Categories
NASIONAL

Penunggang motosikal maut rempuh lori menggelongsor

IPOH, 11 JUN: Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah lori yang tiba-tiba menggelongsor di Kilometer 263.1 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara dekat hentian Vista Point semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Mohd Ali Tamby berkata, mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira 3 petang itu dikenali sebagai Mohd Najib Ismail, 21, pekerja swasta berasal dari Kampung Teluk Bakong, Batu Pahat, Johor.

Katanya, siasatan awal mendapati lori tanpa muatan itu yang dipandu seorang lelaki sedang dalam perjalanan dari Sungai Buloh, Selangor ke Gerik dan berhenti seketika di Vista Point.

“Apabila pemandu berada di luar kenderaan, lori itu secara tiba-tiba menggelongsor dari laluan Vista Point ke tengah jalan sebelum dilanggar mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang berada di belakang.

“Penunggang motosikal maut di tempat kejadian dan bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada “Chest and Intra-Abdominal Injuries Consistent with Road Traffic Crash’,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mohd Ali berkata, pemandu lori terbabit memaklumkan dia memberhentikan kenderaan itu kerana mendakwa lori berkenaan menghadapi masalah enjin.

Katanya, pemandu berumur 48 tahun dari Kuala Kubur Baru itu ditahan untuk membantu siasatan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Anggota polis maut dirempuh motosikal ketika pemeriksaan

 

JOHOR BAHRU, 1 Jun : Seorang anggota polis maut manakala rakan sekerjanya cedera parah dirempuh sebuah motosikal ketika mereka sedang melakukan pemeriksaan ke atas sebuah van di Jalan Persisiran Perling arah Iskandar Puteri, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata dalam kejadian itu, Lans Koperal Mohd Ishraf Ismail, 27, yang cedera di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Lans Koperal Muhammad Syakir Safwan Khairudin, 29, serta penunggang motosikal, Thevarajan, 36, mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan kira-kira pukul 6.40 pagi itu berlaku ketika dua anggota Peronda Polis sedang melakukan pemeriksaan pada sebuah van di bahu jalan sebelah kiri di tempat kejadian.

“Secara tiba-tiba sebuah motosikal datang dari arah Perling menuju ke Plaza Tol Perling telah terlanggar kedua-dua anggota polis yang sedang bertugas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, bedah siasat telah dijalankan di bilik Forensik HSA kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan tersebut telah dibawa ke Balai Trafik Johor Bahru Utara dan akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut.

Jenazah dijangka akan disolatkan di Surau Taman Melor di sini setelah bedah siasat selesai. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lelaki maut tersepit, kereta bertembung bas ekspres

KUANTAN, 27 Mei: Seorang lelaki maut selepas tersepit di tempat duduk apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 333, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, dekat Kampung Gesing di Raub, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian 4.10 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Chan Tian Lai, 47, dari Kampung Baru Jerkoh di Benta, Raub.

“Kemalangan dipercayai berlaku selepas mangsa yang memandu kereta Proton Wira memasuki laluan bertentangan dan pemandu bas ekspres mendakwa tidak dapat mengelak ekoran jarak yang dekat,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata pemandu bas dan 13 penumpang yang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -BERNAMA

Foto Ihsan Facebook Balai Bomba dan Penyelamat Raub

Categories
NASIONAL

Bayi empat bulan dipercayai lemas dalam keadaan tertiarap

KUALA TERENGGANU, 20 Mei: Ibu bapa kepada bayi berusia empat bulan yang meninggal dunia dipercayai akibat lemas di sebuah taska di sini tidak menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya menerima dengan redha.

Syahirah Mohd Ali, 31, ibu kepada Dayangku Nuralya Maryam Awangku Hazrin, berkata anak bongsu daripada dua beradik itu dipercayai lemas ketika meniarap.

Dalam kejadian tragis itu, Dayangku Nuralya Mariam ditemui oleh petugas taska dalam keadaan tertiarap, badan kebiruan serta tidak sedarkan diri pada kira-kira pukul 10 pagi tadi sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia ketika dirawat di HSNZ kira-kira 11.30 pagi.

Menurut Syahirah, sebaik dimaklumkan oleh pihak taska beliau terus bergegas ke pusat jagaan itu dan mendapati bayinya berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.

“Saya difahamkan petugas yang menjaganya meninggalkannya seketika ketika sedang tidur.

