Categories
AGENDA NASIONAL

Polis siasat dakwaan majlis nikah Neelofa dan PU Riz langgar SOP

SHAH ALAM, 28 MAC: Polis membuka kertas siasatan berhubung majlis pernikahan pelakon, Neelofa dengan pendakwah bebas, PU Riz yang didakwa melanggar tatacara operasi piawai (SOP).

Ketua polis daerah Dang Wangi berkata siasatan awal mendapati majlis itu gagal mematuhi SOP ditetapkan dan tiada penjarakan fizikal, lapor Berita Harian.

“Susulan itu kita akan memanggil penganjur bagi membantu siasatan,” kata Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Semalam, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dan PU Riz (Muhammad Haris Mohd Ismail) dinikahkan adik Neelofa iaitu Mohd Aqief Mohd Noor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dijemput membacakan khutbah nikah dan tazkirah ringkas.

Categories
PBT SELANGOR

MPK tutup 37 kilang akibat langgar SOP

SHAH ALAM, 29 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menutup 37 kilang susulan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang dipertuanya berkata penutupan itu hasil pemeriksaan terhadap 104 premis itu bersama Pejabat Kesihatan Daerah Klang sejak Mac tahun lalu sehingga Rabu lalu.

“Pemantauan yang lebih tegas diambil ke atas kilang berkaitan memandangkan pekerja dalam sektor ini menyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19 yang berlaku di Klang,” kata Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin kepada SelangorKini.

Beliau berkata pemantauan pematuhan SOP diperluaskan ke kawasan perkilangan setelah sektor berkenaan dibenarkan beroperasi seperti biasa.

“Kita membuat empat penilaian risiko sebelum mengambil tindakan iaitu risiko merebaknya Covid-19 di tempat kerja atau asrama pekerja serta faktor persekitaran dan manusia.

“Seterusnya ialah amalan kawalan kendiri di kalangan pekerja dan syarikat serta prosedur tindakan setelah berlaku kes di kalangan pekerja,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis, badan perundangan kendali kes langgar SOP serius

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Kes melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19 yang lebih serius akan dikendalikan oleh pihak berkuasa terlibat seperti polis dan badan perundangan, kata Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata di peringkat Kementerian Kesihatan (KKM), kompaun maksimum yang dikenakan adalah RM1,000 berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 Seksyen 25.

“Kalau kes melalui Seksyen 24 dan dihadapkan ke mahkamah, maka mereka (polis dan mahkamah) akan membuat keputusan selayaknya untuk sesuatu kesalahan yang dilakukan.

“Berkenaan dengan SOP yang dilanggar ini, tidak ada sesiapa yang terlepas daripada tindakan undang-undang sebab undang-undang ini dibuat bukan untuk mendera sesiapa tetapi untuk menyelamatkan negara dan nyawa manusia khususnya di negara ini,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) mengenai ketidakpatuhan orang kenamaan (VIP) seperti menteri dan jika mereka perlu diberi kompaun yang lebih besar memandangkan mereka menjadi contoh kepada rakyat.

Mengulas mengenai vaksin Sputnik-V yang dihasilkan oleh Rusia, Noor Azmi berkata kerajaan masih menunggu laporan seterusnya dari negara berkenaan.

“Maklumat menyatakan vaksin ini belum lagi didaftarkan, dan Rusia mahu mengadakan ujian klinikal fasa ketiga. Jadi maknanya dari segi fasa klinikal yang perlu dilalui oleh sesuatu vaksin sebelum diluluskan adalah tidak mencukupi.

“Hari ini, perlumbaan vaksin berlaku di seluruh dunia, 165 vaksin sedang dibangunkan, 65 telah melalui fasa klinikal dan hanya tujuh sahaja pada fasa klinikal yang terakhir.

“Jadi pembangunan vaksin memerlukan masa lama dan kajian teliti sebelum dapat digunakan oleh dunia kerana kita hendak keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin itu,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) yang ingin tahu sejauh mana kerajaan memantau perkembangan penyelidikan vaksin oleh Rusia.

-BERNAMA