Categories
AGENDA NASIONAL

Liga-M: Enam pasukan peroleh lesen penuh kelab kebangsaan

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Enam pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang diberi lesen kelab kebangsaan secara bersyarat berjaya memenuhi syarat memperoleh lesen kelab kebangsaan, sekali gus melayakkan mereka beraksi pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Enam pasukan berkenaan terdiri daripada dua pasukan Liga Super iaitu Pahang dan Melaka, manakala bakinya adalah empat pasukan Liga Premier iaitu Kelantan, Sarawak United FC, Pulau Pinang dan Kuching City FC.

Bagaimanapun, Pengerusi First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata lesen kelab kebangsaan dengan bersyarat yang diberikan kepada UKM FC sebelum ini ditarik balik kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan.

“Walaupun pasukan Melaka berjaya memperoleh lesen kelab kebangsaan, pasukan berkenaan masih perlu menyelesaikan tunggakan bayaran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM276,169.75,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan FAM malam tadi.

Sekiranya Persatuan Bola Sepak Melaka gagal membuat bayaran, tindakan tegas boleh diambil termasuk penarikan balik lesen (kelab kebangsaan) boleh dikenakan oleh FIB, katanya.

Sheikh Mohd Nasir menegaskan pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan terhadap enam pasukan berkenaan untuk memastikan tiada tunggakan atau terdapat perjanjian bersama untuk penyelesaian atau bayaran berjadual supaya pasukan tersebut masih dalam pematuhan dengan syarat oleh lesen mereka.

Beliau turut memaklumkan lesen penuh kebangsaan yang diberikan kepada enam pasukan berkenaan boleh ditarik balik pada bila-bila masa, sekiranya mereka didapati melanggar artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM atau mempunyai kes tunggakan berkaitan dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa dan Konfederasi Bola Sepak Asia.

Pada 5 Oktober lalu, tujuh pasukan berkenaan diberikan lesen kelab kebangsaan dengan bersyarat oleh pihak FIB Pelesenan Kelab FAM kerana masih mempunyai tunggakan yang perlu diselesaikan termasuk tunggakan gaji dan mereka diberi tempoh sehingga 31 Oktober lepas untuk menyelesaikan kesemua tunggakan yang ada dengan pasukan masing-masing.

Bagaimanapun, FAM bersetuju memberi tempoh lanjutan sehingga 31 Disember 2020 kepada kesemua tujuh pasukan berkenaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disebabkan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Badan induk itu memperkenalkan Surat Akuan Berkanun atau Statutory Declaration (SD) pada 2019 untuk memantau kes tunggakan kepada pemain, pegawai dan agensi kerajaan yang merangkumi tempoh selepas lesen diberi iaitu 1 Julai hingga 30 November pada tahun berkenaan sebagai langkah proaktif untuk memastikan penyelesaian tunggakan diambil oleh pasukan.

Kesemua pasukan Liga-M diwajibkan mengisytiharkan segala tunggakan termasuk bayaran gaji, bayaran LHDN dan caruman KWSP dalam SD berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

FAM: Empat pasukan Liga-M lengkap proses swasta kelab

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Hanya empat pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M) telah melengkapkan proses penswastaan kelab ketika ini, menjelang tarikh akhir yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada September depan.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam tanpa mendedahkan butiran terperinci berkata 12 lagi pasukan sedang giat melengkapkan proses pemisahan status persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC) itu, sementara enam pasukan belum memulakan proses berkenaan setakat ini.

“Proses penswastaan ini dipantau AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dan kemungkinan FA yang tidak dapat menukar status kepada FC untuk bersama liga tahun depan, akan menghadapi masalah yang besar. FAM memerlukan kerjasama semua pihak.

“Terdapat beberapa fasa dalam perubahan FA ke FC dan tahun ini merupakan fasa penubuhan FC secara rasmi. FAM mahu pastikan proses itu berjalan juga tahun ini dan selepas itu baru fasa peralihan pengurusan dan tanggungjawab,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Stuart berkata penularan pandemik Covid-19 dan perubahan tampuk pentadbiran kerajaan negeri yang berlaku sejak Mac lepas juga telah mempengaruhi proses penswastaan kelab.

