Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kesan PKPB ke atas KDNK hanya minimum – Midf Research

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijangka hanya memberi kesan minimum kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Kerajaan menguatkuasakan PKPB mulai 13-26 Oktober di Sabah dan 14-27 Oktober di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

MIDF Research berkata memandangkan PKPB kurang ketat berbanding perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO), impak gangguan seharusnya sedikit kerana kebanyakan aktiviti ekonomi akan dibenar meneruskan aktiviti seperti biasa, tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP).

Sehubungan itu, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran KDNKnya pada penguncupan -4.8 peratus untuk 2020.

“Dalam laporan kami sebelumnya, kami menganggarkan sekiranya TEMCO selama sebulan dilaksanakan di Lembah Klang, kesannya kepada ekonomi Malaysia boleh mencecah RM28.8 bilion dari segi kerugian output atau -1.9 peratus daripada KDNK ekoran kemerosotan dalam permintaan agregat.

“Ini ialah kerana berdasarkan saiz ekonomi, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menyumbang sekitar 40 peratus kepada KDNK Malaysia. Ini boleh menjurus kepada penguncupan yang lebih dalam bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan KDNK diunjur menguncup pada kadar yang lebih meruncing sebanyak -6.7 peratus,” katanya.

Anggaran itu dikira berdasarkan kepada andaian TEMCO di Lembah Klang akan menjadi ketat seperti PKP semasa gelombang pertama penularan Covid-19,” katanya.

Dari sudut permintaan, sekatan pergerakan fizikal akan memberi kesan buruk terhadap kedua-dua tahap dan kepelbagaian aktiviti penggunaan, katanya.

“Kami menyedari kesan utama PKPB ke atas ekonomi terutama disebabkan oleh perbelanjaan pengguna yang lemah dan kesan limpahan kepada industri perkhidmatan, terutama subsektor berkaitan pengguna seperti sektor perdagangan runcit, restoran, hotel, pengembaraan, pendidikan dan rekreasi,” katanya.

Untuk pasaran pula, MIDF Research menjangkakan terdapatnya beberapa sentimen negatif jangka pendek berikutan pelaksanaan PKPB sambil menyatakan pasaran mungkin berada dalam situasi tidak menentu pada masa ini.

“Kami percaya para pelabur perlu memilih saham berpotensi yang mempunyai asas yang kukuh dan berpendapatan defensif,” kata beliau.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Putuskan rantaian penularan Covid-19, elak hadapi PKP semula

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Malaysia nampaknya kembali semula ke titik asal usahanya untuk membendung penularan pandemik Covid-19 dengan pengumuman berturut-turut lonjakan kes baharu, pada ketika ekonomi negara mula menunjukkan petanda pemulihan.

Malaysia merekodkan kes jangkitan baharu tertinggi sebanyak 287 pada 2 Oktober dan 260 kes pada 1 Oktober, yang kini merupakan kes ketiga tertinggi dicatatkan sejak pandemik itu melanda negara pada awal tahun ini.

Angka baharu itu mencerminkan negara telah memasuki gelombang ketiga memerangi pandemik tersebut yang memberikan cabaran utama kepada ekonomi.

Kini amat kritikal untuk mencari kaedah baharu bagi melandaikan semula keluk jangkitan tersebut sekali lagi.

Peningkatan ketara jangkitan pada 1 dan 2 Oktober itu adalah disebabkan oleh pertambahan perjalanan ke dan dari Sabah berikutan pilihan raya negeri dengan angka jangkitan kini berjumlah lebih 11,400 kes dan jumlah kematian seramai 136 setakat ini.

Pada 4 Jun, negara sebelum ini melaporkan 277 jangkitan baharu dengan hanya empat daripada kes adalah penularan tempatan, manakala majoriti kes adalah dalam kalangan pekerja asing daripada Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

Sudah sampai masanya untuk kita melihat dengan serius bagaimana untuk membendung penularan itu sekali lagi.

Pihak berkuasa telah memberi jaminan bahawa ia akan memantau rapat dan membendung penularan Covid-19 namun pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) daripada masyarakat adalah amat kritikal sekarang.

Mampukah kita hadapi sekali lagi PKP?

Jawapannya adalah TIDAK.

Ekonomi Malaysia telah terjejas teruk akibat Covid-19 yang menyebabkan penguncupan dua angka sebanyak 17.1 peratus pada suku kedua 2020.

Ini terutamanya disebabkan oleh penurunan permintaan domestik susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula pada 18 Mac bagi membendung penularan Covid-19 selain persekitaran luaran yang lemah.

Menurut Bank Dunia, Malaysia memasuki fasa penularan pandemik itu dengan ruang fiskal yang terhad akibat rentetan penurunan hasil kerajaan sejak 2012 serta peningkatan perbelanjaan yang ketara.

Berikutan kekangan dan kualiti respon fiskal terhadap penularan tersebut menyaksikan kerajaan sebaliknya lebih banyak bergantung kepada mekanisme monetari dan sektor kewangan.

