Categories
PBT SELANGOR

MPKj sita lima lori, keluar 15 kompaun buang sampah haram

SHAH ALAM, 25 SEPT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyita lima lori dan mengeluarkan 15 notis kompaun atas kesalahan membuang sampah di tempat tidak dibenarkan sehingga 18 September lalu.

Yang dipertuanya berkata tindakan diambil dalam operasi Gempur Pembuangan Sampah Haram dan jumlah sitaan berkurang berbanding Ogos lalu dengan tujuh lori.

“MPKj memanjangkan tempoh sitaan kali pertama daripada seminggu kepada sebulan bagi memberi pengajaran kepada pesalah.

“Kita akan terus komited dalam membanteras kegiatan pembuangan sampah secara haram bagi memastikan ia dapat diselesaikan dan kualiti hidup masyarakat ditingkatkan,” kata Dato’ Zul-kefli @ Zulkefli Khalid ketika mempengerusikan mesyuarat MPKj hari ini.

Beliau menjelaskan tindakan sita dan kompaun diambil mengikut Undang-undang Kecil (UUK) 4 dan 13 (1) pembuangan, pemungutan dan pelupusan sampah sarap MPKj 2007.

Katanya, setakat ini MPKj telah menyita 71 lori dengan jumlah tertinggi direkodkan pada Januari iaitu 16 sitaan.

Categories
PBT SELANGOR

Semak status premis, mohon tukar kegunaan bangunan secara dalam talian

SHAH ALAM, 25 SEPT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memperkenalkan sistem We Care Online bagi membolehkan orang awam menyemak maklumat taska, tadika dan pusat jagaan yang mempunyai kelulusan di kawasan pentadbirannya.

Yang dipertuanya berkata sistem dalam talian yang menggantikan kaedah manual berkuat kuasa Oktober ini juga membolehkan pengusaha mengemukakan permohonan tukar kegunaan bangunan kediaman pada bila-bila masa dan dari mana sahaja.

“Pengusaha dapat mempromosikan perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan secara percuma menerusi sistem ini.

“Orang awam juga dapat melihat dan menyemak maklumat kelulusan taska, tadika serta pusat jagaan sebelum membuat pemilihan premis yang bersesuaian,” kata Dato’ Zul-kefli @ Zulkefli Khalid ketika mempengerusikan mesyuarat MPKj hari ini.

Beliau menjelaskan setakat ini terdapat 153 rekod pendaftaran tadika, taska dan pusat jagaan di dalam sistem tersebut.

Zulkefli Khalid berkata We Care Online juga membolehkan orang awam membuat carian menerusi Google Map, pandangan satelit serta pemandangan jalan bagi kemudahan perjalanan.

Sistem yang mempunyai tiga modul iaitu pentadbir, pengusaha dan orang awam ini boleh diakses menerusi portal www.mpkj.gov.my.

Categories
PBT SELANGOR

PBT buat rondaan kenal pasti perokok, peminum di taman awam

SHAH ALAM, 16 OGOS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) melakukan rondaan berkala di sekitar taman awam bagi mengenal pasti individu yang ingkar arahan larangan merokok dan meminum arak.

Pegawai perhubungan awamnya berkata tindakan akan dikenakan kepada mereka yang melanggar undang-undang dan pihaknya akan mengenal pasti kawasan taman menjadi tumpuan pihak berkenaan.

“Setakat ini tiada tangkapan tetapi operasi dari semasa ke semasa akan dilakukan dan orang ramai boleh membuat aduan sekiranya terlihat salah laku itu,” kata Kamarul Izlan Sulaiman kepada SelangorKini.

Manakala timbalan pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang berkata pihaknya juga dalam peringkat pemantauan di semua taman awam sekitar.

“Kita mungkin memberi amaran terlebih dahulu sebelum tindakan saman dikenakan kepada pelaku,” kata Ahmad Fauzi Ishak.

Pada 14 Julai lalu, Selangor muncul negeri pertama di Malaysia menguatkuasakan perintah arahan larangan menghisap rokok, rokok elektronik dan meminum minuman keras di taman permainan serta rekreasi.

Jika didapati terdapat individu melakukan kesalahan, mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000 mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Taman 2005 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

80 mangsa banjir kilat di Hulu Langat dipindahkan

SHAH ALAM, 19 JULAI: Seramai 80 mangsa banjir kilat di Hulu Langat di pindahkan ke pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Sungai Serai setakat jam 4 pagi tadi.

