Categories
AGENDA NASIONAL

Lesen memandu kenderaan perdagangan E2, E1, E digabung dalam kelas E

JOHOR BAHRU, 27 FEB: Lesen Memandu Malaysia (LMM) bagi kenderaan perdagangan dalam Kelas Lesen E sedia ada, iaitu E2, E1 dan E, akan digabungkan menjadi satu Kelas Lesen E sahaja berkuat kuasa mulai 1 Mac ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata penggabungan tersebut bakal memudahkan urusan dan menjimatkan masa serta membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada individu yang bekerja sebagai pemandu kenderaan perdagangan, terutama dalam tempoh pascapandemik COVID-19.

“Mereka boleh memandu semua kelas kenderaan motokar berat (dengan mempunyai LMM dalam Kelas Lesen E) dan tidak terhad kepada sesuatu kategori berat tanpa muatan (BTM) kenderaan motokar berat tertentu sahaja,” katanya.

Beliau berkata dalam ucapannya ketika melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya anjuran Persatuan Pengusaha Lori Bahan Batuan Johor yang turut dihadiri Presidennya Chia Jee Onn di Ulu Tiram di sini hari ini.

Lesen E melibatkan motokar berat tanpa muatan melebihi 7,500 kg, E1 tidak melebihi 7,500 kg dan E2 tidak melebihi 5,000 kg.

Selain itu, hanya sekitar 62,000 orang masih aktif daripada kira-kira 90,000 pemegang Lesen E1 dan E2 yang direkodkan, di samping 11,000 sahaja yang mempunyai Lesen Vokasional.

Justeru, Wee berkata pemegang Lesen E1 dan E2 sedia ada akan ditawarkan untuk menjalani program peralihan bagi mendapatkan Lesen E.

Permohonan tersebut bermula pada 1 Mac ini dan individu terlibat diberi tempoh lima tahun untuk menjalani program tersebut.

Program peralihan itu juga akan ditawarkan kepada pemegang Lesen Vokasional dalam Kelas E1 and E2 ke Lesen Vokasional Kelas E.

“Ini amat penting demi memastikan tahap kompetensi dan keselamatan pemanduan individu terlibat,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ beri jaminan stok lesen di seluruh negara cukup

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi jaminan pembekalan dan pengedaran stok Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) oleh jabatan itu serta baki stok yang dimiliki oleh rakan strategiknya adalah mencukupi.

JPJ dalam kenyataan hari ini berkata stok dokumen terkawal yang dimiliki PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM), Pos Malaysia dan MY E.G. Services Bhd (MYEG) itu turut mampu memenuhi kehendak seluruh pelanggan untuk tempoh sehingga 31 Dis tahun ini.

“Sepanjang Ogos lepas, pihak JPJ telah membekalkan sejumlah stok dokumen terkawal yang mencukupi kepada semua rakan strategik JPJ termasuklah sebanyak 450,000 stok LKM Motokar dan 8,400 stok LKM Motosikal serta 6,600 stok LMM diberikan kepada MyEG.

“Pos Malaysia pula menerima 385,000 stok LKM Motokar, 287,999 LKM Motosikal dan 300,000 LMM, manakala PUSPAKOM diberikan 5,500 stok LKM Motokar,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPJ, sehingga hari ini didapati baki stok dokumen terkawal JPJ adalah masih mencukupi bagi tujuan menampung keperluan untuk urusan pembaharuan atau transaksi LKM dan LMM, di semua lokasi premis rakan-rakan strategik JPJ tersebut.

Di MyEG, masih terdapat 100,827 stok LKM Motokar, 10,843 LKM Motosikal dan 26,648 LMM, manakala Pos Malaysia pula 365,518 LKM Motokar, 142,871 LKM Motosikal dan 789,274 LMM, dan  PUSPAKOM pula 11,950 LKM Motokar.

Kenyataan itu juga memaklumkan Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim hari ini membuat lawatan mengejut di Pejabat Pos Malaysia, Sri Kembangan, Selangor bagi melihat pengoperasian urus niaga JPJ dan aspek pengedaran dan pembekalan stok dokumen LKM dan LMM bagi memastikan ia berjalan dengan cekap dan lancar.

— BERNAMA