Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bank sedia lanjutkan bantuan, moratorium susulan PKP 2.0

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Pihak industri perbankan bersedia membantu kalangan peminjam atau pelanggan mereka yang terjejas susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri dan Wilayah Persekutuan.

Dalam kenyataan bersama pada Ahad, Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) berkata institusi kewangan terbabit akan terus melanjutkan bantuan pembayaran balik, termasuk melanjutkan moratorium sedia ada kepada individu yang terbukti terjejas akibat PKP.

Pada masa sama, bank-bank juga mengumumkan lanjutan bantuan bayaran balik bagi mangsa-mangsa banjir berkaitan dan mereka telah diminta untuk menghubungi bank masing-masing bagi tujuan itu.

Menurut ABM dan AIBIM, lanjutan itu membabitkan semua skim bantuan bayaran balik bersasar yang diumumkan sebelum ini.

“Ini terutamanya membabitkan pelanggan yang kehilangan kerja pada 2020 atau 2021. Mereka boleh memohon bagi bantuan itu untuk tempoh tiga bulan pada bila-bila masa pada atau sebelum 30 Jun, 2021.

“Selain itu, individu yang masih bekerja tetapi pendapatan mereka dikurangkan susulan pandemik ini, juga boleh memohon untuk menurunkan jumlah ansuran bayaran.

“Bagi kalangan isi rumah M40 yang juga penerima Bantuan Prihatin National, bank-bank membenarkan mereka membuat pengisytiharan diri,” kata persatuan itu.

Isi rumah B40 yang berdaftar dengan pangkalan data Bantuan Sara Hidup atau Bantuan Prihatin Rakyat boleh memohon bagi sama ada pengecualian bayaran ansuran selama tiga bulan atau pengurangan ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Usahawan mikro dengan pinjaman/pembiayaan membabitkan jumlah asal sehingga RM150,000, boleh memohon untuk sama ada penangguhan ansuran selama tiga bulan atau mengurangkan ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Menurut ABM dan AIBIM, bantuan pembayaran balik untuk B40, M40 dan perusahaan mikro itu adalah untuk pinjaman/pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan tidak tertunggak lebih 90 hari dari tarikh permohonan bantuan bayaran balik yang dikemukakan kepada bank.

Selain itu, semua peminjam/pelanggan lain yang turut berdepan kesukaran membuat bayaran balik pinjaman/pembiayaan masing-masing, juga boleh menghubungi bank untuk membincangkan pakej bayaran balik yang sesuai dengan keadaan mereka.

Persatuan itu berkata, setakat 31 Dis, 2020, lebih 1.3 juta permohonan bantuan bayaran balik telah diterima dengan kadar kelulusan sebanyak 95 peratus.

“Sejajar dengan tempoh mencabar ini, industri perbankan ingin menggalakkan peminjam/pelanggan yang mempunyai aturan bayaran balik sedia ada dan sukar meneruskan obligasi itu untuk menghubungi bank mereka bagi bantuan selanjutnya.

“Penerimaan bantuan bayaran balik bersasar dalam tempoh itu tidak akan dimasukkan dalam laporan sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS),” kata persatuan itu.

Sementara itu, Pengerusi ABM merangkap Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Malayan Banking Bhd (Maybank) Datuk Abdul Farid Alias berkata bank-bank juga kekal komited untuk membantu para pelanggan yang terjejas akibat keadaan semasa.

“Kami dapat mengatur skim bantuan kewangan mengikut keadaan khusus peminjam supaya mereka dapat menstabilkan keadaan kewangan dan menumpukan kehidupan yang lebih memerlukan perhatian,” katanya.

Presiden AIBIM merangkap CEO RHB Islamic Bank Bhd Datuk Adissadikin Ali pula yakin bahawa negara mahu pun bank dan orang ramai kini lebih bersedia dalam menghadapi tempoh sukar tersebut.

“Oleh itu, komunikasi antara pelanggan terjejas dan bank haruslah terus berlaku demi manfaat kedua-dua pihak. Bantuan pembayaran ini masih ada untuk mereka yang terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, ABM dan AIBIM berkata bank-bank juga komited untuk memastikan proses yang mudah serta lancar bagi peminjam/pelanggan memohon bantuan kelonggaran bantuan bayaran semula itu.

