Categories
AGENDA NASIONAL

Perintah kawalan: Malaysia Airlines kurangkan operasi

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Malaysia Airlines mengurangkan operasi rangkaiannya secara menyeluruh susulan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara dari 18 hingga 31 Mac bagi membendung Covid-19.

Menurut syarikat penerbangan itu, ia menggantung penerbangan antarabangsa ke India mulai 17 hingga 31 Mac dan ke Filipina (21 hingga 31 Mac) berikutan larangan perjalanan yang dilaksanakan oleh kerajaan membabitkan perjalanan pergi dan balik dari Malaysia.

Sebelum perintah itu, Malaysia Airlines menggantung perkhidmatan ke Arab Saudi, Korea Selatan, Beijing Daxing termasuk laluan Kota Kinabalu-Shanghai disebabkan kawalan sempadan serta mengurangkan kapasiti ke Australia dan New Zealand berikutan dasar pengasingan dibuat oleh kedua-dua negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail berkata keadaan sekarang, sejak beberapa hari ini adalah tidak menentu sehinggakan syarikat penerbangan tersebut terpaksa membuat pembatalan pada saat-saat akhir bagi mematuhi sekatan.

“Pendekatan tidak diselaraskan ini memberikan cabaran besar terhadap operasi kami, tetapi kami melakukan yang terbaik untuk memindahkan penumpang ke dalam syarikat penerbangan lain. Ini membabitkan kos tambahan ke atas operasi kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysia Airlines juga terpaksa menyusun kembali penerbangan muatan rendahnya, sama ada membuat pembatalan atau menggabungkan mereka untuk menguruskan kos, dan pada masa yang sama, menguruskan jangkaan pelanggan. Sehingga ke hari ini, syarikat itu telah membatalkan lebih daripada 4,000 penerbangan.

Sebahagian daripada cabaran ini terpaksa dipikul oleh Pusat Hubungan Antarabangsa Malaysia Airlines, apabila ia menerima 25,000 panggilan sehari dan sehingga 2,000 e-mel setiap hari dalam tempoh tiga minggu.

“Kami dengan ikhlas memohon maaf kepada penumpang kami, kami amat memahami keadaan yang menyebabkan mereka risau mengenai tempahan mereka. Saya memberi jaminan bahawa kami bukan mengambil kesempatan daripada keadaan sekarang, kami adalah salah satu daripada beberapa syarikat penerbangan yang telah menawarkan fleksibiliti yang tidak terhad dalam perubahan tarikh perjalanan termasuk pengecualian yuran tertentu.

“Cuma kami terpaksa mengambil masa yang lebih lama untuk memproses setiap permintaan disebabkan oleh jumlah panggilan dan e-mel. Perubahan tempahan juga memerlukan kepakaran khas dalam sistem tempahan global. Oleh itu, ia memerlukan masa untuk kami mengatur semula kakitangan bagi menyokong pusat panggilan kami, ‘ katanya.

Kata Izham lagi, pejabat tiket syarikat penerbangan Malaysia Airlines di Nu Sentral telah ditutup mulai 18 Mac berikutan penutupan pusat membeli-belah di seluruh negara dan ia menggalakkan penumpang dengan tempahan melebihi 48 jam berikutnya untuk memulakan perubahan tempahan secara dalam talian melalui borang bantuan pengecualian COVID-19 di laman sesawang Malaysia Airlines.

Disebabkan oleh pengurangan keupayaan yang ketara, Malaysia Airlines dan semua syarikat yang bernaung di bawah operasi kumpulan itu turut menerima kesan, termasuk pergerakan penerbangan serta operasi lapangan terbang.

Majoriti tenaga kerjanya di peringkat global sedang bekerja dari rumah selaras dengan pelbagai keperluan kerajaan masing-masing bagi memerangi Covid-19.

Ia akan terus mendukung piawaian keselamatan tertinggi dalam keseluruhan operasinya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

MH17: Ahli keluarga, wartawan bersedia ikuti perbicaraan bermula esok

AMSTERDAM, 8 MAC: Ratusan ahli keluarga mangsa pesawat MH17 Malaysia Airlines dan wartawan telah berdaftar untuk menghadiri perbicaraan yang ditunggu-tunggu dan dengan kawalan keselamatan ketat di Mahkamah Daerah The Hague di Kompleks Kehakiman Schiphol yang bermula Isnin.

Persoalan sama ada empat tertuduh akan hadir di mahkamah atau hanya diwakili peguam mereka, atau mereka akan dibicarakan tanpa kehadiran, hanya akan diketahui pada hari tersebut.

