Categories
AGENDA NASIONAL

Kes harian turun paras 4,000, 14 kluster baharu dikesan

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Jumlah kes baharu harian Covid-19 dalam negara menurun kepada 4,915 kes hari ini, selepas mencatatkan angka melepasi 5,000 untuk tiga hari berturut-turut, menjadikan jumlah kumulatif 2,865,984 kes setakat 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 39 kes adalah kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya kategori satu dan dua.

“Daripada 4,915 kes itu, sebanyak 188 adalah kes import dan 4,727 kes tempatan, manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 120 kes dan 65 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan harian situasi semasa jangkitan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata sebanyak 3,056 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif sembuh setakat ini ialah 2,780,771 orang.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 14 kluster baharu direkodkan dengan 301 kluster masih aktif setakat ini.

Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), beliau berkata Rt negara berada pada paras 1.14 dengan Negeri Sembilan dan Putrajaya masing-masing merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.20 setakat semalam.

“Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 3,381 kes baharu, hampir 99 peratus tiada gejala, gejala ringan

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Hampir 99 peratus iaitu 98.9 peratus atau 3,344 kes daripada jumlah keseluruhan 3,381 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini adalah dalam kategori satu dan dua, demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau dalam kenyataan berkata daripada kes COVID-19 yang dilaporkan hari ini hanya 37 kes iaitu 1.1 peratus dalam kategori tiga, empat dan lima.

“Sebanyak 319 kes merupakan kes import melibatkan 284 warganegara dan 35 bukan warganegara. Kes sembuh yang dilaporkan hari ini ialah 3,447 kes,” katanya.

Ini merupakan hari keempat berturut-turut kes baharu COVID-19 mencatatkan peningkatan selepas ia menurun di bawah 3,000 kes pada Isnin.

Menurutnya sebanyak enam kluster baharu dikenal pasti Kementerian Kesihatan (KKM)  hari ini manakala kadar kebolehjangkitan seluruh negara adalah 0.96.

Dr Noor Hisham berkata maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan COVID-19 dalam negara akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW di https: //covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

Mengenai situasi semasa bencana banjir, beliau berkata sebanyak 56 kes penyakit berjangkit yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir pada hari ini.

Daripada jumlah itu, 33 kes merupakan jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), penyakit kulit (sembilan) dan acute gastroenteritis (AGE) (14).

Kata Dr Noor Hisham setakat 3 petang hari ini tiada kes baharu COVID-19 yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir dan ini menjadikan jumlah kes positif dalam kalangan mangsa banjir kekal 465  kes.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

4,362 kes baharu, 98 peratus tiada gejala, gejala ringan

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Kes baharu Covid-19 dalam negara merekodkan sedikit peningkatan dengan 4,362 kes dilaporkan hari ini berbanding 4,262 semalam menjadikan jumlah kumulatif kes kini 2,711,764.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu tersebut,  4,334 adalah kes jangkitan tempatan manakala 28 lagi kes import.

“Sebanyak 89 kes atau dua peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 4,273 kes atau 98 peratus melibatkan kategori satu dan dua”, katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata 5,098 kes dicatatkan menjadikan keseluruhan kes pulih kini 2,625,245, manakala 400 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 198 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata 12 kluster baharu dikesan hari ini dan jumlah kluster masih aktif meningkat kepada 257, selain nilai Rt (kadar kebolehjangkitan) di Malaysia setakat semalam turun kepada 0.90.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata perincian nilai RT setakat 16 Dis mengikut negeri menyaksikan Negeri Sembilan mencatatkan nilai tertinggi dengan nilai 1.02, diikuti Pahang dan Pulau Pinang masing-masing dengan nilai 1.00.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 98.2 peratus kes baharu tiada gejala, gejala ringan

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Kes baharu Covid-19 dalam negara merekodkan peningkatan dengan 4,262 kes dilaporkan hari ini berbanding 3,900 semalam menjadikan jumlah kumulatif kes kini 2,707,402.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 4,262 kes itu, 4,226 adalah kes jangkitan tempatan manakala 36 lagi kes import.

“Daripada keseluruhan kes baharu itu, 78 kes atau 1.8 peratus adalah Kategori Tiga, Empat dan Lima manakala 4,184 kes atau 98.2 peratus melibatkan Kategori Satu dan Dua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kategori Satu dan Dua merujuk kepada pesakit Covid-19 tidak bergejala serta bergejala ringan, manakala Kategori Tiga, Empat dan Lima pula ialah pesakit sama ada mengalami radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen dan alat bantuan pernafasan.

