Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: ICU Hospital Queen Elizabeth II masih beroperasi

KOTA KINABALU, 11 OKT: Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) di sini masih terus beroperasi, walaupun dua orang jururawatnya didapati positif Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata seorang jururawat dikesan positif Covid-19 setelah menjalani saringan bergejala pada 6 Oktober lepas, justeru saringan di tempat kerja menggunakan RTK Antigen dan juga RT-PCR telah dijalankan terhadap 92 pegawai perubatan dan jururawat di hospital itu, kelmarin.

“Hasil saringan mendapati seorang lagi jururawat yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks adalah positif Covid-19, manakala anggota perubatan yang lain didapati negatif kedua-dua RTK Antigen dan PCR. Pada masa ini, 40 daripada 66 jururawat sedang dikuarantin di rumah.

“Perkhidmatan di ICU HQE II masih berjalan seperti biasa, namun terpaksa mengurangkan jumlah pesakit daripada lapan kepada enam pesakit. Kesemua pesakit di dalam ICU telah disahkan bebas COVID-19,” katanya menerusi kenyataan di Facebook semalam.

Semalam, sebuah portal yang memetik sumber tidak dinamakan mendakwa kononnya ICU hospital itu lumpuh, setelah jururawatnya dijangkiti penyakit itu.

Dr Noor Hisham berkata punca jangkitan itu masih dalam siasatan, bagaimanapun majoriti jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan di negeri ini setakat ini, adalah berpunca daripada komuniti dan daripada petugas kesihatan kepada petugas yang lain.

Katanya, sejak permulaan pandemik itu sehingga semalam 579 orang kakitangan kesihatan dan perubatan Kementerian Kesihatan telah dijangkiti Covid-19, dan 198 kakitangan di Sabah telah dijangkiti, yang mana bulan ini mencatat jumlah tertinggi iaitu 85 orang, berbanding bulan lepas 66 orang.

Beliau berkata, semua petugas kesihatan dan perubatan adalah dinasihatkan untuk memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) yang bersesuaian, semasa menjalankan tugas dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sama ada di tempat kerja ataupun semasa di dalam komuniti.

“Pematuhan kepada panduan amalan klinikal dan langkah kawalan jangkitan adalah amat penting untuk pencegahan. Ruang kerja yang sempit dan ruang pantri di tempat kerja, juga perlu dipastikan sentiasa bersih bagi mengelakkan penularan di tempat kerja.

“Peperangan dengan Covid-19 ternyata bawa bersama risiko jangkitan dan terkesan kepada petugas kesihatan, sekiranya kita tidak patuh kepada amalan kawalan penyakit. Pastikan kita jaga kita,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor catat 39 kes baharu Covid-19, warga tempatan dominasi

SHAH ALAM, 6 OKT: Selangor terus mencatatkan peningkatan kes Covid-19 apabila merekodkan 39 kes baharu hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak 17 kes membabitkan saringan individu yang pulang dari Sabah.

Sementara 11 kes membabitkan Kluster Jalan Meru, katanya.

“Sembilan kes dikesan daripada saringan kontak rapat positif Covid-19 dengan lapan daripadanya ialah warganegara manakala satu warga asing. Satu lagi kes dicatatkan daripada Kluster Embun,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata satu lagi kes mendapat jangkitan dari Filipina yang merupakan warga asing.

Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan sebanyak 691 kes Covid-19 dicatatkan hari ini dengan 57 peratus daripadanya membabitkan Kluster Tembok di Kedah.

Empat kes kematian turut dilaporkan termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun. Jumlah kematian kini 141 kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

KP Kesihatan: Jumlah kluster aktif Covid-19 kini 39

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Dua lagi kluster baharu dikenal pasti hari ini iaitu Kluster Batu di Taiping, Perak dan Kluster Ramai-Ramai di Sandakan, Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif di Malaysia sebanyak 39.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Batu dikenal pasti hasil saringan dalam kalangan kakitangan dan ahli keluarga sebuah kem tahanan.

“Hasil saringan ini mendapati sebanyak tujuh kes dikesan positif Covid-19 pada 5 Oktober dan mereka semua telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

“Sehingga 6 Oktober, 12 tengah hari, sejumlah 860 individu telah disaring manakala punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Bagi Kluster Ramai-Ramai, kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-12161) merupakan seorang pemandu bas yang mengalami gejala sakit tekak dan demam bermula 27 September.