Pegawai Kehakiman Media Mahkamah Daerah The Hauge, Yolande Wijnnobel berkata, beliau tidak boleh mendedahkan nama peguam dan juga suspek, namun mengesahkan dua peguam mahu mewakili seorang daripada suspek tersebut di mahkamah.

“Ini adalah kes jenayah Belanda di Mahkamah Belanda dan hanya peguam Belanda sahaja boleh mewakili tertuduh di sini,” tegas beliau.

Pada Jun 2019, pasukan penyiasatan bersama (JIT) terdiri daripada Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine, telah mengeluarkan waran tangkap antarabangsa terhadap tiga warganegara Rusia – Igor Girkin, Sergey Dubinsky, Oleg Pulatov dan seorang warganegara Ukraine Leonid Kharchenko – atas dakwaan menembak jatuh MH17 berhampiran Torez di Donetsk Oblast, Ukraine, membunuh kesemua 298 penumpang dan kru pesawat tersebut.

Ketika ditanya sama ada mahkamah akan mendengar perbicaraan sebenar dengan saksi memberi keterangan pada hari tersebut, Winjnnobel menjelaskan, pada peringkat ini hanya membabitkan prosedur pemeriksaan bahan kes.

“Ia adalah prosedur, yang hakim mahu selesaikan pada Isnin, dan ia terlalu awal untuk hakim mendengar merit kes tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wijnnobel berkata sehingga kini perbicaraan akan diteruskan seperti dijadual walaupun dalam situasi semasa di Eropah akibat penularan wabak Covid-19.

“Kami sedang memantau perkara ini. Kami ada RIVN (Institut Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Kebangsaan Belanda) di sini, yang memantau perkembangannya dan akan membuat cadangan, yang kami laksanakan.

“Jadi jika ada sebarang perkembangan, kami akan maklumkan anda atau kami akan letakkan di dalam laman sesawang kami. Tetapi buat masa ini, ia berjalan seperti biasa, kes ini akan diteruskan seperti dijadualkan,” katanya.

Pada 17 Julai 2014, penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu anti-pesawat BUK oleh puak pemisah pro-Rusia dalam konflik dengan Ukraine berhampiran Torez di Donetsk Oblast, Ukraine – kira-kira 40 kilometer dari sempadan Rusia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Malaysia Airlines tawar diskaun 40 peratus kelas perniagaan

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Malaysia Airlines menawarkan diskaun sehingga 40 peratus bagi tambang Kelas Perniagaan untuk destinasi domestik dan antarabangsa.

Promosi istimewa ini berakhir pada 2 Mac, membabitkan perjalanan serta merta sehingga 31 Jan 2021, katanya dalam satu kenyataan.

Kelas perniagaan Malaysia Airlines menawarkan kaunter daftar masuk yang eksklusif, keutamaan dalam bagasi termasuk akses kepada Golden Lounge, antara lain.

Untuk destinasi domestik, syarikat penerbangan itu menawarkan tambang sehala semua dalam satu bermula daripada RM299, penerbangan ke Singapura daripada RM499, Phuket hanya RM549, Bangkok sebanyak RM599 dan Surabaya berjumlah RM659.

Sementara itu, promosi ini juga termasuk penerbangan ke destinasi antarabangsa seperti Beijing, dengan tambang bermula daripada RM2,799, Delhi daripada RM3,199, Seoul hanya RM3,399, Auckland daripada RM10,299 dan London sebanyak RM12,999.

Pelanggan juga boleh mengambil kesempatan daripada diskaun tambahan lima peratus apabila mereka membeli tiket dengan menggunakan kad Maybank melalui penggunaan kod promo BIZ4MAYBANK.

Mereka juga boleh memilih ‘Fly Now’ Malaysia Airlines, pelan bayar kemudian dengan kad kredit Maybank dan Public Bank, yang membolehkan pelanggan untuk membayar tambang secara ansuran dengan kaedah sifar dalam tempoh enam atau 12 bulan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia Airlines elak laluan konflik di ruang udara Iran

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Malaysia Airlines akan mengelak laluan konflik di ruang udara Iran berikutan ketegangan ketenteraan yang tercetus di rantau itu, baru-baru ini.

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini memaklumkan yang mereka tidak terbang merentasi ruang udara Iraq, pada penerbangannya dari dan ke London, Jeddah dan Madinah.

