Categories
EKONOMI NASIONAL

Pengerusi Maybank Asset Management Group dilantik Pengerusi MARA

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 SEPT: Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelantikan Dr Hasnita Dato Hashim sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baru.

Beliau adalah Pengerusi Maybank Asset Management Group dan juga ahli lembaga pengarah Maybank Banking Berhad.

Beliau mempunyai pengalaman selama 26 tahun dalam pengurusan kewangan global dan pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Guidance Investments, sebuah anak syarikat Guidance Financial Group.

Hasnita mempunyai kelulusan PhD dalam bidang Nuklear Fizik dari Oxford University.

Beliau yang merupakan ahli Institute of Actuaries itu memulakan kariernya di Coopers & Lybrand Deloitte, London sebagai seorang aktuari.

Selain Hasnita, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan sama turut mengumumkan pelantikan ahli majlis MARA yang baru iaitu Prof Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Dr Nungsari Ahmad Radhi, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, Datuk Syed Tamim Ansari Syed Mohamed, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff dan Zakri Khir.

Kesemua pelantikan ini berkuatkuasa mulai 1 Oktober 2018.

Categories
EKONOMI SELANGOR

MARA peruntuk lebih RM32 juta, perkasa usahawan wanita Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 SEPT: Majlis Amanah Rakyat (MARA) Selangor memperuntukkan lebih RM32 juta setiap tahun bagi keseluruhan ekosistem pembangunan keusahawanan dan modal perniagaan, di negeri itu.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Dato’ Zulfikri Osman berkata, peruntukan itu dibuat melalui penyediaan pelbagai bentuk kemudahan kepada usahawan wanita.

Katanya, hal itu bertepatan dengan peranan MARA sebagai sebuah organisasi pembangunan usahawan bagi membantu melonjakkan potensi perniagaan yang berdaya maju.

“Untuk mereka yang masih berjinak dalam bidang usahawan, kita mengadakan program berbentuk latihan dan perkongsian maklumat mengenai kemudahan yang boleh dibantu, selain program ‘Mentoring’ kepada mereka.

“Manakala usahawan yang sedia ada dan sudah maju dalam bidang ini, kita adakan beberapa siri program untuk membangunkan perniagaan dari aspek membantu menambahbaik produk dan strategi mendapatkan pasaran baharu termasuk dalam dan luar negara.

“Penyediaan bajet peruntukan ini juga bagi kerja penambahbaikan di bangunan atau lot-lot perniagaan dan kilang MARA,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Wanita Inspirasi Ekonomi (WISE), di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Zulfikri berkata, pihaknya turut menawarkan suntikan modal kepada usahawan melalui beberapa skim pinjaman.

Katanya, antara skim disediakan adalah pinjaman mikro, kontraktor mahupun usahawan yang sudah bergiat sehingga ke peringkat global.

“Kita mahu memastikan prestasi perniagaan mereka dapat ditingkatkan, seterusnya membantu mereka meningkatkan pendapatan isi rumah.

“Jadi, kita mensasarkan hampir 4,000 usahawan menerima manfaat daripada itu setiap tahun,” katanya.

WISE berlangsung selama dua hari bermula 25 hingga 26 September ini.

Antara pengisian disediakan termasuk perkongsian pengalaman, ilmu dan kepakaran serta tips perniagaan daripada pelbagai personaliti juga tokoh perniagaan ternama.

Selain itu, WISE diisi dengan kluster kegilaan wanita membabitkan empat segmen ‘WOW Crazy Sale’ iaitu Fesyen, Makanan dan Minuman serta kesihatan dan Kecantikan.

Categories
NASIONAL

Dr Mahathir ingatkan kabinet agar peka dengan isu MARA

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan jemaah menteri agar berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan berkaitan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Perdana Menteri berkata banyak kenyataan yang dilontarkan mengenai agensi itu yang mempengaruhi pandangan masyarakat umum.

“Ia sudah menjadi isu yang sensitif yang perlu diberi perhatian oleh parti Bersatu dan Pakatan Harapan.

“Saya akan bawa perkara ini kepada menteri-menteri supaya mereka faham betapa pentingnya mereka sensitif terhadap pandangan orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kepimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), malam tadi.

