Categories
SELANGOR

Sembilan anggota polis Selangor maut akibat Covid-19 sejak pandemik

SHAH ALAM, 16 OGOS: Sejak 16 Mac tahun lepas sembilan anggota termasuk seorang pegawai kanan polis di Selangor meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata dalam tempoh itu juga tiga ahli keluarga polis di kontinjen Selangor meninggal dunia akibat pandemik berkenaan, manakala 331 anggota serta pegawai dikuarantin kerana positif Covid-19 dan 312 lagi diarahkan menjalani kuarantin kerana disyaki kontak rapat.

“Keseluruhan pegawai kanan, anggota dan ahli keluarga yang disahkan positif sejak 16 Mac tahun lepas hingga semalam adalah seramai 910 orang dan mereka yang diarahkan kuarantin adalah 4,332 orang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Beliau berkata setakat Sabtu lepas pihaknya mengeluarkan 2,063 kompaun berkaitan usaha memerangi pandemik, dengan kesalahan utama adalah rentas negeri, gagal mengimbas aplikasi MySejahtera dan tiada penjarakan fizikal sepanjang Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara di Selangor.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19 rekod 219 kematian, tertinggi sejak pandemik menular

SHAH ALAM, 2 OGOS: Malaysia mencatatkan kematian harian tertinggi hari ini iaitu 219 kes sejak penularan Covid-19 di negara ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan berkata pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan maut akibat wabak adalah sebanyak 9,402 atau 0.82 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia membabitkan 201 warganegara dan 18 warga asing sekali gus mengatasi angka kematian tertinggi yang dilaporkan pada 26 Julai iaitu 207 kes.

Selain itu, jumlah kes sembuh pula sebanyak 11,767 kes menjadikan jumlah keseluruhan 937,732 individu sembuh atau 81.8 peratus manakala kes aktif pula 199,051 kes.

Jumlah individu yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) setakat ini ialah 1,063 orang dengan 532 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Hari ini, Malaysia mencatatkan 15,764 kes baharu Covid-19 yang mana 98.2 peratus terdiri daripada kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan).

Sementara itu, 1.8 peratus pula daripada kategori tiga (radang paru-paru), empat (perlukan bantuan oksigen) dan lima (kritikal dan perlu bantuan oksigen).

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor catat 46 kematian Covid-19, dua babit warga asing

SHAH ALAM, 12 JULAI: Sebanyak 46 daripada 102 kes kematian akibat Covid-19 hari ini dilaporkan di Selangor, kata ketua pengarah kesihatan.

Menerusi data dikongsikan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, semua kes melibatkan individu berusia 34 hingga 86 tahun termasuk dua wanita warga asing masing-masing berusia 46 dan 49 tahun.

Menurutnya, sembilan daripada yang terkorban itu tidak memiliki latar belakang berpenyakit selain enam kematian dicatatkan sebelum tiba di hospital (BID).

Dr Noor Hisham memaklumkan kes kematian turut direkodkan di Kuala Lumpur (16), Negeri Sembilan (14), Pahang (tujuh), Johor (enam), Kedah dan Melaka (tiga), Sabah dan Pulau Pinang (dua) manakala satu kes di Kelantan, Perak dan Sarawak.

Hari ini, negara mencatatkan penurunan kes Covid-19 kepada 8,574 jangkitan selepas merekodkan lebih 9,000 kes empat untuk hari berturut-turut.

Selangor kekal merekodkan angka tertinggi dengan 4,308 kes, sedikit menurun berbanding 4,682 semalam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19 rekod 57 kematian, 15 di Selangor

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Sebanyak 57 kematian Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat pandemik berkenaan di Malaysia mencecah 5,001 orang atau 0.68 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, sebanyak 54 kematian melibatkan warganegara manakala tiga lagi bukan warganegara.

“Sebanyak 15 kes kematian dilaporkan di Selangor, Negeri Sembilan (13), Johor (enam), Melaka (lima) dan masing-masing tiga kes di Kuala Lumpur, Labuan dan Perak. Sarawak, Kedah, Pahang dan Kelantan masing-masing mencatatkan dua kes kematian sementara satu kes kematian dilaporkan di Pulau Pinang,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif Covid-19 di seluruh negara hari ini adalah 61,812 kes dengan 899 orang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 451 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau berkata sebanyak 22 kluster baharu Covid-19 direkodkan dengan 16 daripadanya melibatkan kluster tempat kerja iaitu empat di Selangor, tiga di Kuala Lumpur dan masing-masing dua di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka serta tiap-tiap satu kluster di Sarawak, Kedah dan Kelantan.

Enam lagi adalah kluster komuniti membabitkan dua di Sarawak dan masing-masing satu di Terengganu, Kelantan, Johor dan Kedah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki 26 tahun antara 83 maut akibat Covid-19

SHAH ALAM, 23 JUN: Seorang lelaki berusia 26 tahun antara 83 individu direkodkan meninggal dunia akibat Covid-19 hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM), mangsa meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan dislipidemia.

