Categories
PBT SELANGOR

MBSA mahu KDEBWM urus sisa pepejal secara sistematik

SHAH ALAM, 26 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mahu KDEB Waste Management (KDEBWM) menguruskan sisa pepejal di kawasan pentadbirannya dengan sistematik dan komprehensif bagi memelihara serta mengekalkan imej bandar raya itu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Mohd Rashidi Ruslan berkata, hal itu kerana penduduk Shah Alam amat menitikberatkan pengendalian sisa pepejal yang pantas dan efisien.

“Penduduk di Shah Alam amat mementingkan kebersihan. Sehingga 19 Disember ini, sebanyak 3,022 aduan kutipan sampah diterima dan 1,618 merupakan aduan sisa domestik. Aduan ini berjaya ditangani dengan baik oleh MBSA.

“Jadi, saya amat berharap KDEBWM dapat seleraskan aduan ini dengan baik. Jika aduan ini tidak dilayan dengan baik atau tidak diberi respon berkesan, ini akan memberikan imej negatif kepada MBSA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor Bagi Kutipan Sampah Domestik di kawasan pentadbiran MBSA di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Hadir sama EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, Pengerusi Lembaga Pengarah KDEBWM, Raja Shahreen Raja Othman dan Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Tahir.

Mohd Rashidi bagaimanapun percaya KDEBWM mampu melaksanakan tugas dengan baik dan boleh membuat kutipan sampah di kawasan kediaman, perdagangan dan komersial dengan cekap dan berkesan.

Mulai 1 Januari 2020, KDEBWM akan mengambil alih pengurusan sisa domestik di kawasan pentadbiran MBSA., manakala kerja pembersihan awam dijangka diambil alih pada 1 Julai 2020.

KDEBWM juga melebarkan operasi bagi kutipan sampah industri di Majlis Daerah Kuala Langat, kutipan sampah di kampung tradisi Majlis Daerah Kuala Selangor dan pembersihan taman di Majlis Perbandaran Klang.

Categories
EXCO SELANGOR

Teroka kaedah baharu pengurusan, pelupusan sampah

SHAH ALAM, 26 DIS: Pendekatan sistematik dan efisien berhubung pengurusan sisa pepejal serta pelupusan sampah perlu dikaji dan diterokai dengan lebih komprehensif.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, pendekatan itu merangkumi penambahbaikan pentadbiran, sistem data, gerak kerja, teknologi dan penggunaan kecerdasan buatan.

Katanya, usaha itu bagi memastikan pengurusan dan pelupusan sisa pepejal setanding negara maju bagi memenuhi kesejahteraan rakyat selain mencapai sasaran Negeri Pintar Unggul menjelang 2025.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan oleh anak syarikat atau agensi di bawah naugannya dalam aspek kutipan sisa pepejal dan pelupusan sampah.

“Justeru, bagi memenuhi hasrat menjadi Negeri Pintar kita mahu kedua-dua bidang ini (pengurusan dan pelupusan sisa pepejal) diterokai dengan pelbagai inisiatif baharu seperti sistem data, teknologi dan kecerdasaan buatan,” katanya.

Ng Sze Han Menyerahkan replika kunci lori kompaktor kepada kontraktor pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor bagi kutipan sampah domestik di MBSA di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. 26 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor Bagi Kutipan Sampah Domestik di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua MBSA, Mohd Rashidi Ruslan; Pengerusi Lembaga Pengarah KDEB Waste Management (KDEBWM), Raja Shahreen Raja Othman dan Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Tahir.

Sze Han berkata Kerajaan Negeri turut berpuas hati dengan pencapaian terkini KDEBWM yang bukan sahaja cemerlang dalam industri pengurusan sisa pepejal tetapi termasuk perniagaan kitar semula, penerokaan pembuatan dan plastik sampah mudah terurai.

“Antara lain KDEBWM turut meneroka teknologi bio-diesel berasaskan plastik dan inisiatif baharu pelupusan seperti sisa kepada tenaga (Waste-To-Energy Plant), pembangunan loji sisa (Material Recovery Facility), loji kitar semula dan pengkomposan (Recycling Plant and Composting).