Beliau berkata PH perlu peka dengan pandangan orang ramai agar terus mendapat sokongan.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata kerajaan mahu mencontohi budaya Jepun terutama dalam melahirkan anak bangsa yang cemerlang.

Beliau berkata rakyat negara Matahari Terbit itu mempunyai etika yang tinggi dalam setiap perkara yang dilakukan.

“Namun, sudah tentu kita tidak boleh buat perkara yang sama di sini. Banyak anak muda kita yang tidak berminat belajar dan bekerja, sebaliknya mereka lebih berminat jadi mat rempit dan melakukan kegiatan tidak membina.

“Kita perlu tangani masalah ini,” katanya yang mengadakan lawatan ke negara itu baru-baru ini.

Beliau berkata kerajaan perlu mencari jalan bagi mengatasi masalah itu termasuk melihat kepada sistem pendidikan untuk melahirkan bakal pemimpin negara pada masa depan.

Mengenai pelaksanaan gaji minimum, Dr Mahathir berkata ia akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Seiring dengan peningkatan dalam pendapatan, produktiviti juga mesti meningkat dan kita perlu pastikan produktiviti mengikut kenaikan gaji kerana kita tidak mahu kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Pengerusi MARA enggan ulas kenyataan Anwar

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 MEI: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Awang Adek Hussin, enggan mengulas lanjut kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung jaminan institusi berkenaan tidak tergugat di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Awang Adek ketika dihubungi SelangorKini bagaimanapun hanya memberitahu, beliau akan membincangkan perkara terbabit sebelum memberi kenyataan.

“Isu itu? Nanti kami akan bincangkan, jangan risau, kami akan bincangkan,” katanya yang kedengaran tidak selesa ketika ditanya perkara itu.

Beliau diminta mengulas selepas Anwar memberitahu kepentingan MARA dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan terus dipelihara.

Anwar yang juga Ketua Umum KEADILAN berkata, langkah itu selaras dengan peruntukan, dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun, rakyat tidak boleh meneruskan sikap pemimpin kerajaan terdahulu yang prejudis terhadap parti politik bukan Melayu.

Katanya, sedangkan golongan itu tidak mengambil kisah terhadap pemimpin Melayu merompak khazanah negara berbilion ringgit.

“Apa yang kamu takut sangat dengan DAP? Marah DAP tetapi Melayu yang samun berbilion ringgit, kamu tak marah,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Adakah siasatan ke atas Annuar Musa hanya sandiwara politik?

Saya mengambil maklum mengenai keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah memutuskan untuk tidak mendakwa bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tan Sri Annuar Musa berhubung isu rasuah penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

Saya tidak terkejut dengan keputusan ini malah sudah menjangkakannya kerana kita dapat lihat sendiri ini bukan kali pertama pemimpin Umno BN dilepaskan dari sebarang tindakan undang-undang.

Apa yang menimbulkan persoalan, adakah tindakan siasatan sebelum ini hanya sandiwara politik yang cuba ditonjolkan untuk menutup mulut rakyat?

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, keterangan yang diambil serta bukti yang dikumpul setakat ini tidak mencukupi untuk mendakwanya. Bagi saya alasan tersebut seolah-olah hanya untuk melepaskan Annuar Musa.

Kerajaan perlu berhenti berlakon dan memperdayakan rakyat di mana rakyat kini semakin matang dalam menilai sesuatu perkara. Rakyat mahu melihat kes-kes yang disiasat ini dibuka untuk proses penghakiman bukan sekadar tahan reman dan bebas.

Sekiranya ada kes yang melibatkan pimpinan pembangkang sudah pasti akan ada kes terpilih yang dibuat dan didakwa segera kononnya untuk memperlihatkan bahawa SPRM ini adalah adil dalam melaksanakan tugas mereka.

Sampai bila isu rasuah seperti ini akan berlanjutan dan membarah di negara ini? Apa yang boleh saya katakan, selagi ‘kepala rasuah’ atau MO1 tidak didakwa , selagi itu anak-anak buahnya akan ikut jejak dan turut akan terlepas daripada sebarang dakwaan.

Jesteru, saya menggesa pihak SPRM tegas dalam isu rasuah ini dan menjalankan tanggungjawabnya dengan bebas tanpa ada sebarang tekanan politik dan sebagainya. Dengan cara ini, baru rakyat ada keyakinan yang cukup tinggi terhadap SPRM.

