Categories
AGENDA NASIONAL PBT SELANGOR

Sultan perkenan Hulu Selangor dimasyhur majlis perbandaran

SHAH ALAM, 21 OKT: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dimasyhur sebagai Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bermula hari ini.

Pengisytiharan dibuat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memperkenan perakuan status baharu itu.

Amirudin berkata naik taraf status tersebut membolehkan Hulu Selangor menerima pelaburan lebih banyak selain melonjakkan sektor pelancongan dan perkilangan setempat.

Beliau memaklumkan perubahan itu juga bakal memberi impak positif kepada penduduk setempat ke arah kawasan perbandaran mampan dan berdaya tahan.

“Hulu Selangor akan diuruskan sebagai sebuah perbandaran dengan sistem penyampaian yang setara selain standard dan kecekapannya perlu sesuai dengan taraf tersebut.

“Status baharu ini juga meningkatkan harapan dan jangkaan pelbagai pihak. Semua warga kerja harus menangani cabaran mendatang serta menggembleng usaha bagi memantapkan kualiti perkhidmatan buat rakyat,” katanya berucap sempena pengisytiharan itu secara langsung menerusi Facebook MDHS.

Sementara itu, Yang Dipertua MPHS Mohd Hasry Nor Mohd berkata kejayaan hasil kerja keras bertahun-tahun harus menjadi kebanggaan seluruh rakyat kerana menjadi penanda aras terhadap pembangunan daerah terbabit.

“Seluruh penduduk pasti berkongsi detik keramat ini dengan penuh bangga dan terpahat dalam lipatan sejarah.

“Bagaimanapun, pasti ada cabaran bakal dihadapi. Justeru, marilah kita bersama memperbaharui komitmen untuk melaksanakan pembangunan berterusan,” katanya.

Dalam majlis sama, MPHS turut melancarkan logo baharu dan lagu bertajuk Hulu Selangor Terus Maju.

Categories
SELANGOR

Jom meriahkan Hari Tanpa Kederaan MDHS Sabtu ini

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

HULU SELANGOR, 21 FEB: Orang ramai dijemput memeriahkan Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Sabtu ini.

MDHS dalam kenyataan memaklumkan, program bertempat di tapak pasar malam, Jalan Orkid Bukit Sentosa itu dijadualkan berlangsung mulai jam 7 pagi sehingga 12 tengah hari.

MDHS turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya canting batik, berbasikal, menunggang beca dan larian santai sejauh satu kilometer (km)

Seramai 500 pengunjung terawal turut berpeluang menerima hadiah misteri manakala 500 kanak-kanak pula akan menerima ang pow sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Dalam pada itu, MDHS turut membuka kaunter kitar semula pada program itu dan pengunjung yang hadir turut berpeluang mendapatkan hadiah misteri selain menebus barangan kitar semula.

“Jumlah minimum barangan kitar semula yang mahu ditebus merangkumi 20 naskah surat khabar, 30 tin susu atau sardin, 25 botol plastik 500 mililiter (ml), 15 botol plastik 1.5 liter, 10 kotak tetra-pack 1 liter, 15 kotak tetra-pack 200 ml ke atas dan 20 tin aluminium.

“Setiap bahan yang dibawa perlu dalam keadaan bersih dan tiada sisa air atau makanan, bagi botol plastik dan tin aluminium perlu dikemekkan, manakala kotak minuman perlu diratakan,” katanya.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang melawat kaunter pameran perkhidmatan daripada agensi kerajaan dan swasta.