Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: 30 sekolah di Selangor ditutup dua hari

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Sebanyak 30 sekolah di Selangor dan 13 sekolah di Negeri Sembilan diarah ditutup dua hari berikutan penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan warganya.

Di SELANGOR, Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata penutupan 30 sekolah hari ini dan esok adalah untuk memastikan kerja sanitasi dibuat dan memberi peluang kepada pelajar untuk membuat saringan.

“Setakat ini keadaan pelajar yang dijangkiti Covid-19 di semua sekolah ini tidak menunjukkan simptom yang teruk dan mereka sedang menerima rawatan,” katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan pemantauan pemberian vaksin fasa dua Covid-19 di Dewan Sukan Pandamaran, hari ini.

Dr Sha’ari berkata bagi setiap kes yang berlaku Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan menghubungi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan akan membuat perbincangan apa langkah yang sepatutnya dilakukan pada sekolah-sekolah yang berisiko dan kuasa untuk menutup sekolah akan dilakukan oleh PPD.

Di NEGERI SEMBILAN pula, Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata 12 buah sekolah diarah tutup hari ini dan esok, manakala sebuah sekolah lagi, SJKC Sino English di Seremban, diarah tutup mulai esok.

Beliau berkata 12 buah sekolah yang diarahkan tutup selama dua hari bermula hari ini ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, SJKC Pei Hua, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 3, Sekolah Kebangsaan (SK) Lavender Height.

“Turut diarah tutup hari ini, SK Taman Seri Mawar, Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar, SJK Tamil Covent, SK Senawang 3, SK Mantin dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, SK Kampung Ladang Gemas dan SMK Kampung Baru Si Rusa,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu terdapat empat buah sekolah dilanjutkan tempoh penutupan iaitu SMK Seremban 2, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Nilai, SK Desa Cempaka di Nilai dan SK Port Dickson, yang penutupannya dilanjutkan sehingga Jumaat ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

79 sekolah di Selangor ditutup sementara dua hari

SHAH ALAM, 26 APRIL: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengesahkan sebanyak 79 sekolah negeri ini ditutup sementara berikutan pengesanan kes Covid-19.

Penutupan selama dua hari mulai hari ini melibatkan 19 sekolah kawasan daerah pendidikan Hulu Langat, Petaling Perdana (18) dan Klang (15).

Turut diarahkan tutup ialah masing-masing sembilan sekolah di kawasan daerah pendidikan Gombak dan Petaling Utama, Hulu Selangor (lima) dan dua di Kuala Langat serta Sepang.

Menurut JPN, sekolah berkenaan ditutup selepas pengesanan jangkitan pada 25 April.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Langat Mohd Jusni Hashim mengesahkan dua sekolah dalam pentadbirannya ditutup sehingga esok.

Minggu lalu, sebanyak 19 sekolah sekitar Petaling diarah tutup berikutan pengesanan kes Covid-19.

Sabtu lalu, Sekolah Menengah Sains Banting, Kuala Langat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat sehingga 7 Mei selepas 71 pelajar disahkan positif Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

PIBGN cadang PPD jadi pusat sehenti selesai masalah PdPR, DidikTV

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan (KPM) menjadikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebagai ‘one stop centre’ atau pusat sehenti dalam menyelesaikan dan menangani masalah berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) serta DidikTV KPM.

Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata ini berikutan PPD adalah medium terbaik untuk berhubung dengan ibu bapa yang menghadapi kerumitan dan membawa masalah setempat kepada pihak atasan dengan segera.

“Saya cadangkan KPM boleh mewujudkan talian hotline dan diuruskan oleh kakitangan berdedikasi yang ditugaskan khusus untuk menangani dan mengatasi apa sahaja perkara ini (PdPR dan DidikTV) di peringkat daerah berbanding dipusatkan di negeri atau peringkat kebangsaan.

“Ini cara penyelesaian yang baik untuk membantu ibu bapa di pedalaman. Misalnya, wakil rakyat mudah dihubungi di peringkat daerah, jadi hanya PPD yang mempunyai akses mudah kepada ibu bapa, seterusnya membawa perkara tersebut ke peringkat pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai persediaan terhadap PdPR sekiranya sekolah ditutup semula berikutan jangkitan Covid-19 di institusi tersebut.