Bagaimanapun, beliau berkata FAM sentiasa bersedia memainkan peranan dalam membantu FA melengkapkan proses itu mengikut ketetapan dibuat.

“Ada kelewatan disebabkan Covid-19 dan disebabkan berlakunya perubahan pengurusan beberapa FA. Dengan kelewatan itu, FAM akan kerja lebih keras untuk memberi sokongan kepada mana-mana FA untuk proses ini dilaksanakan musim ini,” katanya.

Penswastaan kelab dilihat mampu memperbaiki aspek pengurusan pasukan selain antara alternatif terbaik kepada kemelut kewangan dihadapi pasukan sehingga menjejaskan proses pembayaran gaji pemain akibat kebergantungan kepada dana kerajaan negeri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Liga M tidak dibenar sepanjang PKPB

SHAH ALAM, 31 MEI: Kerajaan tidak akan membenarkan saingan Liga Malaysia (Liga M) berlangsung sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Mohd Ismail Sabri Yaakob berkata perlawanan Liga M hanya dibenarkan selepas PKPB berakhir tetapi ia tetap tertakluk kepad peraturan ketat.

“PKPB dijadualkan tamat pada 9 Jun tetapi kita tidak tahu lagi akan bersambung atau tidak. Jadi FAM boleh merayu untuk Liga M dibenarkan setelah PKPB ditamatkan.

“FAM boleh merayu tetapi terserah kepada kita untuk membenarkan atau tidak kerana ia membabitkan banyak perkara seperti latihan pemain dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata FAM diminta mengemukakan tatacara operasi piawai (SOP) lebih awal bagi memudahkan urusan semua pihak.

“Saya minta FAM merangka SOP terlebih dahulu nanti saya akan berbincang dengan menteri belia dan bukan bagaimana perkara ini boleh dilakukan.

“Dalam masa sama saya ingin mengingatkan agar tiada persatuan bola sepak negeri membuat SOP sendiri tanpa kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Liga-M: MFL perkenal DTMS ganti SPN musim 2020

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memperkenalkan sistem perpindahan pemain ‘Domestic Transfer Matching System’ (DTMS) menggantikan Sijil Perpindahan Negeri (SPN) bermula saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan optimis pengenalan DTMS, yang turut mendapat kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), akan melancarkan proses pendaftaran pemain pasukan.

Menurutnya, DTMS akan memastikan proses perpindahan pemain menjadi lebih telus selain menjadikan setiap perpindahan lebih teratur.

“Justeru, saya percaya penambahbaikan ini akan menjadi satu perkhabaran gembira bukan sahaja kepada pasukan tetapi juga kepada penyokong bola sepak tempatan,” katanya, dalam kenyataan.

Sistem SPN sebelum ini digunakan secara manual bagi proses pendaftaran pemain tempatan dan pemain import yang sedia ada di Liga-M.

Pemain import yang kali pertama berhijrah ke Liga-M akan menggunakan International Transfer Matching System (ITMS) untuk mendapatkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC).

Pada masa sama, MFL mengumumkan jendela perpindahan kedua pemain Liga-M dibuka bermula 15 Jun hingga 12 Julai.

Ab Ghani berkata tempoh tersebut memberi ruang yang cukup kepada pasukan melakukan persiapan bagi mengharungi saingan Piala Malaysia dan Piala Cabaran.

Jendela perpindahan pertama telah dibuka secara rasmi semalam sehingga 15 Mac.

Liga-M akan membuka tirai dengan pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan Kedah dalam aksi Piala Sumbangsih yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Larkin, Johor, pada 28 Februari ini.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Lotto suntik semangat PKNS FC

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 JAN: PKNS FC mendapat suntikan semangat dalam menempuh Liga Malaysia (Liga M) musim 2019 apabila Lotto tampil menjadi penaja utama jersi skuad The Red Ants itu.

Jenama pakaian sukan itu menjadi pilihan pengurusan pasukan berkenaan selepas kali terakhir digunakan pada 2014.

PKNS FC turut mengekalkan tradisi dengan jersi oren sebagai jersi pertama pasukan manakala warna hijau dan ‘maroon’ digunakan buat pertama kali sebagai jersi kedua serta warna biru untuk jersi ketiga.