Pegawai perhubungan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berkata mangsa terdiri daripada 41 lelaki dan 39 perempuan termasuk empat warga emas.

“Jumlah mangsa 80 orang mengikut pecahan ialah lelaki dewasa (24), perempuan dewasa (22), kanak-kanak lelaki (15), kanak-kanak perempuan (14), warga emas lelaki (2) dan dua warga emas perempuan.

“Kita sedang usaha menyelamatkan mangsa. Perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata Kamarul Izlan Sulaiman ketika dihubungi pagi ini.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor semalam melaporkan 22 lokasi di Hulu Langat dilanda banjir kilat membabitkan Kampung Sungai Pening, Semenyih; Kampung Bukit Dukong; Kampung Sungai Sekamat; Kampung Batu 13; Kampung Sungai Balak dan Kampung Sri Jambu.

Turut terjejas Kampung Sungai Jernih; Batu 10, Cheras; Sungai Raya, Batu 9; Kampung Bangi; Taman Muhibah; Kampung Sungai Kantan; Kampung Batu 14; Kampung Sungai Ramal; Jalan Reko; Kawasan Medan Stay Kajang; Taman Taming Jaya; SMK SAAS, Kajang; Sri Bangi, Seksyen 8; Teras Jernang; Kampung Sungai Serai dan SRA Sungai Serai.

Categories
PBT SELANGOR

Taman Rekreasi Sungai Chua dibuka 1 Julai

KAJANG, 25 JUN: Taman Rekreasi Sungai Chua selepas melalui proses penaiktarafan akan dibuka sepenuhnya bermula 1 Julai, kata yang dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Dato’ Zul-kefli @ Zulkefli Khalid berkata pembukaan taman awam itu mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Bagi mengelak timbul masalah, kita minta kerjasama masyarakat untuk mematuhi SOP seperti mengawal penjarakan sosial dan tidak berkumpul di satu-satu tempat.

“Sekiranya dikesan melanggar arahan, kita akan terus menutup dan tidak membenarkan sesiapa sahaja memasuki taman rekreasi ini,” katanya selepas meninjau taman berkenaan di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai untuk bersama menjaga kemudahan asas disediakan selain memelihara kebersihan setiap masa.

“Dahulunya, kawasan ini merupakan sebuah kolam takungan air dan kita merancang membangunkannya bagi membolehkan masyarakat setempat melakukan aktiviti yang boleh menyihatkan tubuh badan.

“Justeru, apabila ia dibuka diharap masyarakat guna dengan sebaik-baiknya dan tidak sesekali melakukan perkara boleh merosakkan harta benda,” katanya.

Taman Rekreasi Sungai Chua dibangunkan sejak Disember tahun lalu dengan kos pembinaan kira-kira RM1.3 juta membabitkan dua fasa pembangunan.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Langgar SOP, Bukit Broga ditutup dua minggu

KAJANG, 25 JUN: Bukit Broga, Semenyih ditutup dua minggu kepada orang ramai berkuat kuasa Sabtu ini ekoran pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP), kata yang dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Dato’ Zul-kefli @ Zulkefli Khalid berkata penutupan sementara lokasi pendakian terkenal itu diputuskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor semalam.

“Kita sudah buka semula (Bukit Broga) untuk aktiviti pendakian tetapi orang ramai tidak memahami SOP, maka tindakan (penutupan) sewajarnya dibuat kerana mereka (pendaki) tidak prihatin keadaan semasa Covid-19 terutama ketika kerajaan sedang berusaha mengekangnya,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Taman Rekreasi Sungai Chua di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan mengehadkan bilangan pengunjung daripada memasuki kawasan rekreasi itu bagi mengelak insiden sama berulang termasuk bekerjasama dengan polis serta Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat untuk memantau pematuhan SOP.

“Bagaimanapun, orang ramai terus diingatkan supaya tidak sesekali melanggar peraturan selain sentiasa mengawal penjarakan sosial ketika mendaki,” katanya.

Pada 22 Jun lalu, tular di media sosial menunjukkan Bukit Broga sesak dikunjungi orang ramai selepas kerajaan membenarkan semula aktiviti sukan dan rekreasi termasuk mendaki bermula 15 Jun tertakluk pematuhan SOP.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj sita empat premis atas pelbagai kesalahan

SHAH ALAM, 22 JUN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyita empat premis termasuk kendalian warga asing atas pelbagai kesalahan dalam operasi di sekitar kawasan industri Selaman, Bangi semalam.

Pegawai Perhubungan Awamnya berkata kesalahan dilakukan ialah berniaga tanpa lesen, membela dan menyembelih haiwan hidup dalam premis serta mengubah suai struktur bangunan.

