Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kluster Tawar, PUI Sivagangga mungkin sumber sama – KKM

PUTRAJAYA, 27 OGOS: Kluster Tawar dan Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga kemungkinan besar daripada sumber yang sama, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata empat sampel daripada virus Kluster Tawar telah dibandingkan dengan tiga sampel Kluster PUI Sivagangga, dan hasil menunjukkan bahawa ketujuh-tujuh virus itu daripada ‘clade’ yang sama.

“Ini mencadangkan bahawa Kluster Tawar dan Kluster PUI Sivagangga kemungkinan besar daripada sumber yang sama. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya pada sidang media berhubung perkembangan terkini Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebelum ini, kajian virologi terhadap Kluster Tawar dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah mengambil kira peningkatan kes yang mendadak sehingga melibatkan daerah dan negeri lain.

Beliau berkata sebanyak 14 sampel diambil bagi tujuan ‘full genome sequencing’ atau susunan genom menyeluruh dan empat sampel berjaya mendapat virus untuk kajian susunan itu, dan didapati virus tersebut mempunyai mutasi D614G.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini, Kluster Tawar mencatat 73 kes positif dan seramai 4,521 orang telah disaring dalam kluster tersebut di Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Beliau berkata selain daripada aktiviti kesihatan awam seperti pengesanan aktif kes dan kontak untuk membendung penularan jangkitan Covid-19, penilaian risiko bagi Kluster Tawar dijalankan dan mendapati taburan kes positif Covid-19 tidak tertumpu hanya di suatu lokaliti.

Selain itu, penularan juga dilaporkan berlaku daripada kes asymptomatic atau tidak bergejala, virus D614G sama dengan virus Kluster PUI Sivagangga, kawasan penempatan agak padat, banyak pergerakan penduduk di dalam dan di antara daerah serta liputan saringan penduduk yang masih rendah kadar positif iaitu lebih daripada satu peratus, katanya.

“Oleh itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran dilaksanakan di tiga zon di Aman Jaya, Kedah iaitu Kenanga, Mawar dan Melur berkuat kuasa jam 12.01 malam, 28 Ogos sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan,” kata Dr Noor Hisham.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Ambil iktibar kewujudan kluster Sivagangga – STFC

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kes penularan tempatan sifar dicatatkan Selangor hari ini boleh dikekalkan sekiranya tatacara operasi piawaian (SOP) dipatuhi.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) mengingatkan masyarakat mengambil pengajaran terutamanya bagaimana kewujudan kluster Sivagangga.

“Amalkan norma baharu dan sebagai langkah keselamatan, sentiasa merekodkan pengunjung di premis atau kediaman masing-masing menggunakan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Hari ini satu kes baru dilaporkan melibatkan kes import bukan warganegara dan keseluruhan kes Selangor menaik ke 2,151,” katanya di Facebook hari ini.

Sementara itu, Bilik Gerakan Covid-19 negeri melaporkan kes hari ini membabitkan jangkitan dari Bangladesh.

Laporan turut memaklumkan hari ini merupakan kali ke-47 Selangor tidak merekodkan jangkitan tempatan sejak 18 Mac lalu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Negatif Covid-19, sekolah KAFA Al-Jannah dibuka semula

SHAH ALAM, 15 OGOS: Sekolah KAFA Integrasi Al Jannah, Seksyen 23 di sini kembali dibuka pada 13 Ogos selepas saringan ke atas individu dikait dengan kontak rapat positif Covid-19 didapati negatif.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata setakat ini pihaknya berpuas hati dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) pembukaan semula operasi dan berharap kes sedemikian tidak berulang.

“KAFA Integrasi telah dibenarkan dibuka serentak bersama Surau Al-Jannah pada 13 Ogos lalu. Mereka turut mematuhi dan mengikut SOP yang ditetapkan seperti sebelum ini,” kata Mohd Shahzihan Ahmad ketika dihubungi.

Surau dan sekolah terbabit diarahkan tutup serta-merta pada 7 Ogos lalu berikutan seorang jemaah surau dikesan mempunyai kontak rapat pesakit positif dari kluster Sivagangga di Napoh, Kedah.

Mohd Shahzihan dalam kenyataan sebelum ini mengingatkan jawatankuasa surau agar tidak membenarkan individu berkenaan dan ahli keluarganya hadir ke surau jika masih dalam tempoh kuarantin.

