Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Amal pemakanan sihat, kekal cergas ketika puasa

Pemakanan seimbang dan sihat penting untuk mengekalkan kecergasan sepanjang berpuasa. Ketika menjalankan ibadat itu, kandungan paras gula sesuai diperlukan badan untuk melakukan aktiviti seharian.

Amalan panduan pemakanan Ramadan membantu mengharungi bulan ibadah ini dengan selesa dan selamat.

Langkah mengekal kandungan air dalam badan

    • Bahagi pengambilan minuman pada malam hari mulai waktu berbuka hingga sahur
    • Kurangkan pengambilan minuman berkafein dan makanan tinggi sodium seperti makanan terproses, makanan segera serta makanan masin
    • Kurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas melampau
    • Pastikan kawalan paras glukos darah dalam keadaan optimum

Tabiat makan

  • Mulakan dengan minum air kosong dan buah
  • Makan sayur-sayuran terlebih dahulu
  • Hidangan mengandungi protein dan sayur-sayuran

Kaedah pemakanan

  • Makan pelbagai jenis makanan
  • Kawal saiz hidangan makanan
  • Kawal paras glukos darah anda

Rancang pengambilan makanan seimbang

  • Buah-buahan. Pilih yang segar atau kurma
  • Ambil suku bahan karbohidrat antaranya nasi, mi, roti, bijirin, produk bijirin atau ubi. Sebaik-baiknya pilih bijirin penuh
  • Ambil sayur-sayuran
  • Amalkan minum air kosong dan kurangkan minuman berkafein
  • Sup atau kuah. Pilih cara masakan yang rendah lemak
  • Ambil makanan suku berprotein antaranya ikan, ayam, daging atau kekacang. Pilih bahagian yang kurang lemak dan cara masakan yang rendah lemak

Petua membeli di bazar Ramadan

  • Buat perancangan awal untuk elak beli berlebihan
  • Beli makanan kurang minyak dan gula, biasakan ambil pelbagai buah-buahan serta sayur-sayuran.
  • Pilih juadah yang dimasak secara rebus, bakar atau kukus bagi kekalkan berat badan sihat
  • Berjaga-jaga dengan makanan manis kerana ia mengandungi karbohidrat yang boleh meningkatkan paras gula dalam darah
  • Antara pilihan sihat yang boleh didapati di bazar Ramadan:
  1. Popia basah
  2. Tauhu sumbat
  3. Laksa asam
  4. Pecel jawa (kurangkan kuah kacang)
  5. Apam, karipap dan vadei
  6. Ayam golek atau percik (bahagian dada, tanpa kulit dan kurangkan kuah)
  7. Buah-buahan segar atau jus (tanpa gula)

Bilakah anda harus berbuka puasa?

Anda tidak disaran untuk meneruskan berpuasa jika mengalami:

  • Hipoglisemia (paras glukos darah kurang dari 3.9 mmol/L)
  • Hiperglisemia (paras glukos darah melebihi 16.6 mmol/L)
  • Simptom hipoglisemia, hiperglisemia, dehidrasi atau kesakitan akut (teruk)

Sumber: nestlehealthscience.com

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Sasar lima kali ganda penerima bantuan barangan kesihatan, makanan sihat

SHAH ALAM, 31 OGOS: EXCO Kerajaan Prihatin berhasrat teruskan program bantuan barangan perlindungan kesihatan dan makanan berkhasiat tahun depan dengan sasaran lima kali ganda penerima.

V Ganabatirau berkata setakat ini program itu memberi manfaat kepada 5,700 individu daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di Selangor.

“Kita (Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin) sebenarnya merancang pelaksanaannya tahun ini sahaja kerana ada peruntukan daripada program lain yang tidak dapat diadakan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan.

“Jadi, semasa saya turun padang mengagihkan bantuan ini kepada penghulu dari semua mukim seluruh negeri ini, mereka (penghulu) gembira dan menyambut baik inisiatif tersebut, malah berharap peruntukan ditambah kepada 500 pek bagi setiap mukim,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata program tersebut diharap memenuhi permintaan golongan terlibat termasuk warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), wanita hamil dan anak yatim untuk memperoleh barangan penjagaan kesihatan serta makanan seimbang.