“Tindakan ke atas premis makanan dan kedai runcit dilakukan serta-merta oleh penguat kuasa MPKj tanpa kompromi,” kata Kamarul Izlan Sulaiman kepada SelangorKini.

Beliau berkata MPKj tidak teragak-agak menarik lesen dan menyita premis sekiranya pemilik didapati melanggar syarat.

“Kita tidak akan beri amaran lisan sebaliknya terus mengenakan kompaun dan sita barang perniagaan termasuk kenderaan penjaja tidak berpermit serta warga asing,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj: Taman Awam Jalan Timur ditutup bagi kerja naik taraf

SHAH ALAM, 13 JUN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menutup sementara Taman Awam Jalan Timur bermula 14 Jun hingga 15 September ini bagi memberi laluan kerja naik taraf, kata yang dipertuanya.

Dato’ Zulkefli Khalid berkata orang awam tidak dibenarkan masuk ke kawasan taman dan meletakkan kenderaan di parkir kenderaan sepanjang tempoh tersebut.

“Kerjasama daripada anda amat diharapkan untuk tidak melakukan sebarang aktiviti sehingga taman awam ini siap sepenuhnya,” kata beliau dalam kenyataan.

Categories
PBT SELANGOR

Operasi tanpa kebenaran, MPKj arah 40 penjaja henti niaga

SHAH ALAM, 8 JUN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengarahkan 40 penjaja haram di sekitar Tesco Pelangi Semenyih menghentikan serta-merta perniagaan mereka kerana beroperasi tanpa kebenaran.

Pegawai Perhubungan Awamnya Kamarul Izlan Sulaiman berkata arahan dibuat ketika operasi oleh Jabatan Pelesenan dan Penjaja pada 5 Jun lalu.

“Selain tidak mempunyai permit sah daripada MPKj mereka menyebabkan kawasan ini sesak dengan kenderaan pelanggan yang berhenti di bahu jalan.

“Malah, mereka menyebabkan kawasan di sini menjadi kotor termasuk meninggalkan kelengkapan perniagaan selepas tamat berniaga,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata hanya 10 penjaja dibenarkan meneruskan perniagaan di kawasan berkenaan kerana memiliki permit sah namun dinasihatkan sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Mereka juga diingatkan membersihkan kawasan sekitar dan tidak meninggalkan barang perniagaan. Permit boleh ditarik serta-merta sekiranya gagal mematuhi ketetapan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj: Sedia dokumen jika premis komersial mahu operasi lebih masa

SHAH ALAM, 29 APRIL: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memaklumkan mana-mana premis komersial atau industri yang ingin beroperasi melebihi masa yang ditetapkan dikehendaki menyediakan dokumen.

Dokumen yang perlu dikemukakan adalah berdasarkan tempoh operasi premis komersial atau industri iaitu sama ada kurang 12 jam atau melebihi 12 jam.

Kurang 12 jam

-Perlu mendapat kelulusan kebenaran beroperasi sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tertakluk kepada kategori penghasilan produk sama ada keperluan

atau kritikal yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti)

-Mendapatkan kelulusan atau kebenaran beroperasi dalam tempoh PKP berkuat kuasa dari MPKj

Melebihi 12 jam

-Perlu memperoleh kelulusan kebenaran beroperasi sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP tertakluk kepada kategori penghasilan produk sama ada keperluan atau kritikal yang dikeluarkan Miti.

-Menyediakan surat pemakluman oleh pengusaha komersial atau industri permohonan pengoperasian melebihi tempoh masa yang ditetapkan sepanjang tempoh PKP dengan menyatakan sebab untuk lanjutan tempoh beroperasi serta mendapat pengesahan atau cop dari unit pelesenan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang

Menurut MPKj dalam kenyataan semalam, dokumen lengkap hendaklah diemel ke [email protected] dan maklum balas akan diberikan dalam tempoh 24 jam.

“Pertanyaan lanjut boleh hubungi bilik gerakan MPKj di talian hotline 1-800-88-6755 ,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Kebun Komuniti MPKj beri manfaat penduduk setempat

KAJANG, 28 OGOS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mempelawa Persatuan Penduduk dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menyertai program Kebun Komuniti untuk kegunaan bersama penduduk setempat.

Dalam kenyataan, MPKj memaklumkan, program berkonsepkan kebun itu dibuka secara percuma dan terhad kepada dua persatuan serta JMB terawal di kawasan pentadbiran berkenaan.