Bagi kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata 4,985 kes dicatatkan menjadikan keseluruhan kes pulih kini 2,620,147, manakala 383 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 198 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata enam kluster baharu dikesan hari ini dan jumlah kluster masih aktif adalah 248, selain nilai Rt (kadar kebolehjangkitan) di Malaysia setakat semalam adalah 0.92.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata perincian nilai RT setakat 16 Dis mengikut negeri menyaksikan Negeri Sembilan mencatatkan nilai tertinggi sebanyak 1.02, diikuti Pahang, Pulau Pinang dan Melaka masing-masing 1.00.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kes sembuh harian rekod lebih 9,000

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Sebanyak 9,178 kes sembuh Covid-19 dicatatkan hari ini berbanding 5,828 kes baharu dengan 98.3 peratus atau 5,731 kes terdiri daripada kategori satu dan dua.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah keseluruhan kes baharu itu hanya 1.7 peratus atau 97 kes merupakan dalam kategori tiga, empat dan lima.

Menurut Dr Noor Hisham, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 620 kes dengan 297 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata dua kluster baharu turut dilaporkan hari ini iaitu di Johor dan Sabah, kedua-duanya merupakan kluster tempat kerja.

Katanya kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara hari ini ialah 0.87 dengan Kuala Lumpur mencatatkan kadar Rt paling tinggi iaitu 1.02 manakala Labuan satu-satunya negeri yang mencatatkan kadar kebolehjangkitan sifar.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 dalam negara akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my.

Data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes sembuh Covid-19 hampir dua kali ganda jangkitan baharu

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Kes sembuh Covid-19 hari ini merekodkan sebanyak 15,615 kes, hampir dua kali ganda daripada 8,817 kes baharu yang dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan itu pula, 8,635 kes (97.9 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua, manakala baki 2.1 peratus atau 182 kes merupakan kategori tiga, empat dan lima.

Kategori satu dan dua adalah mereka yang tidak bergejala dan bergejala ringan, sementara kategori tiga merujuk pada mereka yang menghidap radang paru-paru, empat memerlukan bantuan oksigen dan lima pula memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 14 daripada jumlah kes baharu itu adalah kes import melibatkan 11 warganegara dan tiga rakyat asing, manakala 8,803 kes melibatkan penularan dalam negara iaitu 8,109 warganegara dan 694 rakyat asing.

“Terdapat 851 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 815 kes positif Covid-19 dan 36 lagi adalah kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan dengan 395 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan perkembangan situasi Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham juga berkata sebanyak 14 kluster baharu dikesan dengan 10 daripadanya berkaitan tempat kerja, dua kluster membabitkan penularan dalam komuniti serta masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan institusi pendidikan swasta, menjadikan jumlah kluster aktif kini sebanyak 956.

Beliau memaklumkan Malaysia juga semalam mencatatkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) pada 0.87 dengan Putrajaya mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.04.

Data kematian dan data-data lain bagi situasi semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman GitHub dan laman sesawang  http://COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

149 kes positif dikesan di pintu masuk Langkawi

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Sejumlah 149 kes positif Covid-19 dikesan hasil saringan di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi sejak Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik bermula pada 16 Sept lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu direkodkan sehingga 12 tengah hari tadi melibatkan saringan seramai 40,458 orang merangkumi 34,038 orang di tujuh pintu masuk lapangan terbang dan 6,420 orang melalui feri di Kuala Perlis dan Kuala Kedah.

“Seramai 36,842 orang telah menjalani saringan menggunakan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen dan daripada jumlah ini, sebanyak 149 kes positif Covid-19 dikesan dan 186 individu lagi merupakan kontak rapat kepada 149 kes tersebut.

“Mereka telah diasingkan dan diberi Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (HSO),” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau memaklumkan 641 orang telah menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum bertolak ke Pulau Langkawi dan kesemua keputusan adalah negatif manakala baki 2,975 kanak-kanak di bawah enam tahun tidak menjalani ujian Covid-19 dan dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing.