Selain itu, jawatankuasa surau dan pentadbir KAFA juga diingatkan terus mematuhi SOP ditetapkan Jais bagi memastikan pencegahan penularan wabak Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sivagangga: 139 tabika, taska Kemas ditutup di Kedah

SEREMBAN, 14 OGOS: Sebanyak 139 taman bimbingan kanak-kanak (tabika) termasuk empat taman asuhan kanak-kanak (taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di empat daerah di Kedah ditutup sementara setakat ini berikutan penularan kes Covid-19 melibatkan kluster Sivagangga.

Ketua Pengarah Kemas Datuk Mohd Yasid Bidin berkata daripada jumlah berkenaan, 121 tabika dan dua taska berada di daerah Kubang Pasu, lapan tabika dan dua taska (Padang Terap), satu tabika (Kulim Bandar Baharu) dan lima tabika di Kuala Kedah.

“Ia membabitkan seramai 2,747 kanak-kanak di tabika dan taska. Jadi tujuan kita tutup sementara ini sebagai langkah awal pencegahan untuk mengelak daripada penularan pandemik Covid-19.

“Proses sanitasi juga turut dilakukan di semua tabika dan taska dengan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Meraikan Sukarelawan Penyediaan set peralatan perlindungan diri (PPE) Kemas Negeri Sembilan yang turut dihadiri Pengarah Kemas Negeri Sembilan Muhamad Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Mohd Yasid berkata setakat ini belum ada kes direkodkan membabitkan kanak-kanak di bawah tabika dan taska Kemas.

“Di Kedah kita mempunyai sebanyak 800 tabika dan taska, tapi taska tak banyak. Sebenarnya tabika dan taska kita selamat cuma kita tutup untuk cegah Covid-19,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 88,210 pasang PPE dihasilkan membabitkan seramai 537 kakitangan Kemas dan 1,006 sukarelawan di seluruh negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lepas sehingga hari ini.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 2,452 set PPE dihasilkan di Negeri Sembilan bagi tempoh yang sama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sivagangga: Lagi sekolah di Kuala Sanglang tutup

KANGAR, 9 OGOS: Sebuah lagi sekolah di Kuala Sanglang diarah tutup oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) yang dikuatkuasakan sejak mala m tadi, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata penutupan Sekolah Jenis Kebangsaan Chin Hun, sekolah ketiga yang diarah tutup di negeri itu, juga adalah selama dua minggu bermula esok hingga 23 Ogos ini.

“Penutupan selama dua minggu tiga sekolah terbabit melibatkan 876 murid dan 112 guru,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Bernama semalam melaporkan jabatan pendidikan negeri itu mengarahkan dua sekolah ditutup iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Sanglang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Sanglang.

Mengulas lanjut, Azlan berkata guru-guru terlibat diwajibkan menjalani Perintah Pengasingan Di Rumah (HIO) selama tempoh tersebut.

Beliau berkata selain itu, 15 pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi yang tinggal di dua kampung terlibat iaitu Kampung Tanah Timbul dan Kampung Kuala Sanglang yang akan menjalani peperiksaan mulai 12 Ogos ini, telah pun disediakan tempat tinggal sementara di asrama sekolah dan tempat tinggal alternatif lain berhampiran.

Kerajaan Negeri Perlis melaksanakan Temco selama 28 hari bermula 10 malam tadi di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Sehingga semalam, Perlis mencatatkan 30 kes positif Covid-19 dan kesemuanya daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga yang bermula di Napoh, Kubang Pasu, Kedah.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais terus pantau pematuhan SOP elak masjid, surau ditutup

SHAH ALAM, 9 OGOS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terus memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di peringkat masjid dan surau bagi mengelak penularan Covid-19.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata Jawatankuasa Khas Pemantauan Pematuhan Masjid Surau peringkat negeri akan membuat ketetapan selanjutnya selepas Surau Al Jannah di Seksyen 23 diarahkan tutup serta merta pada 7 Ogos lalu.

“Beberapa penemuan dalam pemantauan akan dibincangkan dalam jawatankuasa khas untuk diperhalusi.

