KUALA LUMPUR, 25 MAC: Selepas 16 bulan tidak berlatih bersama, Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan Tan Cheng Hoe gembira dengan peningkatan prestasi ditunjukkan pasukannya dalam kem latihan pusat skuad Harimau Malaya kali ini.
Memasuki hari keempat kem latihan pusat di Johor Bahru, Cheng Hoe menyifatkan kehadiran beberapa muka baharu dalam pasukan memberikan impak positif dari setiap aspek sekali gus memberi keseimbangan yang baik kepada pasukan ketika ini.
“Sudah tentu selepas 16 bulan suasana agak berlainan tetapi saya yakin dengan menjalani latihan kali ini walaupun singkat, kita nampak dari segi kualiti itu memang lebih baik.
Saya harap ia dapat dikekalkan kerana kita perlukan satu momentum terbaik untuk menghadapi perlawanan pada Jun nanti,” katanya pada satu sidang media secara maya, hari ini.
Sejak kali terakhir dikumpulkan pada November 2019, skuad kebangsaan akhirnya kembali menyertai kem latihan bermula Isnin lepas menjelang tiga aksi getir Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun.
Malaysia akan meneruskan baki saingan aksi kelayakan yang tertangguh lebih setahun susulan penularan pandemik Covid-19 secara berpusat menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun), kesemuanya di UAE.
Pengendali berusia 52 tahun itu berkata intensiti latihan akan ditingkatkan bagi lebih menyediakan barisan pemainnya untuk mengatasi cabaran persaingan tiga pasukan itu dalam merebut tiket automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 selain mara ke pusingan ketiga kelayakan.
“Bermula malam ini intensiti latihan akan ditingkatkan supaya pemain tahu apabila datang kepada saingan kelayakan piala dunia, intensiti dan tempo permainannya sangat tinggi. Kita akan teruskan perancangan tetapi tetap akan berwaspada supaya tidak mendatangkan kecederaan kepada pemain,” katanya.
Sementara itu, Cheng Hoe memaklumkan pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh dan penyerang Sarawak United FC Norshahrul Idlan Talaha – dua pemain yang sedang melalui proses pemulihan akibat kecederaan dialami – dijangka menyertai latihan bersama 26 pemain dalam masa terdekat.
Cheng Hoe memanggil 28 pemain kali ini dengan pemain muda sensasi negara Luqman Hakim Shamsuddin, 19, merupakan pemain termuda manakala Norshahrul, 35, pemain paling senior dalam pasukan.
– BERNAMA