Majoriti kes kematian hari ini melibatkan individu lanjut usia dan mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, strok, kencing manis, jantung dan buah pinggang.

Terdapat 35 kematian dicatatkan di Selangor diikuti Kuala Lumpur (sembilan) Johor (lapan) dan masing-masing Sabah dan Negeri Sembilan (tujuh).

Manakala, enam kematian di Kelantan, masing-masing Sarawak dan Labuan (tiga), Perak (dua) serta Kedah, Melaka dan Perlis (satu).

Sebanyak 4,637 individu maut seluruh negara akibat jangkitan Covid-19 sejak lebih setahun pandemik melanda.

Categories
AGENDA NASIONAL

Wanita 91 tahun antara 77 maut akibat Covid-19

SHAH ALAM, 22 JUN: Wanita warga emas berusia 91 tahun antara 77 orang yang meninggal dunia akibat Covid-19 di negara ini hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM), mangsa meninggal dunia di Hospital Shah Alam dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung.

Majoriti kes kematian melibatkan individu lanjut usia dan mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, strok, kencing manis, jantung dan buah pinggang.

Terdapat 32 kematian dicatatkan di Selangor diikuti Negeri Sembilan (12), Johor (lapan) Sarawak (tujuh), Kuala Lumpur (lima) dan Melaka (empat).

Manakala, masing-masing tiga kes di Sabah dan Labuan serta satu kes di Pahang, Perlis serta Terengganu.

Sebanyak 4,554 individu maut seluruh negara akibat jangkitan Covid-19 sejak lebih setahun pandemik melanda.

Categories
AGENDA NASIONAL

Saksi kematian akibat Covid-19, bapa berjuang untuk sembuh demi keluarga

JOHOR BAHRU, 21 JUN: Menyaksikan sendiri kematian pesakit akibat Covid-19 ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), membangkit kekuatan Saharuddin Hassan yang turut dijangkiti virus membawa maut itu untuk berjuang sehingga sembuh.

Pengedar buku berusia 60 tahun itu berdepan risiko tinggi selepas dijangkiti ekoran mempunyai penyakit kencing manis namun tekad untuk kembali sembuh demi keluarga, apatah lagi selepas mengetahui isteri dan tiga anaknya serta menantu lelaki dan seorang cucu turut dijangkiti virus itu.

Warga emas itu disahkan positif pada 15 Mei lepas, hari ketiga Syawal, disusuli ahli keluarga dan seorang pekerjanya.

“Beberapa hari selepas saya dimasukkan ke HSA, isteri pula dimasukkan ke hospital sama membuatkan saya bertambah risau dan semangat untuk cepat sembuh makin kuat, apatah lagi selepas menyaksikan kematian akibat Covid-19 ketika menerima rawatan.

“Masa tu saya tekad untuk sembuh, tak terima sebarang panggilan atau panggilan video sebab mahu betul-betul berehat. Hari-hari terima kata-kata semangat daripada ahli keluarga menerusi group WhatsApp. Pada ketika itu, saya kata kita mesti kuat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bapa kepada empat orang anak itu juga berkata beliau turut mengambil inisiatif membawa alat oximeter, bertujuan memantau tahap oksigennya sendiri bagi setiap tiga hingga empat jam.

“Pada ketika itu, saya fikir nak cepat sembuh. Hari-hari buat senaman dan latihan pernafasan (di hospital) untuk menaikkan kadar oksigen dalam darah. Saya nak galakkan dan tunjukkan pada ahli keluarga terutama anak-anak saya supaya kita sama-sama kuat semangat untuk cepat sembuh,” katanya.

Ketika itu, kesemua mereka terpaksa berpisah untuk menerima rawatan dengan isteri dan cucu sulungnya melalui tempoh kuarantin berdua di rumah, anak sulungnya bersama menantu dan dua anak kecil mereka dikuarantin di rumah mereka di Senai, anak keduanya dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan anak ketiganya di Hospital Permai.

Keazaman Saharuddin untuk sembuh membuahkan hasil kerana selepas 12 hari dirawat, beliau menerima khabar gembira apabila dibenarkan pulang ke rumah pada 1 Jun dan selepas beberapa hari kemudian, isteri dan dua anaknya juga disahkan sembuh.

Meskipun sudah 19 hari sembuh daripada virus itu, Saharuddin dan isteri tetap dengan rutin harian mereka iaitu memeriksa tahap oksigen dalam badan dengan menggunakan oximeter dan membuat senaman pernafasan, yang menurutnya penting dan menyumbang kepada faktor kesembuhannya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 15 jemaah masjid meninggal dunia dalam dua minggu

SHAH ALAM, 13 JUN: Seramai 15 jemaah masjid di Taman Mahsuri, Jitra, Kedah meninggal dunia dalam tempoh dua minggu akibat jangkitan Covid-19.

EXCO Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata kematian berlaku selepas berlaku penularan wabak dalam kalangan jemaah pada Mei lalu, lapor Berita Harian.

