Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dua minggu akan datang tempoh kritikal kurangkan kes Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan tempoh dua minggu pelaksanaan sekatan pergerakan penuh akan datang merupakan tempoh kritikal untuk negara mengurangkan bilangan kes kepada 4,000.

Beliau berkata dalam tempoh berkenaan, kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk membantu melandaikan lekuk Covid-19, yang masih mencatatkan bilangan kes harian yang tinggi.

Namun, pada masa sama beliau turut kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang masih melakukan pergerakan yang tidak perlu, termasuk perhimpunan seperti parti keramaian dan majlis.

“Ini adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Negara merekodkan sejumlah 5,793 kes baharu harian Covid-19 hari ini berbanding 6,849 kes semalam, manakala jumlah kes sembuh Covid-19 dalam tempoh 24 jam juga sekali lagi mencatatkan angka tertinggi sejak pandemik itu melanda Malaysia, dengan 8,334 kes berbanding 7,749 semalam.

Kerajaan pada 28 Mei lepas memutuskan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes sembuh Covid-19 cecah 8,334, tertinggi sejak pandemik

SHAH ALAM, 12 JUN: Jumlah kes sembuh Covid-19 bertambah 585 kes kepada 8,334 kes berbanding semalam, kata ketua pengarah kesihatan.

Rekod dikongsikan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menunjukkan bilangan kes sembuh hari ini tertinggi pernah dicatatkan sejak pandemik menular.

Angka terbaharu itu menjadikan kes pulih di Malaysia sebanyak 572,113 kes setakat Sabtu.

Dr Noor Hisham dalam kenyataan menyebut sebanyak 76 kes kematian direkodkan dengan 27 kes di Selangor dan masing-masing sembilan kes di Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan.

Johor pula mencatatkan lapan kes, masing-masing lima kes di Sabah dan Melaka, Sarawak (empat), Kelantan (tiga), Kedah (dua) serta masing-masing satu di Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Labuan.

Kenyataan sama turut memaklumkan sebanyak 24 kluster baharu dikesan membabitkan tempat kerja, komuniti dan pusat tahanan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penggunaan katil ICU Covid-19 cecah 104 peratus dalam dua minggu

SHAH ALAM, 8 JUN: Kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) naik sehingga 104 peratus setakat 6 Jun, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan menyebut kenaikan sebanyak lapan peratus dalam tempoh dua minggu mulai 24 Mei amat membimbangkan.

“Kadar penggunaan katil ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan kerana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU,” katanya.

Beliau berkata penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 bukan ICU pula turun 10 peratus kepada 89 peratus dalam tempoh sama, termasuk di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 yang mencecah 54 peratus.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kebanyakan hospital berdepan peningkatan kes bergejala serius (kategori empat dan lima) yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Beliau menjelaskan pesakit dalam kategori itu memerlukan tempoh pemulihan antara 14 hingga 26 hari berikutan komplikasi serius daripada jangkitan virus.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan semua pihak bahawa penularan Covid-19 yang dihadapi negara masih kekal pada situasi sangat serius.

“Bahaya penularan Covid-19 dan kapasiti hospital (terutama ICU) pada tahap kritikal dan boleh terus meningkat sekiranya kita alpa walau untuk sehari sekalipun,” tegas Dr Noor Hisham.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 60 individu maut akibat Covid-19 ada kencing manis, darah tinggi

SHAH ALAM, 7 JUN: Lebih 60 daripada 82 individu yang meninggal dunia akibat Covid-19 hari ini menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan menyebut kematian termuda membabitkan wanita berusia 39 tahun di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.

Rekod Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga menunjukkan kebanyakan mangsa, majoritinya lanjut usia, ada pelbagai latar belakang penyakit lain seperti buah pinggang kronik dan jantung.

Beliau berkata tiga negeri yang merekodkan kematian dua angka ialah Selangor (23), Johor (17) dan Negeri Sembilan (11).

Kuala Lumpur mencatatkan lapan kes, Kedah (lima), masing-masing empat kes di Sarawak, Perak, dan Kelantan, Labuan (dua) serta satu di Sabah, Melaka, Terengganu, dan Pulau Pinang.