“Mungkin ketika itu dia cuba meniarap tanpa disedari. Saya dan suami, tidak salahkan sesiapa dan menganggap apa yang berlaku adalah takdir Illahi,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi, malam ini.

Sementara itu, bapa kepada bayi berkenaan, Awangku Hazrin Awangku Hidup, 34, berkata walaupun ia ujian berat, namun mereka sekeluarga redha apatah lagi ia berlaku pada hari ulang tahun kelahirannya.

Selain arwah, pasangan itu turut mempunyai seorang lagi anak perempuan Dayangku Nur Hawa Marisa yang berusia dua tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Remaja maut tercampak keluar dari kereta

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Seorang remaja perempuan maut, manakala lima yang lain cedera termasuk dua parah apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbabas, lalu terbalik di Jalan Sungai Besi, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian pada jam 5 pagi itu membabitkan sebuah Toyota Innova yang dinaiki tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 16 dan 25 tahun.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, mangsa, Chin Xin Qi, 16, mati di tempat kejadian setelah tercampak keluar dari kenderaan yang dinaiki itu.

Beliau berkata, Chin bersama empat rakannya tercampak keluar dari kenderaan, manakala seorang lagi tersepit di tempat duduk belakang.

Mangsa yang parah terdiri daripada dua lelaki, manakala seorang lagi lelaki dan dua wanita cedera ringan.

Kesemua mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan jam 6.13 pagi dan operasi tamat sepenuhnya, pada jam 6.31 pagi,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata, dua jentera bersama 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan, pada jam 5.22 pagi.

 

Categories
NASIONAL

Pemandu maut bas langgar lori tangki

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Seorang pemandu bas ekspres maut manakala 10 penumpang cedera selepas bas itu melanggar sebuah lori tangki di kilometer 409.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Kuala Kubu Baharu, dalam kejadian pada jam 4.43 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Lim Bak Phai berkata, bas berkenaan yang dalam perjalanan dari Kedah menuju ke Shah Alam melanggar belakang lori tangki itu yang bergerak perlahan di lorong kiri lebuh raya.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu bas tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian, seorang daripada 30 penumpang bas itu mengalami cedera parah manakala sembilan lagi dilaporkan cedera ringan.

“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Lim berkata, lori tangki itu membawa susu getah dan pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan, namun pemandu itu ditahan selepas semakan mendapati dia dikehendaki bagi kes pecah amanah yang disiasat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

2 kanak-kanak maut ditetak di Yan

YAN, 9 JAN: Dua kanak-kanak maut manakala seorang lelaki cedera parah ditetak seorang lelaki, di sebuah rumah di Kampung Kuala Sungai Yan, di sini, lewat tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Yan, DSP Shahnaz Akhtar dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu, pada jam 11.55 malam tadi.

Beliau berkata, maklumat awal mendapati lelaki cedera parah itu berumur 52 tahun manakala kanak-kanak perempuan dan lelaki yang meninggal dunia masing-masing berusia empat tahun serta setahun dua bulan.

“Polis berjaya menahan suspek berumur 49 tahun di sekitar kampung berkenaan pada jam 1.30 pagi, kerana mereka sekampung.

“Berdasarkan pemeriksaan rekod lampau, suspek ini ada rekod kesalahan berkaitan dadah,” katanya.

Katanya, kes setakat ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, di Alor Setar untuk bedah siasat.

*Sumber: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Bekas calon AMK maut ditetak

SHAH ALAM, 8 JAN: Seorang bekas calon Angkatan Muda KEADILAN, maut ditetak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di tingkat bawah Flat PKNS, Jalan Plumbum, Seksyen 7, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa M. Thiyaru, 30, diserang tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja sebelum mangsa dibawa orang ramai ke Hospital Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka, belakang kepala, tangan kanan dan kedua-dua kaki dan meninggal dunia kira-kira jam 6.30 petang ketika sedang menerima rawatan.

“Motif serangan masih dalam siasatan dan kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan supaya membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau hubungi terus pegawai penyiasat, ASP Vignesh Kumar, di talian 03-55202222.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 21 saat tular di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki sedang terbaring dalam keadaan berlumuran darah dipercayai ditetak.

Dalam video itu turut kelihatan empat lelaki dan seorang wanita cuba membantu mangsa.

*Sumber: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis sahkan 20 maut keracunan arak di Selangor

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 SEPT: Seorang lagi dilaporkan maut akibat keracunan alkohol pada malam 17 September lalu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia seramai 20 orang di Selangor sehingga jam 1 tengah hari tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, jumlah keseluruhan mangsa masih kekal 56 orang, sehingga hari ini.