“Syarikat penerbangan ini melakukan pemantauan aktif melalui Sistem Pemantauan Penerbangan dan diberikan panduan penilaian termasuk laporan keselamatan global dan Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) daripada pihak berkuasa kawalan udara berkaitan.

“Kesemua pesawat kami dilengkapi dengan Komunikasi Satelit (SATCOM) membolehkan komunikasi segera dengan pesawat, untuk sebarang informasi kritikal dan tindakan seperti mengubah haluan,” menurut kenyataan tersebut.

Malaysia Airlines menegaskan yang mereka amat mengutamakan keselamatan.

Dilaporkan pembunuhan Jeneral Qassem Soleimani dalam serangan dron Amerika Syarikat berhampiran lapangan terbang Baghdad pada Jumaat, telah menimbulkan kemarahan dan ancaman serangan dari Tehran, menyebabkan kebimbangan akan berlakunya konflik di rantau itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MH360 patah balik kerana masalah gear pendaratan

PUTRAJAYA, 10 NOV: Penerbangan Malaysia Airlines MH360 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing semalam terpaksa berpatah balik ekoran masalah gear pendaratan.

Dalam kenyataan hari ini, Malaysia Airlines berkata demi keselamatan penumpang, kapten pesawat membuat keputusan untuk berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Pesawat itu mendarat dengan selamat pada 9.03 malam pada hari sama dan sedang diperbaiki jurutera.

“Penerbangan MH360 kemudian ditukar dengan pesawat lain, berlepas dari Kuala Lumpur pada 12.30 pagi 10 November dan tiba di Beijing pada 6.35 pagi pada hari sama,” menurut syarikat penerbangan itu.

Malaysia Airlines berkata makanan ringan disediakan untuk semua penumpang dan syarikat penerbangan itu juga mengatur semua penerbangan sambungan seterusnya.

“Keselamatan adalah keutamaan nombor satu Malaysia Airlines pada setiap masa dan pihak kami menyesali kesulitan yang dihadapi penumpang,” tambah kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia Airlines raih Platinum bagi Anugerah Jenama Putra

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Malaysia Airlines sekali lagi dinobatkan sebagai jenama paling dipercayai apabila menerima Anugerah Platinum bagi Anugerah Jenama Putra 2019 dalam kategori Pengangkutan, Perjalanan dan Pelancongan.

Anugerah Platinum yang diperkenalkan tahun ini menjadikan Malaysia Airlines menerima Anugerah Jenama Putra kali untuk kali keempat berturut-turut, yang sebelum ini dimenangi pada 2016, 2017 dan 2018,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Kapten Izham Ismail berkata, anugerah tersebut merupakan kemenangan besar kepada syarikat penerbangan itu yang membuktikan kepercayaan dan keyakinan pelanggan terhadap jenama itu.

Ia juga membuktikan kerja keras syarikat dalam melunaskan janji jenama itu bagi hospitaliti rakyat Malaysia.

“Pencapaian ini tidak berlaku dalam tempoh semalaman. Semua pihak di Malaysia Aviation Group (MAG) telah memainkan peranan penting bagi menambah baik jenama ini.

“Kami berusaha bersungguh-sungguh untuk menghasilkan, menyediakan dan menambah nilai pengalaman pelanggan dengan memperkenalkan manfaat langsung kepada ekosistem perjalanan keseluruhan, termasuk memperkenalkan aplikasi baharu MHassistant, outlet jualan tiket baharu di NU Sentral Kuala Lumpur selain pelancaran MHholidays, pasaran perjalanan terkini yang membolehkan pengembara menyesuaikan percutian mereka dengan penerbangan dan hotel,” katanya.

Anugerah Jenama Putra merupakan acara jenama tahunan terulung di Malaysia yang dilancarkan pada 2010 oleh Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia dengan kerjasama Jenama Paling Bernilai Malaysia.

Ia mengiktiraf pembinaan jenama sebagai pelaburan perniagaan bersepadu yang ditentukan oleh pengguna.

Bagi menentukan pemenang, Anugerah Jenama Putra menggunakan kaedah penyelidikan daripada pengguna dengan 6,000 pengguna mengundi jenama kegemaran mereka dalam pelbagai kategori, sekali gus menjadikan pengguna rakyat Malaysia sendiri yang menjadi hakim dan pemberi anugerah dalam acara ini.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

MAS: Isu teknikal punca penerbangan dari Jeddah lewat

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Penerbangan MH8311 dikendalikan Amal by Malaysia Airlines, yang dijadual berlepas dari Jeddah 1.10 pagi pada 24 Ogos lalu ke Kuala Lumpur, mengalami kelewatan berpanjangan ekoran isu teknikal dihadapi pesawat A380-800 yang mengendalikan penerbangan.