Bagi kebanyakan kes, mereka terbabit boleh memohon dan melengkapkan permohonan secara dalam talian atau melalui telefon selain memohon di cawangan bank.

Namun, mereka juga dinasihatkan untuk menyemak laman sesawang bank masing-masing mengenai maklumat perubahan waktu operasi atau pengaturan perkhidmatan di kaunter.

Dalam pada itu, demi keselamatan pelanggan dan pekerja bank, institusi kewangan terbabit turut beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan susulan pandemik itu dan orang ramai digalakkan melakukan transaksi perbankan secara dalam talian atau saluran digital lain, kata ABM dan AIBIM.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

98 peratus permohonan lanjut moratorium lulus

SHAH ALAM, 23 SEPT: Sebanyak 98 peratus permohonan moratorium lanjutan dan bantuan bank bersasar diluluskan setakat ini, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sehingga 11 September, institusi bank berbincang dengan 1.4 juta peminjam dan lebih 380,000 daripada mereka mengesahkan memerlukan bantuan tersebut.

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan terkini dan akan memastikan institusi perbankan memainkan peranan membantu rakyat dan perniagaan yang benar-benar memerlukan inisiatif ini.

“Memandangkan moratorium automatik bakal berakhir hujung bulan ini, saya menyeru orang ramai yang masih belum memohon untuk segera menghubungi institusi perbankan masing-masing untuk membuat
permohonan,” katanya dalam Perutusan Khas Kita Prihatin hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar selama tiga bulan, khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan dan masih terjejas akibat penularan
Covid-19.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Lebih dua juta peminjam dihubungi bank bantuan bayar balik

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Lebih dua juta peminjam dihubungi bank untuk ditawarkan bantuan pembayaran balik setakat 28 Ogos 2020, kata Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, institusi perbankan berbincang dengan 1.1 juta peminjam yang memberi maklum balas dan hampir 300,000 peminjam mengesahkan yang mereka betul-betul memerlukan bantuan pembayaran balik, manakala selebihnya sedang mempertimbangkan opsyen bantuan yang disediakan.

“Angka ini dijangka akan terus meningkat dengan ketara apabila peminjam boleh memohon dengan mudah melalui pelbagai saluran yang telah disediakan,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Razali Idris (BERSATU) yang ingin tahu mengenai jumlah kelompok bersasar termasuk kumpulan yang tiada pekerjaan kerana terjejas akibat Covid-19 yang menikmati lanjutan moratorium pinjaman.

Katanya daripada permohonan bantuan pembayaran balik pinjaman yang lengkap diterima dan diproses, sebanyak 97 peratus diluluskan.

“Proses permohonan bagi pelanggan individu dijangka mengambil masa antara satu hingga lima hari manakala bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka mengambil masa antara tiga hari hingga dua minggu selepas permohonan lengkap diterima bank,” katanya.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana fleksibiliti yang diberikan kepada peminjam sepanjang tempoh ini tidak akan terpapar dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hubungi bank segera, sahkan status lanjutan moratorium

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Kalangan individu yang memerlukan bantuan pembayaran balik pembiayaan digesa agar segera memberi maklum balas atau mengunjungi bank masing-masing bagi tujuan mengesahkan lanjutan moratorium yang ditawarkan.

Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah berkata selain membantu peminjam yang masih memerlukan bantuan pasca moratorium, langkah itu juga penting bagi mengelak rekod kredit mereka buruk selepas September ini.

“Hasil pertemuan saya dengan wakil-wakil bank tempoh hari, saya dimaklumkan bahawa bank-bank sudah bersedia untuk memberi bantuan dan memproses permohonan orang ramai.

“Bagaimanapun, respons daripada individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) setakat ini masih belum sepertimana yang diharapkan.

“Saya bimbang jika orang ramai dan PKS masih menunggu sehingga ke saat-saat akhir untuk memulakan rundingan dan memohon bantuan bayaran balik pembiayaan daripada bank,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shahar juga mengingatkan individu dan PKS terbabit bahawa bank-bank memerlukan tempoh satu hingga lima hari untuk memproses permohonan pelanggan individu manakala permohonan PKS memerlukan tiga hari hingga dua minggu.