Menerusi Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi yang bermula pada 16 Sept lepas, kerajaan menetapkan semakan ujian saringan Covid-19 dan juga ujian saringan Covid-19 bagi pelancong yang belum menjalani ujian sebelum mereka berlepas ke pulau itu di pintu masuk udara dan laut.

Mengenai Kluster Dah Teluk Nibung yang dilapor di Langkawi pada 1 Okt, Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini, seramai 254 orang telah disaring dengan 59 kes adalah positif Covid-19, 187 negatif dan tiga individu masih menunggu keputusan.

“Kluster itu dikategori sebagai kluster tempat kerja melibatkan penduduk tempatan Langkawi iaitu pekerja dan kontak rapat ahli keluarga.

“Siasatan awal mendapati penularan jangkitan disyaki dari komuniti dan seterusnya merebak di tempat kerja akibat ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja dan asrama penginapan,” katanya sambil menambah semua kontak rapat telah dikenal pasti, disaring serta diberi arahan HSO selama 10 hari.

Memaklumkan penularan jangkitan adalah terkawal sehingga kini, beliau berkata semua kes melibatkan kluster ini adalah kategori satu dan dua sahaja serta pekerja telah menerima suntikan dos lengkap vaksin Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi akan terus memantau perkembangan penularan jangkitan Covid-19 seterusnya memastikan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Susulan pengumuman Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mengenai lebih banyak kawasan gelembung pelancongan dijangka akan dibuka bermula bulan ini, Dr Noor Hisham berkata KKM akan terus menjalankan kerjasama dengan MOTAC.

Ini khususnya bagi menjalankan penilaian risiko untuk membolehkan lebih banyak tempat pelancongan dibuka dari semasa ke semasa.

Mengulas mengenai perkembangan kes harian Covid-19, Dr Noor Hisham berkata kes sembuh yang direkodkan hari ini adalah 15,456 iaitu mengatasi jumlah kes baharu sebanyak 8,075 kes.

Menurutnya daripada jumlah kes baharu itu, 7,917 kes (98 peratus) adalah kategori satu dan dua manakala 160 kes (dua peratus) merupakan kategori tiga, empat dan lima.

“Kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 867 dengan 461 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan 15 lagi kluster baharu dikenal pasti melibatkan tujuh kluster tempat kerja, enam kluster komuniti, serta masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Lebih 14,000 kes sembuh hari ini, atasi kes baharu

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Kes sembuh Covid-19 hari ini merekodkan sejumlah 14,454 kes, jauh melebihi kes baharu yang mencatat 9,066, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu yang dilapor itu, 8,907 kes (98.2 peratus) terdiri daripada kategori 1 dan 2 manakala baki 1.8 peratus atau 159 kes merupakan kategori 3, 4 dan 5.

“Sebanyak 815 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 355 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan perkembangan situasi Covid-19 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata enam lagi kluster dikesan hari ini menjadikan sejumlah 1,008 kluster yang masih aktif di negara ini, yang melibatkan tiga kluster tempat kerja dan tiga kluster komuniti.

Data kematian dan data-data lain bagi situasi semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik menerusi laman GitHub dan laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my.

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkongsi angka melegakan apabila kes baharu Covid-19 hari ini merekodkan penurunan di bawah 10,000 iaitu sebanyak 9,066 kes.

Kali terakhir negara mencatat kes baharu di bawah angka 10,000 ialah pada 12 Julai, iaitu berjumlah 8,574 kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kes sembuh di Malaysia kini melebihi 2 juta

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Jumlah keseluruhan kes sembuh Covid-19 yang direkodkan kini adalah sebanyak 2,005,942 kes sejak pandemik ini melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini memaklumkan daripada angka itu, sebanyak 16,430 kes sembuh dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas.

“Bagi kes baharu, sebanyak 1.9 peratus atau 205 kes daripada 10,959 kes baharu Covid-19 dilaporkan bagi tempoh 24 jam lepas terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima.

“Baki 98.1 peratus atau 10,754 kes pula adalah terdiri daripada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua, bergejala ringan,” katanya.

Kategori tiga adalah mereka yang mempunyai radang paru-paru, empat memerlukan bantuan oksigen dan lima pula memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada jumlah kes baharu, 12 adalah kes import melibatkan dua warga tempatan dan 10 bukan warganegara manakala 10,947 kes pula melibatkan penularan dalam negara iaitu 10,150 warganegara dan 797 rakyat asing.