“Saya berharap inisiatif baharu yang disasarkan KDEBWB akan memberi manfaat kepada industri pengurusan sisa pepejal dan pulangan modal kepada Selangor,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA roboh struktur hotel bajet beroperasi tanpa lesen

SHAH ALAM, 24 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merobohkan struktur haram sebuah hotel bajet di Seksyen 32 di sini selepas didapati melanggar peraturan di bawah Akta 133, Akta 172 dan juga Undang-Undang Kecil Hotel.

Timbalan Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Azlan Dolah berkata, hotel bajet yang beroperasi di Bukit Rimau itu juga didapati telah menerima sembilan notis dan kompaun sejak 2016.

“Kami menjalankan operasi bersepadu jabatan dalaman MBSA dan juga pihak polis untuk merobohkan struktur dalam premis di Seksyen 32 Shah Alam ini kerana melanggar peraturan di bawah Akta 133, Akta 172 dan juga Undang-Undang Kecil Hotel.

“MBSA juga telah mengeluarkan sembilan kompaun di bawah kesalahan menjalankan operasi hotel tanpa kebenaran dan kali terakhir pada 6 Mei lalu dengan jumlah keseluruhan RM8,400,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas operasi dijalankan di Bukit Rimau, Seksyen 32 di sini, hari ini.

Azlan berkata, operasi yang membabitkan 80 pegawai jabatan dalaman MBSA, anggota penguatkuasa dan polis itu diketuai Ketua Operasi iaitu Arkitek Jabatan Bangunan MBSA, Yunus Yaakob.

Katanya, notis di bawah Seksyen 70 (1), Akta 133 telah diserahkan kepada operator pada 23 Mei bersama notis 72 (1) Akta 133 supaya pemilik merobohkan sendiri struktur yang dibina tanpa kelulusan MBSA.

Azlan berkata, pihak MBSA sekali lagi mengeluarkan notis 72 (6) akta sama pada 24 Julai.

“Pihak MBSA amat tegas dan profesional dalam menjalankan tugas. Segala notis berkaitan telah kami berikan kepada pemilik premis atau operator sebelum ini.

“Pihak MBSA sebenarnya tiada masalah memberi kelulusan tetapi pemilik perlu mohon dengan mengikut syarat ditetapkan seperti banyak hotel bajet lain yang mendapat kelulusan MBSA,” katanya.

Katanya lagi, operasi dijalankan membabitkan kerja merobohkan petisyen dan restoran yang dibina dalam hotel terbabit.

“Manakala, struktur tambahan yang dibina bersebelahan bangunan itu dirobohkan pihak hotel sendiri,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Operasi tembak gagak kurangkan populasi spesies pembangkai

SHAH ALAM, 20 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengadakan Operasi Menembak Gagak di bandar raya itu bagi mengurangkan populasi spesies pembangkai yang boleh menyebabkan kacau ganggu awam, esok.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, operasi berkenaan dijangka bermula seawal jam 6.30 pagi hingga 9 malam.

Katanya, beberapa kawasan di sekitar kedai pejabat dan perumahan akan terlibat dalam operasi selama sehari itu.

“Ini termasuk di Seksyen 2, 3, 4 dan 8, sekitar kedai pejabat, pasar dan perumahan Seksyen 6 manakala di Seksyen 9, 10, 11 adalah kawasan rumah kedai dan kerumahan serta juga di Seksyen 12.

“Selain itu, sekitar kedai pejabat, perumahan dan kawasan stadium Seksyen 13 serta Seksyen 14 termasuk di kaawasan tasik juga Seksyen 15 yang mempunyai kawasan kilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrin berkata, operasi terbabit turut dijalankan di sekitar kedai pejabat, perumahan, pasar dan kilang Seksyen 16, 17, 18 dan 20.

Di samping itu, sekitar kilang dan tanah perkuburan Seksyen 21, kawasan kedai pejabat serta perumahan Seksyen 22, 23 juga 24.

Operasi berkenaan juga melibatkan kawasan pejabat, perumahan dan kilang Seksyen 25, sekitar perumahan, rumah kedai dan kilang Seksyen U1, U11 serta U12.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA tubuh pasukan khas pantau aktiviti kilang haram

SHAH ALAM, 16 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) secara agresif akan mengambil tindakan kepada pemilik kilang haram dan pemilik berdaftar tanah yang ingkar dengan arahan Kerajaan Negeri.

Datuk Bandarnya, Dato’ Haris Kasim berkata, pihaknya menubuhkan pasukan tindakan khas bagi Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran untuk memantau, menyelaras dan melakukan tindakan perobohan.

