Categories
AGENDA NASIONAL

149 kes positif dikesan di pintu masuk Langkawi

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Sejumlah 149 kes positif Covid-19 dikesan hasil saringan di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi sejak Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik bermula pada 16 Sept lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu direkodkan sehingga 12 tengah hari tadi melibatkan saringan seramai 40,458 orang merangkumi 34,038 orang di tujuh pintu masuk lapangan terbang dan 6,420 orang melalui feri di Kuala Perlis dan Kuala Kedah.

“Seramai 36,842 orang telah menjalani saringan menggunakan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen dan daripada jumlah ini, sebanyak 149 kes positif Covid-19 dikesan dan 186 individu lagi merupakan kontak rapat kepada 149 kes tersebut.

“Mereka telah diasingkan dan diberi Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (HSO),” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau memaklumkan 641 orang telah menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum bertolak ke Pulau Langkawi dan kesemua keputusan adalah negatif manakala baki 2,975 kanak-kanak di bawah enam tahun tidak menjalani ujian Covid-19 dan dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing.

Menerusi Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi yang bermula pada 16 Sept lepas, kerajaan menetapkan semakan ujian saringan Covid-19 dan juga ujian saringan Covid-19 bagi pelancong yang belum menjalani ujian sebelum mereka berlepas ke pulau itu di pintu masuk udara dan laut.

Mengenai Kluster Dah Teluk Nibung yang dilapor di Langkawi pada 1 Okt, Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini, seramai 254 orang telah disaring dengan 59 kes adalah positif Covid-19, 187 negatif dan tiga individu masih menunggu keputusan.

“Kluster itu dikategori sebagai kluster tempat kerja melibatkan penduduk tempatan Langkawi iaitu pekerja dan kontak rapat ahli keluarga.

“Siasatan awal mendapati penularan jangkitan disyaki dari komuniti dan seterusnya merebak di tempat kerja akibat ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja dan asrama penginapan,” katanya sambil menambah semua kontak rapat telah dikenal pasti, disaring serta diberi arahan HSO selama 10 hari.

Memaklumkan penularan jangkitan adalah terkawal sehingga kini, beliau berkata semua kes melibatkan kluster ini adalah kategori satu dan dua sahaja serta pekerja telah menerima suntikan dos lengkap vaksin Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi akan terus memantau perkembangan penularan jangkitan Covid-19 seterusnya memastikan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Susulan pengumuman Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mengenai lebih banyak kawasan gelembung pelancongan dijangka akan dibuka bermula bulan ini, Dr Noor Hisham berkata KKM akan terus menjalankan kerjasama dengan MOTAC.

Ini khususnya bagi menjalankan penilaian risiko untuk membolehkan lebih banyak tempat pelancongan dibuka dari semasa ke semasa.

Mengulas mengenai perkembangan kes harian Covid-19, Dr Noor Hisham berkata kes sembuh yang direkodkan hari ini adalah 15,456 iaitu mengatasi jumlah kes baharu sebanyak 8,075 kes.

Menurutnya daripada jumlah kes baharu itu, 7,917 kes (98 peratus) adalah kategori satu dan dua manakala 160 kes (dua peratus) merupakan kategori tiga, empat dan lima.

“Kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 867 dengan 461 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan 15 lagi kluster baharu dikenal pasti melibatkan tujuh kluster tempat kerja, enam kluster komuniti, serta masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga lagi kluster baharu di Selangor babit tempat kerja

SHAH ALAM, 11 JULAI: Selangor merekodkan tiga lagi kluster baharu Covid-19 yang menyumbang kepada 4,682 kes hari ini.

Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kluster tempat kerja itu merangkumi kluster Industri Jalan Rukun di Kuala Selangor, kluster Industri Jalan Subang 13 (Petaling dan Hulu Langat) serta kluster Jalan Industri Dua Rawang (Gombak).

Data menunjukkan sebanyak 75 kes positif dikesan dalam kluster Industri Jalan Rukun daripada 105 individu disaring manakala kluster Industri Jalan Subang 13 mencatat 29 kes hasil saringan ke atas 120 orang.

Bagi kluster Jalan Industri Dua Rawang pula, seramai 77 individu disaring dengan 27 daripadanya diuji positif wabak.

Data sama memaparkan sebanyak 2,849 daripada baki 4,551 kes yang dilaporkan di Selangor hasil saringan kontak rapat, lain-lain saringan (1,395) dan kluster sedia ada (307).