“Ya hingga hari ini sudah 15 orang meninggal dunia, maklumat ini saya perolehi daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

“Virus ini merebak sejak tercetusnya kluster di Taman Mahsuri yang turut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula 18 Mei sehingga 31 Mei lalu,” katanya.

Pada 18 Mei, sembilan lokaliti di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah Jitra, Kedah dikenakan PKPD selama 14 hari.

Ia membabitkan Taman Mahsuri 2A, Taman Mahsuri 2B, Taman Mahsuri 2C, Pusat Perniagaan Bandar Barat, Kampung Paya Kerchut, Taman Tunku Anum, Kampung Lubuk Kawah, Taman Desa Tanjung, Taman Desa Darul Aman, mukim Naga.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Pemuda 21 tahun antara 64 maut, Selangor rekod 15 kematian

SHAH ALAM, 13 JUN: Pemuda berusia 21 tahun antara 64 maut akibat Covid-19 di negara ini hari ini, menurut ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham memaklumkan mangsa yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan pendarahan otak meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan.

Kematian turut membabitkan lelaki berusia 28 tahun yang meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Kuala Lumpur tetapi tidak dinyatakan latar belakang penyakit.

Majoriti kematian melibatkan individu lanjut usia yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis, jantung, obesiti dan darah tinggi.

Sementara itu, Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 15 kes diikuti Kuala Lumpur (10), Johor (tujuh) dan Kedah (enam).

Manakala, Negeri Sembilan dan Pahang (lima), Sarawak dan Labuan (empat), Sabah dan Kelantan (dua) dan masing-masing satu kes di Pulau Pinang, Perak, Melaka dan Terengganu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasangan warga emas mati di rumah, isteri disahkan positif Covid-19

JOHOR BAHRU, 8 JUN: Pasangan suami isteri warga emas ditemukan meninggal dunia di ruang tamu rumah mereka di Taman Scientex, Pasir Gudang petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata, pasangan itu ditemui anak angkat lelaki mereka, yang datang melawat setelah panggilan telefon tidak berjawab.

Beliau berkata, pasangan itu masing-masing berusia 68 dan 61 tahun dipercayai meninggal dunia akibat penyakit lama yang dihidapi, dan hasil bedah siasat ke atas kedua-duanya mendapati wanita berkenaan positif Covid-19.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua mereka dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh 48 jam dan kematian si suami berpunca daripada sejarah penyakit kronik yang dihidapi antaranya strok, sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

“Si isteri pula menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis, dan turut disahkan positif Covid-19 setelah ujian saringan dijalankan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata mayat pasangan itu dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

Menurutnya, siasatan mendapati tiada unsur jenayah yang menyebabkan kematian pasangan itu dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1,223 mati pada Mei, lebih tinggi daripada jumlah Jan hingga April

SHAH ALAM, 30 MEI: Sejumlah 1,223 pesakit Covid-19 meninggal dunia dari 1 hingga 30 Mei, mengatasi jumlah kematian dalam tempoh Januari hingga April lalu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan hanya 471 kematian dicatatkan sepanjang tahun lalu berbanding 2,179 kes dalam tempoh lima bulan tahun ini.

“Sebanyak 471 kematian berlaku pada 2020 manakala 2,179 kematian dicatatkan dalam tempoh lima bulan pertama 2021.

“Dalam tempoh 1 hingga 29 Mei 2021 sahaja, sebanyak 1,144 kematian disebabkan Covid-19 direkodkan” menurut perkongsian KKM di Twitter.

Sementara itu ketua pengarah kesihatan dalam sidang media hari ini memaklumkan 79 lagi meninggal dunia pada 30 Mei.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata semalam merupakan satu detik hitam apabila negara mencatatkan kematian harian tertinggi iaitu 98 kes sejak pandemik bermula.

Pertambahan jumlah itu menyaksikan angka korban terkini 2,729 kes sehingga bilik simpanan mayat di hospital awam mula penuh dan sukar untuk menampung pertambahan mendadak jumlah jenazah.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Remaja 18 tahun antara 98 maut, kematian tertinggi sejak pandemik

SHAH ALAM, 29 MEI: Remaja lelaki berumur 18 tahun antara 98 yang maut akibat Covid-19 hari ini, jumlah kematian tertinggi sejak pandemik.

Menerusi kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, remaja yang meninggal dunia di Hospital Tunku Jaafar, Seremban dilaporkan menghidap penyakit asma.

Majoriti kes kematian hari ini melibatkan individu lanjut usia dan mempunyai sejarah penyakit kencing manis, jantung dan darah tinggi.

Terdapat 27 kematian dicatatkan Selangor, masing-masing 14 kes di Johor dan Kuala Lumpur serta Kedah dan Negeri Sembilan (lapan).

Manakala, Pulau Pinang dan Sarawak (lima), Sabah dan Terengganu (empat), Pahang (tiga), Kelantan dan Melaka (dua) serta Perak dan Labuan (satu).

Sebanyak 2,650 individu maut di seluruh negara akibat jangkitan Covid-19 sejak lebih setahun pandemik melanda.