Katanya, tindakan itu akan diambil di bawah Akta 172 Perancang Bandar dan Desa 1976; Akta 133 Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta 171 Akta Kerajaan Tempatan.

“Pasukan tindakan khas ini akan melaporkan semua tindakan yang dijalankan kepada satu jawatankuasa khas program pematuhan syarat dan penguatkuasaan kilang haram.

“Kita juga bertanggungjawab untuk menyelaras dan menjalankan bancian terkini kilang haram yang dibina dan beroperasi sebelum 28 Ogos 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Sesi Dialog Kali Ketiga Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran, di Dewan Rafflesia Seksyen U16, di sini.

Haris berkata, selain bertanggungjawab menyelaras dan melaksanakan tindakan perobohan, pasukan itu juga perlu memberi penerangan serta hebahan kepada pemilik tanah dan pengusaha kilang.

“Justeru, kita memohon semua pemilik kilang haram ini untuk mematuhi segala yang sudah ditetapkan sebelum pihak kami mengambil sebarang tindakan tegas,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menggariskan dasar baharu bagi kilang yang beroperasi tanpa kebenaran.

Kaedah pelaksanaan Program Pematuhan Syarat dan Penguakuatsaan Kilang Tanpa Kebenaran itu terdiri daripada dua peringkat iaitu tindakan penguatkuasaan dan tempoh pemutihan serta penawaran insentif.

Categories
PBT SELANGOR

Segera perbaharui lesen perniagaan, elak kena kompaun

SHAH ALAM, 13 DIS: Sebanyak 10,560 pemegang lesen perniagaan di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dimohon segera memperbaharui lesen masing-masing sebelum 1 Januari 2020.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pemilik lesen turut diingatkan untuk membuat pembaharuan lesen mengikut tarikh ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan kompaun.

Katanya, ini kerana MBSA sudah memberikan  tempoh tiga bulan sebelum tarikh akhir lesen kepada pemilik untuk berbuat demikian.

“Caj pengaktifan lesen bagi pemilik menjelaskan pembayaran selepas tarikh berkenaan (sebelum 1 Januari 2020) adalah sebanyak RM50 untuk lesen perniagaan (termasuk lesen anjing) dan RM100 bagi lesen perindustrian.

“Bagi kos pentadbiran, sebanyak 10 peratus dari kadar lesen akan dikenakan selepas 30 hari dari tarikh lesen ditutup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrin berkata, bagi memudahkan pemilik lesen membuat pembayaran pembaharuan, MBSA membuka kaunter pembayaran di beberapa lokasi iaitu di Kaunter Utama, Tingkat G, Wisma MBSA, Kaunter Jabatan OSC, Tingkat LG, Wisma MBSA, Kaunter Jabatan Pelesenan, Tingkat 13, Wisma MBSA.

Selain itu, pembayaran juga boleh dibuat di Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Seksyen U20, Pejabat Cawangan Kota Kemuning, Seksyen 31 dan Pejabat Cawangan Setia Alam, Seksyen U13, Shah Alam.

Katanya, bayaran lesen boleh dibuat untuk tempoh satu, dua atau tiga tahun tertakluk kepada jenis lesen serta pembayaran boleh dilaksanakan secara tunai/cek/draf bank/kad kredit/ kad debit.

“Bayaran melalui cek/bank draf hendaklah dibuat atas nama (Majlis Bandaraya Shah Alam) dan dipangkah ‘Kira-kira Penerima Sahaja’.

“Semakan lesen boleh dibuat melalui sistem ePS dan pemilik lesen diminta untuk mendaftar sebagai pengguna ePS bagi membolehkan pengguna membuat semakan dan pembayaran lesen,” katanya.

Pada masa sama, Shahrin berkata notis pembaharuan lesen tidak lagi dihantar melalui pos berkuatkuasa mulai Januari 2020.

Bagi tujuan pendaftaran ePS, pemilik lesen boleh melayari https://eps.mbsa.gov.my.

Categories
PBT SELANGOR

Program Kucing Angkat MBSA Ahad ini

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 6 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjemput orang ramai khususnya di bandar raya ini hadir ke Program Kucing Angkat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini, Ahad ini.

MBSA dalam kenyataan di media sosial memaklumkan, program diadakan sempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan bermula jam 8.30 hingga 11 pagi.

