Categories
SELANGOR

Vandalisme Di Kuala Langat Semakin Menular

KUALA LANGAT 24 MEI : Gambar pemimpin Pakatan Rakyat (PR) termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sekitar Banting dan Morib sekali lagi diconteng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ini merupakan kejadian kali ketiga yang berlaku di kawasan itu dalam masa dua bulan.

Pemangku Yang Di Pertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Muhammad Hafiz Shaari berkata sebelum ini dua kali papan iklan diconteng dan disimbah cat.

“Tidak sampai sebulan MDKL menggantikan beberapa papan iklan yang disimbah cat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, kali ini ianya diconteng pula,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata perilaku vandalisme itu merugikan harta benda awam serta mencacatkan persekitaran.

Hafiz yang kesal dengan perbuatan vandalisme yang dilakukan kerana pihaknya terpaksa menukar papan iklan itu dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Bagaimanapun MDKL sudah merancang menggantikan papan tanda berkenaan kepada papan tanda lain selewat-lewatnya minggu depan.

?Kami perlu menggantikan papan iklan sedia ada kepada papan iklan ?Visit Kuala Langat? minggu depan tetapi tidak sangka semalam kejadian yang sama berulang semula.

?Masyarakat perlu tahu papan iklan yang diganti semula memerlukan perbelanjaan yang besar, jadi kerjasama daripada semua pihak untuk menjaga harta awam perlu digiatkan,? katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid yang kecewa dengan tindakan berulang kali itu menggesa pihak yang bertanggungjawab agar datang bersemuka jika tidak berpuas hati dengan pentadbiran Pakatan.

?Lebih menyedihkan bulan ini merupakan bulan melawat Kuala Langat dan kejadian ini memberi kesan kepada tanggapan pengunjung terhadap daerah ini,? katanya.

Abdullah Sani berkata, baginya tindakan memangkah gambar pemimpin PR merupakan tindakan sabotaj selain menakutkan orang ramai untuk memilih PR dalam pilihan raya akan datang.

Categories
SELANGOR

Syarat Bahan Bukti Perlu Dikaji Semula

KUALA LANGAT 24 MEI – Majlis Daerah Kuala Langat akan mengkaji semula syarat bahan bukti dari segi perundangan berhubung pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat berkaitan pembuangan sampah sekitar Kuala Langat.

Pemangku Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Muhammad Hafiz Shaari berkata, sebelum ini surat pekeliling berhubung perkara terbabit dikeluarkan pada 2005.

Bagaimanapun katanya, setelah diteliti, MDKL perlu mengkaji semula berikutan syarat bahan bukti yang perlu dikemukan oleh pemberi maklumat, mustahil untuk diambil kira.

“Ini kerana, bahan bukti yang perlu dikemukakan itu perlu disertakan gambar filem. Pada masa sekarang adalah mustahil untuk diikutkan syarat itu disebabkan penggunaan kamera digital yang sangat meluas masa kini.

“Justeru kita akan mengkaji semula syarat itu, jika penggunaan kamera digital boleh digunakan, MDKL akan melaksanakan pemberi ganjaran terbabit,” katanya ketika ditemui.

Hafiz memberitahu, ganjaran RM50 terbabit akan diberikan kepada pemberi maklumat yang melaporkan kepada MDKL berhubung masalah pembuangan sampah oleh pihak tertentu.

“Dalam syarat itu juga menyatakan, pemberi maklumat akan menerima wang ganjaran tersebut selepas pesalah membayar kesemua kompaun yang dikenakan MDKL,” katanya.

Beliau berkata, walaupun surat pekeliling berhubung perkara itu dikeluarkan sudah lama, tetapi perlaksanaannya tidak dilakukan.

“Kini, kita akan laksanakannya berikutan pembuangan sampah secara haram yang semakin hari semakin meningkat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pemindahan Terminal, Pendapatan Pemandu Teksi Merosot

KUALA LANGAT 24 MEI – Majlis Daerah Kuala Langat (MDL) akan menyelesaikan masalah pengusaha teksi di Terminal Teksi Kuala Langat yang mengalami masalah kemerosotan pendapatan berpunca daripada pemindahan terminal sejak lima tahun lalu.

Sebelum ini Terminal Teksi berada di hadapan terminal bas sebelum dipindahkan ke terminal baru.

Walau bagaimanapun kedudukannya dilihat tidak strategik kerana agak terlindung menyebabkan penumpang tidak mengetahui wujudnya terminal baru itu, seterusnya bertindak untuk mengambil kereta sapu yang menunggu di hadapan perhentian bas terbabit.

Ini menyebabkan pendapatan mereka mula mengalami kemerosotan kerana jarak terminal berkenaan dengan perhentian bas sejauh kira-kira 200 meter.

Pemangku Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Muhammad Hafiz Shaari berkata, pihak MDKL akan menyelesaikan masalah tersebut secara berperingkat.

Tambah beliau, pihaknya kini dalam perbincangan dengan pemaju tanah bersebelahan perhentian bas itu bagi membuat laluan khas untuk menyambungkan ke terminal teksi terbabit.

“Memang ada pembangunan menanti di situ, bagaimanapun MDKL masih menunggu peruntukan daripada kerajaan negeri.

“Kita tahu pengusaha 100 peratus menyalahkan MDKL berhubung masalah ini, walau bagaimanapun MDKL tidak sesekali meminggirkan pengusaha teksi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MDKL.

Bagaimanapun Hafiz menambah, pihak MDKL tidak mempunyai kuasa bagi mengatasi masalah kereta sapu yang bertindak ‘mencuri’ penumpang teksi.

“Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sepatutnya mengambil tindakan kepada mereka,” katanya.