Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais bantu 586 keluarga terkesan pandemik di tiga daerah

SHAH ALAM, 24 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan fidyah kepada 586 keluarga di sekitar Petaling, Sepang dan Hulu Langat yang terkesan akibat Covid-19.

Agensi itu dalam kenyataan di Facebook memaklumkan sejumlah RM58,600 diperuntuk dalam bentuk bantuan makanan asas seperti beras, tepung dan minyak masak bernilai RM100.

Katanya, agihan kepada 267 penerima di Petaling, 29 di Sepang dan 290 di Hulu Langat itu dibantu 17 rakan strategik Mais.

“Terima kasih kepada semua pembayar fidyah, semoga sumbangan yang diberikan ini dapat membantu meringankan beban mereka semua.

“Kepada anda yang masih belum sempat menunaikan kewajipan membayar fidyah, jom bayar fidyah secara atas talian melalui e-MAIS,” katanya.

Masyarakat Islam yang ingin membayar fidyah secara dalam talian boleh berbuat demikian menerusi pautan http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

Pada 29 September Pengerusi Mais berkata pihaknya meluluskan pemberian bantuan bernilai RM7.56 juta menerusi program agihan fidyah yang dilancarkan sejak 28 Disember tahun lalu.

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata bantuan tersebut disalurkan dengan anggaran RM30,000 dan RM40,000 setiap minggu serta dilakukan secara berterusan di seluruh negeri.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais pelihara kebajikan 794 anak yatim terjejas Covid-19

SHAH ALAM, 15 OKT: Seramai 794 anak yatim seliaan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) yang terkesan akibat Covid-19 menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Sumbangan berjumlah RM115,000 melalui baitulmal bagi menampung keperluan pendidikan golongan tersebut selain memelihara kebajikan mereka, kata setiausaha Mais.

“Mais berharap bantuan ini menyuntik motivasi kepada anak-anak yatim supaya terus cemerlang dan berusaha lebih gigih dalam pelajaran,” kata Dr Ahmad Shahir Makhtar dalam kenyataan.

Penyampaian cek cura disempurnakan Pengerusi Mais Tan Sri Andul Aziz Mohd Yusof kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di Istana Mestika semalam.

Bantuan sempena Majlis Pelancaran Bulan Anak Yatim turut dihadiri Pengerusi Yide Dato’ Bakhtiar Hussin.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais bantu 516 keluarga terkesan pandemik di Klang, Kuala Selangor

SHAH ALAM, 10 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan fidyah kepada 516 keluarga di sekitar Klang dan Kuala Selangor yang terkesan Covid-19, semalam.

Agensi itu dalam kenyataan di Facebook memaklumkan sejumlah RM51,600 diperuntuk dalam bentuk bantuan makanan asas seperti beras, tepung dan minyak masak bernilai RM100.

Katanya, agihan kepada 40 penerima di Klang dan 476 di Kuala Selangor itu dibantu dua rakan strategik Mais iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Pekan Meru dan Pertubuhan Kelab Sosial dan Kebajikan Cakna Puncak Alam (ICare)

“Terima kasih kepada semua pembayar fidyah, semoga sumbangan yang diberikan ini dapat membantu meringankan beban mereka semua.

“Kepada anda yang masih belum sempat menunaikan kewajipan membayar fidyah. Jom bayar fidyah secara atas talian melalui e-MAIS,” katanya.

Masyarakat Islam yang ingin membayar fidyah secara dalam talian boleh berbuat demikian menerusi pautan http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

Pada 13 Ogos, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan fidyah berjumlah RM3 juta kepada 20,000 keluarga yang terkesan akibat Covid-19 sejak awal tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata bantuan tersebut disalurkan dengan anggaran RM30,000 dan RM40,000 setiap minggu serta dilakukan secara berterusan di seluruh negeri.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sumbangan RM500 Mais, ringan beban pemandu teksi

SHAH ALAM, 29 SEPT: Gabungan Teksi Malaysia menghargai sumbangan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memberi bantuan kepada pemandu Teksi Kereta Sewa Islam di negeri ini.