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) di Facebook memaklumkan seramai 2,786 pesakit pulih menjadikan keseluruhan sembuh 270,438.

Seramai 34 lagi individu meninggal dunia dengan jumlah maut 2,017 sejak lebih setahun pandemik menular.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Abai SOP demi kaut untung punca kluster pejabat masih tinggi

Oleh Muhammad Basir bin Roslan

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Kluster tempat kerja termasuk kilang masih dikesan berlaku ketika negara masih bergelut dengan penularan wabak Covid-19 dan di sebalik peringatan demi peringatan untuk semua pihak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Statistik yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini menunjukkan sektor perkilangan adalah penyumbang jumlah kes tertinggi bagi kategori kluster tempat kerja.

Menurut beliau, sehingga 14 Jun 2021, sejumlah 1,328 kluster tempat kerja dikesan dan kebanyakan kes positif yang dilaporkan dalam kategori kluster tempat kerja ini terdiri daripada bukan warganegara Malaysia iaitu sebanyak 100,086 kes (68 peratus) berbanding warganegara iaitu sebanyak 46,954 kes (32 peratus).

Sektor pengilangan melaporkan jumlah kes tertinggi dalam kategori kluster tempat kerja, iaitu sebanyak 95,156 kes melibatkan 639 kluster.

Setakat ini, Kerajaan melaksanakan tiga kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan pelbagai jenis peraturan dan SOP, tidak terkecuali untuk industri perkilangan. Justeru, mengapa masih ada kluster tempat kerja termasuk kilang? Mengapa masih ada yang berani melanggar SOP.

Penulis mengambil satu contoh kes apabila baru-baru ini, sebuah kilang pembuatan plastik di Taman Medan, Petaling Jaya dilaporkan dikompaun RM10,000 kerana beroperasi melebihi masa yang ditetapkan sekali gus melanggar SOP PKP3.0.

Hasil serbuan pihak polis turut mendapati kilang tersebut masih menggunakan surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang sudah tamat tempoh, iaitu bertarikh sebelum 1 Jun.

Ini baru satu dari banyak lagi kes pelanggaran SOP oleh pihak majikan dan pemain industri perkilangan. Di mana silap dan apa pula tindakan yang perlu dilakukan?

Masih berdegil

Naib Presiden 2, Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Zanuddin Kisman memberitahu Bernama, melalui peruntukan Seksyen 15, subseksyen (1) Akta Kesihatan Dan Keselamatan Pekerjaan (AKKP)1994, adalah menjadi kewajipan am majikan dan tiap-tiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan – setakat yang praktik – setiap aspek keselamatan, kesihatan, dan kebajikan pekerjanya semasa bertugas, dipatuhi.

Oleh itu, secara umumnya beliau berpendapat, isu ketidakpatuhan SOP ini amatlah serius kerana ianya bukan sahaja boleh mengancam tahap kesihatan awam negara, namun juga pihak majikan seolah-olah memperjudikan keselamatan dan kesihatan pekerja industri perkilangan itu sendiri.

Penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengeluarkan kompaun RM10,000 terhadap pemilik sebuah kilang di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Foto Facebook Azmizam
Zaman Huri

“MSOSH melihat tahap kepatuhan di kalangan pemain industri masih lagi tidak sepenuhnya dan berada pada tahap amat tidak memuaskan. Apatah lagi, kita sering juga dengar ada kes majikan memaksa kakitangan hadir bekerja pada kapasiti penuh walaupun arahan diberikan bagi penjadualan semula atau kaedah penggiliran diadakan bagi mengurangkan risiko pendedahan atau jangkitan kepada para pekerja.

“Kami percaya isu kemampuan pihak berkuasa tempatan (PBT)dalam melakukan rondaan dan pemeriksaan di semua premis adalah terbatas. Maka dengan itu, industri tidak berasa takut untuk melanggar SOP yang diwujudkan kerana merasakan pengeluaran dan keuntungan syarikat adalah lebih utama dan sekiranya melanggar SOP yang ditetapkan, penalti yang dikenakan mampu dibayar oleh mereka,” jelasnya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Menurut beliau, pelanggaran SOP oleh pihak majikan ini bukanlah perkara baru dan berlaku dengan begitu aktif semenjak PKP 1.0 lagi.

