Categories
NASIONAL

Malaysia Airlines tawar diskaun melalui Travelganza

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Malaysia Airlines menawarkan diskaun hebat sehingga 25 peratus tambang ke semua destinasi dalam rangkaiannya melalui Travelganza Deals, mulai hari ini sehingga 24 Februari ini.

Tawaran itu boleh didapati melalui laman sesawang www.malaysiaairlines.com, Malaysia Airlines App dan ejen pelancongan yang mengambil bahagian untuk perjalanan serta-merta hingga 31 Julai 2019.

“Tambang dua hala termasuk semua dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bermula serendah RM129 bagi kelas ekonomi dan dari RM519 (kelas perniagaan).

“Destinasi yang ditawarkan termasuk Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Jakarta, Phuket, Manila, Guangzhou, Chongqing, Fuzhou, Hong Kong, Tokyo, New Delhi, Bengaluru, Brisbane dan Adelaide serta destinasi terbaharu, Kochi,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai sebahagian daripada promosi itu, Malaysia Airlines juga menawarkan pelbagai tawaran menarik lain termasuk potongan 15 peratus ke atas perkhidmatan tambahan premium.

Categories
NASIONAL

Tiga syarikat tambah penerbangan tambang rendah sempena Tahun Baharu Cina

SEPANG, 1 FEB: Tiga syarikat penerbangan tempatan menambah sebanyak 376 penerbangan lewat malam pada tambang rendah bagi tempoh antara 30 Januari dan 12 Februari bersempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, syarikat penerbangan terbabit, Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air turut berikrar menambah kapasiti 64,382 tempat duduk membabitkan 14 laluan khusus ​​​​​bagi memenuhi permintaan destinasi popular seperti Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu, Sibu dan Miri.

“Tahun lalu, kerajaan telah meminta Suruhanhaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) melakukan kajian terhadap tambang penerbangan yang mahal (dikenakan syarikat penerbangan) ketika tempoh puncak perjalanan di negara ini dan mencari pilihan bagi tawaran harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelepasan penerbangan tambahan AirAsia sempena Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) di sini, malam tadi, lapor BERNAMA.

Mengulas selanjutnya, Loke berkata, semua tambang bagi penerbangan tambahan lewat malam itu berkurangan sebanyak 25 peratus berbanding tahun lalu.

“Bagi laluan AirAsia Kuala Lumpur-Sibu misalnya, tambang tahun lalu kira-kira RM1,000 tetapi tahun ini, kerajaan telah bersetuju dengan tambang rendah RM149 untuk semua tempat duduk.

“Ini adalah inisiatif kami bagi meringkan kos sara hidup,” katanya.

Categories
NASIONAL

MAB perkenal lebih banyak pesawat badan besar

PETALING JAYA, 28 SEPT: Malaysia Airlines Bhd (MAB) akan mengimbangi semula jumlah kumpulan pesawatnya dengan memperkenalkan lebih banyak pesawat badan besar dalam tempoh lima tahun akan datang, yang berpotensi membawa hasil tinggi dan mengurangkan kos operasi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Bellew berkata, usaha itu akan memberi penjimatan kos antara lima hingga 20 peratus kepada syarikat penerbangan nasional terbabit juga keanjalan operasi bagi laluan jarak jauh, pada masa depan.

Beliau berkata, ketika ini MAB memiliki terlalu banyak pesawat badan kecil dan tidak cukup pesawat badan besar bagi laluan yang sesuai untuk strategi, pada masa hadapan.

“Kami akan terus menyesuaikan diri ketika pasaran semakin bertambah baik dan apabila peluang timbul. (Kami) akan melihat bagaimana keadaannya nanti.

“Kami mahu mengimbangkan bagi tempoh lima tahun akan datang hampir kepada 50-50 peratus dan itulah yang biasa dilakukan syarikat penerbangan nasional dengan perkhidmatan premium.

“Secara realistiknya kami akan mengimbangkan semula dengan segera dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya pada taklimat media berkenaan kemajuan rancangan penyusunan semula MAB, di sini, semalam.

Di bawah pelan Fleet Strategy 2017-2022, Bellew berkata, syarikat penerbangan itu merancang mengurangkan jumlah kumpulan pesawat badan kecil kepada 45 menjelang 2022 daripada 48 sekarang, manakala pesawat badan besar kepada 35 daripada 21 pesawat.

MASDari segi peratusan, jumlah kumpulan pesawat MAB akan terdiri daripada 56 peratus pesawat badan kecil dan 44 peratus pesawat badan besar daripada nisbah 70:30, pada masa ini.

Enam pesawat badan besar A330-220 yang baru dibaik pulih, akan dipajak daripada syarikat pajakan pesawat AerCap Holdings NV, yang dijangka tiba mulai Februari 2018.

“Nilai terbaik adalah, apabila anda membeli terus daripada pengeluar, anda akan mendapat semua faedah — urus niaga, latihan, jaminan dan lain-lain (asas kos rendah dan keselesaan penumpang berkualiti tinggi),” katanya, sambil menambah pesawat yang dipajak itu akan menggantikan pesawat badan kecil Boeing 737-800 yang ketika ini digunakan bagi laluan Mumbai, Delhi, Bali dan Perth.

Langkah ini akan menambah baik produk dengan kos yang kurang berbanding mengendalikan B737, katanya.

Bellew berkata MAB akan menggunakan enam pesawat Airbus 380 bagi jemaah haji dan umrah, serta operasi sewaan, dan sebuah syarikat penerbangan baharu akan diwujudkan tidak lama lagi untuk menjalankan perkhidmatan itu.

Ini berada di bawah inisiatif MAB sebelum ini di bawah pelan penstrukturan semulanya dikenali sebagai Project Amal (sebelum ini dikenali sebagai Hope) dan projek tersebut sedang berjalan lancar yang dijangka memulakan operasi pada 2019.

Bellew berkata, MAB kini dalam usaha menghentikan secara berperingkat enam daripada pesawat B738 yang akan digantikan selepas serahan pesawat A330 Neo dan B787-9 Dreamliner yang baharu.

mh-masMengenai tempahan B787-9 Dreamliners, beliau berkata, ia akan memberi manfaat kepada syarikat penerbangan itu memandangkan pesawat tersebut akan mengurangkan kos operasi dari segi kecekapan bahan api dan penyenggaraan.

Beliau berkata, cadangan pembelian itu berpotensi membawa perolehan lebih tinggi kepada MAB pada masa depan dengan lebih banyak kekerapan penerbangan dan keanjalan kargo.

Selain itu, Bellew berkata, kumpulan pesawat baharu itu berupaya menyokong operasi penerbanganjarak sederhana dan jauh MAB dari Kuala Lumpur ke destinasi Eropah, serta laluan jarak jauh berpotensi lain pada masa depan.

“Kos B787-9 bagi tempoh 10 hingga 12 tahun akan datang tidak banyak berbeza daripada kos A330. Bagaimanapun, pesawat tersebut memberi peluang fleksibel, sama ada kami mahu memasuki semula pasaran (jarak jauh) itu (setelah MAB menamatkan penerbangan bagi laluan jarak jauh yang kurang beruntung seperti Amsterdam dan Frankfurt),” katanya.

 

*Sumber: BERNAMA