Yang dipertuanya Kamarudin Mohd Hussain berkata bantuan sekali bayar bernilai RM500 itu sedikit sebanyak meringankan beban penerima yang rata-ratanya terkesan susulan pandemik Covid-19.

“Terima kasih kepada pembayar Zakat Selangor, sumbangan ini sedikit sebanyak meringgankan bebanan kami dan memberi manfaat kepada pemandu teksi yang dalam kesusahan.

“Insya-Allah kita akan mengagihkan bantuan ini kepada penerima dalam masa terdekat dan pada masa sama menyeru pemandu ini membuat semakan nama mereka menerusi Facebook Dunia Teksi,” katanya menerusi kenyataan.

Simbolik serahan replika cek Mais semalam disampaikan pengerusinya Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof kepada wakil Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang SeMalaysia.

Categories
AGENSI SELANGOR

675 keluarga Orang Asli negeri dapat duit, bantuan makanan

SHAH ALAM, 28 SEPT: Seramai 675 keluarga Orang Asli Islam negeri ini akan menerima bantuan makanan asas bernilai RM100 melalui program agihan fidyah Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Setiap keluarga juga menerima wang tunai RM200 yang dimasukkan terus dalam akaun, kata ketua penolong pengarah bahagian dakwah Jabatan Agama Islam Selangor.

Menurut Sabariah Salleh, agihan membabitkan 74 perkampungan dari tujuh daerah negeri ini akan dibuat dalam program khas tidak lama lagi.

“Program penyerahan itu nanti kesinambungan daripada fasa pertama memandangkan sebelum ini mereka sudah menerima bakul makanan yang disumbangkan agensi sama,” katanya.

Beliau ditemui selepas menerima cek cura berjumlah RM135,000 yang disampaikan Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di Bangunan Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Sabariah berkata sumbangan tersebut bukti keprihatinan agensi itu terhadap kebajikan masyarakat pribumi yang tidak terkecuali berdepan kesukaran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau turut menyeru orang ramai berkongsi pandangan bagi meningkatkan taraf hidup Orang Asli selain menghulurkan bantuan untuk meringankan beban mereka.

“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada Mais dan agensi lain bawah hal ehwal pengurusan Islam yang memberi sumbangan dari semasa ke semasa demi kemaslahatan masyarakat Orang Asli,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sekadar cukup makan, pandemik jejas rezeki ribuan pemandu teksi

SHAH ALAM, 28 SEPT: Pandemik yang melanda negara lebih setahun lalu selain perintah kawalan ketat memberi kesan mendalam terhadap pendapatan pemandu teksi negeri ini.

Gaji yang diperolehi antara RM50 hingga RM60 sehari sekadar cukup makan untuk menanggung keperluan harian keluarga, manakala bayaran sewa rumah terpaksa ditangguhkan.

Situasi itu dialami ribuan ahli Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM) Selangor sejak tahun lalu.

“Kami melalui tempoh yang agak mencabar sepanjang tempoh dua tahun ini. Pendapatan harian memang terjejas teruk, jauh sekali untuk mencapai sasaran diinginkan” kata M.D Here Yanto Holik.

Beliau ditemui selepas menerima sumbangan RM1.78 juta daripada Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di Bangunan Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Here Yanto berkata bantuan tunai RM500 akan diagihkan ke akaun 3,550 ahli gabungan berkenaan mulai esok berdasarkan data diperoleh Agensi Pengangkutan Awam Darat.

Menurutnya, sumbangan itu meringkankan beban pemandu teksi menguruskan anak-anak yang masih bersekolah serta memerlukan data internet untuk pembelajaran secara maya.

“Wang ini juga boleh digunakan untuk keperluan perubatan, justeru saya mewakili mereka amat terharu dan berterima kasih atas keprihatinan Mais. Kita akan pastikan tiada siapa tercicir” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Ribuan Orang Asli, pemandu teksi terjejas dapat fidyah RM1.9 juta

SHAH ALAM, 28 SEPT: Ribuan Orang Asli dan pemandu teksi negeri ini yang terkesan akibat Covid-19 menerima wang fidyah berjumlah RM1.9 juta daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Pengerusi Mais berkata sebanyak RM1.78 juta diagihkan kepada 3,550 ahli Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM).