Malaysia Airlines Berhad (MAS) dalam satu kenyataan berkata, masalah itu yang disedari semasa proses menaiki pesawat, tidak dapat ditangani segera dan memerlukan masa yang lebih lama untuk diatasi.

Pada masa sama, krew Amal terpaksa meninggalkan tugas untuk memantau pembatasan jadual penerbangan mereka.

“Keselamatan tetap menjadi keutamaan Amal dan syarikat penerbangan itu amat menyesali kesulitan yang dialami penumpang.

“Amal akan mengendalikan penerbangan membawa pulang jemaah yang dijadualkan berlepas dari Jeddah pada 26 Ogos pukul 9.35 malam dan tiba di Kuala Lumpur pada 27 Ogos pukul 1.15 tengah hari,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Bernama melaporkan seramai 476 jemaah haji Malaysia dipercayai di bawah seliaan Lembaga Tabung Haji terkandas di Jeddah sejak Sabtu lalu, ekoran penjadualan semula waktu penerbangan mereka.

Amal adalah anak syarikat milik penuh Malaysia Aviation Group yang menawarkan penerbangan berjadual dan sewa khas ke Jeddah dan Madinah dari Kuala Lumpur menggunakan pesawat Airbus A380 dan A330.

MAS berkata semasa menunggu, penumpang dimaklumkan berhubung perkembangan terkini situasi melalui pengumuman dalam penerbangan dan makanan juga disajikan kepada penumpang.

Memandangkan pesawat itu diisytiharkan tidak dapat digunakan, penumpang dibenarkan turun daripada pesawat dan dipindahkan ke hotel penginapan mereka selepas melalui proses dokumentasi oleh imigresen.

“Kakitangan Tabung Haji sentiasa berada untuk memberikan bantuan yang diperlukan,” katanya.

Amal mengendalikan 138 penerbangan antara Kuala Lumpur dan Jeddah/Madinah semasa musim Haji 2019 dan 142 penerbangan perantara untuk mengangkut penumpang ke/dari stesen domestik di Malaysia.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Amal bakal bawa 20,000 jemaah haji

SEPANG, 25 JUN: Amal, cabang penerbangan Haji dan Umrah Malaysia Airlines Bhd (MAB) bersedia mengendalikan sehingga 20,000 jemaah bagi musim haji tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Amal, Hazman Hilmi dalam kenyataan berkata, penerbangan pertama dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah dan Madinah, Arab Saudi pada 4 Julai depan.

Katanya, Amal akan menambah sehingga 40 penerbangan di antara Kuala Lumpur dan Jeddah serta Madinah menggunakan pesawat A380-800 bagi fasa haji pertama dari 4 Julai hingga 5 Ogos.

Syarikat penerbangan itu juga akan mengendalikan sehingga 70 penerbangan pengantara menggunakan pesawat B737-800 untuk membawa jemaah haji dari Alor Setar, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Bharu, Kota Kinabalu, Kuching, Kuala Terengganu ke KLIA.

“Amal akan menggunakan pesawat A380-800 yang luas, dikonfigurasikan dengan ciri-ciri unik dalam pesawat yang disediakan untuk jemaah seperti talbiyah, doa musaffir, azan dan tazkirah, serta pengumuman miqat untuk memastikan pengalaman haji bermula pada saat mereka masuk ke dalam pesawat,” katanya.

Katanya, memandangkan jemaah haji biasanya golongan berusia dan 70 peratus daripada mereka kali pertama menaiki pesawat, syarikat penerbangan itu yakin kru pesawat dan kakitangan darat terlatih dapat berkhidmat kepada jemaah haji dengan perkhidmatan tahap tertinggi.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Identiti Malaysia Airlines tetap kekal jika dijual

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Kerajaan berhasrat menjual Malaysia Airlines, namun identitinya sebagai syarikat penerbangan kebangsaan akan terus dikekalkan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, walaupun kerajaan sudah membuat banyak perubahan terhadap syarikat penerbangan itu, namun ia masih gagal diatasi.

“Jadi, kali ini, kita perlu lebih berhati-hati dalam langkah yang akan diambil untuk memulihkan Malaysia Airlines.