“Walaupan mungkin ianya tidak mendapat liputan meluas tetapi dalam kalangan ahli-ahli MSOSH yang merupakan pengamal Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan, perkara ini sering menjadi topik perbincangan dalam usaha mencari solusi yang berkesan,” katanya.

Naikkan jumlah denda

Zanuddin berpandangan salah satu usaha untuk membendung isu ini dari terus berlaku adalah pihak berkuasa perlu meningkatkan denda selain saringan yang ketat dilakukan kepada industri yang memohon untuk beroperasi semasa tempoh PKP.

“Dengan tahap denda terkini, MSOSH melihat pemain industri masih mampu untuk membayar penalti yang dikenakan kerana jumlah yang tidaklah begitu besar dibandingkan keuntungan yang mereka perolehi sekiranya operasi dijalankan secara kapasiti penuh.

“Jadi mereka dengan sewenang-wenangnya berani melanggar SOP kerana lebih mengutamakan keuntungan berbanding keselamatan nyawa pekerja serta tidak serius dalam membantu menangani masalah yang sedang dihadapi oleh negara kita secara khususnya dan dunia secara amnya,” katanya menambah cadangan untuk menaikkan denda atau saman diharap dapat meningkatkan tahap pematuhan oleh industri.

Menurut Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dimuat naik dalam portal rasmi Jabatan Peguam Negara, “individu yang melanggar peraturan atau SOP yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 boleh berdepan hukuman denda maksimum RM10,000 mulai 11 Mac 2021.”

Ordinan itu turut menyatakan syarikat atau perbadanan yang melakukan kesalahan berkaitan SOP juga boleh didenda sehingga RM50,000.

Segera lantik penyelaras

Zanuddin turut menambah, Jabatan keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) jelas menyatakan antara lain tanggungjawab majikan ialah melantik pihak Penyelaras untuk melaporkan status pematuhan program Kawalan Risiko Covid-19.

Menurut beliau, perkara ini juga jelas tertera di dalam AKKP 1994 yang mengkehendaki pihak industri dan sektor serta keadaan yang memerlukan untuk syarikat atau organisasi mengambil bekerja orang yang cekap seperti Pegawai Keselamatan dan Kesihatan.

Langkah ini bagi membantu syarikat melaksana dan memantau program berkaitan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja, dalam usaha memastikan para pekerja tidak terlibat dalam situasi yang memudaratkan kesihatan serta keselamatan mereka.

Sebuah kilang dikesan beroperasi lebih daripada masa ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh. Foto Facebook Polis Daerah Petaling Jaya

“Dalam konteks situasi terkini iaitu pandemik Covid-19, SHO juga bertanggungjawab membantu organisasi dan syarikat dalam mewujudkan prosedur dalaman untuk rujukan kepada organisasi dan semua pekerja semasa menangani keadaan pandemik ini. Selain daripada SHO, ahli jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan (SHC) di tempat kerja juga bertanggungjawab untuk membantu SHO dalam melaksana dan memantau pematuhan keseluruhan KKP di tempat kerja.

“Pemantauan berterusan oleh SHO dan SHC amatlah kritikal terutama apabila melibatkan organisasi yang besar. Namun dengan adanya SHO di dalam sebuah organisasi, proses pematuhan dan pelaporan menjadi mudah di mana mereka adalah individu yang terlatih dan cekap dalam aspek pematuhan kepada AKKP 1994.

“Kepada organisasi atau syarikat yang tidak mengambil bekerja seorang SHO, mereka mungkin akan menghadapi masalah untuk memastikan pematuhan atau pelaporan kepada PBT atau mana-mana agensi kerajaan yang berkenaan. Ini akan menyukarkan dalam konteks pematuhan secara menyeluruh,” katanya.

Zanuddin turut menjelaskan mengenai perbezaan peranan yang dimainkan pihak Penyelaras ini dengan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT).

Bagi kes positif atau kontak rapat yang melibatkan kakitangan sesebuah organisasi, ERT bertanggungjawab membawa kakitangan tersebut ke klinik atau pusat kesihatan yang ditetapkan. Selain daripada itu, pasukan ini juga akan melakukan proses disinfeksi kawasan yang terlibat seperti prosedur dalaman organisasi yang dibangunkan.

Sementara SHO pula akan memantau proses dan semua aktiviti tersebut dan akan memaklumkan kepada pihak pengurusan dan pelaporan kepada PBT atau mana-mana agensi kerajaan yang berkaitan.