Sementara baki berjumlah RM135,000 lagi disalurkan kepada 675 keluarga masyarakat Orang Asli beragama Islam, menurut Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

“Penerima sumbangan bagi ahli GTSM mendapat wang tunai RM500 setiap keluarga manakala masyarakat Orang Asli menerima RM200 berserta pek makanan asas bernilai RM100,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas majlis simbolik penyerahan sumbangan berkenaan di Bangunan Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Abdul Aziz berharap sumbangan tersebut meringankan beban golongan berkenaan yang terjejas pendapatan sejak pandemik melanda negara tahun lalu.

“Kita faham dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, ramai orang susah. Jadi, kita bantu selagi mana boleh supaya mereka tidak menghadapi kesukaran yang keterlaluan,” katanya.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Rawatan klinikal, spiritual ikhtiar bantu asnaf balik ke pangkal jalan

SHAH ALAM, 15 SEPT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menggunakan lima pendekatan khusus bagi merawat penghuni Rumah Pemulihan Riqab (RPR).

Kaedah itu meliputi rawatan spiritual Islam yang bertepatan hukum syarak, klinikal, secara sokongan, kaunseling dan pembangunan insan.

“Moga dengan kaedah rawatan ini menjadi salah satu ikhtiar kita bersama untuk membantu mereka kembali pulih seperti sediakala,” tulis agensi itu di Facebook.

Mengikut lampiran yang dikongsi dalam platform sama, rawatan klinikal digunakan bagi merawat ketagihan dan kejiwaan yang diselia pegawai perubatan bertauliah.

Rawatan secara sokongan pula melibatkan keluarga, rakan-rakan penghuni dan individu sekeliling untuk menaikkan semangat sepanjang proses pemulihan.

Sementara kaedah kaunseling melalui sesi bersama kaunselor untuk berkongsi masalah atau perasaan yang dipendam manakala pembangunan insan membabitkan latihan dan bimbingan kemahiran.

Mais memperuntuk sebanyak RM16 juta bagi membimbing 1,046 asnaf riqab negeri ini memulakan hidup baharu meliputi pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan.

Mereka dibelenggu masalah sosial dan akidah seperti penagihan dadah, sumbang mahram, persetubuhan haram dan terpesong agama.

Untuk maklumat lanjut layari http://www.mais.gov.my/al-riqab/ atau hubungi Bahagian Pemulihan Ar-Riqab di talian 03-33614080.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais bantu 604 keluarga di Klang, Kuala Langat dan Hulu Langat

SHAH ALAM, 11 SEPT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan kutipan fidyah berjumlah RM60,400 kepada 604 penerima di Klang, Kuala Langat dan Hulu Langat hari ini.

Sumbangan diberikan kepada golongan memerlukan menerusi pek makanan asas seperti beras, tepung, minyak dan gula bernilai RM100.

“Bagi melancarkan pengagihan sumbangan, seramai 26 Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) terdiri daripada masjid dan surau di sekitar Klang, Kuala Langat Dan Hulu Langat membantu Mais menyalurkan sumbangan terus kepada penerima yang telah dikenal pasti.

“Penerima di sekitar Klang seramai 220 keluarga, Kuala Langat 72 keluarga dan Hulu Langat 312 keluarga,” kata Mais menerusi Facebook.

Mais menyeru orang ramai yang masih belum menunaikan kewajipan membayar fidyah boleh melakukannya secara dalam talian melalui http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

Pada 13 Ogos, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan fidyah berjumlah RM3 juta kepada 20,000 keluarga yang terkesan akibat Covid-19 sejak awal tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata bantuan tersebut disalurkan dengan anggaran RM30,000 dan RM40,000 setiap minggu serta dilakukan secara berterusan di seluruh negeri.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais salur bantuan kepada 565 keluarga terjejas akibat Covid-19

SHAH ALAM, 9 SEPT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyalurkan bantuan berbentuk makanan asasi kepada 565 keluarga bernilai RM56,500 di lima daerah di negeri ini bagi membantu mereka meneruskan hidup dalam tempoh pandemik Covid-19.