Beliau berkata terdapat 980 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 862 yang disahkan positif Covid-19 manakala 118 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Katanya, sebanyak 579 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 378 disahkan positif Covid-19 manakala 201 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Dr Noor Hisham memaklumkan 19 kluster baharu dikesan dengan sembilan daripadanya berkaitan tempat kerja, lapan kluster membabitkan penularan dalam komuniti serta masing-masing satu melibatkan kluster pusat tahanan dan kluster kumpulan berisiko tinggi.

Beliau berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) pada jangkaan mengikut kes harian semalam untuk seluruh negara ialah 0.92 manakala Pahang mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.02.

“Semua negeri lain mencatatkan Rt di bawah 1.0 iaitu Perak dan Putrajaya masing-masing 0.98, diikuti Kelantan dan Perlis masing-masing 0.97, Terengganu (0.96), Johor (0.94), Sarawak dan Melaka masing-msing 0.92, Pulau Pinang (0.90), Selangor (0.89), Sabah dan Negeri Sembilan masing-masing 0.87, Kedah serta Kuala Lumpur masing-masing 0.85 manakala Labuan (sifar),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata data kematian akan dimuat naik dan dipaparkan menerusi laman Github dan laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my pada tengah malam ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 17,205 kes sembuh atasi jangkitan baharu

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Jumlah harian pesakit yang pulih daripada Covid-19 di Malaysia terus mengatasi jangkitan baharu apabila 17,205 kes pulih dilaporkan berbanding 15,549 kes baharu yang direkodkan setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan tersebut menjadikan jumlah kumulatif individu yang pulih daripada wabak tersebut kini seramai 1,840,453 orang.

Beliau berkata terdapat 1,165 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 888 kes disahkan Covid-19 manakala 277 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

“Sebanyak 689 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 401 kes positif sementara 288 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini, 263 kes atau 1.7 peratus adalah kategori tiga (radang paru-paru), empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu bantuan pernafasan) manakala baki 15,286 kes atau 98.3 peratus dalam kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan).

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu itu juga, lima adalah kes import manakala 15,544 kes penularan dalam negara melibatkan 13,954 warganegara.

Beliau berkata 16 kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam iaitu 10 kluster di tempat kerja, empat kluster komuniti dan dua kluster kumpulan berisiko tinggi.

Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia semalam adalah 0.95 dengan semua negeri mencatat bacaan bawah 1.0 kecuali Sarawak yang mencatatkan nilai Rt paling tinggi iaitu 1.11 diikuti Terengganu (1.05), Perak dan Pahang (1.04), Johor (1.01) dan Pulau Pinang (1.00).

Data kematian pula akan dimuat naik dan dipaparkan menerusi laman GitHub dan laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata 2,507 individu disaring melalui Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi pada hari ini dan seorang didapati positif melalui ujian RTK-Ag (kendiri) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata 2,326 individu menjalani saringan di lapangan terbang manakala 181 lagi individu telah disaring di Jeti Kuala Perlis.

Bagi individu yang disahkan positif, beliau berkata kes berada dalam kategori satu dan diberikan perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk menjalani kuarantin di rumah selama tempoh 10 hari.

“Bagi jenis ujian yang dijalankan pula, 2,481 individu telah menjalani ujian Covid-19 iaitu 2,468 RTK-Ag dan 13 RT-PCR manakala 26 individu lagi adalah kanak-kanak berumur enam tahun dan ke bawah yang dikecualikan menjalani ujian Covid-19.

“Daripada 2,507 individu yang disaring tersebut, 2,506 individu telah diluluskan untuk meneruskan perjalanan ke Langkawi iaitu 2,325 melalui kapal terbang dan 181 melalui feri,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kes sembuh 22,970, sekali lagi atasi jangkitan baharu

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Jumlah harian pesakit yang pulih daripada Covid-19 di Malaysia sekali lagi mengatasi jangkitan baharu apabila 22,970 kes pulih dilaporkan hari ini berbanding 17,577 kes baharu yang direkodkan, setakat 12 tengah hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang pulih daripada wabak tersebut kini seramai 1,823,248 orang.

Beliau berkata terdapat 1,223 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 891 kes disahkan Covid-19 manakala 332 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

“Sebanyak 720 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 410 kes disahkan Covid-19 sementara 310 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 244 kes atau 1.4 peratus adalah kategori tiga (radang paru-paru), empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu bantuan pernafasan) manakala baki 17,333 kes atau 98.6 peratus dalam kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan).