Sejak seminggu lepas, dilaporkan terdapat jangkitan Covid-19 di sekolah yang menyebabkan beberapa kluster dikesan di sekolah dan institusi pendidikan di beberapa negeri.

Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, Selangor pada Isnin lepas telah mengeluarkan arahan supaya 19 sekolah di negeri itu ditutup selepas kes jangkitan Covid-19 dikesan di sekolah terbabit.

Sehubungan itu, Mohamad Ali berpendapat KPM perlu mempertimbangkan supaya semua sekolah di seluruh negara ditutup sementara selama dua minggu memandangkan terdapat banyak petunjuk negatif yang mengancam kesihatan dan keselamatan warga sekolah.

“Tetapi ibu bapa janganlah rasa gentar dan curiga kerana saya percaya ini yang sebaiknya, kita memikirkan dari segi keselamatan serta nyawa anak kita dan pada masa yang sama kita tidak mengetepikan pendidikan. Jadi buat masa ini, inilah cara yang terbaik,” katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) Mak Chee Kin berpendapat adalah tidak adil jika sekolah ditutup sepenuhnya kerana laporan menunjukkan jangkitan Covid-19 tidak datang daripada sekolah, tetapi jangkitan dalam komuniti menerusi ibu bapa atau penjaga pelajar.

Sebaliknya, beliau berkata sokongan daripada semua pihak, termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah masing-masing, dapat meningkatkan lagi pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) di sekolah.

“PIBG dan orang awam yang tidak mempunyai latar belakang perubatan seharusnya menjadi pihak terakhir yang meminta penutupan sekolah disebabkan beberapa kes terpencil. Mereka tidak perlu menekan butang panik dan menimbulkan lebih banyak kekeliruan.

“Sebaliknya, dalam situasi seperti ini, mereka perlu membantu pengurusan sekolah untuk meningkatkan pematuhan SOP di sekolah dan mendapatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah,” katanya dan menambah ahli PIBG boleh memantau pergerakan pelajar atau ibu bapa semasa datang dan balik sekolah, secara sukarela.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata sekiranya sekolah diarahkan tutup dan dibuka sekali lagi, KPM diharap dapat menyediakan SOP untuk membuka sekolah secara bergilir sahaja, seperti yang disarankan tahun lepas.

Katanya, penggiliran jadual jelas dapat mengawal bilangan pelajar dan kakitangan ke sekolah untuk tempoh tertentu apabila separuh pelajar ke sekolah dan separuh lagi PdPR mengikut tahap.

“Agak telah menjadi norma baharu PdPR ini, ibu bapa pun sudah tahu apa yang perlu dilakukan.

“Memandangkan kes jangkitan Covid-19 kian menaik, kebarangkaliannya sekolah terpaksa ditutup semula adalah tinggi. PdPR adalah langkah terakhir kerana tiada pilihan lain. Hendak atau tidak, ibu bapa pun tiada pilihan,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 27 sekolah di Johor ditutup

JOHOR BAHRU, 21 APRIL: Sebanyak 27 sekolah di Johor terpaksa ditutup setelah merekodkan kes positif Covid-19 dalam kalangan petugas, murid dan pelajarnya.

Penutupan itu meliputi 10 sekolah agama dan 17 lagi merupakan sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan sekolah jenis kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri Mazlan Bujang berkata kesemua 17 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan itu ditutup secara berperingkat sejak tiga hari lepas.

“Penutupan selama seminggu itu bagi memberi laluan kepada ujian calitan Covid-19 ke atas semua pihak terlibat serta proses sanitasi dijalankan.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana keadaan masih terkawal,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas senarai 29 sekolah yang tular di media sosial kerana kononnya telah mencatatkan kes positif Covid-19 baharu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata sekolah agama yang ditutup melibatkan empat daerah iaitu Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi dan Mersing, dengan tempoh penutupan adalah antara empat hingga 11 hari .