Jumlah berkenaan menjadikan keseluruhan 3,460 individu maut di seluruh negara akibat wabak sejak lebih setahun lalu.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat 23 kluster baharu dengan 16 daripadanya membabitkan kluster tempat kerja. Seramai 383 orang positif Covid-19 daripada 2,632 yang disaring.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Guna 4,000 biji kacang hijau hasilkan potret KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Paparan perit jerih petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lepas, yang sering kali disiarkan dalam media massa mahupun media sosial, amat menyentuh perasaan rakyat.

Jasa yang tidak mungkin dapat dibalas dengan wang ringgit itu, menyebabkan ramai dalam kalangan netizen menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih melalui pelbagai cara termasuk menghasilkan gambar, video yang menceritakan seribu kisah tersirat.

Bagi Michael Foo Chee Meng, 39, rasa kagum dengan dedikasi yang ditunjukkan petugas kesihatan yang diketuai sendiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyebabkannya terpanggil menghasilkan lukisan potret panglima perang Kementerian Kesihatan (KKM) itu.

Namun, potret yang dihasilkannya bukanlah potret biasa yang dikaryakan dengan lakaran pensil mahupun warna, sebaliknya ia menggunakan bahan makanan iaitu biji kacang hijau dan kuaci, menjadikan paparan wajah yang terhasil, unik berbanding kelaziman.

“Sebelum ini saya pernah menghasilkan gambar Dr Noor Hisham dengan menggunakan 300 keping kulit kuaci ketika menyertai pertandingan ‘The Art of Sunflower Seeds’ musim kedua yang berlangsung pada April lepas dan baru-baru ini saya gunakan lebih 4,000 biji kacang hijau pula bagi menghasilkan potret beliau.

“Walaupun ia mengambil masa selama lapan jam untuk menghasilkan potret menggunakan kacang hijau, namun apalah sangat jika hendak dibandingkan dengan keringat dan tenaga yang dicurahkan oleh Dr Noor Hisham yang tidak jemu memerangi Covid-19 selama ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut anak kelahiran Ayer Itam, Pulau Pinang itu, potret berkenaan bukan yang pertama pernah dihasilkannya, sebaliknya sebelum ini beliau pernah menghasilkan gambar Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan potret Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, masing-masing menggunakan lebih 620 dan 300 biji kopi tempatan.

Ia pernah tular dalam media sosial menyebabkan ramai yang menghubunginya untuk mendapatkan perkhidmatan menghasilkan potret masing-masing.

Menyifatkan melukis potret menerusi bahan makanan sebagai sesuatu yang istimewa dan unik, Michael bagaimanapun hanya memastikan bahan yang digunakan tahan lama dan bersifat kering agar tidak mudah busuk dan basi apabila disimpan.

“Saya sudah lama terlibat dalam bidang lukisan dengan menggunakan pelbagai medium. Bagi saya, untuk melukis sesiapa sahaja boleh melukis, tetapi menggabungkan antara makanan dengan lukisan, bukan semua orang mampu untuk melakukannya.

“Bukan sahaja memerlukan ketelitian dalam aspek pemilihan bahan, masa dan kesabaran juga sangat dititikberatkan,” katanya yang turut menganjurkan kelas melukis kepada orang awam.

Menceritakan serba ringkas proses karya itu, beliau biasanya menggunakan kertas lukisan bersaiz A3 dan mencorak potret yang diingini menggunakan bahan makanan yang dipilih seperti biji kopi dengan berpandukan gambar.

Bahan makanan itu dilekatkan menggunakan gam ‘Arts & Crafts’ sebelum dikeringkan.

Sementara itu, Foo menyimpan hasrat untuk menyerahkan karya yang dihasilkannya itu kepada pemimpin nombor satu negara dan Dr Noor Hisham jika berpeluang suatu hari nanti sebagai tanda penghargaan terhadap jasa yang dicurahkan dan kepimpinan yang ditunjukkan oleh mereka.

Selain itu, pemuda itu juga merancang untuk melukis potret penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menggunakan biji saga suatu hari nanti.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Majoriti maut akibat Covid-19 ada darah tinggi, kencing manis

SHAH ALAM, 28 MEI: Majoriti kes kematian akibat Covid-19 hari ini mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan kencing manis, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan menyebut seorang wanita berusia 32 tahun yang mengalami masalah kesihatan sama mati di Hospital Kajang.

Kenyataan sama juga menyebut jenazah seorang wanita warganegara berusia 27 tahun dibawa ke Hospital Kuala Lumpur tetapi tidak dinyatakan ada penyakit.