“Kes dikesan positif pada 3 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 19 lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti, melibatkan warga tempatan. Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan,” katanya.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media secara maya perkembangan Covid-19 pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA

Sementara itu, beliau berkata terdapat tujuh kluster aktif lain yang mencatatkan pertambahan kes positif Covid-19 hari ini termasuk Kluster Tembok sebanyak 394 kes baharu; Kluster Bangau-Bangau (30 kes), Kluster Jalan Meru (15 kes), Kluster Bah Sintok (tiga kes); Kluster Benteng PK (dua kes); manakala Kluster Selasih dan Kluster Embun masing-masing mencatatkan satu kes baharu.

Dr Noor Hisham menjelaskan daripada 688 kes penularan di dalam negara, sebanyak 394 kes melibatkan kes daripada Kluster Tembok iaitu di Penjara di Kedah sekali gus meliputi 57 peratus daripada jumlah keseluruhan kes hari ini.

“Kesemua kes positif dalam Kluster Tembok yang merupakan kluster terasing di dalam penjara dan dalam Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran. Ini bermakna mereka terasing daripada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata pertambahan 394 kes hari ini menjadikan jumlah kes bagi kluster itu sebanyak 1,047 kes dan satu kematian direkodkan.

Sementara itu, memperincikan peningkatan kapasiti hospital di Malaysia, Dr Noor Hisham berkata sehingga 6 Okt jumlah katil yang disediakan bagi merawat pesakit Covid-19 adalah sebanyak 6,759 katil.

“Ia merangkumi 2,820 katil di Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan 3,975 katil di Pusat Kuarantin dan Berisiko Rendah dengan kadar penggunaan katil bagi kedua-dua fasiliti ini masing-masing 36 peratus dan 29 peratus di seluruh negara.

“Bagi jumlah katil Unit Rawatan Rapi (ICU) pula, sebanyak 437 buah katil dikhususkan bagi pesakit Covid-19 dengan kadar penggunaan enam peratus dan sebanyak 1,505 buah alat mesin pernafasan (ventilator) juga disediakan di hospital KKM dengan kadar penggunaan 37 peratus bagi seluruh negara, termasuk bagi penggunaan pesakit bukan Covid-19,” jelasnya.

Menjelaskan mengenai kesiapsiagaan KKM di Sabah, Dr Noor Hisham berkata terdapat enam hospital berpakar di negeri itu yang merawat pesakit Covid-19 termasuk Hospital Queen Elizabeth (HQE), Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS), Hospital Tawau, Hospital Lahad Datu, Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan serta Hospital Keningau.

Wad-wad tambahan telah dibuka di Bangunan Kompleks Sukan Likas, Bangunan Kompleks Sukan Tawau, Dewan Arena Tawau, Kompleks Penjara Tawau dan Bangunan Institut Latihan KKM (ILKKM), Dewan Tun Haji Mustapha dan Dewan Rafflesia (ILKKM), Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Putih dan PPR Bubul Ria (Semporna) manakala Asrama Sekolah Menengah Agama dibuka bagi kes daerah Kunak.

“Kapasiti katil bagi enam hospital KKM dan 10 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Berisiko Rendah (PKRC), masing-masing 710 buah katil dan 1,886 buah katil, dengan kadar penggunaan katil sebanyak 75 peratus di hospital KKM dan 35 peratus di PKRC.

“Bagi Perkhidmatan Rawatan Rapi pula, Sabah mempunyai 72 katil yang dikhususkan bagi merawat pesakit Covid-19 yang kritikal dan kadar penggunaan adalah sebanyak 38 peratus,” katanya.

Pasukan bantuan juga telah diatur untuk membantu JKN Sabah mengendalikan wad tambahan ini serta menghantar aset perubatan tambahan untuk kegunaan hospital di negeri itu.

Tambahnya, setakat ini jumlah kapasiti ujian harian makmal sampel Covid-19 di seluruh Sabah adalah 2,500 ujian sehari.

Beliau berkata KKM sedang mengusahakan satu makmal modular di Tawau dan memaklumkan setakat ini, sebanyak 15,000 RTK-Antigen telah selamat dihantar ke Sabah untuk membantu dalam meningkatkan kapasiti saringan kes di negeri itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham dinobat tokoh Maal Hijrah 2020

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 2020/1442 Hijrah, pada sambutan di Masjid Negara, malam ini.

Syeikh Al-Azhar Al-Syarif Syeikh Prof Dr Ahmad Tayyib pula, diumum Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Pengumuman itu dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli berkata pemilihan kedua-dua tokoh tersebut dibuat atas sumbangan besar mereka dalam memartabatkan Islam, di peringat nasional dan global.

Malah kedua-dua tokoh terbabit mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Penganugerahan itu menyaksikan kedua-dua tokoh terbabit masing-masing, menerima pingat dan sijil penghargaan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan anugerah berkenaan pada majlis itu.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mencemar duli berangkat ke majlis itu yang juga dihadiri Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

‘Menyegarkan’ berada semula dalam bilik bedah – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Selepas beberapa bulan bekerja keras untuk memerangi pandemik Covid-19, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kembali semula ke dalam bilik bedah.