“Di Johor Bahru, ia melibatkan Sekolah Agama (SA) Tambatan Tinggi; Kota Tinggi (SA Taman Sri Saujana); Kulai (SA Taman Kota Kulai 2 dan SA Taman Muhibah) dan Mersing (SA Teriang, SA Tan Sri Abd Kadir; SA Bandar Endau, SA Semanyir, SA Belukar Juling dan SA Pusat Air Tawar),” katanya.

Isnin lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R.Vidyananthan berkata seramai 159 pelajar daripada lima sekolah di Johor Bahru telah diarahkan supaya menjalani ujian calitan Covid-19 di Pusat Sehenti Penilaian Covid-19 di Pasir Gudang dan Bukit Indah.

Vidyananthan juga berkata tindakan telah diambil bagi memastikan tiada penularan berlaku di sekolah yang dikenal pasti.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekolah, institusi pendidikan di tujuh daerah PKP Kelantan ditutup

KOTA BHARU, 18 APRIL: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan mengarahkan semua sekolah dan institusi pendidikan yang berada di tujuh jajahan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu ditutup bermula hari ini hingga 24 April depan.

Pengarah JPN Kelantan Zulkernai Fauzi berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Khas Kelantan – Penguatkuasaan Covid-19 petang semalam.

Beliau berkata jawatankuasa mencadangkan kepada JPN supaya menutup semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di tujuh jajahan yang dilaksanakan PKP.

“Cadangan ini dipertimbangkan dan dengan mengambil kira situasi semasa, KPM membuat ketetapan semua sekolah yang berada dalam jajahan PKP diarah tutup bagi tempoh tujuh hari mulai 18 hingga 24 April.

“Selaras dengan keputusan itu, semua murid yang tinggal di asrama perlu kekal berada di asrama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkernai berkata arahan itu akan dimaklumkan kepada semua pentadbir sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk tindakan selanjutnya.

Serentak itu juga, beliau berkata guru hendaklah dipastikan dapat melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang tempoh penutupan sekolah.

Jelasnya, pada masa sama semua pegawai Pendidikan Daerah hendaklah terus membuat pemantauan semua sekolah bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan dipatuhi.

Rabu lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tujuh kawasan di Kelantan yang terdiri daripada jajahan/daerah di Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah dikenakan PKP bermula 16 hingga 29 April.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Tiga lagi sekolah di Perak ditutup

BAGAN SERAI, 19 OKT: Sebanyak tiga sekolah di Perak diarah tutup selama tujuh hari mulai hari ini selepas terdapat jangkitan wabak Covid-19 dalam kalangan pelajar di sekolah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil negeri Razman Zakaria berkata sekolah terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Kebun di Parit Buntar dan SK Klebang Jaya serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Chemor, kedua-duanya di Ipoh.

Beliau berkata pihaknya dimaklumkan pelajar terbabit disahkan positif jangkitan Covid-19 pada 16 Okt lepas.

“Surat arahan penutupan sekolah selama tujuh hari sehingga 25 Okt sudah dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri dan diedarkan ke sekolah terbabit bagi tujuan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi,” katanya dalam sidang media hari ini.

Penutupan terbaharu itu menjadikan jumlah sekolah yang ditutup di Perak disebabkan terdapat jangkitkan wabak Covid-19 membabitkan guru dan pelajar adalah sebanyak empat termasuk SK Lekir Batu 8 di Sitiawan, Manjung yang ditutup tujuh hari sejak 14 Okt lepas.

Sementara itu, enam sekolah di daerah Larut, Matang dan Selama yang ditutup tujuh hari sejak 12 Okt iaitu SMK King Edward VII; SMK (P) Treacher Methodist; SK Convent Kota; SMK Bukit Jana, Kamunting dan SK Taman Jana, Kamunting yang semuanya di Taiping serta SK Ulu Mengkuang, Selama dibuka semula hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Zon merah: Periksa sekolah tutup di Klang dalam portal KPM

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Ibu bapa, penjaga dan warga sekolah boleh melayari portal Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengetahui senarai 142 sekolah di daerah Klang yang ditutup bermula hari ini sehingga 23 Oktober berikutan terletak di zon merah Covid-19.

KPM dalam kenyataan hari ini memberitahu senarai itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan akan dimuat naik di portal KPM di www.moe.gov.my dan di platform media sosial rasmi KPM.

