Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Banjir: Mais sumbang 150 set lapik tidur, beras kepada mangsa

SHAH ALAM, 2 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbangkan 150 set lapik tidur untuk diagih kepada mangsa banjir sekitar Klang, semalam.

Agensi itu memaklumkan sebanyak 50 set beserta selimut, 50 kotak makanan dan 500 kilogram (kg) beras diserahkan kepada Yang Di Pertua Sahabat Hospital Selangor, Mahat Tumin di Masjid Ar Rahimah untuk diagih kepada individu terjejas.

Manakala 100 lagi set lapik tidur diserahkan kepada wakil Perkim Kapar, Muhamad Rafie Rahman.

“Alhamdulillah, sumbangan terus diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir sekitar Kampung Perepat dan Sementa Klang,” kata Mais di Facebook.

Kelmarin, Mais menyalurkan bantuan keperluan asas kepada empat sekolah tahfiz sekitar Kuala Selangor yang terjejas akibat banjir.

Agensi berkata bantuan beras, lapik tidur dan barangan makanan asas disalur kepada Akademi Shahadah Tahfiz Al Faizin Banat di Parit Mahang dan Maahad Tarbiah Gontory Banat Bukit Hijau, Jeram.

Turut menerima sumbangan tersebut ialah Maahad Tarbiah Islamiah Al-Ansar di Bestari Jaya dan Maahad Tahfiz Diniah Sungai Gulang-Gulang, Tanjong Karang.

MAIS turut menyerahkan sumbangan 50 kotak makanan untuk mangsa banjir sekitar Klang. Foto Facebook Majlis Agama Islam Selangor
Categories
AGENSI SELANGOR

Empat sekolah tahfiz terjejas banjir Kuala Selangor terima bantuan asas

SHAH ALAM, 31 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyalurkan bantuan keperluan asas kepada empat sekolah tahfiz sekitar Kuala Selangor yang terjejas akibat banjir.

Agensi berkata bantuan beras, lapik tidur dan barangan makanan asas disalur kepada Akademi Shahadah Tahfiz Al Faizin Banat di Parit Mahang dan Maahad Tarbiah Gontory Banat Bukit Hijau, Jeram.

Turut menerima sumbangan tersebut ialah Maahad Tarbiah Islamiah Al-Ansar di Bestari Jaya dan Maahad Tahfiz Diniah Sungai Gulang-Gulang, Tanjong Karang.

“Semoga dengan usaha ini, dapat meringankan sedikit sebanyak bebanan mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Mais menambah kerja pembersihan sekolah Maahad Tarbiah Islamiyah Al Ansar turut dijalankan bersama Skuad Prihatin Mais, wakil sukarelawan dari agensi dan anak syarikat Mais terdiri Yayasan Islam Darul Ehsan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa serta Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd.

“Turut sama dalam program pembersihan ini ialah Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor dan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan yang dianggarkan lebih 50 orang terlibat,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais tarik balik tauliah ajar agama Islam aktivis politik mulai Jumaat

SHAH ALAM, 28 DIS: Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan menyemak dan menarik balik tauliah mengajar agama Islam di Selangor, yang diberikan kepada mana-mana aktivis politik, kata Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata ia selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahukan supaya tauliah mengajar agama Islam di negeri itu yang diberikan kepada mana-mana aktivis politik, ditarik balik berkuat kuasa 31 Dis ini.

Bagaimanapun menurutnya ahli majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang memegang portfolio agama Islam masih boleh menyampaikan pengajaran agama Islam, dengan syarat ia tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan.

Beliau berkata Sultan Selangor menitahkan agar agama Islam tidak dipolitikkan dan dijadikan sebagai bahan politik oleh mana-mana pihak di negeri ini khususnya di masjid dan surau.

