Categories
AGENDA NASIONAL

Neelofa didenda RM20,000, suami RM10,000 langgar SOP

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Selebriti Neelofa dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 atas dua kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) penganjuran majlis perkahwinan serta merentas negeri.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata suami kepada Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, Muhammad Haris Mohd Ismail pula dikompaun RM10,000 kerana turut sama melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri.

Beliau berkata kompaun RM1,500 turut dikenakan terhadap setiap 20 ahli keluarga Neelofa yang kesemuanya berjumlah RM30,000 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung.

“Semua yang terlibat akan dikeluarkan kompaun pada hari ini membabitkan jumlah sebanyak RM60,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kompaun kepada Neelofa dan suaminya dikenakan dengan tiada diskaun diberikan.

Neelofa, 32, dan pendakwah bebas Muhammad Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz, 26, melangsungkan perkahwinan di sebuah hotel di ibu negara pada 27 Mac lepas.

Mohamad Zainal berkata pada 26 April lepas, kertas siasatan kes perlanggaran SOP di majlis perkahwinan pasangan itu telah dikembalikan dari Jabatan Peguam Negara, dengan keputusan mengenakan kompaun di bawah Peraturan 19 PeraturanPeraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No. 4) 2021.

Kesalahan pertama oleh Neelofa ialah selaku penganjur, beliau gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP penganjuran majlis sosial Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau gagal memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung manakala kesalahan kedua kerana melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran yang diberikan oleh pihak polis.

Polis juga menasihati orang ramai supaya terus mematuhi PKPB dan kegagalan mematuhi perintah itu membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang.

Pada 27 Mac lepas, tular sekeping gambar di media sosial memaparkan sejumlah tetamu hadir di majlis perkahwinan Neelofa gagal mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehingga mendapat kecaman ramai.

Selain itu, beberapa gambar memaparkan Neelofa dan suaminya berada di Langkawi turut tular di media sosial hingga menimbulkan beberapa persepsi, termasuk dakwaan merentas negeri untuk berbulan madu pasangan terbabit.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Didakwa bulan madu di Langkawi, polis siasat Neelofa, PU Riz

SHAH ALAM, 4 APRIL: Polis akan membuka kertas siasatan berhubung tindakan selebriti popular Neelofa memuat naik foto dan video bersama suami bersiar-siar di Langkawi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata gambar yang dimuat naik di media sosial melanggar tatacara operasi piawai (SOP) perintah kawalan, lapor Kosmo Online.

“Apabila keluar sahaja gambar-gambar tersebut, maknanya kehadiran beliau (Neelofa) bersama suaminya itu melanggar SOP yang telah ditetapkan dan kita akan ambil tindakan.

“Jadi dalam kes sebegini, wajarnya SOP polis adalah buka kertas siasatan yang mana dia (Neelofa) akan dipanggil untuk dirakamkan kenyataan termasuk berhubung gambar dan video yang tular,” katanya.

Abdul Hamid berkata pegawai penyiasat juga akan menyoal sama ada aktiviti terbabit sebahagian urusan perniagaan selebriti berkenaan.

“Itu macam santai-santai sahaja, selain tidak boleh datang dari negeri PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) ke PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan),” katanya.

Pada 28 Mac, polis membuka kertas siasatan berhubung majlis pernikahan Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dengan Muhammad Haris Mohd Ismail (PU Riz) yang didakwa melanggar SOP.

Neelofa melangsungkan perkahwinan bersama pendakwah bebas itu pada 27 Mac di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis siasat dakwaan majlis nikah Neelofa dan PU Riz langgar SOP

SHAH ALAM, 28 MAC: Polis membuka kertas siasatan berhubung majlis pernikahan pelakon, Neelofa dengan pendakwah bebas, PU Riz yang didakwa melanggar tatacara operasi piawai (SOP).

Ketua polis daerah Dang Wangi berkata siasatan awal mendapati majlis itu gagal mematuhi SOP ditetapkan dan tiada penjarakan fizikal, lapor Berita Harian.

“Susulan itu kita akan memanggil penganjur bagi membantu siasatan,” kata Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Semalam, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dan PU Riz (Muhammad Haris Mohd Ismail) dinikahkan adik Neelofa iaitu Mohd Aqief Mohd Noor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dijemput membacakan khutbah nikah dan tazkirah ringkas.