Categories
AGENDA NASIONAL

Sivagangga: Lagi sekolah di Kuala Sanglang tutup

KANGAR, 9 OGOS: Sebuah lagi sekolah di Kuala Sanglang diarah tutup oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) yang dikuatkuasakan sejak mala m tadi, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata penutupan Sekolah Jenis Kebangsaan Chin Hun, sekolah ketiga yang diarah tutup di negeri itu, juga adalah selama dua minggu bermula esok hingga 23 Ogos ini.

“Penutupan selama dua minggu tiga sekolah terbabit melibatkan 876 murid dan 112 guru,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Bernama semalam melaporkan jabatan pendidikan negeri itu mengarahkan dua sekolah ditutup iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Sanglang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Sanglang.

Mengulas lanjut, Azlan berkata guru-guru terlibat diwajibkan menjalani Perintah Pengasingan Di Rumah (HIO) selama tempoh tersebut.

Beliau berkata selain itu, 15 pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi yang tinggal di dua kampung terlibat iaitu Kampung Tanah Timbul dan Kampung Kuala Sanglang yang akan menjalani peperiksaan mulai 12 Ogos ini, telah pun disediakan tempat tinggal sementara di asrama sekolah dan tempat tinggal alternatif lain berhampiran.

Kerajaan Negeri Perlis melaksanakan Temco selama 28 hari bermula 10 malam tadi di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Sehingga semalam, Perlis mencatatkan 30 kes positif Covid-19 dan kesemuanya daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga yang bermula di Napoh, Kubang Pasu, Kedah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sivagangga: Semua laluan ke Kuala Sanglang ditutup pagi esok

KUALA PERLIS, 9 OGOS: Semua laluan keluar masuk ke Kuala Sanglang akan ditutup sepenuhnya bermula 8 pagi esok.

Selain itu, pihak polis juga akan memperketatkan kawalan di tiga laluan tikus iaitu satu di Kampung Tanah Timbul dan dua di Kampung Kuala Sanglang, dengan kedua-dua kampung kini dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata semalam semua penduduk di Kampung Tanah Timbul telah menjalani saringan dan penduduk Kampung Kuala Sanglang pula hari ini, dan apabila proses saringan selesai hari ini semua jalan akan mula ditutup esok.

“Penduduk di kedua-dua kampung tersebut tidak dibenarkan keluar rumah dan mereka perlu melakukan kuarantin di rumah sehingga tempoh Temco tamat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata hanya ketua keluarga dibenarkan keluar untuk mendapatkan keperluan makanan terhad di kawasan Temco sahaja.

Sementara itu, Surina berkata pihak polis tidak mengeluarkan sebarang surat membenarkan mana-mana individu keluar masuk kawasan Temco sebaliknya surat kebenaran hanya dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

-BERNAMA