Categories
NASIONAL SELANGOR

MB lawat projek perumahan SP Setia Bhd

SP Setia Bhd 01

SETIA ALAM, 30 OKT : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meluangkan masa lebih setengah jam meninjau perkembangan terkini projek perumahan pangsapuri menggunakan teknik ‘pasang siap’ yang diusahakan syarikat pemaju hartanah terkemuka, SP Setia Berhad.

Dalam kunjungan ke tapak projek berkenaan, Abdul Khalid yang diiringi Exco Negeri Selangor diberikan penerangan terperinci berkenaan projek perumahan itu oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan SP Setia, Datuk Voon Tin Yow.

Projek perumahan itu antara lain dibina berhampiran Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Jalan Meru, Klang dengan keluasan rumah dianggarkan kira-kira 850 kaki persegi.

Sebanyak 3,960 unit pangsapuri setinggi 11 tingkat ditawarkan dengan harga pasaran RM220,000 dan dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik mandi juga kemudahan lain seperti kolam renang.

SP Setia Bhd 02

Projek pangsapuri kos sederhana yang mula dilaksanakan lebih setahun lalu itu mensasarkan golongan berkeluarga dengan pendapatan isi rumah kira-kira RM3,000 sebulan.

Difahamkan, projek perumahan itu sudah habis dijual kepada orang ramai.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Jalan Taman Kelana Idaman, Jalan Universiti, Dinaiktaraf Atasi Kesesakan

naik taraf jalan taman kelana idaman 01

PETALING JAYA 20 JULAI : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan melakukan beberapa pembinaan dan penaiktarafan beberapa jalan di bawah kawasan bandaraya berkenaan.

Ini termasuk pembinaan jalan alternatif di Taman Kelana Idaman iaitu jalan ke tempat letak kereta stesen LRT No.2 di Ara Damansara, Petaling Jaya.

Turut terlibat, menaiktaraf Jalan Harapan 17/17 dari Bulatan Universiti dan Jalan Semangat hingga ke Jalan Damansara.

Pengarah Kejuruteraan MBPJ, Ismail Shafie berkata, bagi projek di kawasan Taman Kelana, jalan baru sepanjang 400 meter akan dibina daripada permukaan terowong FAS bagi mengurangkan kesesakan di kawasan tersebut.

Ini bermakna penduduk di PJU 1A/4F perlu menuju ke Jalan PJU 1A/4C untuk menggunakan terowong FAS bagi merentasi Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE).

Selain itu, bagi kawasan Jalan Universiti, fasa pertama menaiktaraf jalan ini telah siap pada bulan September 2011.

“Antara kerja yang dijalankan ialah menaiktaraf bulatan sedia ada kepada persimpangan lampu isyarat dan menaiktaraf persimpangan T kepada persimpangan lampu isyarat,” ujar Ismail.

Manakala bagi fasa kedua pula, kerja-kerja pelebaran jalan kepada tiga lorong dua hala akan dilakukan dan menaiktaraf persimpangan masuk-keluar ke Lebuhraya Sprint.

“Kontraktor yang berjaya dilantik akan memulakan kerja pembinaan dan projek ini dijangka siap keseluruhannya pada Julai 2014,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pemakluman pembinaan jalan-jalan berkenaan di Bilik Gerakan, MBPJ di sini.

Turut hadir, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad serta Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran.

naiktaraf jalan pj jalan harapan 01