Categories
AGENDA NASIONAL

Tangguh sistem KPI, bonus penjawat awam ikut kadar rata

SHAH ALAM, 7 APRIL: Kerajaan Negeri terpaksa menangguh pemberian bonus berdasarkan indeks petunjuk prestasi utama (KPI) susulan penularan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata kaedah kadar rata digunakan tahun ini bagi mengimbangi kewangan negeri dengan mengutamakan perkara lebih penting.

“Bayaran bonus mengikut kaedah ini dilaksana sehingga tarikh yang difikir sesuai untuk menggunakan semula sistem KPI.

“Matlamat KPI untuk menggalakkan penjawat awam bekerja lebih keras dan berusaha jika mahu mendapat lebih bonus,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 yang meraikan seramai 126 kakitangan di Dewan Jubli Perak di sini.

Pengiktirafan meliputi kakitangan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, perbendaharaan dan pejabat tanah dan galian, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor serta Majlis Sukan Negeri.

Pada hujung 2018, Amirudin mengumumkan bayaran bonus penjawat awam dijalankan mengikut sistem KPI. Imbuhan lebih dua bulan diberikan jika mencapai gred tertentu.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KSN: Capai KPI gerakkan ekonomi, ikut perancangan

SHAH ALAM, 12 SEPT: Semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan diingatkan untuk memastikan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan bagi program menggerakkan ekonomi pasca Covid-19 tercapai.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata mesyuarat pertama mengenai perkara itu telah diadakan baru-baru ini.

“Saya beri ingatan sekali lagi kepada semua ketua setiausaha (kementerian) dan ketua pengarah (jabatan) akan keperluan mereka untuk memastikan KPI yang ditetapkan itu tercapai. Ini (pencapaian KPI yang ditetapkan) adalah antara faktor untuk menggerakkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil keahlian kepada 75 ahli Koperasi KOBUNITI Selangor Berhad dalam satu majlis di sini, hari ini.

Pada 6 September lepas, Mohd Zuki menetapkan KPI kepada semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan supaya program menggerakkan ekonomi dilaksanakan mengikut perancangan susulan banyak projek pembangunan tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual ekoran pandemik Covid-19.

Sementara itu ditanya mengenai cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mahu Sistem Saraan Malaysia (SSM) untuk penjawat awam digantikan dengan sistem baharu, Mohd Zuki berkata beliau belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu.

“Itu mungkin cadangan mereka dan (setakat ini) Ceupacs belum minta lagi kepada kita. Saya rasa belum sampai lagi di peringkat pertimbangan kerajaan,” katanya.

Khamis lepas, Ceupacs dilaporkan akan mengemukakan kertas kerja kepada kerajaan bagi mencadangkan sistem saraan baharu menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) untuk penjawat awam.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Yayasan Selangor capai KPI 2018

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 JULAI: Yayasan Selangor mencatatkan peningkatan 9.1 peratus dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2018, dengan 60.6 peratus pelajar tajaannya mencapai keputusan 5A dan ke atas.

Pemangku Pengurus Besarnya, Zahura Zakry berkata, peningkatan itu membolehkan Yayasan Selangor mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan sebelum ini.

“Pencapaian keputusan pelajar tajaan meningkat walaupun berlaku perubahan format peperiksaan saban tahun, sekali gus membuktikan mereka mempunyai semangat juang dan jati diri yang kental dalam mengharungi pelbagai cabaran masa kini.

“Yayasan Selangor menetapkan KPI akademik sebagai salah satu instrumen yang digunakan bagi menilai keberkesanan fungsi dan peranannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2018, di Kelab Shah Alam, di sini.

Pada majlis itu, seramai 215 pelajar menerima anugerah yang disampaikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari atas kecemerlangan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Tingakatan 3 dan SPM.

Pada masa sama, Zahura memaklumkan daripada aspek kualiti, sebanyak 6.2 peratus keputusan 8A ke atas dalam peperiksaan utama, pada 2018.

Manakala bagi program Pelajar Berpotensi Tinggi (HIPERS) katanya, seramai lapan orang pelajar berjaya mencapai keputusan 8A ke atas.

“Keputusan itu terbaik dalam sejarah Yayasan Selangor apabila terdapat pelajar yang turut memperoleh 11A.