“Bagi menjaga kesucian agama Islam di Selangor, baginda tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik kerana dikhuatiri ia boleh disalah guna untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam serta mencemarkan agama Islam di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata mengajar agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen sama.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari atau mempertikai titah Sultan Selangor atas sifat baginda sebagai Ketua Agama Islam berhubung dengan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam bagi mana-mana aktivis politik, juga adalah merupakan suatu kesalahan di bawah perenggan 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais agih barang dapur, manfaat 387 penduduk sekitar Petaling

SHAH ALAM, 9 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyalurkan bantuan bernilai RM38,700 bagi membantu penduduk terputus pendapatan di sekitar Petaling.

Pek berupa beras, tepung, minyak dan gula bernilai RM100 setiap satu memanfaatkan seramai 387 penduduk di kawasan terbabit, maklum agensi itu.

“Mais mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada pembayar fidyah budiman. Semoga sumbangan diberikan dapat membantu meringankan bebanan mereka semua,” maklum agensi itu di Facebook.

Menurut Mais, agihan itu dibuat melalui Rakan Strategik Agihan Fidyah terdiri Pertubuhan Dakwah Islamiah Sekolah-Sekolah Malaysia.

Agensi itu turut menyeru orang ramai yang belum menunaikan kewajipan membayar fidyah supaya berbuat demikian secara dalam talian melalui pautan http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

 

Categories
ADN AGAMA AGENDA SELANGOR

92.24 peratus lot wakaf Mais dibangun untuk keagamaan, kebajikan

SHAH ALAM, 6 DIS : Sebanyak 92.24 peratus daripada 1,313 lot hartanah wakaf bawah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dibangunkan untuk institusi keagamaan, pendidikan dan kebajikan setakat Oktober lalu.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata tanah yang dikategori sebagai wakaf khas itu dibangunkan dengan mengikut niat pewakaf antaranya masjid, surau, tapak perkuburan, sekolah, pusat tahfiz, rumah anak yatim dan rumah warga emas.

Menurut Mohd Zawawi Ahmad Mughni sejumlah 6.69 peratus daripada hartanah wakaf itu juga dirancang untuk dimanfaatkan dengan cadangan projek pembangunan yang memberi nilai tambah dan meningkatkan ekonomi ummah.

“Ia seperti pembinaan perumahan, pembangunan komersial perniagaan serta pembangunan secara bercampur di tanah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan wakil rakyat Lembah Jaya Haniza Talha mengenai tanah wakaf pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurut Zawawi sejumlah 1.07 peratus hartanah wakaf tidak dapat dimanfaatkan adalah kerana keluasan yang kecil, berkongsi geran dan kurang memberi nilai ekonomi.

Beliau turut memaklumkan Mais merupakan Pemegang Amanah Tunggal harta wakaf mengikut Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 2015.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor belanja lebih RM250,000 bantu penghuni rumah perlindungan Mais

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri memperuntuk RM271,000 kepada rumah perlindungan dan pemulihan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sepanjang dua tahun program itu dijalankan.

EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata daripada jumlah itu sebanyak RM116,000 disumbang pada tahun lalu melibatkan 29 rumah manakala RM155,000 membabitkan 31 rumah tahun ini.

Menurutnya, setiap rumah tersebut masing-masing menerima sumbangan bernilai RM5,000 bagi meningkatkan motivasi kepada pengusaha dalam menyantuni golongan asnaf riqab.

“Kita harap inisiatif ini sedikit sebanyak membantu memastikan pembangunan sosial dalam kalangan penghuni rumah berkaitan dapat dilaksanakan dengan baik.

“Pada masa sama, mampu melahirkan masyarakat madani yang mempunyai sahsiah diri cemerlang selaras dengan misi dan visi Selangor sebagai negeri ‘Smart and Caring’ (bijak dan penyayang),” katanya menerusi kenyataan.

Sumbangan diadakan menerusi Majlis Santuni Rumah Perlindungan / Pemulihan dan Kebajikan Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Pengarah Pembangunan Sosial Mais Suhaimi Ismail turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri terhadap usaha dalam membantu golongan asnaf riqab.

