Categories
SELANGOR

Kerosakan sistem LRA, bekalan air di Hulu Langat alami gangguan

SHAH ALAM, 13 OKT: Beberapa kawasan di Wilayah Hulu Langat terjejas gangguan bekalan air berikutan insiden kerosakan pada sistem elektrikal Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, insiden berkenaan menyebabkan lima pam air mentah tidak dapat beroperasi.

Katanya, berlaku penyusutan pengeluaran air terawat sebanyak 180 liter sehari (MLD) daripada pengeluaran harian sebanyak 470 MLD.

“Pasukan teknikal kami sedang berusaha mengatasi masalah ini dan meminimakan impak gangguan bekalan kepada pelanggan yang terjejas.

“Bantuan lori-lori tangki air akan digerakkan dengan keutamaan kepada pelanggan dan premis kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk status dan maklumat terkini, pelanggan boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor untuk status serta maklumat terkini yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Pelanggan juga boleh menghubungi di talian 15300 atau WhatsApp ke 019-2800919 / 019-2816793 untuk bantuan kecemasan.

Categories
SELANGOR

Pencemaran bau di Sungai Semenyih, beberapa wilayah terjejas

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 26 JUN: Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) memaklumkan berlaku pencemaran bau di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah bagi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasinya, Abdul Raof Ahmad berkata, susulan kejadian itu gangguan bekalan air dan tekanan rendah dijadual bermula sekitar jam 9 malam ini.

Katanya, antara wilayah terjejas adalah Petaling Jaya, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

“Kami sedang berkerjasama dengan beberapa agensi berkaitan untuk mengenalpasti punca pencemaran berkenaan,” katanya dalam kenyataan di facebook.

Justeru, pihaknya akan mengemaskini maklumat terkini dan kerjasama pengguna amatlah dihargai.

Bagi mendapatkan maklumat dan status terkini, pengguna boleh merujuk aplikasi Air Selangor dan laman sesawang www.syabas.com.my.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

LRA Labohan Dagang atasi isu air Kuala Langat

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANTING, 25 JUN: Pihak yang mendakwa kononnya projek pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang sebagai satu pembaziran akhirnya terpaksa menelan kata-kata sendiri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal ini berikutan projek menelan kos RM587 juta itu membolehkan Daerah Kuala Langat mendapat bekalan air sendiri dan tidak lagi bergantung kepada LRA Sungai Selangor.

“Kecaman dan dakwaan itu adalah tidak berasas kerana mereka yang membuat kecaman itu tidak memahami perancangan jangka panjang yang menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan.

“Dengan siapnya LRA Labohan Dagang (Fasa 1) ini, Kuala Langat akan mendapat bekalan air sendiri sebaliknya sebelum ini, daerah ini adalah kawasan dihujung sistem bekalan air dan tidak ada satu loji khusus untuk menapung permintaan air.

“Kuala Langat termasuk kawasan Klang adalah kawasan terakhir dalam sistem agihan air dari Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 dan 3.

“Sebelum ini, jika berlakunya gangguan bekalan Kuala Langat adalah kawasan terakhir akan pulih kerana ia berada di hujung sistem bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan LRA Labohan Dagang di tapak loji itu di sini, petang tadi.

Amirudin berkata, dengan adanya LRA Labohan Dagang, masalah bekalan air di kawasan Kuala Langat dan Klang dapat diatasi sementara bekalan air daripada Sungai Selangor Fasa 1 dan 3 boleh ditumpukan kepada kawasan Lembah Klang.

Katanya, LRA Labohan Dagang juga secara berfasa akan mengambilalih bekalan air dari LRA Sungai Semenyih ke kawasan Beranang, sebahagian kawasan Hulu Langat dan pembangunan baharu di sepanjang Lebuh Raya Lekas.

“Dengan kaedah ini, LRA Semenyih boleh membantu pembekalan ke kawasan Subang Jaya.

“Manakala bekalan air dari Loji Labu boleh ditumpukan sepenuhnya untuk menampung permintaan pengguna yang semakin pesat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya.

Categories
SELANGOR

LRA Labohan Dagang dan Semenyih 2 tak ganggu Langat 2

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 NOV: Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 dan Labohan Dagang tidak menjejaskan fungsi LRA Langat 2 sebaliknya memperkukuhkan lagi sistem agihan air di Selangor serta Lembah Klang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan, kedua LRA baru ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelabur terutama dari sektor perumahan dan industri yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi lebih pesat di kawasan Selatan Selangor terutama Kuala Langat dan Klang.

“LRA Labohan Dagang dan LRA Semenyih 2 adalah inisiatif Kerajaan Negeri mewujudkan ekosisitem perkhidmatan air komprihensif dan kondusif serta pelengkap kepada sisitem agihan sedia ada yang menyeluruh bagi Selangor terdiri daripada LRA SSP 1, SSP 2 dan SSP 3 bagi kawasan Utara (Selangor).

“LRA Sungai Langat, Semenyih, Semenyih 2 dan LRA Langat 2 untuk kawasan Tengah (Selangor) manakala LRA Labohan Dagang untuk kawasan Selatan (Selangor),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Negeri Selangor 2018.

Katanya, pembinaan dua LRA itu juga tidak akan menjejaskan fungsi LRA Langat 2 kerana sistem agihannya akan tertumpu ke kawasan Kuala Lumpur, Cheras, AU3 Ampang dan Bukit Jalil serta tidak meliputi kawasan dari LRA Semenyih 2 dan LRA Labohan Dagang

Menurutnya, rangkaian ini sebagai usaha memastikan perhubungan sistem agihan air yang dapat membantu mana-mana kawasan sekiranya mengalami masalah gangguan bekalan air.