“Kawasan lapang tidak digunakan dan bukan tanah persendirian dalam kawasan kejiranan dibenarkan menyertai program ini, manakala tanggungjawab serta urusan mengusahakan kebun komuniti dibenarkan melalui Jawatankuasa Penduduk sahaja.

“Tanaman dibenarkan adalah daripada jenis sayur-sayuran, ulam-ulaman, herba, ethnobotanikal dan pokok yang mempunyai ketinggian tidak melebihi tiga meter.

“Hasil tanaman perlu dikongsi bersama penduduk dan tiada urusan jual beli,” katanya.

MPKj turut memaklumkan, pihaknya berhak menarik balik kebenaran mengusahakan Kebun Komuniti pada bila-bila masa tanpa notis jika tidak mematuhi syarat ditetapkan.

Persatuan Penduduk dan JMB yang berjaya dipilih akan menerima peralatan tanaman secara percuma antaranya cangkul, kotak penanam, tanah, baja kompos, tong siram, tangki air dan papan tanda selain biji benih serta khidmat nasihat pakar.

Categories
EXCO SELANGOR

MPKj belanja RM930 ribu lupus sampah sebulan

KAJANG, 24 OGOS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membelanjakan kira-kira RM930,000 sebulan bagi kos pelupusan sampah sisa pepejal melibatkan Tapak Pelupusan Tanjung 12, Dengkil dan Tapak Pelupusan Misi Restu Sungai Lalang, Semenyih.

Yang Dipertuanya, Dato’ Rosli Othman berkata, sebanyak 20,000 tan sampah dihantar ke Tapak Pelupusan Tanjung 12 sementara sampah pukal yang dihantar ke Tapak Pelupusan Misi Restu ialah 7,000 tan sebulan.

Katanya, bagi menangani masalah sampah, sehingga kini MPKj membelanjakan RM31.3 juta bagi kerja Perkhidmatan Pembersihan Awam dan sebanyak RM30.2 bagi kerja Perkhidmatan Kutipan Sisa pepejal.

“Isu sampah adalah perkara serius kerana penjanaan sampah akan meningkatkan lagi kos di tapak pelupusan. Oleh itu kesedaran penduduk amat penting untuk menangani sisa dengan lebih berkesan iaitu melalui pengasingan sisa pepejal.

“Amalan mengasingkan sisa pepejal dari rumah ini membolehkan pengurangan sisa dihantar ke tapak pelupusan, ia seterusnya memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sedia ada,” katanya.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi & Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian diiringi Yang Dipertua Kajang, Dato’ Rosli Othman dan Ahli Majlis Zon 10, Sharifah Norhayati Syed Omar meletakkan sisa tin dalam tong yang disediakan sebagai simbolik Pengasingan Sisa dan Kitar Semula ‘Go Green With 3R’ dalam Program Kitar Semula (3R) 2019 Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Saujana Impian, Kajang. – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika Program Pengasingan Sisa dan Kitar Semula ‘Go Green With 3R’ Majlis Perbandaran Kajang di Taman Impian Setia Kajang, hari ini.

Hadir merasmikan ialah EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian.

Turut sama Ahli Majlis MPP Zon 10 MPKj, Sharifah Norhayati Syed Omar, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPKj, Mohd Izuddin Ramli dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Impian Setia Saujana Impian (PERKIS) Mohamad Norwafi Sahroni.

Pada program sama, sebanyak tiga tong kitar semula dengan kapasiti 660 liter diserahkan kepada PERKIS.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, beliau mengharapkan penduduk memanfaatkan penggunaan tong kitar semula berkenaan sekali gus menggalakkan pengasingan sisa dari rumah bagi melestarikan alam sekitar.

Hee Loy Sian bersama Dato’ Rosli Othman (kanan) mencuba kaedah penyediaan baja kompos sisa organik selepas merasmikan Program Kitar Semula (3R) 2019 Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Saujana Impian, Kajang. – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Katanya, ia juga salah satu cara mendidik masyarakat menggunakan tong kitar semula mengikut fungsi dan kegunaan yang telah ditetapkan.

“Secara mudah konsep ini mengajak semua penduduk supaya memaksimumkan kitar semula, meminimakan sisa lebihan, mengurangkan penggunaan dan memastikan setiap barangan yang dihasilkan boleh diguna semula, dibaiki, dikitar dan dikomposkan.

“Secara tidak langsung ini akan meningkatkan tahap kebersihan dan kesihatan penduduk di taman perumahan ini,” katanya.