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu itu juga, tiga adalah kes import melibatkan warganegara manakala 17,574 kes penularan dalam negara membabitkan 15,438 warganegara.

Katanya sebanyak 19 kluster turut dikesan dalam tempoh 24 jam iaitu 11 kluster di tempat kerja, enam kluster komuniti dan dua kluster kumpulan berisiko tinggi.

Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia semalam adalah 0.98 dengan semua negeri mencatat sekurang-kurangnya 1.0 kecuali Sabah, Kedah, Melaka, Labuan, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur.

Sarawak mencatatkan nilai Rt paling tinggi iaitu 1.11 diikuti Perak dan Terengganu (1.04), Perlis 1.03, Pahang 1.02 manakala Johor serta Pulau Pinang masing-masing 1.01 dan Kelantan 1.00.

Data kematian pula akan dimuat naik dan dipaparkan menerusi laman Github dan laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my tengah malam ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Doktor: Kes kritikal makin kurang, pesakit divaksin cepat sembuh

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: “Kalau dulu, mayat berbungkus berselang-seli dengan katil pesakit hidup dan kanvas memenuhi segenap ruang dan laluan di ED (Jabatan Kecemasan). Sekarang dah nampak lantai.”

Demikian perkongsian seorang Pakar Anestesiologi di Hospital Kuala Lumpur, Dr Hana Hadzrami, menerusi laman Facebooknya hari ini.

“Kami di Lembah Klang sudah mulai nampak titik cahaya di hujung terowong yang gelap. Samar-samar tapi penuh harapan,” katanya yang percaya perkembangan positif itu disebabkan peningkatan vaksinasi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Jelas beliau, kes rujukan dari Jabatan Kecemasan kepada unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19 kritikal semakin berkurang.

“Kalau dulu, panjang senarai menunggu di papan tulis ICU, dengan kertas bersambung-sambung sebab tak cukup ruang. Sekarang dah nampak sedikit ruang,” katanya lagi dalam catatan yang setakat ini menerima lebih 1,600 komen dan 9,400 perkongsian pengguna Facebook.

Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 dalam kalangan warga emas juga didapati menurun sejak awal Julai, manakala jumlah kemasukan pesakit warganegara menurun sejak minggu lepas.

Tambahnya, majoriti pesakit Covid-19 yang datang menerima rawatan di hospital itu sejak minggu lepas adalah dalam kalangan warga asing.

Beliau turut berkongsi maklumat bahawa pesakit kritikal yang menerima rawatan di ICU dan pesakit meninggal dunia juga semakin berkurangan.

Katanya, walaupun jumlah pesakit kategori ringan masih ramai, mereka cuma memerlukan pemantauan dan rawatan di wad sahaja.

Dr Hana yang juga ahli Medical MythBuster Malaysia berkata masih ada kemasukan pesakit Covid-19 kritikal ke ICU dalam kalangan warganegara, namun terdiri daripada mereka yang tolak vaksinasi.

“Ada juga pesakit Covid-19 kritikal dalam kalangan yang divaksinkan namun mereka sembuh sangat cepat berbanding yang tak divaksinkan langsung,” katanya.

Beliau berkata, empat pesakit di hospital yang telah divaksin memerlukan bantuan pernafasan hanya tiga hingga empat hari berbanding dua hingga tiga minggu bagi pesakit lain yang tidak sempat menerima vaksin.

“Mereka (yang telah divaksin) pulih dengan X-ray dada yang bersih berbanding dengan majoriti (tidak sempat divaksin) yang rabak paru-parunya. Belum masuk yang dah meninggal,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, jumlah pesakit Covid-19 di ICU hospital itu masih ramai hasil kemasukan pesakit sejak sebulan lepas, malah jumlah kes kematian sebelum tiba ke hospital juga masih ramai.

Melihatkan kepada situasi itu, beliau mengajak orang ramai untuk terus berusaha dan bertawakal bagi memerangi wabak Covid-19 dengan mengambil vaksin.

“Tak sabar nak jadi macam Sarawak. Di sana pesakit Covid-19 kritikal di ICU hanya tiga orang – sejajar dengan kelajuan dan keluasan kadar vaksinasi mereka,” katanya.

-BERNAMA