Categories
SELANGOR

Nelayan Banting jatuh dalam laut ditemui mati lemas

SHAH ALAM, 26 JULAI: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam laut di perairan Batu Laut, Klang, empat hari lepas, ditemukan lemas di kedudukan 7.1 batu nautika barat daya Muara Sungai Langat, hari ini.

Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor Komander Maritim Norihan Ngah berkata mayat K Thineswaran, 27, yang merupakan nelayan tempatan berasal dari Banting ditemukan oleh orang awam pada kira-kira 12.50 tengah hari tadi.

“Sejurus menerima maklumat berkenaan, Maritim Selangor menugaskan bot Pengawal 26 yang sedang dalam operasi Carilamat ke lokasi dan menemukan mayat lelaki dalam keadaan terapung.

“Ia disyaki mayat Thineswaran yang dikatakan telah keluar ke laut tanpa memakai jaket keselamatan dan menggunakan bot jenis pukat hanyut bersama seorang rakannya sebelum dilaporkan terjatuh ke laut akibat cuaca buruk pada 23 Julai lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Pengawal 26 telah membawa mayat ke Jeti Nelayan Kanchong Laut bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Banting bagi tindakan lanjut.

Norihan berkata orang ramai dan komuniti maritim dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut, sentiasa mengutamakan keselamatan dan cakna dengan keadaan cuaca bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kanak-kanak mati lemas disyaki didera ibu, bapa tiri

MELAKA, 30 JAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut dipercayai akibat didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya di sini, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ACP Mohd Sukri Kaman berkata kanak-kanak tersebut didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu.

Beliau berkata siasatan awal bagaimanapun mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa sebelum polis menahan ibu dan bapa tiri mangsa, masing-masing berusia 32 dan 38 tahun.

“Kira-kira pukul 4 petang semalam, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan anaknya mati lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa merupakan seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun dan pemeriksaan fizikal menemukan kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, mayat kanak-kanak tersebut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mayat lelaki terjatuh dari bot ketika ribut dijumpai

ALOR SETAR, 12 OGOS: Mayat seorang lelaki yang disyaki terjatuh dari bot fiber semasa cuaca buruk dan laut bergelora ketika ribut Jumaat lepas di sekitar perairan Titi Tok Arab, Jerlun, dijumpai semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, mayat Azimat Hassan, 62, ditemui terdampar berhampiran kawasan pantai oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang melakukan pencarian di kawasan tersebut pada pukul 6.25 petang.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Operasi semalam turut dibantu pesawat udara milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang membuat pencarian dari udara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi yang diselaraskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kuala Kedah itu turut melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, PDRM dan RELA.

“Seramai 40 nelayan setempat bersama 27 bot nelayan turut membantu dalam usaha mencari nelayan yang dilaporkan hilang itu,” katanya.

Jumaat lepas, Maritim Malaysia Kuala Kedah menerima maklumat daripada anak mangsa yang memaklumkan bapanya disyaki terjatuh dari bot fiber semasa keadaan cuaca buruk dan laut bergelora berikutan kejadian ribut yang melanda beberapa daerah di Kedah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemuda mati lemas ketika berkelah di Air Terjun Pelangi

KUANTAN, 12 OGOS: Seorang lelaki mati lemas ketika berkelah di kawasan Air Terjun Pelangi Waterfalls di Sungai Lembing semalam.

Ketuan Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mangsa Joshua Sia Hanyang, 31, dari Kuala Lumpur tiba di air terjun itu bersama rakannya pada pukul 6.45 pagi.

Menurut beliau, Joshua kemudian turun berenang tetapi menghadapi masalah sebelum tenggelam.

“Kawan mangsa dan beberapa pengunjung dikatakan berjaya menarik Joshua naik ke tebing tetapi mangsa ketika itu sudah tidak sedarkan diri,” kata beliau kepada pemberita di sini.

Mohamad Noor memberitahu, pasukan bomba dan penyelamat hanya tiba di lokasi kejadian pada pukul 12.30 tengah hari kerana mereka terpaksa mendaki air terjun tersebut.

Mangsa kemudian dibawa turun ke Lubuk Beruk sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Hospital untuk dibedah siasat.
– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kanak-kanak mati lemas jatuh kolam di rumah terbuka

KUALA KANGSAR, 2 JULAI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lemas selepas terjatuh ke dalam kolam hiasan di sebuah rumah di Kampung Labu Kubong, Kuala Kangsar dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Razali Ibrahim berkata, mangsa Muhammad Aqil Irfan Muhammad Haffiez disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh pada pukul 1 pagi tadi selepas dirujuk oleh Hospital Kuala Kangsar.

“Mangsa pergi ke majlis Aidilfitri di rumah itu bersama ibunya yang berumur 38 tahun pada pukul 10 pagi semalam dan pada kira-kira pukul 2.45 petang, salah seorang saudara mangsa menjerit meminta tolong apabila melihat Muhammad Aqil Irfan dalam keadaan tertiarap di dalam kolam itu,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Razali berkata ketika kejadian ibu mangsa berada di dalam rumah, manakala mangsa berada di luar untuk bermain dengan saudara mara yang lain tanpa pengawasan.

“Kebanyakan kanak-kanak bermain di luar rumah manakala ibu bapa mereka berada di dalam rumah ketika kejadian malah tiada orang yang menjaga mangsa atau melihat mangsa bermain di kolam buatan milik tuan rumah berkedalaman dua kaki untuk membela ikan” katanya.

Menurut Razali mangsa yang disahkan meninggal dunia akibat kecederaan otak yang teruk selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pulau, Padang Rengas.

-BERNAMA