Kelompok isi rumah misalnya berharap kepada sokongan kewangan berterusan sepanjang tempoh pemulihan dan memerlukan sistem jaringan keselamatan sosial yang dipertingkat bagi memberi perlindungan lebih agresif dan mampan serta melangkaui daripada pendekatan memberi bantuan sekali ketika krisis.

Penggunaan swasta turut merosot mendadak berikutan pendapatan isi rumah yang lebih rendah, sekatan pergerakan dan kelemahan sentimen pengguna dan perniagaan.

Malah, ketidakpastian yang ketara tidak hanya menjejaskan sentimen tetapi turut menyaksikan penyusutan pelaburan swasta.

Bagaimanapun, pembukaan semula ekonomi telah memberi kesan dari segi tanda-tanda pemulihan sebagaimana dibuktikan oleh beberapa petunjuk seperti sektor borong dan runcit, pengeluaran perindustrian, eksport serta peningkatan perbelanjaan kad kredit.

Bagi memacu ekonomi, kerajaan setakat ini telah mengumumkan pakej rangsangsan ekonomi bernilai RM305 bilion dengan yang terbaharu membabitkan pakej Inisiatif Tambahan PRIHATIN dengan peruntukan RM10 bilion atau KITA PRIHATIN yang sejajar dengan usaha untuk meningkatkan pemulihan ekonomi.

Pakej KITA PRIHATIN merupakan kesinambungan pakej-pakej rangsangan ekonomi terdahulu iaitu PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA bernilai RM295 bilion atau kira-kira 20 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dengan suntikan fiskal tambahan oleh kerajaan sebanyak RM45 bilion.

Selain itu, pasaran tenaga kerja Malaysia juga meningkat pada Julai lepas.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini mendedahkan kadar pengangguran merosot kepada 4.7 peratus pada bulan berkenaan berbanding 4.9 peratus pada Jun dan 5.3 peratus pada Mei. Bilangan penganggur pada Julai adalah sebanyak 745,100 orang, penurunan seramai 28,200 orang daripada bulan sebelumnya.

Namun, pelaksanaan sekali lagi perintah kawalan pergerakan (PKP) akan menjejaskan lagi rakyat Malaysia terutamanya sektor perniagaan, dan mereka yang berpendapatan rendah akan mendapati sukar untuk bertahan selepas pusingan pertama PKP pada awal tahun ini.

Prospek Pemulihan Ekonomi

Bank Dunia dalam laporan terbaharu Perkembangan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik bagi Oktober 2020 berkata negara-negara yang masih berdepan pertimbangan antara pembendungan dan pemulihan boleh meringankan situasi tersebut dengan membangunkan kapasiti pembendungan pintar.

Tempoh pembendungan ketat atau tidak aktif akan digunakan bagi mewujudkan kapasiti mengehadkan penularan penyakit tanpa menggunakan langkah-langkah disruptif berlebihan, seperti yang dilihat di negara-negara yang telah berjaya melaksanakannya seperti di China dan Vietnam.

Langkah-langkah strategik yang sama telah dilaksanakan oleh kerajaan di sini melalui Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan Bersasar Secara Pentadbiran (TEMCO) yang pertama di Kedah dan seterusnya di Sabah, yang kini mencatatkan bilangan kes aktif tertinggi.

”Di saat kita cuai, virus ini akan terus merebak, Sabah adalah contoh terbaik tatkala kita mula cuai, maka inilah apa yang berlaku.

“Kita semua perlu mengambil iktibar daripada perkara ini supaya kita tidak mengulanginya sekali lagi” kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah .

Sentiasa berjaga-jaga, tidak cuai dan komunikasi yang tepat adalah kunci bagi memutuskan rantaian pandemik ini, sekali lagi, dan memastikan ekonomi kekal berada di landasan pertumbuhan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD bersasar di Kedah, Perlis tamat esok

SHAH ALAM, 25 OGOS: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul, Perlis serta empat mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap, Kedah tamat esok.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata keputusan itu diambil atas nasihat Kementerian Kesihatan selepas semua penduduk di kawasan tersebut disaring dan tiada kes baharu Covid-19.

“KKM telah menyaring 1,397 penduduk di Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul serta lebih 7,000 penduduk di Kubang Pasu dan Padang Terap, ” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata KKM mengesan beberapa kes melibatkan kluster Tawar di empat daerah di Kedah.

“Bagaimanapun Temco tidak akan dilaksanakan di kawasan tersebut sebaliknya langkah pencegahan diambil menerusi kawalan pergerakan secara bersasar,” katanya.

Perintah berkenaan melibatkan empat mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap bermula 3 Ogos dan sepatutnya tamat pada 30 Ogos manakala Temco di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul berkuat kuasa 8 Ogos hingga 4 September.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua kawasan di Perlis dikenakan PKPD pentadbiran – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Dua kawasan di Perlis iaitu Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar Secara Pentadbiran (Temco) bermula dari hari ini hingga 31 Ogos.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penguatkuasaan Temco itu melibatkan 191 buah rumah dengan 872 orang penduduk.

