Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Teroka keindahan KL waktu malam dengan bas HOHO

KUALA LUMPUR, 3 ARPIL: Jika Kota London mempunyai double decker bus, Sydney terkenal dengan hop on hop off bus tour, Bandaraya Kuala Lumpur pun tidak ketinggalan mempunyai bas dua tingkat untuk pelancong tempatan mahupun luar negara menikmati pemandangan di sekitar kota metropolitan ini.

Seperti bandar raya utama di luar negara, penggunaan perkhidmatan bas yang lebih sinonim dengan panggilan double decker itu menjadi pengangkutan popular bagi pelancong bersiar-siar dan melawat tempat menarik sekitar bandar raya ini untuk mengelak masalah kesesakan yang tidak berkesudahan.

Beroperasi sejak 14 tahun lalu, KL Hop-On Hop-Off (HOHO) dengan bumbung yang terbuka memberikan peluang kepada penumpang mengambil gambar pemandangan serta memerhati gelagat penghuni kota dari sudut 360 darjah.

Orang ramai tidak melepaskan peluang menikmati udara segar dan pemandangan malam dari bas KL Hop-On Hop-Off (HOHO) dengan bumbung yang terbuka menjadi pengangkutan popular bagi pelancong bersiar-siar dan melawat tempat menarik sekitar bandaraya Kuala Lumpur ketika sesi lawatan menggunakan bas tersebut baru-baru ini. Foto: BERNAMA

Bagaimanapun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dua kali dilaksanakan sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini awal tahun lepas, telah merencatkan sektor pelancongan sekali gus tempiasnya turut menjejaskan operasi bas yang dikendalikan oleh Elang Wah Sdn Bhd ini.

Pengarah urusannya, Syed Azhar Syed Nadzir berkata sebelum ini operasi bas itu terpaksa dihentikan sementara ekoran pelaksanaan PKP, namun ia kembali dibuka sejak 1 Mac lalu dengan tumpuan kali ini lebih diberikan kepada pelancong tempatan ekoran sempadan negara yang masih ditutup.

“Kali ini kami menumpukan promosi perjalanan pada waktu malam kerana suhu lebih nyaman dan pemandangan lebih menarik berikutan faktor cuaca panas ketika ini selain kekangan kerja pada waktu siang.

“Antara tempat bersejarah dan menarik yang dilawati ialah Pintasan Saloma, Menara Kuala Lumpur, River of Life, Istana Negara, Dataran Merdeka, Little India, Petaling Street dan Pasar Seni,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya inilah waktu yang paling sesuai untuk pelancong tempatan menggunakan perkhidmatan itu memandangkan sebelum ini bas itu sentiasa dipenuhi oleh pelancong asing.

Syed Azhar berkata selaras dengan tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan penularan jangkitan Covid-19, pihaknya turut mengambil langkah melakukan operasi sanitasi setiap ruang dalam bas, menyediakan pengimbas suhu dan penumpang harus memakai pelitup muka sepanjang menggunakan perkhidmatan itu.

Bas HOHO beropoerasi sepanjang hari dengan mengenakan bayaran RM25 bagi dewasa, RM15 bagi kanak-kanak untuk perjalanan pada waktu siang, manakala RM30 bagi dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak untuk perjalanan waktu malam.

– BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selcare cadang buat saringan Covid-19 waktu malam sepanjang Ramadan

KAJANG, 27 MAC: Klinik Selcare bercadang melaksanakan program Saringan Komuniti secara percuma pada waktu malam sepanjang Ramadan ini.

Pengurus Mohd Noor Md Nasir berkata perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat bersama Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) dalam masa terdekat.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir

“Kita kena berbincang lebih lanjut sama ada untuk teruskan (saringan) atau berehat sementara. Jika mahu dilaksana perlu lihat kesesuaian masa dan mungkin pada waktu malam.

“Jika dilakukan waktu malam ia bergantung pada situasi semasa memandangkan solat tarawih di masjid serta surau sudah dibenarkan, jadi kita kena mempertimbang sama ada orang ramai boleh keluar ke saringan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri di Jalan Medan Belimbing, Seri Kembangan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Noor memaklumkan sebanyak 500 sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dijangka diambil melalui saringan hari ini yang dijadual berakhir jam 4 petang.

Menurutnya, sasaran itu mengambil kira kehadiran masyarakat setempat termasuk pekerja industri berhampiran yang mencecah 150 orang setakat jam 12 tengah hari.

“Walaupun bermula jam 9 pagi, tetapi mereka beratur seawal jam 8 pagi untuk menjalani saringan dan ini membuktikan kesedaran masyarakat di sini sangat tinggi.

“Malah, mereka bersedia lebih awal dengan membuat prapendaftaran melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sekali gus membantu mempercepatkan lagi proses saringan,” katanya.