Dalam pada itu, beliau berkata kebanyakan bank-bank telah melaksanakan program lanjutan moratorium bersasar dan pembayaran balik pembiayaan secara fleksibel mulai 7 Ogos lepas.

Setakat 21 Ogos lepas, bank-bank telah menghubungi sebanyak 1,015,848 peminjam yang merangkumi masing-masing 908,773 individu, 94,685 PKS dan 12,390 syarikat lain-lain termasuk perniagaan korporat dan komersial bagi menawarkan bantuan pembayaran balik pembiayaan berkenaan.

Ini juga menjadikan tarikh akhir moratorium secara automatik itu berbaki 29 hari lagi.

Dalam tempoh dua minggu bermula 7 Ogos, sebanyak 139,424 bantuan bayaran balik pembiayaan untuk pelanggan individu telah diterima dengan sejumlah 109,172 daripadanya telah mendapat kelulusan.

Bagi pelanggan PKS termasuk usahawan mikro, sebanyak 5,017 permohonan diterima dengan sejumlah 4,300 daripadanya telah mendapat kelulusan bank.

Mohd Shahar juga meminta peminjam tidak berasa bimbang kerana fleksibiliti yang diberikan sepanjang tempoh ini tidak akan dipaparkan dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) mereka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Moratorium: AmBank sedia bantuan pembayaran semula kepada PKS

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: AmBank akan menawarkan bantuan pembayaran semula dan lanjutan moratorium kepada individu dan juga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selepas berakhirnya moratorium pada 30 September 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata bank itu kini menerima permohonan untuk penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman daripada pelanggan.

“Program ini akan memberi manfaat kepada pelanggan yang kehilangan pekerjaan tahun ini dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, serta pekerja yang dikurangkan gaji.

“Bantuan kami juga turut diperluaskan kepada PKS kerana kami memahami, banyak perniagaan terjejas terus akibat penularan Covid-19,” katanya.

Pelanggan boleh menghubungi pasukan perkhidmatan pelanggan bank atau pengurus hubungan bank untuk mendapatkan bantuan, atau menghubungi 03-2178 8888 (pelanggan individu) dan 03-2178 3188 (pelanggan PKS).

Mereka juga boleh menghantar e-mel kepada [email protected], melayari laman web https://www.ambank.com.my/eng/repayment-assistance atau mengunjungi cawangan bank terdekat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Moratorium: Peminjam digesa urus dengan bank mulai Jumaat ini

PUTRAJAYA, 5 OGOS: Peminjam individu yang masih terjejas akibat pandemik Covid-19 dan mahu kemudahan moratorium mereka dilanjutkan, perlu segera berurusan dengan bank mulai Jumaat ini dan mengelak daripada melakukannya di saat-saat akhir.

Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah berkata ini penting memandangkan langkah terbabit bukan lagi secara automotik.

“Permohonan lanjutan moratorium itu harus dilakukan segera oleh peminjam kerana ia bukan lagi automatik seperti dahulu.

“Kita juga tidak mahu mereka (peminjam) buat permohonan di saat-saat akhir. Jika datang pada hujung September, kita risau dari segi kemampuan bank-bank untuk mengurus permohonan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (PERKEM) ke-15 dan pelancaran siri Webinar Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI)-PERKEM 2020 di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Mohd Shahar berkata permohonan di saat-saat akhir juga berkemungkinan memberi kesan apabila mereka perlu mula membayar balik pinjaman pada Oktober sebaik berakhirnya tempoh moratorium pada 30 September.

“Proses permohonan ini memakan masa. Jika mereka lewat (membuat permohonan) maka Oktober nanti mereka perlu mula membayar.

“Ini pastinya memberi kesan terutamanya bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, belum mendapat kerja atau mengalami pengurangan pendapatan,” katanya.

Mohd Shahar berkata nilai moratorium bayaran balik pinjaman yang diberi setakat 24 Julai lepas adalah berjumlah RM62.8 bilion yang melibatkan kira-kira 7.7 juta peminjam yang mana 243,000 adalah perusahaan kecil dan sederhana.

-BERNAMA