Sebanyak 61 kes kematian lagi direkodkan hari ini dengan Selangor menjadi negeri tunggal yang mencatat kes korban dua digit membabitkan 19 kes.

Lapan maut akibat jangkitan virus di Negeri Sembilan, Kuala Lumpur (enam), Kedah (lima) dan masing-masing empat di Johor serta Sarawak.

Melaka pula mencatatkan tiga kes kematian, masing-masing dua kes di Pulau Pinang, Kelantan, Labuan dan Terengganu serta satu di Sabah.

Seramai 2,552 individu maut akibat Covid-19 sejak pandemik melanda negara tahun lalu.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Terus meningkat, rekod tertinggi harian 8,290 kes Covid-19

SHAH ALAM, 28 MEI: Jumlah jangkitan harian Covid-19 terus meningkat kepada 8,290 kes, rekod tertinggi pernah dicatatkan sejak wabak melanda negara.

Angka mengejutkan tersebut dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Twitternya.

Selain Selangor dengan 2,052 kes, beberapa negeri lain juga merekodkan jumlah yang besar seperti Kelantan 851 kes, Kuala Lumpur (830), Johor (762) dan Sarawak (698).

Jumlah kes harian di negeri-negeri lain seperti berikut:

Kedah – 544
Negeri Sembilan – 520
Pulau Pinang – 421
Perak – 405
Melaka – 380
Sabah – 308
Pahang – 254
Terengganu – 207
Putrajaya – 44
Perlis – 8
Labuan – 6

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelitup muka dua lapis kurangkan risiko jangkitan virus, kata kp kesihatan

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Pemakaian pelitup muka berganda dengan mengenakan pelitup muka kain di atas pelitup muka perubatan, dapat membantu menapis lebih banyak zarah berbanding menggunakan pelitup muka kain semata-mata, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Berkongsi maklumat menerusi infografik dalam akaun Twitter beliau, kajian oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) merumuskan bahawa pemakaian pelitup muka berganda (dengan pelitup muka kain di atas pelitup muka perubatan) dapat mengurangkan risiko pemakai kepada pendedahan virus Covid-19.

“Walaupun ia tidak diwajibkan berserta dengan pelindung muka, ia memberikan perlindungan maksimum,” kata Dr Noor Hisham.

Menurut satu lagi infografik yang dikongsikan beliau, pelitup muka perubatan tanpa mengikat gelung telinga menyekat 56.1 peratus zarah, pelitup muka kain (51.4 peratus), pelitup muka yang gelung telinganya diikat dan diselit pada telinga pemakai (77 peratus) dan pelitup muka berganda (85.4 peratus).

Sentiasa memakai pelitup muka perubatan dengan pelitup muka kain untuk pemakaian berganda dan elakkan menggunakan pelitup muka jenis sama sebagai pelitup muka berganda, menurut infografik itu.

Satu lagi infografik menunjukkan bahawa pelitup muka N95 sepatutnya digunakan satu sahaja dan tidak dipasangkan dengan pelitup muka lain kerana ia adalah piawaian tertinggi bagi jenis pelitup muka dan ia boleh melitup permukaan muka dan menapis 95 peratus zarah.

Semalam, jumlah kes Covid-19 harian yang direkodkan di negara ini terus melonjak dengan 7,857 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam dan 59 kematian, menjadikan jumlah kematian kepada 2,491.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wanita usia 33 tahun antara mangsa korban Covid-19

SHAH ALAM, 27 MEI: Dua wanita berusia 33 tahun antara 59 kematian yang dicatat di seluruh negara hari ini akibat jangkitan Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Menerusi kenyataan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kedua-dua mangsa mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, asma, jantung dan buah pinggang kronik.

Kenyataan sama juga menyebut wanita tersebut meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor dan Hospital Miri, Sarawak.

Mengikut rekod hari ini, majoriti kes kematian membabitkan individu lanjut usia yang ada penyakit tertentu seperti darah tinggi, kencing manis, masalah buah pinggang dan jantung.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 19 kes kematian dicatatkan di Selangor, Sarawak (sembilan), Johor (tujuh) dan Kuala Lumpur (enam).

Kelantan pula merekodkan lima kematian, Negeri Sembilan (empat), Pulau Pinang (tiga), Kedah (dua) dan masing-masing satu di Sabah, Perak, Melaka dan Terengganu.