Dato’ Johari Abdul
Ahli Parlimen Sungai Petani
Parti KEADILAN Rakyat

Categories
NASIONAL

Pemimpin Umno menyimpang daripada perjuangan asal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BENTONG, 4 FEB: Bekas Menteri Umno, Datuk Saifuddin Abdullah kesal dengan amalan dan budaya politik diamalkan pimpinan parti itu yang disifatkan tersasar daripada prinsip sebenar perjuangan.

Ketua Sekretariat Pakatan Harapan itu merujuk kepada skandal dan penyelewengan kewangan membabitkan institusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang sepatutnya berperanan membantu masyarakat Melayu dan Bumiputera di negara ini.

“Skandal MARA ini serius kerana institusi itu seharusnya pertahankan Melayu dan Bumiputera.

“Jadi, amatlah malang apabila pemimpin Umno Melayu dan Islam mengambil kesempatan daripada kedudukannya dalam MARA untuk lakukan penyelewengan sedemikian,” katanya ketika ditemui pada majlis minum petang di sini.

Terdahulu, MARA menggantung tugas pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkuat kuasa serta-merta susulan dakwaan penyelewengan salah guna dana kewangan institusi itu.

dato saifuddin abdullah -markshort 2MARA didakwa membuat penajaan pasukan bola sepak The Red Warriors dan penajaan Pelaburan Mara juga Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang “dipaksa” menaja skuad Liga Super Kelantan.

Bagaimanapun Annuar menafikan dakwaan berkenaan.

Sebelum ini, Tunku Mahkota Johor (TMJ) menerusi beberapa dokumen dimuat naik di laman Facebook Johor Southern Tigers menunjukkan bahawa UniKL terpaksa mengurangkan biasiswa pelajar Malaysia dari RM2 bilion kepada RM1.3 bilion, pada 2016 ekoran skandal terbabit.

-AA-

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: Lantik profesional terajui MARA bukan lantikan politik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 FEB: Pemecatan jawatan Pengerusi MARA dan penggantungan Pengerusi Pelabur MARA Sdn Bhd untuk memberi laluan kepada siasatan audit bebas membuktikan skandal MARA didedahkan pembangkang benar.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar bagaimanapun menyifatkan pemecatan dan penggantungan Tan Sri Annuar Musa itu tidak memadai.

Malah, katanya, siasatan lanjutan bagi memastikan kepercayaan bumiputera kembali pulih perlu dilaksanakan.

“Sebelum ini, kita dilaporkan penggunaan dana institusi pendidikan UniKL menaja pasukan bola sepak Kelantan.

“Ternyata, ia bukan satu isu kecil. Bertambah rumit lagi, apabila institusi pendidikan MARA mengalami masalah menambung kebajikan pelajar bumiputera sebanyak RM250,000,” katanya dalam kenyataan.

izzahNurul Izzah mahu kepimpinan MARA diisi oleh pakar dan bertanggungjawab dalam pensturukturan semula MARA.

“Sebelum ini, MARA menamatkan kontrak dua orang pegawai kanan MARA, terdahulunya lantikan politik kerana membelanjakan RM65 juta dana awam bagi membeli blok apartment di Australia.

“Kelemahan Felda melantik ahli politik menguruskan organisasi merupakan pengajaran terbaik dalam usaha membaik pulih institusi MARA yang kian merudum akibat tangan hitam ahli politik,” katanya.

Beliau turut mendesak supaya Menteri menyatakan rancangan penstukturan dan pendidikan MARA di sidang Dewan Rakyat pada bulan Mac.

Katanya, Menteri juga perlu menjawab segala pertanyaan ke atas skandal ini selaras Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Malahan, Menteri perlu bertanggungjawab atas skandal penyelewengan ini dan meletakkan jawatan atas kecuaiannya ini.

“Segala pelaburan dan transaksi dibuat Pelaburan MARA Sdn Bhd oleh Annuar Musa perlu dikaji semula supaya pelaburan telus dan tidak mengambil kepentingan individu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya sudah sampai waktu rakyat khususnya bumiputera menolak kepimpinan lemah di bawah kerajaan Barisan Nasional yang melenyapkan institusi kebajikan seperti MARA.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Skandal MARA: Tiada angin masakan pokok tak goyang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 FEB: Penggantungan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) membuktikan wujudnya salahlaku membabitkan intergriti Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa.

