryanto, pada mulanya, hanya daun pucuk jambu digunakan untuk produk minuman herba, tapi ia didapati tidak cukup untuk mencapai tahap inovasi yang boleh diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Jadi, pasukan kami terus membuat penyelidikan dan akhirnya mendapat gabungan serasi iaitu memasukkan khasiat daun pudina selain menggunakan serat daun nanas sebagai uncang teh untuk mengubati penyakit cirit-birit,” katanya menambah mereka mengambil masa kira-kira enam bulan untuk menyiapkan produk berkenaan.

Kerjasama Mardi, Uitm & LPNM

Sementara itu, Mohd Norhizal berkata penjanaan idea inovasi minuman herba itu dimulakan sejak Februari 2019 dan tiga pelajar dalam pasukan berkenaan banyak dilibatkan dengan proses tersebut supaya mereka belajar serta faham kaedah untuk menyumbangkan buah fikiran bagi sesuatu projek.

“Kami juga menjalin kerjasama dengan UiTM dan beberapa agensi antaranya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bagi merealisasikan idea inovasi kami itu kepada produk sebenar,” katanya.

Menurut beliau, MARDI membantu dari segi melakukan ujian pada kandungan produk, sementara UiTM melalui Fakulti Kejuruteraan Awam cawangan Shah Alam banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar dalam ujian menentukan nisbah minuman dan penyediaan makmal kepada pasukannya.

“LPNM pula memberi bantuan bekalan daun nanas dan khidmat nasihat mengenai serat nanas,” kata Danial Heryanto sambil menambah Idaman Tea tidak mengandungi campuran bahan kimia malah kandungannya 95 peratus daun pucuk jambu batu dan lima peratus daun pudina.

Pelajar Aktif Jana Idea

Menceritakan kegigihan pelajarnya dalam menjayakan projek berkenaan, Mohd Norhizal berkata beliau berasa bangga apabila melihat anak muridnya yang berumur 11 tahun mampu mengembangkan idea inovasi secara kreatif berdasarkan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka.

“Ada dalam kalangan pelajar melontarkan idea serta cadangan untuk menggabungkan daun pandan bersama pucuk daun jambu batu bagi menghasilkan teh herba dan ada juga mengambil daun jagung atau tebu dijadikan kotak,” katanya.

Beliau berkata, selain menjana idea, pelajar berkenaan juga perlu mempersembahkan hasil kerja mereka dari awal proses pembuatan sehingga produk akhir dengan tunjuk ajar guru pembimbing. Masing-masing ada kebolehan tersendiri dan cepat memahami serta tahu apa yang perlu dilakukan.

Selain aktif dalam penjanaan idea, Mohd Norhizal berkata pelajarnya iaitu Mohd Khairy Faris, Nidal Eiman dan Muhammad Aqil turut didedahkan dengan penggunaan pelbagai peralatan makmal di UiTM.

Pada masa sama, Shahrizal turut memuji kebolehan tiga pelajarnya dalam mempersembahkan produk berkenaan kepada juri dan tetamu pertandingan inovasi peringkat antarabangsa itu walaupun mereka baru pertama kali menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

“Biarpun ketiga-tiga pelajar itu dipilih menyertai pasukan berkenaan menerusi satu uji bakat di sekolah, namun keyakinan mereka memperkenalkan produk inovasi itu dalam bahasa Inggeris menunjukkan mereka mempunyai minat yang sangat mendalam dalam bidang reka cipta dan sains,” katanya.

Sementara itu, bagi Nidal Eiman yang mewakili dua rakannya, berkata pengalaman dapat mewakili sekolahnya ke peringkat antarabangsa amat membanggakan diri mereka kerana ia peluang keemasan yang tidak semua pelajar peroleh.

Menceritakan secara ringkas mengenai pengalaman dalam merealisasikan inovasi serbuk teh itu, Nidal Eiman berkata disebabkan produk inovasi itu harus mencapai standard tinggi pertandingan, pelbagai kajian dilakukan bersama guru dan proses itulah banyak mendedahkan mereka dalam bidang sains serta reka cipta.

Menurutnya, pengalaman melihat dan mencuba sendiri peralatan makmal yang canggih untuk menguji produk inovasi minuman mereka di agensi kerajaan yang terlibat akan sentiasa tersemat dalam sanubari dan dijadikan pembakar semangat untuk terus meneroka bidang inovasi pada masa depan.

“Apa pun, saya memang tak jangka pasukan kami mampu meraih pingat emas kerana pertandingan itu turut disertai pelajar sekolah menengah dan sekolah elit dari pelbagai negara yang mengetengahkan produk inovasi yang jauh lebih hebat,” katanya mengakhiri perbualan sambil berharap Idaman Tea dapat dikomersialkan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kementerian Kesihatan kesan lima produk kosmetik beracun

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 25 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan lima produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual iaitu merkuri, hydroquinone dan tretinoin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, antara produk yang dikesan adalah Dnars Honey Cream, Moleek Skincare Anti Pigmentation Cream Plus dan Luffya Night Cream 1 yang mempunyai hydroquinone serta tretinoin.

Sementara itu, Dnars Yellow Gold Collagen dan Luffya Night Cream 2 dikesan mengandungi merkuri.

“Notifikasi produk kosmetik terbabit sudah dibatalkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual, di dalam produk berkenaan.

“Produk yang mengandungi hydroquinone juga tretinoin adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Ia boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, malah kulit menjadi hipersensitif,” katanya dalam kenyataan.

Manakala, produk yang dicampur dengan tretinoin juga boleh menyebabkan kulit menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Bagi kosmetik yang dicampur palsu dengan merkuri boleh memudaratkan kesihatan sehingga merosakan buah pinggang dan sistem saraf.

Dr Noor Hisham memberi amaran kepada penjual dan pengedar produk kosmetik untuk menghentikan penjualan juga pengedaran produk terbabit serta-merta.

“Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000,” katanya.

Orang awam yang sedang menggunakan produk itu dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan

Pengguna dan orang ramai boleh menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik di laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di http://npra.moh.gov.my/.