Categories
AGENDA SUKANKINI

Tim Heubach perkukuh bentang pertahanan Selangor FC

SHAH ALAM, 12 DIS: Selangor FC mengikat pemain dari Jerman Tim Heubach untuk memperkuat benteng pertahanan pasukan bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021 yang dijadual bermula Februari tahun depan.

Selangor FC mengesahkan mengikat pemain berasal dari Neuss, Jerman yang mempunyai ketinggian 192 sentimeter (cm) serta pernah beraksi bersama pasukan Ligat Ha’AI Maccabi Netanya itu dalam satu kenyataan di laman web www.selangorfc.com hari ini.

Pemain berkenaan membuat 82 penampilan dan menjaringkan lima gol untuk kelab tersebut, menurut kenyataan itu.

Foto: FA Selangor

Menurut kenyataan itu, Selangor FC adalah kelab Asia pertama disertai Heubach setelah berkelana lama di Timur Tengah selain pernah bermain untuk Borrussia M’glabach II, 1 FC Kaiserslautern dan FSV Frankfurt.

“Saya tidak pernah sampai ke Asia sebelum ini dan ingin mencari cabaran baharu di sini sebelum pulang ke Jerman satu hari nanti.

“Semasa saya diberitahu oleh jurulatih Michael (Feichtenbeiner) mengenai Selangor FC, saya teruja dan menonton banyak video berkaitan pasukan The Red Giants di YouTube dan perlawanan siaran langsung, timbul keyakinan untuk saya bermain bersama pasukan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Heubach berkata beliau juga dimaklumkan mengenai penyertaan Karsten Neitzel sebagai ketua jurulatih Selangor FC dan pernah bertemu dengan jurulatih berkenaan di Jerman pada Oktober lepas.

“Ia adalah pertemuan pertama kami. Saya tidak pernah bekerjasama dengan Neitzel sebelum ini tapi kami pernah menjadi lawan pada satu ketika dulu.

“Semasa bertemu kami berbincang mengenai cabaran baharu untuk kami berdua di Malaysia. Beliau juga sempat memberitahu saya mengenai perancangannya bersama Selangor FC dan harapan beliau terhadap saya,” katanya.

Heubach adalah pemain terbaharu kedua diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan penyerang kebangsaan Shahrel Fikri sebagai penyerang baharu The Red Giants minggu lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Petunjuk positif penonton kembali ke stadium tahun depan

PETALING JAYA, 11 DIS: Kerinduan peminat bola sepak tanah air untuk kembali bersorak di stadium dan merasai kehangatan saingan Liga Malaysia (Liga-M) bakal terubat menjelang musim 2021.

Ia selepas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam konteks norma baharu yang akan diperkenalkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut mengambil kira acara sukan dengan kehadiran penonton.

Menurut Reezal Merican, perkembangan menggembirakan itu turut melibatkan kesemua acara sukan, namun ia perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang bakal ditetapkan.

“Kalendar sukan 2021 tidak seharusnya menghadapi ‘butang henti’ lagi kerana rakyat akan hadapi cabaran. Suka atau tidak, kita akan hidup dengan Covid-19 dan ia tidak akan hilang.

“Kita sudah kemukakan (kehadiran penonton ke stadium) dan ia dalam pertimbangan dan saya nampak ada petunjuk kalendar sukan 2021 akan menyaksikan aktiviti dan kegiatan sukan kembali aktif,” katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman Skuad Projek FAM-MSN di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini semalam.

Jelas beliau, perkara itu sedikit sebanyak akan memberi industri sukan ruang untuk kembali bernafas lebih baik selepas terjejas sepanjang tahun susulan penularan Covid-19.

Pada Rabu, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan satu SOP baharu sedang dirangka untuk membolehkan penyokong kembali ke stadium dengan jumlah tidak melebihi 10 peratus daripada kapasiti sesebuah stadium.

“Berita gembira, SOP sedang dibuat. Akan datang, bola sepak akan kembali kali ini dengan penyokong 10 peratus daripada kapasiti stadium,” kata Tunku Ismail dalam laman Instagram miliknya.

– BERNAMA