Terdahulu, sebanyak RM347,700 disalurkan menerusi penghulu dari 57 mukim seluruh Selangor bagi pengagihan bantuan merangkumi pelitup muka, cecair pembasmi kuman, Milo, beras, Nestum dan biskut berkhasiat.

Categories
NASIONAL

Galak kerjasama swasta-kerajaan sedia makanan sihat untuk pelajar

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggalakkan sektor swasta supaya bekerjasama erat dengan kerajaan untuk menyediakan makanan berkhasiat kepada murid sekolah terutama daripada golongan berpendapatan rendah (B40).

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, kerjasama itu perlu digembleng kerana kira-kira 60 peratus kanak-kanak bawah lima tahun di Malaysia kini berdepan masalah pertumbuhan terbantut, kekurangan berat badan dan obesiti.

Beliau berkata, peratusan itu diketengahkan dalam Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) tahun lepas dan puncanya adalah disebabkan masalah malnutrisi serta amalan pengambilan makanan tidak berkhasiat.

“Laporan itu menunjukkan 22 peratus kanak-kanak bawah umur lima tahun di negara ini mengalami masalah pertumbuhan terbantut, 15 peratus kekurangan berat badan dan 23 peratus lagi obes. Kekurangan zat makanan adalah satu bentuk penafian hak terutamanya kepada murid-murid yang sedang membesar.

“Justeru, kerajaan amat menggalakkan syarikat swasta menganjurkan pelbagai program penyediaan makanan sihat kepada golongan ini kerana kita mahu anak-anak kita membesar dengan sihat demi masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program pemakanan sihat bersama NuMee 2019 di Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong, di sini hari ini.

Mengulas berkenaan program itu, Teo berkata, usaha syarikat Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia) menyumbang 20,400 pek mi kuning jenama NuMee Gardenia iaitu produk terbaharu mereka kepada sekolah-sekolah terpilih di seluruh Malaysia bagi penyediaan makanan sihat amat dipuji dan harus menjadi ikutan kepada lebih banyak syarikat swasta lain.

Katanya, sumbangan makanan sihat seumpamanya kepada murid sekolah oleh sektor swasta juga dilihat menyokong hasrat kerajaan yang bakal melaksanakan program sarapan berkhasiat dan percuma kepada kanak-kanak menggunakan hasil cukai gula tahun depan.

Program pemakanan sihat bersama NuMee 2019 itu melibatkan 100 buah kantin sekolah di seluruh negara yang mana 20,400 pek NuMee Gardenia akan diagihkan berperingkat secara percuma dan ia boleh menyajikan sebanyak 122,400 hidangan sihat kepada golongan murid di sekolah terlibat.

Selain itu, menerusi program berkenaan juga, pihak Gardenia membekalkan resepi dan kaedah penyediaan makanan seimbang untuk kanak-kanak kepada pengusaha-pengusaha kantin sekolah berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Gardenia Datuk Mohammad Zainal Shaari berkata pihaknya mengambil masa dua tahun untuk melakukan kajian dalam pembuatan dan penyediaan NuMee Gerdenia demi menghasilkan produk yang menepati cita rasa rakyat dan penuh khasiat.

“Kerjasama dengan KPM dilihat sebagai platform ideal kepada Gardenia menerapkan mesej pentingnya tabiat pemakanan sihat dalam kalangan warga sekolah untuk kekal aktif. Program ini dilaksanakan untuk membantu mengurangkan masalah malnutrisi murid,” katanya.

Mengulas mengenai produk terbaharu Gardenia itu, Mohammad Zainal berkata sejak dilancarkan pada pertengahan Mei lepas, NuMee Gardenia yang memperoleh pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah terjual sekitar 2 juta pek di seluruh semenanjung.

-BERNAMA