Jersi penjaga gol pula berwarna hitam, kuning dan merah.

Terdahulu, majlis pelancaran jersi baharu dan pengenalan pemain pasukan itu disempurnakan EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman di Uptown Shah Alam di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek; Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abd Jabar dan Pengurus Pasukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abd Rashid.

Dalam majlis sama, tiga pemain skuad kendalian Datuk K Rajagobal yang menyambut ulang tahun kelahiran pada Januari lalu turut diraikan.

Selain itu, slogan baharu iaitu #FearNothing juga diperkenalkan sebagai motivasi tambahan supaya semua pemain diazimatkan tidak gentar dengan sebarang halangan ketika beraksi di padang.

Dengan mengambil inspirasi sang semut yang kecil tetapi berjiwa besar seperti pasukan PKNS FC, sikap tidak pernah putus asa, kerjasama berpasukan dan pantas menghidu peluang akan diterapkan dalam pasukan.

Categories
SUKANKINI

Liga M jadi tarikan media Indonesia

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 FEB: Liga Malaysia (Liga M) mendapat perhatian media negara jiran, Indonesia apabila sekumpulan wartawannya hadir membuat liputan.

Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dalam kenyataannya, melahirkan penghargaan kepada lapan wartawan Indonesia berkenaan.

Mereka mewakili media dari Goal, Metrotvnews, Bolanet, Kompas, Bolasport, Bola[dot]com, Bolalob dan Topskor hadir ke negara ini, bagi tujuan itu.

Laporan dibuat adalah untuk perlawanan Felcra FC menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Liga Perdana, Jumaat lalu dan Kuala Lumpur melawan Selangor (Liga Super), Ahad lalu.

“Satu pengalaman yang bagus untuk menikmati secara langsung Liga M di samping melihat aksi pemain Indonesia di sini,” kata Farabi Firdausy daripada Goal.

Categories
SUKANKINI

Pasukan Liga M diminta patuh peraturan, elak dikena tindakan

 

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 26 JAN: Semua pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) diminta mematuhi peraturan ditetapkan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) demi kebaikan bersama dan masa depan bola sepak Malaysia.

Dalam kenyataannya, FMLLP berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pasukan tidak mematuhinya seperti mana berlaku kepada sebahagian pasukan berkaitan.

Katanya, FMLLP sentiasa berhubung dengan setiap pasukan dan berusaha membantu sebaik mungkin termasuk pendaftaran tahunan pada awal musim termasuk deklarasi gaji telah dibayar termasuk KWSP, PERKESO dan cukai.

“Kita faham setiap pasukan memandang serius di atas perkara ini kerana telah melihat tindakan diambil sebelumnya.

“Demi kemajuan, kita tidak boleh memasuki musim baharu tanpa dokumen diperlukan,” katanya.

Untuk musim 2018, sekretariat FMLLP mencadangkan kepada Ahli Lembaga Pengarah bahawa pasukan tidak melengkapkan dokumen diperlukan, hanya menerima separuh pengagihan dana hak penyiaran dan tajaan tahunan.

Cadangan lain ialah pasukan tidak mengemukakan dokumen pendaftaran pada 31 Mac ini, akan dihukum dengan pemotongan mata dan sekatan perpindahan serta pasukan gagal mendapatkan lesen kelab untuk musim 2019 (tarikh tutup Jun ini) maka akan dihukum berdasarkan pasukan tanpa lesen.

“Bagi pasukan telah dikenakan hukuman sebelum ini pula, tiada pengagihan dana tahunan akan diberikan jika memulakan musim dengan dokumen tidak lengkap dan sekiranya berulang pada pada 31 Mac ini maka sekatan perpindahan akan dikenakan serta pemotongan mata.

“Sekiranya pasukan gagal mendapatkan lesen kelab disebabkan hutang tertunggak maka penamatan perjanjian perkongsian akan berkuatkuasa pada November ini.

“Oleh itu, ianya akan menjadi musim terakhir bagi pasukan terbabit menyertai dua peringkat tertinggi liga bola sepak di Malaysia,” katanya.

FMLLP menambah, bola sepak negara sekarang sedang menuju era lebih mantap dengan pengagihan hak siaran dan tajaan amat besar di bawah kepimpinan Pengerusinya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).