Categories
AGENSI SELANGOR

Yawas lulus 316 permohonan Skim Kesihatan Wanita

SHAH ALAM, 17 SEPT: Sebanyak 316 daripada 937 permohonan Skim Kesihatan Wanita diluluskan sehingga kini sejak ia dibuka pada 13 Julai lalu.

Pengurus besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) berkata skim yang menawarkan pemeriksaan mamogram secara percuma masih dibuka sehingga hujung tahun ini.

“Justeru, saya amat menggalakkan golongan wanita untuk memanfaatkan skim ini memandangkan kanser payudara merupakan kanser utama dalam kalangan wanita.

“Menerusi skim ini, kos pemeriksaan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri kepada wanita yang memenuhi syarat. Oleh itu segeralah memohon sekiranya anda layak,” kata Gan Pei Nei kepada SelangorKini.

Beliau menjelaskan terdapat tambahan perkhidmatan di mana seseorang yang mendapati ada ketulan semasa ujian ultrabunyi, individu itu layak menjalani biopsi dengan nasihat doktor panel hospital.

Katanya, permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web skw.yawas.my atau pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri. Untuk maklumat lanjut boleh hubungi yayasan di talian 03-5481 8800.

Skim Kesihatan Wanita Selangor diwujudkan pada Belanjawan Selangor 2020. Antara dilaksanakan menerusi program ialah ‘1 Juta Wanita Selangor Sihat’ yang mengkhususkan pemeriksaan mamogram percuma kepada golongan terbabit berusia 35 tahun ke atas.

Categories
SELANGOR

Di bawah Pakatan 277,000 Terima Mamogram, Di bawah BN Hanya 100,000

SHAH ALAM,4 OKT : Seramai 277,778 wanita akan menerima manfaat program mamogram jika Kerajaan Pusat mengikuti cara yang dilaksanakan oleh Kerajaan Selangor.

Dalam pembentangan Belanjawan Pusat 2013, sejumlah RM 25 juta diperuntukkan untuk program itu yang hanya mensasarkan 100,000 wanita.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata, mengikut perkiraan, kos mamogram di bawah skim kerajaan pusat adalah RM 250, sedangkan ia hanya RM 90 di bawah Selangor.

“Di bawah pengurusan Selangor, sejumlah 100,000 wanita hanya memerlukan RM 9 juta sahaja dan bukan RM 25 juta,” kata Rodziah dalam kenyataan medianya.

Rodziah mendesak Kerajaan Pusat menjustifikasikan bagaimana Kerajaan Pusat perlu lebihan RM 160 seorang untuk skim itu.

“Perbelanjaan skim mamogram Kerajaan Pusat ini adalah suatu pembaziran dan perbelanjaan yang tidak telus serta membebankan rakyat.

?Khususnya di kala Malaysia akan sarat dengan hutang yang tinggi,” katanya.

Ujarnya,sebelum ini Kerajaan Selangor telah memperuntukkan RM 5.2 juta untuk Skim Mamosel yang merangkumi kira-kira 60,000 wanita.

“Sasaran kami adalah untuk memberikan perkhidmatan mamogram kepada 1 juta wanita dengan peruntukan tambahan.

Kerajaan Selangor telah menjalankan Skim Mamogram Selangor (Mamosel) sejak 2010.