“Program ini menawarkan 20 ekor kucing untuk diambil sebagai kucing angkat.

“Semua kucing ini telah dimandul serta divaksin dan pengunjung hanya perlu membawa ‘carrier’ sendiri,” katanya.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata, bayaran dikenakan bagi seekor kucing hanya RM30 sahaja.

Categories
PBT SELANGOR

Jalan Persiaran Sukan ditutup Sabtu ini

SHAH ALAM, 3 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menutup jalan Persiaran Sukan, Seksyen 13, di sini, Sabtu ini, sempena program ‘International Songket Run 2.0’.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam kenyataannya memaklumkan, penutupan untuk acara anjuran Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) bermula pada jam 6.30 pagi hingga 10 pagi.

“MBSA menyeru orang ramai supaya tidak menggunakan laluan jalan berkaitan pada tempoh dinyatakan bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan sentiasa mematuhi arahan dari masa ke semasa.

“Kita juga memohon supaya pengguna jalan raya memberikan kerjasama dan menggunakan jalan alternatif untuk menuju ke destinasi dirancang,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA tutup jalan beri laluan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia

SHAH ALAM, 4 NOV: Sebahagian jalan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan ditutup bagi memberi laluan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2019, pada 10 November ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata penutupan sementara jalan itu adalah bagi melancarkan persiapan dan penganjuran acara berkenaan yang akan diadakan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 di sini.

“Jalan Persiaran Bandar Raya akan ditutup pada 6 November 2019 (Rabu) mulai 6 pagi sehingga 11 November 2019 (Isnin) 12 tengah malam,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak menggunakan jalan dinyatakan pada tempoh berkenaan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas selain mematuhi arahan dari semasa ke semasa.

“Kita memohon pengguna jalan raya memberikan kerjasama dan menggunakan jalan alternatif untuk menuju ke destinasi yang hendak ditujui,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM ambil alih pengurusan sisa pepejal di kawasan MBSA tahun depan

SHAH ALAM, 27 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) bakal mengambil alih perkhidmatan pengurusan sampah dan sisa pepejal di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), bermula 1 Januari tahun hadapan.

Ia selaras arahan Kerajaan Negeri supaya KDEBWM yang juga syarikat melalui pegangan saham Kumpulan Darul Ehsan itu mengambil alih pengurusan sisa pepejal di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk MBSA.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, proses pengambil alihan perkhidmatan pengurusan sampah itu akan dimuktamadkan menerusi pertemuan yang bakal diadakan bersama pimpinan tertinggi PBT terbabit, Khamis ini.

“Kita sudah membuat persediaan untuk pengambil alihan di PBT terakhir di Selangor yang tertangguh hampir setahun berikutan beberapa isu teknikal, namun kita kena terima hakikat Kerajaan Negeri memutuskan prosesnya dijangka pada 1 Januari tahun hadapan.

“Bagaimanapun, dengan pengalaman kita di 11 PBT sebelum ini, kita akan menggunakan sebaiknya dan membuat persiapan sebaiknya.

“Malah, kita juga sudah memiliki data MBSA untuk olahan selain kelulusan pembelian lori baharu daripada agensi kerajaan termasuk pasukan KDEBWM ditempatkan ke MBSA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Bola Sepak Piala Pengarah Urusan KDEBWM 2019, di Stadium Rhino KV Arena, di sini hari ini.

Ditanya fokus pihaknya selepas proses pengambil alihan selesai di kesemua 12 PBT, Ramli berkata, pihaknya bercadang untuk memperluaskan program kitar semula termasuk menambah baik sistem sedia ada.

Katanya, KDEBWM bukan sahaja mahu menerajui syarikat pengurusan sampah domestik di Selangor, bahkan berhasrat menjadi syarikat terbesar dalam pengurusan barang kitar semula.

“Ini kerana sampah di negeri ini untuk sehari adalah 7,000 tan (domestik) dan 3,000 tan (pukal), jadi sampah dikutip dalam tempoh sehari sebanyak 10,000 tan. Jika dilupuskan di pusat pelupusan, maka tiada nilai tambah yang akan diperolehi daripada sampah terbabit.

“Konsepnya ‘sampah ialah duit’ dan ‘sampah tidak kotor’, kalau boleh buat kitar semula sebagai sumber, saya percaya kita mampu mengumpul lima peratus bagi tujuan kitar semula, seterusnya berjaya mengurangkan sisa sampah di Selangor,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, pihaknya turut berhasrat membangunkan model sistem bagi pengumpulan rekod kutipan sampah kitar semula di setiap PBT.