“KPM menerima banyak pertanyaan berhubung sekolah-sekolah yang ditutup di daerah Klang, sehubungan itu, bersama-sama ini juga dilampirkan senarai sekolah yang ditutup di zon merah Klang untuk rujukan,” jelas kenyataan itu.

Sekolah Kebangsaan (SK) yang terlibat dalam penutupan adalah SK Kapar; SK Bukit Kapar; SK Tok Muda; SK Sungai Serdang; SK Abdul Samat; SK Meru; SK Sungai Kapar Indah; SK Bukit Ceraka; SK Klang; SK Telok Gadong; SK Telok Menegon; SK Batu Belah; SK Rantau Panjang; SK Sementa; SK Sungai Binjai; SK Bukit Kuda; SK Kg Johan Setia; SK Kg Pendamar; SK Taman Klang Jaya; SK Telok Pulai; SK Sungai Udang; SK Taman Klang Utama; SK Kampung Jawa; SK Taman Sri Andalas; SK Taman Gembira dan SK Bukit Tinggi;

SK Meru (2); SK Kampung Jawa 2; SK Batu Unjur; SK Methodist Acs; SK (1) Jalan Batu Tiga; SK (2) Jalan Batu Tiga; SK Convent (1); SK Convent (2); SK La Salle; SK (1) Jalan Meru; SK (2) Jalan Meru; SK (P) Methodist; SK (P) Bukit Kuda; SK (1) Simpang Lima; SK (2) Simpang Lima; SK Pelabuhan Kelang; SK Pulau Indah; SK Kg Raja Uda; SK Pandamaran Jaya; SK Telok Gong; SK Pelabuhan Utara; SK Kampung Idaman; SK Pulau Indah (2); SK Methodist; SK Tengku Bendahara Azman (1); SK Tengku Bendahara Azman (2) dan SK St Anne’s Convent.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) pula ialah SMK Tengku Idris Shah; SMK (P) Kapar; SMK Bukit Kapar; SMK Sungai Kapar Indah; SMK Raja Mahadi; SMK Tengku Ampuan Rahimah; SMK Sultan Abdul Samad; SMK Rantau Panjang; SMK Telok Gadong; SMK Sri Andalas; SMK Kampung Jawa; SMK Taman Klang Utama; SMK Shahbandaraya dan SMK Batu Unjur;

SMK Bukit Tinggi Klang; SMK Methodist (ACS); SMK Convent; SMK Tinggi Klang; SMK Kwang Hua; SMK La Salle; SMK (P) Methodist; SMK (P) Bukit Kuda; SMK Meru; SMK Raja Lumu; SMK Tengku Ampuan Jemaah; SMK Pendamaran Jaya; SMK Bandar Baru Sultan Suleiman; SMK Dato Hamzah; SMK (P) Raja Zarina; SMK Pulau Ketam dan SMK Pulau Indah.

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang terlibat pula adalah SJKC Soo Jin; SJKC Ying Wah; SJKC Perempuan; SJKC Chuen Min; SJKC Hin Hua; SJKC Khe Beng; SJKC Kong Hoe; SJKC Pui Ying; SJKC Tiong Hua Kok Bin; SJKC Wu Teck; SJKC Pin Hwa (2); SJKC Taman Rashna; SJKC Hwa Lien; SJKC Keng Chee; SJKC Lee Min; SJKC Pandamaran ‘A’; SJKC Pandamaran ‘B’; SJKC Sin Bin dan SJKC Tshing Nian.

Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) pula SJKT Ladang Brafferton; SJKT Ladang Jalan Acob; SJKT Methodist; SJKT Ladang Batu Ampat; SJKT Ladang Bukit Rajah; SJKT Ladang Emerald; SJKT Ladang Highlands; SJKT Jalan Tepi Sungai; SJKT Jalan Meru; SJKT Simpang Lima; SJKT Ladang Vallambrosa; SJKT Taman Sentosa; SJKT Ladang North Hummock dan SJKT Persiaran Raja Muda Musa.

Selain itu, turut terlibat dalam penutupan adalah Kolej Tingkatan Enam Sri Istana; Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Sultan Hisamuddin; Sekolah Agama Menengah (SAM) Hisamuddin; SAM Nurul Iman; Kolej Vokasional Klang dan Kolej Islam Sultan Alam Shah.