Usahasama semua

Menurut Zanuddin lagi, beliau dan MSOSH berharap semua pemain industri lebih bertanggungjawab dan sama-sama berusaha memutuskan rantaian Covid-19 ini dengan cara berusaha sedaya upaya untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sekiranya SOP yang dikuatkuasakan masih dirasakan ada kelonggaran, industri boleh berusaha untuk mengetatkannya lagi bergantung kepada persekitaran industri tersebut dengan matlamat utama bersama-sama membantu kerajaan untuk mencapai matlamat memutuskan rantaian Covid-19 dan membantu dalam memulihkan ekonomi seperti sebelumnya.

“Dalam keadaan tahap kesihatan awam negara yang berada dalam keadaan kritikal dan semakin hari ramai rakyat kita yang menjadi korban jangkitan virus ini, diharapkan agar pihak industri jangan hanya mementingkan soal keuntungan semata-mata. Mereka juga perlu memikirkan kesihatan dan keselamatan pekerja. Ini adalah tanggungjawab majikan seperti yang termaktub di dalam AKKP 1994.

“Ini amat jelas. Majikan mestilah berusaha sehabis baik dalam memastikan kesihatan dan keselamatan pekerja menjadi agenda utama di dalam operasi seharian mereka dan tidak terkecuali semasa situasi pandemik Covid-19 ini, di mana pihak industri diminta lebih cakna dan prihatin serta mampu mengawal keadaan serta perjalanan operasi dan organisasi dengan lebih tersusun agak keadaan akan sentiasa terkawal.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang ingin mendapatkan khidmat nasihat dan perundingan OSH berkaitan Pengurusan Covid-19 di tempat kerja boleh menghubungi Talian Helpline MSOSH di 019 225 7299 / 03 3359 8046, ataupun melayari https://www.msosh.org.my/event/423-msosh-helpline.html.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kluster tempat kerja di Sepang catat kes Covid-19 tertinggi

SHAH ALAM, 14 JUN: Kluster di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang antara lima kluster aktif tempat kerja yang mencatatkan kes Covid-19 tertinggi, menurut ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan memaklumkan kluster Jalan Tiga Salak Tinggi melibatkan pekerja kilang dengan 873 kes dikesan positif hasil saringan 1,500 individu.

Manakala kluster Industri Senawang dikesan di Senawang Industrial Estate, Seremban yang menyebabkan 752 jangkitan sekitar Negeri Sembilan dan Melaka.

Kluster Industri Batu Berendam di Melaka pula merekodkan 641 kes positif diikuti kluster Jalan Padang Tembak melibatkan Terengganu dan Kelantan (598) dan kluster Tok Has di Terengganu (541).

Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini sebanyak 1,328 kluster tempat kerja dilaporkan dengan 624,246 individu disaring dan 147,040 disahkan positif.

“Kebanyakan kes dari kategori kluster ini melibatkan 68 peratus warga asing iaitu 100,086 kes manakala warga tempatan seramai 46,954 jangkitan,” katanya.

Beliau menambah walaupun kes dalam tempoh dua minggu ini menunjukkan penurunan, namun kluster tempat kerja terus bertambah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster tempat kerja membimbangkan, majoriti di kilang

SHAH ALAM, 27 MEI: Kluster tempat kerja menunjukkan aliran membimbangkan apabila merekodkan 1,085 kluster sejak pandemik menular dalam negara.

Ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan menyebut jumlah itu meliputi 129,322 kes yang dicatatkan antara 25 Januari tahun lalu hingga semalam.

“Bermula 1 April hingga 26 Mei 2021, sebanyak 287 kluster tempat kerja dilaporkan dengan jumlah 17,087 kes. Daripada jumlah itu, 233 kluster masih aktif melibatkan 16,785 kes.

“Tiga negeri yang melaporkan jumlah kluster tertinggi dalam tempoh ini ialah Selangor dengan 74 kluster, Johor (53) dan Pulau Pinang (31),” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata analisis terperinci sub-kategori menunjukkan sektor pengilangan melaporkan bilangan kluster tertinggi iaitu sebanyak 132 kluster dalam tempoh sama.

Manakala sektor perkhidmatan merekodkan 57 kluster.

Dr Noor Hisham berkata aliran kluster juga tidak menunjukkan penurunan ketara meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuat kuasa mulai 12 Mei.

