Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Dua cerun runtuh, 14 laluan ditutup kepada semua kenderaan di Kelantan

KOTA BHARU, 27 FEB: Sebanyak 14 laluan ditutup kepada semua kenderaan dan dua cerun runtuh berlaku di Kelantan akibat banjir yang melanda negeri itu sejak Jumaat lepas.

Portal laman rasmi Pengurusan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui http://bencanaalam.jkr.gov.my, memaklumkan sebanyak lima laluan ditutup kepada semua kenderaan di Pasir Mas iaitu Jalan SK Gual Tok Deh, Jalan Banggol Kulim, Jalan Pengkalan Rakit – Batu Karang, Jalan Sekolah Cina dan Jalan Bunga Raya dekat Rantau Panjang.

Tiga laluan yang ditutup kepada semua kenderaan di Tanah Merah pula ialah Jalan Panglima Bayu – Rantau Panjang, Jalan Masuk Forest Checking Station – Kubor Kampung Nibong dan Jalan Tanah Merah – Kusial – Kampung Ipoh – Batu 8.

Di Kuala Krai, laluan yang terlibat ialah Jalan Jirat dan Jalan Bukit Sireh – Kampung Bedal – Kuala Nal manakala di Machang adalah Jalan Sungai Mati – Kerawang dan Jalan Pangkal Meleret – Limau Hantu yang turut ditutup kepada semua kenderaan.

Di Pasir Puteh, satu laluan ditutup kepada semua kenderaan iaitu Jalan Semerak dan di Tumpat pula melibatkan jalan persekutuan iaitu jalan Kota Bharu – Pasir Mas – Rantau Panjang.

Sementara itu, dua cerun runtuh dilaporkan berlaku di Kelantan adalah Jalan Felda Kemahang di Tanah Merah yang mana laluannya hanya dibuka satu lorong kepada semua kenderaan dan Jalan Dari Simpang Kuala Nal (Pasir Era ke Temangan) sempadan Kuala Krai dan Machang yang ditutup kepada semua kenderaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA

Lima laluan di Kuala Langat ditutup sepanjang PKPD

KUALA LANGAT, 3 JULAI: Sebanyak lima laluan di daerah ini ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Laluan terbabit ialah Jalan Banting -Dengkil (Persimpangan Paya Indah Wetland,Kuala Langat); Jambatan Rimbayu (Susur masuk dari Rimbayu ke Sri Cheding); Jambatan Bukit Kemandol (Susur masuk ke jejantas Taman Bukit Kemandol).

Batu 9,Jalan Kebun (Susur Masuk Jalan Kebun ke Telok Panglima Garang) dan persimpangan Kampung Lombong (Jalan Kg Lombong susur ke Puchong).

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata penutupan laluan ini akan bermula jam 12 tengah hari esok dan dilaksanakan sepanjang pelaksanaan PKPD.

“Setakat ini, sebanyak lapan lokasi sekatan jalan raya (SJR) di beberapa lokasi persempadanan daerah dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, penerima vaksin yang mempunyai janji temu dibenarkan untuk menggunakan laluan khas petugas barisan hadapan di SJR dengan hanya menunjukkan MySejahtera.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis memaklumkan PKPD dilaksana di 34 mukim di lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula hari ini sehingga 16 Julai.

Mukim yang terlibat di daerah Kuala Langat ialah Tanjung Dua Belas (1),Tanjung Dua Belas(2), Telok Panglima Garang, Morib, Bandar, Jugra dan Batu.