Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ beri jaminan stok lesen di seluruh negara cukup

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi jaminan pembekalan dan pengedaran stok Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) oleh jabatan itu serta baki stok yang dimiliki oleh rakan strategiknya adalah mencukupi.

JPJ dalam kenyataan hari ini berkata stok dokumen terkawal yang dimiliki PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM), Pos Malaysia dan MY E.G. Services Bhd (MYEG) itu turut mampu memenuhi kehendak seluruh pelanggan untuk tempoh sehingga 31 Dis tahun ini.

“Sepanjang Ogos lepas, pihak JPJ telah membekalkan sejumlah stok dokumen terkawal yang mencukupi kepada semua rakan strategik JPJ termasuklah sebanyak 450,000 stok LKM Motokar dan 8,400 stok LKM Motosikal serta 6,600 stok LMM diberikan kepada MyEG.

“Pos Malaysia pula menerima 385,000 stok LKM Motokar, 287,999 LKM Motosikal dan 300,000 LMM, manakala PUSPAKOM diberikan 5,500 stok LKM Motokar,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPJ, sehingga hari ini didapati baki stok dokumen terkawal JPJ adalah masih mencukupi bagi tujuan menampung keperluan untuk urusan pembaharuan atau transaksi LKM dan LMM, di semua lokasi premis rakan-rakan strategik JPJ tersebut.

Di MyEG, masih terdapat 100,827 stok LKM Motokar, 10,843 LKM Motosikal dan 26,648 LMM, manakala Pos Malaysia pula 365,518 LKM Motokar, 142,871 LKM Motosikal dan 789,274 LMM, dan  PUSPAKOM pula 11,950 LKM Motokar.

Kenyataan itu juga memaklumkan Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim hari ini membuat lawatan mengejut di Pejabat Pos Malaysia, Sri Kembangan, Selangor bagi melihat pengoperasian urus niaga JPJ dan aspek pengedaran dan pembekalan stok dokumen LKM dan LMM bagi memastikan ia berjalan dengan cekap dan lancar.

— BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Puspakom Selangor beroperasi semula esok kecuali di Batu Caves

SHAH ALAM, 18 JULAI: Perkhidmatan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Selangor beroperasi semula esok kecuali Puspakom Batu Caves yang akan memulakan operasi pada 21 Julai ini.

Menurut kenyataan hari ini, pengoperasian pusat itu termasuk perkhidmatan bergerak Puspakom di kawasan Lembah Klang melibatkan semua jenis pemeriksaan kenderaan.

“Pelanggan yang ingin menjalani pemeriksaan kenderaan wajib membuat janji temu secara dalam talian sebelum hadir ke Puspakom atau mengguna perkhidmatan bergerak. Pemeriksaan secara jumpa terus tidak dibenarkan.

“Pelanggan yang hadir pemeriksaan disarankan untuk sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dan memastikan MySejahtera diimbas sebelum masuk ke premis,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD: Puspakom seluruh Selangor tutup, kecuali di Sungai Besar

SHAH ALAM, 12  JULAI: Semua Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom ) di Selangor kecuali di Sungai Besar ditutup operasinya sehingga 16 Julai ini berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dalam satu kenyataan hari ini, pusat berkenaan memaklumkan penutupan itu turut meliputi Perkhidmatan Bergerak di Lembah Klang, manakala Puspakom Seremban juga tidak beroperasi sehingga 22 Julai atas sebab yang sama.

“Bagi pelanggan yang telah membuat janji temu di cawangan Puspakom yang tidak beroperasi, bayaran janji temu akan dikembalikan secara automatik,” katanya.

Menurut kenyataan itu, semua Pusat Pemeriksaan Puspakom di seluruh negara termasuk Perkhidmatan Bergerak yang tidak berada di dalam kawasan PKPD kekal beroperasi seperti biasa.