“Sebanyak 115 kluster tempat kerja dengan 5,392 kes dilaporkan antara 12 hingga 26 Mei 2021 dan lebih separuh melibatkan sektor pengilangan (62 kluster, 53.4 peratus),” katanya lagi.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Covid-19: Tempat kerja tambah kluster, Malaysia lepasi 100,000 kes

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Bermula dengan tiga kes pertama pada 25 Januari 2020 membabitkan tiga warga China yang masuk ke negara ini melalui Johor dari Singapura, Malaysia kini memecah rekod dengan 100,318 kes positif Covid-19.

Ini berikutan tambahan 1,581 kes baharu dilaporkan pada Khamis 24 Disember. Daripada jumlah itu, kes penularan tempatan sebanyak 1,579 sementara dua (2) lagi kes import.

Malaysia kini menduduki tangga ke-75 dalam senarai 219 negara global yang dilanda pandemik Covid-19. Untuk rekod, Malaysia adalah negara terkini menyertai negara yang mencatat 100 ribu kes ke atas di samping Paraguay (103,329 kes).

China yang melaporkan kes awal koronavirus maut ini pada penghujung tahun 2019, di tangga ke-80 dengan 86,913 kes. Negara jiran Singapura di tangga ke-86 dengan 58,495 kes.

Kemunculan berterusan kluster tempat kerja termasuk tapak binaan di samping kluster aktif sedia ada terus melonjakkan kes harian baharu di negara ini yang berterusan mencatat empat angka sepanjang rangkuman mingguan (19 Dis hingga 24 Dis).

Tempoh rangkuman ini turut melihat negara mencatat kes positif Covid-19 melepasi angka dua ribu iaitu pada 21 Disember (2,018 kes) dan 22 Disember (2,062 kes). Negara setakat ini mencatat angka kes harian tertinggi pada 10 Disember iaitu 2,234 kes. Pertama kali Malaysia mencatat angka dua ribu kes positif Covid-19 pada 24 November iaitu 2,188 kes.

Untuk rekod, kes baharu harian sepanjang rangkuman mingguan (19-24 Dis) iaitu 1,153 kes (19 Dis), 1,340 kes (20 Dis), 2,018 kes (21 Dis), 2,062 kes (22 Dis), 1,348 kes (23 Dis), 1,581 kes (24 Dis)

Penduduk sekitar Klang hadir menjalani saringan Covid-19 percuma secara bersasar di Jalan Batu Unjur 3A, Taman Bayu Perdana, Klang pada 23 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pertambahan kes positif Covid-19 ini hasil saringan bersasar yang dijalankan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta majikan di lokaliti zon merah, melibatkan enam buah negeri, bermula 1 Disember lepas. Arahan wajib ini melibatkan pekerja warga asing di semua sektor termasuk pembinaan, perkilangan dan komersial.

Enam buah negeri terlibat adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sabah serta dua wilayah persekutuan iaitu Kuala Lumpur (WPKL) dan Labuan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan dalam sidang akhbar pada Khamis 24 Disember, setakat ini seramai 49,248 orang pekerja asing telah menjalani ujian saringan Covid-19, melibatkan 1,990 orang majikan.

Bagaimanapun, menurut beliau, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan, masih ada ramai majikan yang gagal memberi kerjasama mematuhi arahan tersebut.

Oleh yang demikian, kata beliau, kerajaan akan menguatkuasakan arahan tersebut bermula 1 Januari 2021di bawah Akta 342 di mana majikan yang gagal mematuhi arahan berkenaan akan dikenakan tindakan undang-undang dan penalti.

Kluster Tempat Kerja

Sehingga Khamis 24 Disember 2020, Malaysia merekod sebanyak 468 kluster termasuk empat (4) kluster baharu yang diumumkan pada hari tersebut, dan daripada jumlah itu, 262 kluster dilaporkan tamat.

Daripada 206 kluster masih aktif dan dipantau, 53 kluster mencatat pertambahan kes. Kluster yang dikesan merekod pertambahan tinggi adalah Kluster Penjara Jalan Harapan (185 kes), Kluster Tapak Bina Permai (138 kes) dan Kluster Kebun Baru (95 kes).

Kluster Penjara Jalan Harapan diumumkan pada 21 November 2020, melibatkan Penjara Sungai Buloh, Selangor. Kes bagi kluster ini dikesan positif hasil saringan kemasukan tahanan ke penjara pada 17 November 2020. Keseluruhan kes setakat ini, sebanyak 1,777 kes.

