Categories
PBT SELANGOR

MBSA: Bertenang, tutup jalan untuk mudahkan proses saringan Covid-19

SHAH ALAM, 11 APRIL: Penduduk di Jalan Puyuh 6/1D, Seksyen 6, di sini diminta bertenang susulan penutupan laluan ke kawasan itu bagi proses saringan Covid-19 mulai jam 6 petang tadi.

Menurut laman Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ia bagi memudahkan pejabat kesihatan daerah melakukan usaha mencegah penularan wabak di kawasan tersebut.

“Bagaimanapun sekatan ini tidak menghalang penduduk untuk melakukan urusan harian tetapi mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang dibenarkan.

“Sehubungan dengan itu, semua penduduk dinasihat untuk berada di dalam rumah masing-masing seperti mana yang diperintah iaitu bermula jam 8 malam sehingga 8 pagi seterusnya menetap di rumah sekiranya tiada urusan yang mendesak,” katanya.

MBSA turut menasihatkan penduduk supaya mendapatkan maklumat sahih berhubung perkara tersebut.

“Ayuh, bersama-samalah kita putuskan rantaian virus Convid-19 dari terus merebak demi negara dan keluarga tercinta,” katanya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menafikan mesej tular dalam media sosial kononnya Seksyen 6 di sini dikenakan perintah berkurung.

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang, MBSA perluas proses nyahkuman

SHAH ALAM, 31 MAC: Beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini giat memperluaskan semburan nyahkuman di kawasan tumpuan awam bagi membendung penyebaran wabak Covid-19.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Shahrin Ahmad berkata pihaknya menjalankan proses nyahkuman sejak 24 Mac lalu di Terminal Bas Seksyen 17.

Katanya kerja semburan akan dilaksanakan setiap hari di lokasi berbeza bagi memelihara keselamatan dan kesihatan penduduk.

“Proses itu bermula dari 9 pagi hingga ke petang melibatkan lapan petugas jabatan kesihatan persekitaran dan jabatan kejuruteraan MBSA.

“Untuk semalam, proses nyahkuman dibuat di beberapa lokasi di Seksyen 6, Seksyen 11, Pusat Bandar Sungai Buloh dan Bandar Baru Sungai Buloh meliputi kedai, balai polis serta surau,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, yang dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata sebanyak 61 lokasi tumpuan orang ramai di daerah itu sudah menjalani proses nyahkuman bermula 24 Mac lalu hingga kelmarin.

“Lokasi terbabit adalah pasar awam (empat), medan selera (17), taman permainan (satu), hentian bas (29), hentian sekatan jalan raya (enam) dan tandas awam (empat).

“Kerja semburan nyahkuman akan mula dibuat selepas tamat aktiviti jual beli di pasar awam sekitar jam 1 petang yang disertai 20 pegawai kesihatan persekitaran, penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pekerja awam,” katanya. 

Categories
PBT SELANGOR

Jumlah orang berkumpul kurang, MBSA buka bilik gerakan

SHAH ALAM, 21 MAC: Rondaan dilakukan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah orang berkumpul berkurangan kata ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya.

Shahrin Ahmad berkata pemeriksaan yang diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasaan, Hakim Mahmud dengan kerjasama polis semalam turut mendapati premis perniagaan menutup operasi seperti diarahkan.

“Kita mohon masyarakat mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan ini dan berhenti daripada melakukan aktiviti di luar,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya turut membuka Bilik Gerakan Covid-19 di tingkat 1 Wisma MBSA bermula jam 9 pagi hingga 4 petang setiap hari untuk memastikan informasi berkaitan dapat disalurkan kepada orang awam.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA: 75,000 notis sekatan urusniaga, tindakan mahkamah

SHAH ALAM, 29 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan 75,000 notis sekatan urusniaga dan tindakan mahkamah (i-Sekat) bernilai RM172 juta terhadap individu atau syarikat yang mempunyai tunggakan dengan pihak berkuasa tempatan itu.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya, Shahrin Ahmad berkata notis i-Sekat bagi Siri 1/2020 dikeluarkan terhadap mereka yang mempunyai nilai tunggakan melebihi RM600.

