Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN umum lantikan baharu, kukuh gerak kerja gabungan

SHAH ALAM, 12 SEPT: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengumumkan beberapa lantikan baharu bagi mengukuhkan gerak kerja gabungan itu.

Mesyuarat Majlis Presiden PAKATAN setuju melantik Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai Ketua Setiausaha PAKATAN.

Ketua Pemuda DAP Howard Lee Chuan How akan menerajui sayap pemuda PAKATAN, manakala Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah memimpin sayap wanita gabungan itu.

Antara lantikan lain ialah Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub selaku Pengarah Strategi PAKATAN yang baharu, manakala Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dilantik sebagai Penyelaras Ketua Whip Ahli Parlimen PAKATAN.

Pengarah Komunikasi KEADILAN Fahmi Fadzil pula dilantik sebagai Pengarah Komunikasi PAKATAN.

“Semoga pelantikan ini akan mengukuhkan lagi gerak kerja PAKATAN di parlimen, di lapangan, serta menuju pilihan raya umum (PRU) ke-15,” kata Majlis Presiden PAKATAN dalam kenyataan hari ini .

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN saran sidang Parlimen Mac, selaras titah Agong

SHAH ALAM, 24 FEB: Pakatan Harapan (PAKATAN) menyarankan sidang Parlimen dilangsungkan seawal Mac ini, kata Majlis Presiden.

Menurutnya, perdana menteri diminta menjunjung titah dan menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung perkara itu selaras sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

“PAKATAN serta majoriti ahli parlimen berpendirian bahawa Parlimen harus memainkan peranan seperti
pihak Eksekutif dan Kehakiman yang berfungsi sewaktu darurat.

“Kami mendukung penuh hasrat Seri Paduka Baginda untuk memulihkan kedudukan Parlimen, mengetengahkan isu serta masalah dihadapi rakyat ketika membendung pandemik Covid-19 selain merencana langkah bagi menghidupkan semula ekonomi negara,” katanya menerusi kenyataan.

Kenyataan itu melibatkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Hari ini, Seri Paduka bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Majlis Presiden PAKATAN: Keputusan mahkamah kemenangan rakyat

SHAH ALAM, 28 JULAI: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) menyifatkan keputusan mensabit salah terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai kemenangan besar buat rakyat.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu (Amanah) dan Lim Guan Eng (DAP) merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam proses ini termasuk mantan Peguam Negara.

“Proses pengadilan ini pasti tidak akan bermula sekiranya rakyat tidak bangkit untuk memberikan kemenangan kepada PAKATAN dan mengalahkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Malah bila disoroti sejarah isu ini masalah urus tadbir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibangkitkan kali pertama di Parlimen oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan bersama.

Bekas perdana menteri itu didapati bersalah terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan melibatkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Majlis Presiden turut mengajak seluruh rakyat meneliti dan menelusuri penghakiman yang dibuat hari ini.

Dalam kenyataan sama ketiga-tiga pemimpin berpendirian reformasi institusi menyeluruh perlu dilaksana untuk memastikan iklim politik yang memungkinkan kerosakan besar pada zaman pemerintahan Barisan Nasional tidak berulang.