Kluster Tapak Bina Permai diumumkan pada 16 Disember 2020, melibatkan daerah Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL). Kes positif dikesan selepas saringan bersasar dijalankan di tapak binaan. Keseluruhan kes 230.

Kluster Kebun baru diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis 24 Disember 2020. Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kuala Langat, Selangor dan kes positif dikesan bermula 24 Disember melalui saringan bersasar di sebuah kilang. Sehingga 24 Disember 2020, sejumlah 580 individu telah disaring, di mana 95 kes dikesan positif Covid-19.

Sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini, kluster tempat kerja begitu ketara dan sebahagian besarnya dikesan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Daripada 33 kluster baharu yang diisytiharkan sepanjang 19 Dis hingga 24 Dis, sebanyak 23 kluster melibatkan kluster tempat kerja termasuk tapak binaan.

Antara kluster tempat kerja yang mencatat rekod kes yang banyak adalah Kluster Tapak Bina Metropolis yang diumumkan pada 20 Disember, melibatkan daerah Kepong (WPKL) dengan 147 kes dikesan positif pada tarikh tersebut.

Satu lagi kluster tempat kerja yang mencatat kes yang banyak iaitu 294 kes pada hari dilaporkan iaitu 22 Disember ialah Kluster Tapak Bina Residen di Lembah Pantai (WPKL).

Pecahan kluster baharu sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini, lima – 3 kluster tempat kerja (19 Dis), 3 – semua tempat kerja (20 Dis), 8 – 6 kluster tempat kerja (21 Dis), 8 – 6 kluster tempat kerja (22 Dis), 5 – 2 kluster tempat kerja (23 Dis) dan 4 – 3 kluster tempat kerja (24 Dis).

Kes Pulih Dan Kematian

Kes pulih harian sepanjang rangkuman mingguan masih tinggi, dan pada Khamis 24 Disember, sebanyak 1,085 lagi kes pulih, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 81,099 kes (80.8 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes.

Untuk rekod, kes pulih untuk sepanjang rangkuman mingguan – (19-24Dis) iaitu 998 kes (19 Dis), 1,067 kes (20 Dis), 1,084 kes (21 Dis), 911 kes (22 Dis), 710 kes (23 Dis), 1,085 kes (24 Dis).

Cuma dua kes kematian dilaporkan semalam, kedua-duanya di Sabah melibatkan warganegara di mana satu kes melibatkan remaja perempuan berusia 15 tahun. Jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 446 (0.45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Mengikut pecahan hari, kematian yang dilaporkan sepanjang19 Dis hingga 24 Dis, iaitu 1 kes – Pulau Pinang (19), 4 kes – 1 Selangor, 1 Pulau Pinang dan 2 Sabah kes (20 Dis), 1 kes – Sabah (21 Dis), 1 kes – WP Labuan (22 Dis), 5 kes – 2 Selangor, 1 Sabah, 1 WP Kuala Lumpur, 1 Negeri Sembilan (23 Dis), 2 kes – kedua-dua di Sabah (24 Dis).

Sementara itu, sehingga Khamis 24 Disember, seramai 102 orang pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, dan 45 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Perincian Terkini Kes Covid-19 di Malaysia

Untuk perincian kes positif Covid-19, Selangor masih mendahului negeri-negeri lain di Malaysia dengan kes positif Covid-19 terbanyak sepanjang tempoh rangkuman mingguan (19 Dis-24 Dis), iaitu 401 kes (19 Dis), 441 kes (20 Dis), 1,204 kes (21 Dis), 1,014 kes (22 Dis), 535 kes (23 Dis) dan 491 kes (24 Dis).

Dua kluster baharu dilaporkan untuk Selangor bagi Khamis 24 Disember, iaitu Kluster Kebun Baru dan Kluster Sungai Burung.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan 379 kes dan 285 kes daripadanya disumbang kluster termasuk 34 daripada kluster baharu, Kluster Tapak Bina Jalan Tun dan Kluster Jalan Pandan.

Sabah mencatat 249 kes; Negeri Sembilan 144 kes; Johor 115 kes; Melaka 76 kes; Pulau Pinang 37 kes; Perak 26 kes; Wilayah Persekutuan Labuan 26 kes; Pahang 12 kes; Kelantan sembilan (9) kes; Terengganu tujuh (7 kes), Kedah empat (4 kes), Wilayah Persekutuan Putrajaya empat (4) dan Sarawak dua (2 kes).