Ahli Parlimen Lumut, Laksamana Imran Abdul Hamid percaya, wujudnya salahlaku membabitkan pengurusan tertinggi MARA yang memerlukan siasatan telus Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Persoalannya mudah, pokok tidak bergoyang kalau tiada angin. Nasihat saya kepada Annuar Musa, sudah buat beranilah tanggung.

“Sekarang ini bergantung kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara telus atau melindungi perasuah,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Semalam, pengurusan tertinggi MARA mengumumkan pergantungan Annuar dicapai menerusi mesyuarat tergempar yang diadakan di Ibu Pejabat MARA.

Bagaimanapun, ketika keputusan tersebut dibuat, Annuar berada di luar negara atas urusan kerja.

Annuar sebelum ini dikaitkan dengan penyalahgunaan wang MARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi tajaan pasukan bola sepak The Red Warrior (TRW).

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) menerusi beberapa dokumen dimuat naik di laman Facebook Johor Southern Tigers yang menunjukkan bahawa UniKL terpaksa mengurangkan biasiswa pelajar Malaysia dari RM2 bilion kepada RM1.3 bilion bagi 2016.

Bercakap lanjut, Imran tidak terkejut dengan amalan dan kelemahan budaya integriti pimpinan Umno kini yang lebih mengutamakan politik wang dalam mengurus tadbir negara.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Kewujudan Umno tidak jamin Mara terus maju – AMK

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 6 APR: Kewujudan Umno tidak memberi jaminan Mara akan terus maju sekiranya pemimpin terus mentadbir negara dengan rakus.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata institusi itu kini sudah menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya apabila kebajikan golongan memerlukan tidak lagi dibela, malah digunakan untuk kepentingan beberapa individu sahaja.

NIK NAZMI (1)“Kerugian ratusan juta wang Mara akibat pembelian hartanah di Australia sedikit sebanyak diakibatkan oleh budaya korupsi dipupuk Umno sendiri.

“Tadbir urus kewangan negara semakin teruk mengakibatkan Mara menjadi mangsa apabila biasiswa pelajaran dikurangkan, malah Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga merupakan antara IPTA paling banyak dikurangkan peruntukan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sekiranya Pakatan Harapan berkuasa Mara diberi jaminan akan terus wujud disamping memperbaiki insititusi itu bagi mencapai matlamat sebenar untuk membela kebajikan masyarakat Bumiputera.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan kenyataan bahawa Mara akan terhapus sekiranya Umno hilang kuasa.

-nR-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kenyataan MARA terhapus jika Umno hilang kuasa cermin Najib terdesak

OLEH : NIK NAZMI NIK AHMAD

Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa MARA akan terhapus sekiranya Umno hilang kuasa.

Kenyataan ini amatlah tidak bertanggungjawab dan mencerminkan betapa terdesaknya Najib ketika mana kuasa beliau sedang dipertikai.

Sedangkan jelas pelbagai isu dan skandal yang berbangkit baru-baru ini berkenaan MARA berpalit dengan Umno sendiri.

MARA PENDIDIKANKami jamin MARA akan terus wujud sekiranya Pakatan Harapan berkuasa. Malah kami akan memperbaiki insititusi ini agar ia mencapai matlamat sebenarnya untuk membela kebajikan masyarakat Bumiputera.

Apa yang berlaku sekarang kepada MARA sudah menyimpang daripada matlamat ini. Kebajikan golongan yang memerlukan sudah tidak dibela lagi, malah MARA digunakan untuk kepentingan beberapa individu sahaja.

Kerugian ratusan juta pihak MARA akibat pembelian hartanah di Australia sedikit sebanyak diakibatkan oleh budaya korupsi yang dipupuk oleh Umno sendiri.

Dalam pada itu kita juga dapat lihat sekarang ini dengan tadbir urus kewangan negara yang semakin teruk, MARA juga yang menjadi mangsa.
Bukan sahaja biasiswa pelajaran dikurangkan, malah UiTM juga merupakan antara IPTA yang paling banyak dikurangkan peruntukannya.

Kewujudan Umno tidak memberi jaminan MARA akan terus maju sekiranya pemimpin terus mentadbir negara dengan rakus.

