Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Thailand perketat kawalan kawasan sempadan

BANGKOK, 23 JAN: Thailand memperketatkan kawalannya di sempadan Thailand-Malaysia untuk mencegah penyeludupan migran dan mengekang penularan pandemik Covid-19.

Komander Tentera Bahagian Ke-4 Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak berkata penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia telah menyebabkan migran berhasrat pulang ke kampung halaman.

Sejak Oktober tahun lepas hingga semalam, beliau berkata pihak berkuasa keselamatan negara itu telah menahan 624 migran termasuk dari warga Myanmar seramai 408, Laos (76), Kemboja (64) dan Malaysia (21) yang cuba menyelinap masuk ke Thailand melalui jalan tikus di kawasan sempadan.

“Pihak berkuasa keselamatan akan memperketat kawalan di sempadan khususnya daerah Tak Bai, Sungai Kolok dan Wang.

“Kami akan bekerjasama dengan semua pihak untuk menyekat penyeludupan migran dan pada masa yang sama, mempergiatkan usaha untuk memburu sindiket yang terlibat,” katanya pada sidang media.

Beliau juga berkata sebanyak 13 tangkapan telah dilakukan di Narathiwat, Pattani, Songkhla dan Nakhon Si Thammarat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perlis bincang isu keselamatan kawasan sempadan dengan Thailand

KANGAR, 30 NOV: Kerajaan Negeri Perlis akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa sempadan Thailand dalam hal membabitkan kepentingan bersama melibatkan pelbagai bidang terutama isu keselamatan sempadan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kebajikan dan Bantuan Bencana dan Hubungan dan Kerjasama Sempadan, Rozaini Rais berkata perbincangan tersebut akan dilaksanakan sebaik sahaja pintu sempadan Malaysia-Thailand dibuka sepenuhnya nanti.

“Dengan perkembangan semasa di kawasan sempadan sekarang, amat wajar sekali perbincangan itu diadakan segera supaya dapat mencapai kata sepakat untuk kepentingan bersama,” katanya kepada Bernama.

Ketika ini isu keselamatan sempadan Malaysia-Thailand hangat diperkatakan. Selasa lepas, seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mendiang Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala rakannya Norihan a/l Tari, 39, cedera parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar.

Rozaini berkata perbincangan yang bakal diadakan nanti turut merangkumi aspek ekonomi dan perdagangan dua hala, pelancongan, kebudayaan dan sukan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

NTF pertimbang tambah anggota di sempadan

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) yang melaksanakan Op Benteng mempertimbangkan untuk menambah bilangan anggota di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dengan melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan lain, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjaga sempadan negara di bahagian utara dibahagikan tugasan mengikut kawasan-kawasan tertentu.

“Berikutan insiden berbalas tembakan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand sehingga menyebabkan kematian seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam, Op Benteng akan melibatkan kerjasama bersepadu secara menyeluruh dan tidak lagi membahagikan kawasan.

“Selain itu, dalam meningkatkan lagi kawalan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, kita juga perlu menambah bilangan keanggotaan sama ada daripada pihak ATM atau PDRM,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Kementerian Pertahanan, di sini.

Ismail Sabri berkata kementeriannya akan berbincang bersama NTF supaya apa yang dilaksanakan di kawasan Op Benteng Sabah termasuk di Semenanjung, pantai barat sebagainya dapat digemblengkan di Op Benteng di kawasan utara.

Beliau berkata bagaimanapun, perkara ini akan dibincangkan di bawah NTF terdahulu kerana melibatkan pelbagai unit beruniform yang memerlukan penyelarasan selepas ini.

Semalam, Bernama melaporkan dalam insiden awal pagi itu, dua anggota Pasukan Gerakan Am mendiang Baharuddin Ramli, 54, terbunuh manakala rakannya Norihan a/l Tari, 39, cedera parah semasa berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilapor berkata insiden berbalas tembakan itu merupakan kali pertama berlaku di sempadan berkenaan.

Sebelum ini, hanya mendengar bunyi tembakan yang dihalakan ke arah pos kawalan Tembok Sempadan TS9 di Padang Besar, Perlis dari sebelah negara jiran itu. Bunyi tembakan didengar pada 12 dan 15 Nov lepas.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, diminta mengulas mengenai kos kuarantin sekiranya anggota Batalion Malaysia (MALBATT) pulang bercuti ke tanah air, Ismail Sabri berkata kerajaan akan membiayai kos kuarantin mereka.

-BERNAMA