Sementara itu, KKM melaporkan sedang memantau mutasi baharu Covid-19 “A701B” yang dikesan di Sabah sewaktu melaksanakan ujian ke atas 60 sampel dalam Kluster Benteng LD di Sabah.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, KKM sebelum ini mengenal pasti mutasi koronavirus ini iaitu D614G di Kedah yang melibatkan Kluster Sivagangga.

Mengulas laporan penyelidik di United Kingdom (UK) menemui varian baru Covid-19 yang dipanggil “VUI-202012/01” yang 70 peratus lebih mudah merebak, Dr Noor Hisham berkata pelawat asing dari 23 negara termasuk UK masih disekat daripada memasuki Malaysia.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Covid-19: Saringan bersasar sumbang peningkatan kes tempat kerja

SHAH ALAM, 15 DIS: Pertambahan kes Covid-19 melibatkan kluster tempat kerja di negeri ini susulan saringan bersasar yang dilaksanakan oleh majikan.

EXCO kesihatan awam berkata perkara tersebut sudah dijangka sekali gus menyaksikan Selangor terus mencatatkan kes harian tertinggi dalam negara.

“Selangor memiliki kilang dan industri paling banyak di Malaysia, termasuk pekerja asing. Apabila banyak saringan dibuat, maka lebih banyak kes baharu dapat dikesan,” kata Dr Siti Mariah Mahmud ketika dihubungi.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan dua kluster baharu di Selangor, termasuk satu jangkitan tempat kerja.

Kluster Tanjung Suria membabitkan pekerja kilang dikesan di Sepang, Gombak, Kuala Selangor dan Hulu Selangor. Sementara Kluster Lestari dikesan sekitar Petaling, Hulu Langat, Klang dan Sepang selain Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Sebanyak 119 kluster berkaitan tempat kerja dilaporkan setakat 24 November. Daripada jumlah itu, 83 kluster masih aktif.

Pada 20 November, kerajaan mewajibkan semua pekerja asing di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan termasuk Labuan dan Sabah menjalani saringan Covid-19.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kluster tempat kerja sumbang kes tertinggi di Klang

SHAH ALAM, 11 DIS: Klang kekal menjadi penyumbang kes baharu Covid-19 tertinggi negeri ini dengan 611 daripada 829 kes baharu dilaporkan hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata jumlah itu membabitkan 512 kes di mukim Kapar serta 99 di mukim Klang dengan kebanyakannya dari kluster tempat kerja seperti Sungai Putus, Teratai dan Seruling.

“Gombak merekodkan 93 kes diikuti Petaling (73), Kuala Langat (21), Hulu Langat (16), Kuala Selangor (sembilan), Sepang (lima) dan Sabak Bernam (satu).

“Keseluruhan kes hari ini sebanyak 829 termasuk lapan kes import iaitu tiga dari Indonesia, Filipina (2) manakala Netherlands, Sri Lanka dan United Kingdom masing-masing mencatatkan satu kes,” katanya menerusi Facebook.

JKNS turut memaklumkan setakat 12 tengah hari tadi, seramai 263 pesakit disahkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan Selangor mencatatkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 45.8 peratus dari keseluruhan 1,810 kes dilaporkan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KKM: 65 kluster aktif Covid-19 berkait dengan tempat kerja

SHAH ALAM, 13 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 65 daripada 158 kluster aktif Covid-19 di negara ini adalah berkaitan dengan tempat kerja.

Ketua pengarah kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu termasuk dua kluster baharu yang dilaporkan hari ini.

“Sebanyak 5,681 kes positif berkaitan kluster tempat kerja melibatkan 3,369 (59.3 peratus) warganegara dan 2,312 (40.7 peratus) bukan warganegara.

“Ini adalah hasil tindakan proaktif majikan yang turut sama menjalankan saringan Covid-19 terhadap pekerja mereka,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata pekerja digesa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan sentiasa mengamalkan kawalan kendiri bagi mengekang penularan wabak di tempat kerja.

Katanya majikan dan pekerja perlu memastikan kebersihan persekitaran tempat kerja termasuk tandas, dapur dan pantri.

“Majikan juga diingatkan memastikan pekerja mereka mematuhi segala SOP termasuk menjaga kebersihan di kawasan penginapan dan tempat tinggal kerana didapati risiko penularan tinggi bagi kawasan penginapan yang sesak dan sempit,” katanya.