Sebanyak 2,491 individu maut akibat jangkitan Covid-19 sejak lebih setahun pandemik melanda negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster tempat kerja membimbangkan, majoriti di kilang

SHAH ALAM, 27 MEI: Kluster tempat kerja menunjukkan aliran membimbangkan apabila merekodkan 1,085 kluster sejak pandemik menular dalam negara.

Ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan menyebut jumlah itu meliputi 129,322 kes yang dicatatkan antara 25 Januari tahun lalu hingga semalam.

“Bermula 1 April hingga 26 Mei 2021, sebanyak 287 kluster tempat kerja dilaporkan dengan jumlah 17,087 kes. Daripada jumlah itu, 233 kluster masih aktif melibatkan 16,785 kes.

“Tiga negeri yang melaporkan jumlah kluster tertinggi dalam tempoh ini ialah Selangor dengan 74 kluster, Johor (53) dan Pulau Pinang (31),” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata analisis terperinci sub-kategori menunjukkan sektor pengilangan melaporkan bilangan kluster tertinggi iaitu sebanyak 132 kluster dalam tempoh sama.

Manakala sektor perkhidmatan merekodkan 57 kluster.

Dr Noor Hisham berkata aliran kluster juga tidak menunjukkan penurunan ketara meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuat kuasa mulai 12 Mei.

“Sebanyak 115 kluster tempat kerja dengan 5,392 kes dilaporkan antara 12 hingga 26 Mei 2021 dan lebih separuh melibatkan sektor pengilangan (62 kluster, 53.4 peratus),” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangkitan makin naik, kes harian cecah 7,857

SHAH ALAM, 27 MEI: Kes harian Covid-19 meningkat kepada 7,857 kes, angka tertinggi pernah dicatatkan sepanjang tahun ini.

Lonjakan melebihi paras 7,000 kes direkodkan sejak 25 Mei membabitkan 7,289 kes, manakala semalam jangkitan naik kepada 7,478 kes.

Berdasarkan rekod ketua pengarah kesihatan di Twitter, kes tertinggi pernah direkodkan sejak awal tahun ini iaitu pada 16 Januari dengan 4,029 kes.

Rekod Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut menujukkan kes naik ketara seminggu selepas Aidilfitri antara 19 hingga 23 Mei apabila melebihi 6,000 kes sehari.

Sehingga kini, sebanyak 541,224 kes Covid-19 dilaporkan di seluruh negara sejak pandemik menular lebih setahun lalu.

Berikut pecahan kes mengikut negeri (kumulatif):

Sumber Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

Selangor – 2,675 (177,450)
Sabah – 217 (61,274)
Johor – 549 (56,231)
WPKL – 561 (56,032)
Sarawak – 772 (44,738)
Pulau Pinang – 365 (27,284)
Kelantan – 754 (24,723)
Negeri Sembilan – 353 (24,166)
Perak – 228 (19,490)
Kedah – 441 (17,011)
Melaka – 234 (10,812)
Pahang – 238 (8,649)
Terengganu – 282 (7,957)
WP Labuan – 170 (3,164)
WP Putrajaya – 12 (1,778)
Perlis – 6 (465)

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki usia 20 tahun di Selangor antara 63 kematian akibat Covid-19

SHAH ALAM, 26 MEI: Lelaki berusia 20 tahun antara 63 kematian yang direkod di seluruh negara hari ini akibat jangkitan Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Namun, kenyataan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tidak menyebut sama ada individu yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor itu ada sebarang penyakit.

Kenyataan sama juga menyebut seorang wanita bukan warganegara berusia 25 tahun yang ada masalah obesiti meninggal dunia di Hospital Serdang.

Seorang wanita berusia 30 tahun yang turut mengalami masalah kesihatan sama mati di Hospital Kajang.

Namun, majoriti kes kematian melibatkan individu lanjut usia yang ada penyakit tertentu, antaranya darah tinggi, kencing manis, masalah buah pinggang dan jantung.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 24 kes kematian dicatatkan di Selangor, Kuala Lumpur (sembilan) dan masing-masing lapan di Johor serta Kedah.

Perak pula merekodkan lima kematian, Melaka (tiga), masing-masing dua kes di Sarawak dan Negeri Sembilan serta satu di Sabah dan Pahang.

Sebanyak 2,432 individu maut di seluruh negara akibat jangkitan Covid-19 sejak lebih setahun pandemik melanda negara.