“Tindakan yang sesuai akan diambil berdasarkan jenis dan bentuk perlanggaran kod ketatapan SOP serta perkembangan semasa penularan di Selangor,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata Jais menekankan pematuhan SOP ketika solat berjemaah di masjid dan surau kerana bimbang rumah ibadat itu ditutup jika berlaku penularan wabak terutama membabitkan individu tidak bergejala.

“Kes di Seksyen 23 Shah Alam boleh sahaja berlaku di mana-mana namun jika SOP Jais dikuatkuasakan oleh pentadbir dan jemaah berdisiplin, kesan penularan dapat dikurangkan peratusan yang tinggi dan kawalan penularan lanjut dapat dibuat dengan efisyen.

“Tiada siapapun yang mahu jadi pembawa atau dijangkiti, tetapi cabaran besar kita adalah pembawa yang tidak bergejala. Tiada ikhtiar lain, kecuali ikut SOP ditetapkan,” katanya.

Terdahulu Surau Al Jannah diarah tutup selepas seorang jemaahnya dipercayai mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19 dari kluster Sivagangga.

Mohd Shahzihan menambah, operasi nyahkuman sudah dibuat di surau berkenaan hari ini dan tempoh penutupan bergantung kepada keputusan saringan.

Categories
AGENDA NASIONAL

MKN, KKM tentukan tutup masjid, surau di kawasan PKPD bersasar

BUTTERWORTH, 9 OGOS: Penutupan masjid dan surau dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) bergantung pada nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan solat jemaah amat tegas dan jelas sekiranya berlaku wabak dan atas nasihat MKN dan KKM, penutupan surau dan masjid akan dibuat berdasarkan pada maslahah semasa dan setempat.

“Ini dilakukan untuk menghalang dan menyekat daripada tersebarnya wabak tersebut …berdasarkan SOP yang telah kita tetapkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Guru Takmir Masjid dan Surau Peringkat Zon Utara Tahun 2020 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat keperluan untuk menutup semua surau dan masjid dalam kawasan Temco susulan penularan jangkitan Covid-19 daripada kluster Sivagangga.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengesahkan hanya tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, merekodkan individu positif Covid-19 daripada kluster Sivagangga.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata guru takmir perlu memainkan peranan dalam memberi kefahaman berhubung hal ehwal agama Islam kepada masyarakat dengan mengimarahkan masjid dan surau.

“Guru takmir antara komponen utama. Saya tak nak masjid kosong, kaku dan tiada pengisian. Justeru, saya menyeru penduduk kampung, desa dan taman mahupun bandar, bila datangnya guru takmir (beri ceramah) hadir lah untuk mendapatkan ilmu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata pihaknya menyusun beberapa program khusus untuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam usaha memberi kefahaman dan kesedaran kepada golongan itu terutamanya hal ehwal agama Islam.

“Saya sendiri akan mengadakan perbincangan dengan mereka dan pada masa yang sama Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) dan saya juga akan berkolaborasi dengan negeri untuk sama-sama kita menzahirkan kepada mereka (LGBT) kesedaran terutamanya hal ehwal agama kita,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sivagangga: Semua laluan ke Kuala Sanglang ditutup pagi esok

KUALA PERLIS, 9 OGOS: Semua laluan keluar masuk ke Kuala Sanglang akan ditutup sepenuhnya bermula 8 pagi esok.

Selain itu, pihak polis juga akan memperketatkan kawalan di tiga laluan tikus iaitu satu di Kampung Tanah Timbul dan dua di Kampung Kuala Sanglang, dengan kedua-dua kampung kini dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata semalam semua penduduk di Kampung Tanah Timbul telah menjalani saringan dan penduduk Kampung Kuala Sanglang pula hari ini, dan apabila proses saringan selesai hari ini semua jalan akan mula ditutup esok.

“Penduduk di kedua-dua kampung tersebut tidak dibenarkan keluar rumah dan mereka perlu melakukan kuarantin di rumah sehingga tempoh Temco tamat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata hanya ketua keluarga dibenarkan keluar untuk mendapatkan keperluan makanan terhad di kawasan Temco sahaja.

Sementara itu, Surina berkata pihak polis tidak mengeluarkan sebarang surat membenarkan mana-mana individu keluar masuk kawasan Temco sebaliknya surat kebenaran hanya dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

-BERNAMA