Oleh itu janganlah kita mudah terpedaya dengan kata-kata Najib Razak itu, yang kian lama semakin hilang kredibiliti sebagai seorang Perdana Menteri.

* NIK NAZMI NIK AHMAD: KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA

Categories
NASIONAL

NOW: Jangan biar dana MARA terus diseleweng

Oleh: ERMIZI MUHAMAD

SUNGAI BESI, 17 FEB : Majlis Amanah Rakyat (MARA) digesa supaya tidak sewenangnya membiarkan penyelewengan membabitkan dana kewangan institusi terbabit terus berlaku.

Pengarah National Oversight and Whistle Blower (NOW), Akmal Nasir, berkata skandal dan ketidaktelusan itu hanya akan mengunggat kepercayaan rakyat terhadap institusi terbabit.

NOW AKMAL“NOW mengulangi pendirian bahawa MARA sewajarnya menuntut kembali RM14 juta hasil lebihan bayaran pembelian hartanah (di Australia) dan pelbagai penyelewengan yang didedahkan sebelum ini.

“Kami percaya ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengatasi kemelut masalah kewangan MARA yang menyebabkan ramai pelajar tajaannya menghadapi kesempitan,” katanya dalam sidang media Ibu Pejabat NOW, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa agensi berkaitan kerajaan terpaksa mengurangkan bantuan pembiayaan pendidikan tahun ini.

Bahkan, MARA juga sebelum ini terlewat membuat pembayaran biasiswa pelajar ekoran beberapa masalah kewangan dihadapi institusi itu.

Perkara itu turut memberi kesan kepada hampir 1,000 pelajar baharu di 33 kolej swasta yang didapati sukar untuk meneruskan pengajian mereka.

Pada masa sama, keadaan itu sekaligus menimbulkan kebimbangan berkenaan kedudukan sebenar MARA untuk terus membiayai pendidikan golongan Bumiputera seperti dimandatkan.

-AA-

Categories
NASIONAL

Jangan jadikan nasib pelajar komoditi politik

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 FEB: KEADILAN hari ini mendakwa Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak menyalurkan peruntukan kepada pelajar yang memerlukan.

Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli berkata kenyataan Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa yang mengumumkan masalah pelajar diselesaikan dalam masa dua hari membuktikan agensi itu mempunyai peruntukan tetapi hanya mengambil tindakan selepas isu diperbesarkan.

Malah, katanya, lebih menjengkelkan apabila MARA mula menyelesaikan masalah itu selepas beliau membawa isu terbabit.

MARA PENDIDIKAN“Jika peruntukan kewangan dari MARA dapat diputuskan dalam masa dua hari sahaja sejak saya menimbulkan perkara ini, maknanya peruntukan itu wujud selama ini tetapi keputusan tidak diambil,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Rafizi mendesak MARA untuk berterus terang mengenai program pinjaman agensi itu kerana menerima aduan daripada pelajar yang tidak menerima bantuan.

Beliau mengkritik Annuar yang juga Pro-Canselor II Universiti Kuala Lumpur sejak 2013 supaya tidak menjadikan nasib pelajar Melayu kepentingan politik semata-mata.

Rafizi berkata Ketua Penerangan Umno itu disifatkan gagal menjalankan tanggungjawabnya kerana tidak peka dengan masalah melanda pelajar MARA sejak 2013 lagi.

“Sebab itu saya memberi amaran kepada Annuar supaya tidak menjadikan nasib pelajar Melayu/Bumiputera ini sebagai komoditi politik untuk dijaja di dalam majlis sedangkan selama ini rintihan mereka tidak didengari.

“Beliau juga perlu ingat ada banyak lagi masalah pembiayaan pelajar Melayu/Bumiputera yang perlu diselesaikan segera dan bukannya menunggu seorang ahli Parlimen Pakatan Harapan bersuara,” katanya.

Beliau berkata tindakan itu membuktikan beliau menjadi pengerusi MARA dan Pro-Canselor II Universiti Kuala Lumpur sejak 2013 dan tidak mampu menyelesaikan masalah pembiayaan pelajar Universiti Kuala Lumpur di bawah pengurusan MARA sendiri sedangkan masalah ini wujud sejak 2013.

EZY