Dr Noor Hisham, yang juga pakar bedah, berkata beliau sempat “mencuri” masa untuk melakukan pembedahan tiroidektomi untuk seorang pesakit yang menghidap “right dominant multinodular goitre” pagi ini.

“Amat “menyegarkan” berada semula dalam bilik bedah untuk menenangkan diri saya dan bertemu dengan semua staf OT (bilik bedah) saya. Saya turut diberikan taklimat mengenai aliran kerja dan SOP (tatacara operasi piawai) bagi pesakit positif Covid-19 yang perlu menjalani pembedahan.

“Setiap hari memberi pembelajaran dan cabaran baharu untuk kami membuat persediaan untuk menghadapi situasi paling teruk, dan saya kagum dengan keikhlasan, kekuatan dan kreativiti dipamerkan petugas barisan hadapan kita.

Foto Sumber: Facebook Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

“Tatkala berdepan dengan situasi pandemik, ia memberi banyak pengajaran bernilai tentang perpaduan dan solidariti. Adalah penting untuk kita mengambil semua langkah berjaga-jaga dan memastikan kebersihan diri,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Dr Noor Hisham berkata disebabkan pandemik itu, beliau dan petugas barisan hadapan dapat menjalin jaringan hubungan dengan lebih baik antara satu sama lain dan terus berusaha untuk menerokai idea dan inovasi baharu.

“Kita kini dalam fasa pemulihan; bagaimanapun, cabaran sebenar bermula sekarang iaitu untuk rakyat mematuhi SOP.

“Rakyat mampu melakukan perkara yang mustahil kerana kini sudah ada harapan dan masa depan cerah untuk memutuskan penularan Covid-19,” katanya.

Dr Noor Hisham muncul di televisyen pada 5 petang setiap hari, untuk memberikan perkembangan terkini dan berita berkaitan Covid-19 yang ditunggu-tunggu orang ramai.

Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Pembedahan dan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

11 kes import Covid-19 libat warganegara stabil – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Sejumlah 11 kes import dilaporkan hari ini membabitkan warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di hospital di beberapa negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu perkongsian di Facebook rasmi beliau berkata daripada jumlah itu, empat kes masing-masing di Hospital Tumpat, Kelantan dan Hospital Sungai Buloh, Selangor manakala di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah; Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak dan Hospital Melaka, masing-masing satu kes.

“Kesemua telah disaring untuk sampel kedua pada 9 Jun dan dibenarkan pulang ke rumah untuk menyambung tempoh kuarantin di rumah memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa mulai 10 Jun.

“Setelah keputusan sampel didapati positif Covid-19, mereka telah dimasukkan ke dalam wad di hospital. Kesemua mereka tidak bergejala dan stabil. Kes-kes ini dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian,” katanya.

Mengikut garis panduan WHO, kes disahkan Covid-19 dan tidak bergejala lebih dari 10 hari adalah tidak mempunyai risiko transmisi kepada orang lain dari tarikh disahkan positif.

Terdahulu, Dr Noor Hisham memaklumkan semasa sidang media harian Covid-19, jumlah kes baharu positif hari ini kembali meningkat kepada dua angka dengan 31 kes baharu, melibatkan 11 kes import dan 20 kes penularan tempatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ubat rawat pesakit Covid-19 mencukupi – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 18 APRIL: Ubat antiviral Remdesivir digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ketika ini pihaknya masih memantau hasil penggunaan ubat antiviral itu dan masih terlalu awal untuk dikongsikan hasilnya.

“Apa yang pasti ubat itu dan juga ubat-ubat yang lain, kita tidak mempunyai masalah…daripada segi stok pula semua mencukupi untuk merawat pesakit,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di sini, semalam.

Dr Noor Hisham sebelum ini dilaporkan berkata ubat seperti Klorokuin, Hidroksiklorokuin dan kombinasi Lopinavir/Ritonavir digunakan untuk merawat virus pandemik itu.

Merujuk kepada kit ujian pantas antigen dari Korea Selatan, Dr Noor Hisham berkata kosnya kurang daripada RM50 tiap satu kit ujian, namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih sedang berbincang untuk mendapatkan harga yang rendah.

Disebabkan jumlah yang banyak diperlukan, beliau menjangkakan pembekal akan menetapkan harga lebih murah pada masa hadapan.

Kelmarin Dr Noor Hisham dilaporkan berkata KKM menemui kit ujian antigen dari Korea Selatan dengan kadar sesitiviti 84.4 peratus bagi membantu meningkatkan ujian Covid-10 dalam negara.

-BERNAMA