“Ia bukan sekadar perubahan pengurusan, banyak perkara lain yang salah berkaitan syarikat penerbangan itu yang perlu diperbetulkan,” katanya kepada pemberita di luar Meja Bulat Asia Pasifik ke-33 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap gesaan dua veteran Malaysia Airlines, termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif, untuk mengubah pengurusan syarikat penerbangan itu selepas kegagalannya bagi tahun kelima mencapai kedudukan 20 teratas dalam kaji selidik antarabangsa mengenai syarikat penerbangan.

Mereka berkata Malaysia Airlines, yang turun dua tangga daripada tempat ke-36 dalam kaji selidik 100 Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia tahunan Skytrax, kehilangan kelasnya.

Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) juga menggesa pengurusan Malaysia Airlines untuk berundur susulan berita bahawa syarikat penerbangan nasional itu gagal mencapai tempat dalam kalangan 20 teratas dalam kaji selidik 100 Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia untuk tempoh lima tahun.

Malaysia Airlines tidak tersenarai dalam 20 tempat teratas sejak 2014 selepas menduduki tempat ke-18, turun dari tempat ke-24 pada 2015 kepada ke-34 pada 2016, menduduki tempat ke-31 pada 2017 dan sekali lagi tempat ke-34 pada tahun lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai pengunduran Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) selepas hanya 11 bulan memegang jawatan itu, Dr Mahathir berkata Megat Zaharuddin tidak sihat.

“Dia kurang sihat barangkali, dia kata dia tak sihat sebab itu dia minta supaya dilepaskan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tawaran perjalanan Malaysia Airlines bermula hari ini

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Orang ramai yang mencari tawaran perjalanan pada saat akhir kini boleh menikmati tambang rendah ‘Fly Now Deals’ Malaysia Airlines mulai sekarang hingga 21 Jun ini.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan negara itu berkata menerusi tambang serendah RM 339 pergi balik kelas ekonomi, orang ramai boleh merancang perjalanan mereka dari Kuala Lumpur ke Medan, Bali daripada RM689, Hong Kong RM719, Manila RM789, Chennai RM939, Beijing RM1,119, Seoul dari RM1,209, Tokyo RM1,399, Sydney RM1,549, atau London daripada serendah RM2,899.

“Perjalanan sehala kelas ekonomi bagi laluan domestik juga ditawarkan daripada serendah RM69 dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang atau Langkawi, daripada serendah RM99 ke Kuching dan daripada RM129 ke Kota Kinabalu,” katanya.

Selain Fly Now Deals, Malaysia Airlines juga menawarkan diskaun 15 peratus bagi tempat duduk standard dengan 10kg tambahan bagasi, MHinsure, pilihan tempat duduk, bagasi tambahan selain akses ke Golden Lounge.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia Airlines perluas perkhidmatan carter ke Jepun

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Malaysia Airlines akan memperluaskan perkhidmatan carternya ke Jepun selepas memeterai perjanjian dengan syarikat pengurusan pelancongan Apple Vacations & Conventions Sdn Bhd untuk menyediakan penerbangan carter dari sini ke Hokkaido, Jepun, pada Disember.

Dalam kenyataan bersama, mereka berkata syarikat penerbangan itu akan menyediakan enam penerbangan carter terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang New Chitose dari 5 Dis hingga 29 Dis.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Izham Ismail berkata penerbangan carter ini akan menggunakan satu daripada pesawat Airbus A330-300.

“Kami berharap dapat memperluaskan perkhidmatan carter kami ke Jepun dan membolehkan lebih ramai penumpang menggunakan perkhidmatan Hospitaliti Malaysia kami yang tiada tandingan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

MAS raih penerbangan terbaik di Asia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 MAC: Syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS) dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Terbaik di Asia sempena anugerah pelancongan antarabangsa Majlis Antarabangsa Persatuan Penulis Pelancongan Kawasan Pasifik (PATWA) 2019 di Internationale Tourismus-Börse Berlin.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Izham Ismail berkata, kejayaan itu adalah hasil dedikasi pekerja syarikat berkenaan yang komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Katanya, pekerjanya memberikan perkhidmatan terbaik di darat dan sepanjang perjalanan penumpang.

“Anugerah ini mengiktiraf beberapa perkembangan positif yang kami lancarkan sejak dua tahun lalu termasuk pesawat baharu, produk dan inovasi digital.

“Ini adalah bukti komitmen kami untuk menawarkan penumpang pengalaman hebat di udara dan di lapangan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, MAS kini sedang mengadakan potongan harga tiket sehingga 20 peratus ke beberapa destinasi terpilih termasuk Hong Kong dan Sydney.