“Semua pelajar ini layak menikmati kemudahan pinjaman pendidikan Yayasan Selangor untuk meneruskan pengajian di peringkat diploma dengan anggaran peruntukan RM16,000 sepanjang pengajian dan RM24,000 di peringkat ijazah,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

“Engagement” bersama jabatan penuhi tuntutan KPI

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 APRIL: Sesi “engagement” bersama jabatan pentadbiran Kerajaan Negeri (PSUK) akan dijalankan dalam masa terdekat, bagi menentukan petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, hal itu kerana pemberian bonus kepada penjawat awam, pada tahun ini adalah berdasarkan pencapaian prestasi.

“Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sudah mengemukakan formula bagaimana pemberian bonus ini akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 dan Anugerah Jasamu Dikenang (AJD) 2019 PSUK, di Dewan Jubli Perak, di sini semalam.

Katanya, beberapa pemberat lain dalam penentuan pemberian bonus juga akan diperkenalkan antaranya daya usaha jabatan membudayakan kreativiti dan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan, kejayaan melaksanakan kaedah penjimatan dalam perbelanjaan jabatan serta disiplin setiap warga kerja.

“Jika pelaksanaan pemberian bonus berdasarkan KPI ini dapat dilakukan dengan jayanya, Kerajaan Negeri akan menjadi agensi perkhidmatan awam pertama di Malaysia yang melaksanakannya.

“Ini adalah cabaran yang perlu kita sambut dalam memastikan belanjawan negeri sentiasa berada pada landasan sepatutnya demi masa depan dan kelangsungan pentadbiran mampan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih dua bulan bonus jika capai KPI

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 JAN: Penjawat awam Selangor bakal menikmati pembayaran bonus dua bulan gaji atau lebih jika Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dapat dicapai, itu janji Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, di hadapan lebih 500 penjawat awam negeri itu, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa cuba yang terbaik bagi pemberian bonus, berbanding tahun lalu.

“Tahun lalu kita beri dua bulan, tahun ini akan cuba lebih terbaik. Namun, tidak semua akan dapat ‘lebih’ itu, mungkin ada yang dapat setengah atau suku.

“Kita akan menilai daripada segi pencapaian KPI jabatan dan individu, namun pemberiannya juga adalah berdasarkan hasil pungutan negeri,” katanya ketika Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor 2019, di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, di sini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim, barisan EXCO serta penjawat awam Selangor.

Sementara itu, Amirudin dalam ucapannya berkata, pemberian bonus lebih dua bulan gaji itu sebagai menghargai majoriti penjawat awam yang mampu mencapai KPI ditetapkan.

“Saya yakin 99 peratus penjawat awam di negeri ini mampu melaksanakan misi berkenaan. Jadi, jika hendak merealisasikannya, maka kita kena laksanakan tugas dan amanah diberikan,” katanya.

Pada November lalu, Amirudin melalui ucapan Belanjawan Selangor 2019 memaklumkan Kerajaan Selangor akan menggunakan sistem KPI bagi menentukan kadar pembayaran bonus buat penjawat awam, mulai tahun ini.

Penggunaan sistem itu, sekali gus menyaksikan tiada lagi pembayaran bonus secara langsung seperti dilakukan sebelum ini.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Jangan abai prinsip keadilan sosial

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 JAN: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan penjawat awam untuk tidak mengabaikan prinsip keadilan sosial dalam membangun agenda Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, prinsip itu menjadi penanda aras kepada Penunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicators-KPI) bagi membina masyarakat adil di Selangor.

Katanya, kekayaan dan khazanah negeri tidak memberi erti jika ia tidak diagihkan dengan saksama kepada rakyat.

Himpunan Bulanan SUK (4)“Tiada guna segala kemajuan teknologi dan industri jika ia hanya memberi manfaat kepada segelintir rakyat sahaja.

“Jangan sekadar memberi tumpuan kepada bandar besar seperti Shah Alam dan Petaling Jaya tetapi beri tumpuan juga kepada kawasan luar bandar seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 2,000 penjawat awam pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan di Dewan Jubli di Bangunan Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Dihoskan Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor, majlis turut disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Amin Ahmad Ahya.

Mohamed Azmin berikrar, beliau akan sentiasa mendukung tinggi integriti anggota perkhidmatan awam Selangor dan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerangi penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“Saya mempunyai keyakinan tidak berbelah bahagi terhadap anggota perkhidmatan awam di Selangor. Bagaimanapun, segala ruang bagi menambahbaik mutu perkhidmatan harus diberi perhatian dan tidak diabaikan,” katanya.

-NFN-