“Pelaksanaan Temco akan mengguna pakai tatacara operasi piawai (SOP) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan beberapa ‘cut off’ jalan raya. Pergerakan keluar masuk oleh penduduk setempat atau penduduk dari luar kawasan Temco adalah dilarang,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini mengesahkan 11 kes termasuk 10 kes baharu Covid-19 di Perlis berasal daripada Kluster PUI Sivagangga di Kedah.

Ismail Sabri berkata premis perniagaan di bawah perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi di dalam kawasan Temco dan masa operasi dihadkan dari pukul 8 pagi sehingga 6 petang.

Selain itu katanya pergerakan di dalam kawasan Temco adalah dibenarkan dan bekalan makanan dibenarkan dibawa masuk ke kedai runcit yang berada di dalam kawasan terlibat.

Menurutnya lagi semua pejabat kerajaan dan sekolah yang terletak di dalam kawasan berkenaan juga ditutup dan semua aktiviti keagamaan di masjid-masjid dihadkan secara bersyarat manakala semua rumah ibadat bukan Islam tidak dibenarkan beroperasi.

“Petugas KKM akan melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas semua penduduk di dalam kawasan Temco,”katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata terdapat sedikit kekeliruan apabila terdapat kerajaan negeri mengumumkan mengenai melaksanakan Temco di lokaliti negeri mendahului kerajaan persekutuan.

Oleh itu beliau mengingatkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah di bawah Kerajaan Persekutuan dan perlu dipatuhi oleh semua kerajaan negeri kecuali negeri Sarawak.

“Kesan daripada kerajaan negeri melaksanakan sendiri peraturan tanpa kelulusan Kerajaan Persekutuan, akta tersebut tak boleh dikuatkuasakan dan polis tak boleh ambil tindakan kecuali dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau memberi contoh Kerajaan Negeri Sabah yang mengumumkan perhimpunan ramai tidak boleh melebihi 150 orang sedangkan ia menyalahi peraturan di bawah Akta 342 yang membenarkan perhimpunan ramai tidak lebih 250 orang.

Beliau berharap agar kekeliruan tersebut tidak berulang lagi kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat terlibat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MKN, KKM tentukan tutup masjid, surau di kawasan PKPD bersasar

BUTTERWORTH, 9 OGOS: Penutupan masjid dan surau dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) bergantung pada nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan solat jemaah amat tegas dan jelas sekiranya berlaku wabak dan atas nasihat MKN dan KKM, penutupan surau dan masjid akan dibuat berdasarkan pada maslahah semasa dan setempat.

“Ini dilakukan untuk menghalang dan menyekat daripada tersebarnya wabak tersebut …berdasarkan SOP yang telah kita tetapkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Guru Takmir Masjid dan Surau Peringkat Zon Utara Tahun 2020 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat keperluan untuk menutup semua surau dan masjid dalam kawasan Temco susulan penularan jangkitan Covid-19 daripada kluster Sivagangga.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengesahkan hanya tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, merekodkan individu positif Covid-19 daripada kluster Sivagangga.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata guru takmir perlu memainkan peranan dalam memberi kefahaman berhubung hal ehwal agama Islam kepada masyarakat dengan mengimarahkan masjid dan surau.

“Guru takmir antara komponen utama. Saya tak nak masjid kosong, kaku dan tiada pengisian. Justeru, saya menyeru penduduk kampung, desa dan taman mahupun bandar, bila datangnya guru takmir (beri ceramah) hadir lah untuk mendapatkan ilmu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata pihaknya menyusun beberapa program khusus untuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam usaha memberi kefahaman dan kesedaran kepada golongan itu terutamanya hal ehwal agama Islam.

“Saya sendiri akan mengadakan perbincangan dengan mereka dan pada masa yang sama Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) dan saya juga akan berkolaborasi dengan negeri untuk sama-sama kita menzahirkan kepada mereka (LGBT) kesedaran terutamanya hal ehwal agama kita,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sivagangga: Semua laluan ke Kuala Sanglang ditutup pagi esok

KUALA PERLIS, 9 OGOS: Semua laluan keluar masuk ke Kuala Sanglang akan ditutup sepenuhnya bermula 8 pagi esok.

Selain itu, pihak polis juga akan memperketatkan kawalan di tiga laluan tikus iaitu satu di Kampung Tanah Timbul dan dua di Kampung Kuala Sanglang, dengan kedua-dua kampung kini dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata semalam semua penduduk di Kampung Tanah Timbul telah menjalani saringan dan penduduk Kampung Kuala Sanglang pula hari ini, dan apabila proses saringan selesai hari ini semua jalan akan mula ditutup esok.

“Penduduk di kedua-dua kampung tersebut tidak dibenarkan keluar rumah dan mereka perlu melakukan kuarantin di rumah sehingga tempoh Temco tamat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata hanya ketua keluarga dibenarkan keluar untuk mendapatkan keperluan makanan terhad di kawasan Temco sahaja.

Sementara itu, Surina berkata pihak polis tidak mengeluarkan sebarang surat membenarkan mana-mana individu keluar masuk kawasan Temco sebaliknya surat kebenaran hanya dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

-BERNAMA