“Semoga sumbangan yang diberi menjadi suntikan semangat kepada semua pengusaha dan pengurus rumah terbabit untuk meneruskan bakti serta keringat dalam memastikan golongan asnaf riqab terus terpelihara,” katanya.

Antara penerima sumbangan adalah Rumah Kebajikan Darul Lil Banat, Pertubuhan Usrah Fitrah, Pusat Jagaan Amal Hasanah, Rumah Puteri Arafiah, Pusat Pemulihan Baitul Islah, Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan dan Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais kecualikan sewa premis, diskaun 50 peratus susulan pandemik

SHAH ALAM, 22 NOV: Seramai 107 penyewa premis dan tanah milik Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menerima pengecualian serta diskaun sewa sebanyak RM1.12 juta.

Bantuan khusus buat penyewa terkesan Covid-19 melibatkan peniaga runcit serta industri kecil dan sederhana antara Januari hingga Ogos lalu, kata setiausaha Mais.

“Mais berharap usaha ini meringankan beban peniaga yang terjejas pendapatan akibat perintah kawalan pergerakan dan penularan wabak,” kata Dr Ahmad Shahir Makhtar dalam kenyataan.

Beliau berkata pengecualian sewa turut diberikan kepada individu berpendapatan rendah, dibuang kerja dan hilang punca pendapatan sepanjang tempoh pandemik.

Manakala pengurangan sewa antara 30 hingga 50 peratus diberikan kepada penyewa terpilih.

Antara Januari hingga Oktober lalu, Mais mengagihkan bantuan fidyah sebanyak RM5.17 juta kepada mereka yang memerlukan membabitkan 32,618 penerima.

Categories
AGENSI SELANGOR

Guru Kafa enggan divaksin berisiko dibuang kerja

SHAH ALAM, 21 NOV: Guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) negeri ini yang terus berdegil menolak suntikan vaksin Covid-19 berdepan tindakan tegas termasuk diberhentikan kerja.

Tindakan itu berikutan mereka tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka mengikut tatacara operasi piawai (SOP), tegas pengarah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) seperti dilapor Harian Metro.

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menjelaskan peringatan dan nasihat diberikan pada peringkat awal termasuk notis pengambilan suntikan di klinik berhampiran kediaman.

“Kita tidak mahu menyusahkan mereka. Mengikut peraturan pekerjaan, guru ini boleh diambil tindakan jika ingkar arahan majikan. Suntikan boleh dibuat di mana-mana. Selepas divaksin, laporkan ke Mais,” katanya.

Abdul Aziz berkata pihaknya tidak mempunyai data guru yang enggan divaksin tetapi ia membabitkan sebilangan kecil mereka yang memberi alasan masalah kesihatan.

“Kempen pengambilan vaksin seperti penerangan juga dibuat. Jika masih berdegil, tindakan lanjut akan diambil,” katanya lagi.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 4,500 daftar e-wasiat, makin ramai ada kesedaran

SHAH ALAM, 10 NOV: Lebih 4,500 individu memilih kaedah pengurusan harta pusaka dan wasiat secara dalam talian yang disediakan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Konsep e-wasiat yang diperkenal sejak April 2018 menerima sambutan menggalakkan dengan hampir setiap hari menerima pendaftaran baharu, kata pengarah baitulmalnya.

“Tindakan ini dipuji kerana ia dapat menangani masalah pembahagian harta pusaka jika individu itu meninggal dunia selain mengelak perebutan antara waris,” kata Indera Shahril Mohd Shahid.

Jelasnya, pelbagai promosi dibuat bagi menarik umat Islam menggunakan kaedah itu antaranya hebahan di media sosial, kuliah agama di masjid dan surau serta melalui radio Ikim.fm.

“Kita mengalu-alukan lebih ramai menggunakan perkhidmatan ini kerana dokumen wasiat mereka akan diurus dengan lebih adil, terjamin, profesional serta mengikut hukum syarak,” katanya lagi.