Sekolah swasta yang terlibat adalah Sekolah Sri Acmar (Rendah); Sekolah Rendah Sri Lethia; Sekolah Rendah Zenith; Sekolah Rendah Islam Hira’; Sekolah Rendah Hafiz; Sekolah Sri Acmar (Menengah); Sekolah Sri Lethia (Menengah); Sekolah Methodist Wesley Klang; Sekolah Menengah Zenith; Sekolah Menengah Hafiz; Sekolah Menengah Persendirian Kwang Hua; Sekolah Menengah Pin Hwa; Sekolah Menengah Hin Hua; Sekolah Menengah Persendirian Cina Chung Hua; Regent International School; Acmar International School; Regent International Secondary School; Sekolah Rendah Ibn Khaldun dan Sekolah Menengah Ibn Khaldun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sivagangga: Lagi sekolah di Kuala Sanglang tutup

KANGAR, 9 OGOS: Sebuah lagi sekolah di Kuala Sanglang diarah tutup oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) yang dikuatkuasakan sejak mala m tadi, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata penutupan Sekolah Jenis Kebangsaan Chin Hun, sekolah ketiga yang diarah tutup di negeri itu, juga adalah selama dua minggu bermula esok hingga 23 Ogos ini.

“Penutupan selama dua minggu tiga sekolah terbabit melibatkan 876 murid dan 112 guru,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Bernama semalam melaporkan jabatan pendidikan negeri itu mengarahkan dua sekolah ditutup iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Sanglang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Sanglang.

Mengulas lanjut, Azlan berkata guru-guru terlibat diwajibkan menjalani Perintah Pengasingan Di Rumah (HIO) selama tempoh tersebut.

Beliau berkata selain itu, 15 pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi yang tinggal di dua kampung terlibat iaitu Kampung Tanah Timbul dan Kampung Kuala Sanglang yang akan menjalani peperiksaan mulai 12 Ogos ini, telah pun disediakan tempat tinggal sementara di asrama sekolah dan tempat tinggal alternatif lain berhampiran.

Kerajaan Negeri Perlis melaksanakan Temco selama 28 hari bermula 10 malam tadi di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Sehingga semalam, Perlis mencatatkan 30 kes positif Covid-19 dan kesemuanya daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga yang bermula di Napoh, Kubang Pasu, Kedah.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kenyataan semua sekolah di Selangor ditutup palsu

SHAH ALAM, 22 SEPT: Berita berhubung penutupan semua sekolah di Selangor selama dua hari bermula esok adalah palsu.

Perkara itu disahkan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan dan Bencana Selangor, pada jam 9 malam tadi.

Terdahulu, tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp kononnya Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mengeluarkan kenyataan media berhubung penutupan sekolah pada 23 dan 24 September akibat jerebu teruk.

Namun setelah diteliti, kenyataan yang dikeluarkan pada 18 September itu telah diubahsuai kepada 22 September.

Tarikh penutupan sekolah yang pada asalnya ialah 18 dan 20 September pula diubahsuai kepada 23 dan 24 September.

Sehingga jam 3 petang tadi, Kementerian Pendidikan Malaysia mengesahkan hanya 57 sekolah di Selangor bagi daerah Klang dan Kuala Langat ditutup esok (23 September).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

57 sekolah di Selangor ditutup esok

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 SEPT : Sebanyak 57 sekolah di daerah Kuala Langat dan Klang akan ditutup esok, susulan keadaan jerebu yang serius di kawasan berkenaan.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, penutupan itu membabitkan 30 sekolah di Kuala Langat dan 27 sekolah di Klang.

Penutupan sekolah terbabit membabitkan 68,025 pelajar dan murid.

“Penutupan dilakukan hasil laporan Jabatan Pendidikan Selangor berhubung bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Johan Setia Klang melebihi 200 pada jam 2 petang, hari ini.

“Sementara sekolah-sekolah yang tidak disenaraikan akan kembali beroperasi seperti biasa pada hari esok, 23 September.

“Bagi sekolah yang merujuk bacaan IPU lebih 100 diingatkan supaya menghentikan kesemua aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan murid. Aktiviti keramaian atau sukan di luar bangunan hendaklah ditangguhkan.

“Sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa kesemasa dan pihak sekolah telah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dalam mengutamakan kesihatan murid dan guru,” kata kenyataan itu.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Semua sekolah di Selangor, KL, Putrajaya, Pulau Pinang tutup dua hari

PUTRAJAYA, 18 SEPT: Semua sekolah dan tadika di Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur (KL) dan Putrajaya ditutup selama dua hari bermula esok, umum Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek, hari ini.

Beliau berkata, penutupan sekolah dan tadika di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya dibuat ekoran bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin tinggi dan berbahaya, manakala di Selangor pula penutupan sekolah dibuat Jawatankuasa Bantuan dan Bencana Selangor.

“Bagi guru-guru yang terlibat dengan penutupan sekolah, mereka diberi pilihan untuk bekerja dari rumah atau hadir ke sekolah,” katanya pada sidang media sempena Majlis ‘Meet and Greet Pasukan Malaysia Warrior and Malaysia Tiger’, di sini, hari ini.

Maszlee berkata, semua pengumuman dan penutupan sekolah akan dilakukan setiap hari selewat-lewatnya jam 6 petang.

Guru besar juga diberi kebenaran untuk mengumumkan penutupan sekolah sekiranya mereka berpandangan keadaan jerebu semakin teruk berdasarkan trend bacaan IPU pada hari berkenaan dan keputusan tersebut hendaklah dimaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing, katanya.

Bagi sekolah diumumkan tutup setelah murid-murid berada di sekolah, murid-murid dibenarkan berada di sekolah dan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan berjalan seperti biasa sehingga habis waktu persekolahan bagi sesi tersebut kecuali ada permintaan waris untuk membawa anak mereka pulang, katanya.

“Semua sekolah yang terlibat dengan penutupan juga tidak perlu diganti kerana dikategorikan sebagai cuti bencana,” katanya.

Maszlee berkata, keputusan penutupan mana-mana Institut Pengajian Tinggi adalah terletak kepada keputusan pengurusan universiti masing-masing.

Sementara itu, di Seremban, sebanyak 53 sekolah di kawasan Nilai, Labu dan Mantin ditutup bagi sesi persekolahan esok ekoran IPU melebihi 200.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, setakat jam 5 petang, bacaan IPU di Nilai merekodkan bacaan 211 iaitu sangat tidak sihat dan penutupan sesi persekolahan esok melibatkan seramai 28,073 pelajar.

“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Di Ipoh, semua 147 buah sekolah dalam Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) akan ditutup esok berikutan keadaan jerebu di kawasan itu yang bertambah buruk.

Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, daripada jumlah itu, 36 adalah sekolah menengah, manakala 111 lagi sekolah rendah dan jumlah pelajar terjejas adalah 48,006 orang.

“Berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang melebihi 200 mulai 2 petang ini, Pegawai Pendidikan Daerah LMS boleh memaklumkan kepada pengetua dan guru besar untuk menutup sekolah pada Khamis, 19 September,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berdasarkan bacaan IPU di Taiping berada pada paras sangat tidak sihat iaitu 203 setakat pukul 5 petang ini.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

IPU sangat tidak sihat, 201 sekolah di Selangor ditutup

SHAH ALAM, 17 SEPT: Sebanyak 201 sekolah di Selangor yang melibatkan daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Petaling Perdana ditutup hari ini setakat jam 12 tengahari susulan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang berada pada paras sangat tidak sihat.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan berkata, sebanyak 151 sekolah ditutup berdasarkan laporan pemantauan Jabatan Pendidikan Selangor semalam (16 September), sementara itu 50 sekolah lagi ditutup berdasarkan laporan sehingga jam 11 pagi, hari ini.

“Sekolah yang ditutup bagi kawasan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang ialah 52, PPD Kuala Langat 21, PPD Hulu Langat 62, PPD Petaling Perdana 39 dan PPD Klang 27.

“Sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Pihak sekolah telah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa,” kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut Laporan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), setakat jam 2 petang ini, bacaan IPU di Johan Setia adalah 236, Klang (196), Banting (183) dan Shah Alam (171).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).