Mais menerusi hantaran dalam Facebook rasminya hari ini memaklumkan, daripada 565 keluarga yang menerima bantuan, seramai 192 keluarga dari daerah Petaling, 105 (Sabak Bernam), 104 (Gombak), 85 (Klang) dan 79 (Hulu Selangor).

“Bagi melancarkan pengagihan sumbangan, seramai 39 Rakan Strategik Agihan Fidyah Mais (RSAFM) digerakkan bagi membantu Mais menyalurkan sumbangan terus kepada penerima yang telah dikenal pasti.

“Mais mengucapkan jutaan terima kasih kepada RSAFM yang membantu dalam mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan terutamanya dalam tempoh pandemik,” menurut hantaran tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yide sumbang duit, keperluan asas bantu mangsa ribut

SHAH ALAM, 8 SEPT: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyalurkan bantuan kepada seorang mangsa yang terjejas akibat ribut di Kampung Labohan Dagang, Banting petang kelmarin.

Pengurus operasi bahagian kebajikan dan publisitinya berkata berkata sumbangan wang tunai berjumlah RM500 dan dua pek keperluan asas bagi meringankan beban mangsa Samsiti Taib yang berusia lingkungan 70-an.

“Yide selaku anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang menguruskan hal ehwal musibah atau malapetaka dan bencana alam di Selangor telah menziarahi mangsa serta menyampaikan sumbangan.

“Yide berterima kasih kepada semua penyumbang yang menyalurkan sumbangan melalui Infaq Dana-Musibah bagi membolehkan golongan sasar dibantu,” kata Md Arifin Jaafar dalam kenyataan.

Beliau berkata kejadian jam 4.30 petang mengakibatkan struktur bumbung ruang dapur rosak teruk akibat diterbangkan angin selain meranapkan beberapa bahagian binaan rumah mangsa.

Bagaimanapun katanya, mangsa bersyukur kerana insiden yang berlaku terlalu pantas itu tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh berbuat demikian melalui billplz di pautan https://yide.com.my/donations/infaq-dana-musibah/

Setiap sumbangan layak mendapat pelepasan cukai mengikut subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967, melalui resit rasmi Yayasan Islam Darul Ehsan.

Perkongsian maklumat berkenaan bencana alam pula boleh dibuat dengan menghubungi Eksekutif Kebajikan Yide Muhammad Zubair Azizan di talian 017-7569476.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

472 keluarga terjejas akibat Covid-19 terima bantuan Mais

SHAH ALAM, 31 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) terus aktif membantu golongan terkesan akibat Covid-19 dengan 472 keluarga di sekitar Klang, Hulu Langat dan Sepang dibantu semalam.

Agensi itu memaklumkan agihan fidyah berjumlah RM47,200 itu adalah dalam bentuk makanan asasi seperti beras, tepung, minyak dan gula yang bernilai RM100.

“Mais mengucapkan jutaan terima kasih kepada 21 Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) terdiri kariah surau dan masjid yang terlibat kerana memberi kerjasama menjayakan agihan sumbangan kepada penerima.

“Antara RSFM yang terlibat hari ini ialah Surau At Taqwa Seksyen 16 Bandar Baru Bangi, Surau Ar-Raudah, Surau AlFallah Dengkil, Surau Al Husna Desa Sentosa, Masjid Al Muttaqin Dusun Tua Hulu Langat, Surau Al Hidayah Kajang dan Surau Jubli Perak Bandar Baru Bangi,” katanya menerusi kenyataan.

Mais berkata kepada yang masih belum menunaikan kewajipan membayar fidyah boleh melakukannya secara dalam talian melalui http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

Pada 13 Ogos, Mais mengagihkan fidyah berjumlah RM3 juta kepada 20,000 keluarga yang terkesan akibat Covid-19 sejak awal tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata bantuan tersebut disalurkan dengan anggaran RM30,000 dan RM40,000 setiap minggu serta dilakukan secara berterusan di seluruh negeri.