Pendaftaran boleh dibuat melalui pautan www.mais.gov.my atau hubungi Bahagian Harta Baitulmal Mais di talian 03-55143773 atau 03-55143772.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Agihan fidyah Mais bantu puluhan ribu keluarga terkesan pandemik

SHAH ALAM, 3 NOV: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan fidyah berjumlah RM5.1 juta kepada golongan memerlukan mulai Januari hingga Oktober lalu.

Sebanyak RM3.26 juta dibelanjakan bagi menyediakan keperluan asas seperti beras, susu, tepung, gula dan minyak masak yang memanfaatkan 32,618 individu, kata setiausahanya.

Sementara bantuan tunai RM1.9 juta disalurkan kepada 4,222 Orang Asli yang menerima RM200 setiap seorang dan RM500 bagi ahli Gabungan Teksi Se’Malaysia, jelas Dr Ahmad Shahir Makhtar.

“Sebagai organisasi Islam yang prihatin, Mais membantu 36,840 keluarga terkesan Covid-19 terutama berpendapatan rendah dan mereka yang dibuang kerja.

“Turut menerima bantuan ialah individu cuti tanpa gaji, dikurangkan gaji sehingga 50 peratus atau hilang punca pendapatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Shahir berharap bantuan itu meringankan beban setiap keluarga terkesan dan memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini.

Sumbangan dibuat dengan kerjasama rakan strategik agihan fidyah Mais iaitu Jabatan Agama Islam Selangor, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd, pertubuhan Islam bukan kerajaan, masjid dan surau.

Mereka yang ingin membayar fidyah boleh melayari laman sesawang www.mais.gov.my atau bayaran menerusi http:fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

Categories
AGENSI SELANGOR

Dua projek perumahan dibangunkan atas tanah wakaf Mais

KLANG, 28 OKT: Dua projek perumahan dibangunkan atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Jalan Limau, Kapar di sini dengan nilai pembangunan kasar RM28 juta.

Dikenali sebagai UME Impian dan UME Idaman, projek berkeluasan 1.21 hektar setiap satu berkonsepkan ‘istibdal’ iaitu menggantikan tanah wakaf dengan tanah lain bernilai tinggi, kata pengerusi Mais.

Pembinaan perumahan oleh anak syarikat Perbadanan Wakaf Selangor itu turut diluluskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sejak 17 Oktober 2017, jelas Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoh.

“Tujuan kita menggunakan kaedah ini supaya mudah tanah wakaf ini dibangunkan untuk projek perumahan, malah ia turut dibenarkan mengikut hukum,” katanya selepas melancarkan projek berkenaan hari ini.

Abdul Aziz berkata kedua-dua pembinaan masing-masing melibatkan 37 unit rumah teres satu tingkat dengan tawaran harga antara RM380,000 sehingga RM480,000.

“Semoga pelaksanaan projek ini dapat memberi peluang kepada lebih ramai umat Islam untuk memiliki rumah dengan harga berpatutan,” katanya lagi.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Teras serah bayaran dividen bernilai lebih RM100,000

SHAH ALAM, 28 OKT: Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) menyerahkan bayaran dividen, zakat perniagaan dan sumbangan wakaf bernilai RM116,550.25 semalam.

Dividen berjumlah RM53,550.25 diserahkan kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) manakala RM38,000 (Lembaga Zakat Selangor) dan RM25,000 (Perbadanan Wakaf Selangor).

“Teras merupakan agensi Mais yang berperanan membangun, mengurus dan mengawal pembangunan usahawan asnaf Selangor.

“Semoga Teras terus menjalankan tanggungjawab dengan baik dan menjadi contoh kepada agensi negeri ini,” menurut kenyataan Mais di Facebook.

Sementara itu, Mais memaklumkan Teras dengan kerjasama Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) memperuntuk RM1.4 juta untuk bantuan modal perniagaan kepada 651 usahawan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Setiap penerima bakal menerima suntikan modal sebanyak RM2,000, jelasnya.