“Bayaran tunggakan perlu dijelaskan mengikut tarikh ditetapkan atau pada 31 Mac 2020. Penerima notis perlu memuat turun aplikasi SnapNPay dan mengimbas kod QR yang tertera pada notis untuk membuat semakan bagi menjelaskan pembayaran dalam talian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata bermula tahun ini pihaknya mengeluarkan notis sekatan sebanyak tiga kali setahun iaitu pada Februari, Ogos dan November.

Jika pemohon mempunyai tunggakan, permohonan mereka akan disekat semasa pembelian atau penghantaran dokumen di kaunter MBSA.

“Tunggakan merangkumi kompaun tempat letak kereta, cukai taksiran, lesen, sewa, bil elektrik (premis MBSA) dan kos pembersihan lot kosong,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA lulus permit sementara dua kumpulan pemuzik jalanan

SHAH ALAM, 23 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meluluskan permohonan permit sementara dua kumpulan penggiat seni muzik jalanan (buskers) untuk mengadakan persembahan di premis makanan sekitar pentadbirannya bulan ini.

Timbalan Datuk Bandarnya, Mohd Rashidi Ruslan berkata pendekatan itu sebagai galakan kepada pemuzik jalanan untuk terus berkarya selain membantu menjana pendapatan tambahan ahli kumpulan berkenaan.

“Kita bersetuju (memberi permit sementara) kerana mahu mendedahkan kepada masyarakat bahawa mereka (buskers) ada bakat yang perlu diketengahkan dalam dunia hiburan.

“MBSA satu-satunya pihak berkuasa tempatan di Selangor yang melakukan usaha ini supaya mereka tidak lagi digelar pemuzik jalanan terbiar, sebaliknya mendapat pembelaan sepatutnya,” katanya ketika ditemui pada Festival Buskers 2020 yang melabuhkan tirai semalam di pusat beli-belah SACC Seksyen 14 di sini.

Festival yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-20 bandar raya itu menghimpunkan penggiat seni muzik jalanan termasuk pelbagai segmen menarik antaranya diskusi ‘Perjalanan Hidup Seorang Buskers’, kelas vokal, bengkel seni persembahan pentas dan kendera saji.

Turut diadakan pertarungan ‘Battle of Acoustic’ yang menerima penyertaan seramai 52 kumpulan buskers dan 12 daripadanya layak beraksi di pentas akhir.

Antara artis jemputan yang hadir sepanjang dua hari festival berlangsung ialah Fauziah Ahmad Daud, DJ Fuzz, Caliph Buskers, Genji Buskers, Runs, Leaism dan Shaffiq Erwin.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA terima permohonan maaf, lulus permit hiburan Pak Ya

SHAH ALAM, 8 FEB: Hasrat pelawak Ilya Buang Shaharum atau Pak Ya untuk tampil dalam dua episod sitkom Sepahtu Reunion Live 2020 di Royal Teater di sini berhasil apabila Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meluluskan permit hiburan ahli kumpulan Rare itu semalam.

Permit itu disampaikan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan selepas kumpulan turut dianggotai Ajak Shiro dan Ropie memohon maaf secara terbuka susulan keterlanjuran menyindir kerajaan ketika persembahan di pentas akhir Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019 pada 10 Januari lalu.

“MBSA mengingatkan kepada mana-mana pihak yang ingin mengadakan persembahan hiburan di kawasan pentadbiran ini supaya mematuhi syarat dalam permit hiburan dengan tidak menyentuh sensitiviti masyarakat terutama melibatkan isu perkauman.

“Semoga agenda seni tempatan negara terus bermanfaat kepada masyarakat,” kata kenyataan dimuat naik di Facebook MBSA malam tadi.

Difahamkan, pada malam MLM 2019 lalu, kumpulan Rare melakukan lawak sindiran menyaksikan Ropie menggunakan penapis air konon untuk menapis kadar neutral dan kandungan pH (air).