“Setakat ini tiada PBT yang mempunyai rekod kutipan kitar semula dan jika boleh gunakan model berkenaan, kita mahu mulakan daripada kosong untuk mendapatkan jumlah kutipan.

“Jika Kerajaan Negeri beri arahan dan peluang, kita akan beri usahasama kerana sampah di Selangor tinggi dan tidak boleh diselesaikan dalam masa sehari atau kaedah pelupusan sistem lama.

“Pelbagai teknologi yang ada dengan melihat sistem dan teknik pelupusan sampah di negara luar seperti penghasilan diesel dari plastik serta tenaga dari sampah, malahan kita ingin lihat lebih dari itu untuk bantu Kerajaan Negeri,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Rezeki ikan pacu 13.54kg, pemancing menang sebuah Axia

SHAH ALAM, 21 OKT: Seorang pemancing yang berjaya menaikkan ikan pacu seberat 13.54 kilogram (kg) diisytiharkan sebagai pemenang utama Pertandingan Memancing anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di Tasik Barat, Taman Tasik Shah Alam, di sini Sabtu lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, selaku pemenang utama, Ismail Muhammad membawa pulang kereta model Axia bernilai RM34,000 termasuk wang tunai sebanyak RM2,000.

“Tempat kedua dimenangi Rosli Rosmin dengan membawa pulang sebuah motosikal Honda RS150cc berserta wang tunai bernilai RM1,500, manakala Khairul Naem pula berjaya memenangi tempat ketiga, sekali gus membawa pulang sebuah Honda EX5 2019 berserta wang tunai RM1,000.

“Tempat ketiga sehingga ke-15 pula menerima wang tunai sebanyak RM200 setiap seorang,” katanya dalan kenyataan.

Kesemua hadiah disampaikan Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad diiringi Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim.

Categories
PBT SELANGOR

Konvoi Jelajah dan Hari Terbuka MPP peluang MBSA dekati masyarakat

SHAH ALAM, 14 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Program Konvoi Jelajah MPP Dan Hari Terbuka Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) MBSA sempena sambutan Hari Bandar Raya Shah Alam Ke-19 pada 12 Oktober lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, penganjurannya menjadi landasan menyantuni masyarakat selain membolehkan mereka mengetahui dengan lebih mendalam fungsi serta peranan MBSA.

“Program ini juga dilihat sebagai inisiatif bagi memperkenalkan Ahli-Ahli Majlis kawasan yang dilantik di setiap zon bagi memperkukuhkan fungsi dan peranan pihak MBSA.

“MBSA juga turut membuka reruai pameran dengan penglibatan daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) MPP serta komuniti setempat bagi menarik penyertaan orang ramai.

“Antara pameran yang diadakan adalah Projek Mini Zee Bee dan Kitar Semula Bahan Buangan,” katanya dalam kenyataan.

Majlis perasmian disempurkan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim di tiga lokasi berbeza iaitu di Dewan MBSA Seri Pagi Kampung Paya Jaras, Seksyen U19 bagi Zon Utara; Kebun Komuniti 24 Setia, Seksyen 24 (Zon Tengah) manakala Zon Selatan berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang Kota Kemuning, Seksyen 31.

Di samping itu, MBSA turut menyediakan Kaunter Inisiatif Peduli Rakyat seperti, bayaran cukai taksiran, pemeriksaan jaringan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

Shahrin berkata, sempena program berkenaan, MBSA turut menghulurkan bantuan sempena Deepavali kepada beberapa keluarga kaum India di sekitar Shah Alam.

Katanya, sumbangan berbentuk barangan keperluan harian bernilai RM150 dan wang tunai sebanyak RM100 diberikan kepada setiap keluarga.

“MPP Shah Alam telah mengenalpasti seramai 120 penerima sumbangan terdiri daripada kaum India beragama Hindu di Shah Alam yang kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah, layak menerima sumbangan perayaan Deepavali mengikut kriteria yang ditetapkan seperti golongan fakir miskin, ibu tunggal, warga emas yang tidak berkemampuan serta Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Diharapkan dengan bantuan dihulurkan ini dapat meringankan beban mereka membuat persediaan menyambut perayaan Deepavali,” katanya.