Namun, tiada pemeriksaan secara “walk-in” di pusat pemeriksaan yang beroperasi, sebaliknya hanya pelanggan yang mempunyai janji temu sahaja dibenarkan untuk melakukan pemeriksaan kenderaan mengikut tarikh, masa dan tempat yang telah dipilih.

Mereka yang hadir semasa pemeriksaan disaran mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengimbas MySejahtera sebelum memasuki premis berkenaan.

Segala perubahan tentang operasi Puspakom sama ada beroperasi semula atau sebaliknya adalah berdasarkan pengumuman terkini kerajaan dan orang ramai boleh mengikuti Facebook Puspakom Sdn Bhd atau melayari www.puspakom.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kaunter agensi berkaitan pengangkutan dibuka, hanya janji temu

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Semua agensi di bawah Kementerian Pengangkutan akan membuka perkhidmatan kaunter mulai esok dengan beberapa ketetapan selaras dengan pengumuman yang dilakukan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali semalam.

Kementerian itu berkata urusan yang dibenar hanyalah melibatkan urus niaga yang tidak dapat dilakukan secara dalam talian dan perlu dilakukan secara janji temu, manakala walk-in tidak dibenarkan.

“Selain itu kapasiti petugas di kaunter juga tidak melebihi 50 peratus,” demikian menurut kenyataan kementerian hari ini.

Menurut kementerian itu, bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), semua perkhidmatan kaunter untuk transaksi berkaitan kenderaan komersial dan persendirian, akan beroperasi kecuali perkhidmatan yang boleh dilakukan secara dalam talian menerusi portal awam mySIKAP atau rakan strategik JPJ.

Secara keseluruhan, terdapat 38 transaksi yang boleh dilakukan dalam talian melalui portal mySIKAP, namun 11 lagi transaksi seperti tempah nombor pendaftaran dan maklumat pemilik memerlukan kaedah pendaftaran melalui pengesahan biometrik (sekali daftar) bagi meneruskan transaksi melalui portal awam mySIKAP.

Orang ramai digalakkan merujuk Facebook rasmi JPJ @jabatanpengangkutanjalanmalaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut serta senarai Cawangan JPJ berdekatan bagi membuat janji temu.

Bagi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), semua permohonan boleh dibuat melalui janji temu ini kecuali urusan kad pemandu dan janji temu boleh dilakukan melalui portal APAD iaitu https://www.apad.gov.my/temujanji/index.html dengan akses bermula 4 petang.

“Bagi permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) pula, permohonan hendaklah dibuat secara terus melalui e-mel ke [email protected]

“Dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN), pengusaha dan syarikat tidak terikat dengan keperluan untuk mengemukakan permohonan memperbaharui lesen dalam tempoh 90 hari sebelum tamat tempoh lesen,” katanya.

Orang ramai digalakkan merujuk laman Facebook APAD, @APADchannel untuk maklumat lanjut.

Sementara bagi Jabatan Laut (JLM) dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, masing-masing terdapat tujuh transaksi yang boleh dilakukan di kaunter melalui janji temu.

Keterangan lanjut untuk janji temu  boleh didapati menerusi hotline 03 3346 7777/7620  dan e-mel [email protected] bagi  (JLM), manakala untuk LPKP pula talian hotline yang disediakan ialah 088 238244 / 245 dan e-mel [email protected].

Untuk LPKP Sarawak, hanya enam transaksi boleh dilakukan di kaunter secara janji temu, antaranya urusan permohonan baharu /tambahan lesen kenderaan komersial dan memperbaharui lesen kenderaan komersial.

Keterangan lanjut untuk membuat janji temu boleh dilakukan menerusi talian hotline: 082 412073/ 413303 atau emel : [email protected].

Bagi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) pula, tarikh janji temu boleh diperoleh secara dalam talian iaitu www.mypuspakom.com.my atau talian khidmat pelanggan 03-5101 7000.

Kementerian itu pada masa yang sama turut mengingatkan orang yang berurusan dengan agensi terlibat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, antaranya memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

— BERNAMA