Kemudian Ilya bertanya jika pH air itu okey, namun Ropie memberi jawapan ‘teruk’. PH dalam pengertian politik merujuk Pakatan Harapan.

Categories
PBT SELANGOR

Tiga jalan ditutup sempena ‘Balloon Run’

SHAH ALAM, 7 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menutup tiga jalan bagi melancarkan acara “Balloon Run” pada 8 Februari ini mulai jam 7.15 hingga 10 pagi.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata jalan terlibat adalah Jalan Persiaran Sukan, Jalan Lontar Cakera 13/40 dan Jalan Lompat Pagar 13/37.

“MBSA menyeru orang ramai supaya tidak melalui jalan yang dinyatakan pada tempoh tersebut untuk elak berlaku kesesakan lalu lintas dan sentiasa mematuhi arahan dari semasa ke semasa.

“MBSA juga memohon agar pengguna memberi kerjasama dan menggunakan jalan alternatif untuk ke destinasi yang hendak dituju,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Categories
PBT SELANGOR

Abai kebersihan makanan, dua restoran diarah tutup

SHAH ALAM, 5 FEB: Dua restoran kotor di U5 dan Seksyen U16 di sini diarahkan tutup oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam operasi pemeriksaan kebersihan premis makanan semalam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata hal itu kerana pemilik premis mengabaikan kebersihan makanan, peralatan dan tandas serta pekerja tidak mempunyai suntikan TY2 (anti-typhoid).

“Dua buah premis telah diarahkan tutup kerana tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan di bawah seksyen 62(1)(b) Undang-undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MBSA) 2007 (Premis tidak sanitasi),” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata operasi seperti itu akan dijalankan secara berkala pada setiap bulan bagi memastikan premis makanan sentiasa bersih dan mematuhi syarat yang ditetapkan.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA buka kaunter perhidmatan di Tesco Setia Alam, Sabtu ini

SHAH ALAM, 13 JAN: Pejabat Bergerak ‘Shah Alam On Wheel’ akan beroperasi di perkarangan tempat letak kereta Tesco Setia Alam, Seksyen U13, Shah Alam pada 18 Januari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Shahrin Ahmad berkata, waktu pengoperasian pejabat bergerak terbabit bermula dari jam 11 pagi hingga jam 5 petang.

“Perkhidmatan Shah Alam On Wheel merupakan platform yang disediakan oleh pihak MBSA untuk memudahkan orang ramai berurusan pada hari cuti hujung minggu tanpa perlu hadir ke kaunter.

“Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk semakan, pembayaran cukai taksiran, semakan, pembayaran kompaun tempat letak kereta, kaunter aduan, dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Categories
PBT SELANGOR

Dua PBT sedia bina kawasan merokok, tunggu panduan KPKT

SHAH ALAM, 10 JAN: Dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini sedia menyediakan kawasan khas merokok seperti yang dicadangkan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin baru-baru ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Rahilah Rahmat berkata pihaknya akan mengenal pasti kawasan sesuai untuk dijadikan kawasan khas merokok di tempat awam.

Katanya, model dan konsep yang bersesuaian termasuk projek perintis Senario Ampang dan Santai@Ampang oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) juga akan diteliti.

“MDKS menyambut baik penyaluran peruntukan berkenaan dan akan mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk melaksanakannya,” katanya kepada SelangorKini.

Rahilah bagaimanapun berkata sebarang pembinaan struktur kekal ruangan khas merokok yang mahu didirikan oleh pemilik restoran perlu menggunakan modal sendiri dan memohon kelulusan daripada MDKS.

“Sebarang kelulusan akan tertakluk kepada garis panduan yang bakal dikeluarkan oleh KPKT,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat Mohamad Zain A Hamid berkata pihaknya mengalukan cadangan baharu terbabit dan menunggu garis panduan yang ditetapkan KPKT.

“Setakat ini, kita belum ada apa-apa perancangan untuk menyediakan tempat merokok yang khusus tetapi kita bersedia laksanakannya jika garis panduan dikeluarkan nanti,” katanya.

Manakala, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam Shahrin Ahmad pula berkata perkara berkenaan akan dibincangkan terlebih dahulu supaya tindakan selanjutnya dapat dilakukan.

Pada 7 Januari lalu KPKT mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada PBT yang mengemukakan permohonan membina kawasan khas merokok di tempat awam.

Categories
PBT SELANGOR

Beberapa jalan di Shah Alam ditutup Ahad ini

SHAH ALAM, 6 JAN: Sebahagian jalan di sekitar bandar raya Shah Alam akan ditutup bagi memberi laluan acara ‘Larian April 22 Energy 2020’ pada 12 Januari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, penutupan sementara jalan itu bermula jam 6.30 hingga 10.30 pagi.

“Jalan terlibat adalah Persiaran Setia Dagang, Persiaran Setia Wawasan, Persiaran Setia Perdana, Persiaran Setia Gemilang, Jalan Setia Gemilang U13/45C dan Jalan Setia Gemilang U13/47,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrin berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan jalan berkenaan pada waktu yang dinyatakan bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

“Pengguna jalan raya diminta sentiasa mematuhi arahan dari semasa ke semasa dan memberikan kerjasama, selain menggunakan jalan alternatif untuk menuju ke destinasi yang hendak ditujui,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM: Kerja kutipan sisa domestik di Shah Alam lancar

SHAH ALAM, 5 JAN: Proses kutipan sisa domestik di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) berjalan lancar dan terkawal.

Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, ia dilihat berdasarkan pemantauan berkala dan aduan diterima sejak lima hari pengambilalihan kerja kutipan bermula 1 Januari lalu.

Katanya, jumlah kutipan sampah domestik turut mencapai purata 650 tan sehari.

“Setakat ini kerja kutipan berjalan lancar, KDEBWM sedang mencuba menyelesaikan sampah yang tertunggak sebelum ini.

“Kita sedang mengenal pasti semua laluan, mengenal lorong dan jalan serta membiasakan dengan jadual.

“KDEBWM juga sedang mengenal pasti tong sampah lama dan uzur yang perlu kita pohon pada MBSA untuk ditukarkan bagi memudahkan kutipan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Ramli berkata, pihaknya mengalami sedikit kekangan kerja kutipan sisa berkenaan di kampung tradisi kerana faktor kepadatan penduduk dan jalan serta lorong kecil.

Bagaimanapun, katanya, kerja kutipan berjaya dilaksanakan dengan menggunakan aset lain seperti lori roll on roll off (RORO).

“Saya lihat kawasan kampung tradisi seperti Kampung Melayu Subang, Padang Jawa, Merbau Sempah serta Paya Jaras mempunyai aduan yang tinggi sedikit.

“Kawasan kampung ini rumahnya padat dan sampah juga banyak. Banyak jalan dan lorong kecil menyukarkan lori masuk untuk membuat kutipan, malah kita terpaksa gunakan aset lain seperti RORO untuk selesaikan masalah ini,” katanya.

Sehubungan itu, Ramli berharap dan meminta penduduk Shah Alam bersabar sekiranya terdapat masalah di kawasan masing-masing kerana pihak kontraktor sedang menyesuaikan diri dengan laluan dan jadual baharu.

“Aduan kita terima terus ke Centralised Command Center. Kita cuba selesaikan terus dalam hari yang sama. Ia kebanyakannya dari sampah “miss collection” ataupun sampah tertunggak sebelum ini ketika hujung tahun dan sebagainya.

“Justeru, saya mohon penduduk bersabar sedikit kerana semua kontraktor kita sedang menyesuaikan diri dengan laluan dan jadual baharu,” katanya.

Mulai 1 Januari lalu, KDEBWM mengambil alih kutipan sisa domestik di kawasan pentadbiran MBSA membabitkan 57 zon.

Manakala, kerja kutipan pembersihan awam di kawasan itu pula dijangka akan diambil alih pada 1 Julai depan.