“Seramai 20 orang yang meninggal itu terdiri daripada dua rakyat tempatan, lima (Nepal), sembilan (Myanmar), seorang (India), dua (Bangladesh) dan seorang lagi yang meninggal tiada maklumat.

“Selain 20 orang yang meninggal, 16 lagi masih mendapatkan rawatan manakala 20 mangsa sudah dibenarkan pulang,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Terdahulu, dalam kejadian bermula sekitar jam 7 malam itu, kesemua mangsa mengalami muntah teruk selepas disyaki mengambil arak daripada tiga jenama iaitu Mandalay Whiskey, King Fisher Beer dan Grand Royal Whiskey.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri merancang mencari kaedah terbaik untuk menutup premis menjual arak haram, di sekitar Selangor.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri, Ng Sze Han berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama agensi berkaitan, dalam masa terdekat.

“Kerjasama dengan agensi lain amat diperlukan kerana ia melibatkan pelbagai akta seperti Akta Kastam.

“Operasi bersepadu dengan agensi berkaitan juga perlu bagi mengelakkan perkara seumpama ini daripada terjadi,” katanya.

Categories
GLOBAL SUKANKINI

Bekas juara lumba lari dunia maut kemalangan

NAIROBI, 9 OGOS: Bekas juara dunia dalam acara lari lompat pagar 400 meter, Nicholas Bett, terkorban dalam satu nahas jalan raya, di daerah Nandi di barat laut Kenya, semalam.

Nicholas Bett, 28, dilaporkan meninggal dunia selepas keretanya terlanggar bonggol jalan dan bergolek ke dalam longkang, lapor Agensi Maklumat Macedonia (MIA) memetik laporan REUTERS daripada kenyataan Kementerian Sukan dan Warisan, Kenya.

Bett dilaporkan pulang ke Kenya pada 7 Ogos lalu selepas menyertai Kejohanan Afrika, di Nigeria, memetik BERNAMA.

Beliau berjaya menghadiahkan emas pertama Kenya menerusi acara lari lompat pagar 400 meter bagi jarak kurang 800 meter, pada kejohanan dunia 2015, di Beijing.

Bett mempunyai kembar iaitu Haron Koech yang juga pelari lompat pagar.

Categories
GLOBAL

Kanak-kanak maut terkena serangan kimia di Syria

OLEH NORHAYATI UMOR

BEIRUT, 26 FEB: Seorang kanak-kanak meninggal dunia, manakala 13 orang lagi mengalami kesukaran bernafas selepas serangan kimia dilancarkan di wilayah yang dikuasai kumpulan penentang.

Ketua Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), Rami Abdel Rahman berkata, serangan kimia itu juga menyebabkan 14 penduduk awam sukar bernafas selepas pesawat juang rejim menyerang kampung Al-Shifuniyah, di Ghouta Timur.

“Seorang kanak-kanak maut dan seorang wanita berada dalam keadaan kritikal,” katanya yang bergantung kepada sumber untuk mendapatkan laporan.

Seorang doktor yang dikenali sebagai Yaqub memaklumkan, beliau mengesyaki senjata kimia itu berkemungkinan serangan gas klorin.

Katanya, kanak-kanak tiga tahun itu meninggal dunia kerana lemas.

“Kebanyakan pesakit mempunyai bau klorin pada pakaian dan kulit mereka. Ramai sukar bernafas dan mengalami sakit kulit juga mata,” katanya lapor AFP.

Categories
GLOBAL

Semua anggota BASARNAS sah maut

SHAH ALAM, 3 JULAI: Lapan anggota pasukan Badan Mencari dan Menyelamat (Basarnas) yang dilaporkan hilang bersama sebuah helikopter semalam ditemui dan disahkan maut.

BasarnasMedia dalam talian memetik Ketua Basarnas Jawa Tengah, Agus Haryono sebagai berkata, mayat mereka ditemui dalam bangkai pesawat yang hancur di kawasan Pegunungan Butak, Temanggung, Jawa Tengah.

BERNAMA melaporkan, mayat mereka dibawa ke Hospital Bhayangkara Semarang serta dikenal pasti oleh keluarga masing-masing dan Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana(DVI) Polis Daerah Jawa Tengah.

Empat daripada mangsa ditemui di tempat kejadian semalam, manakala empat lagi ditemui, pagi tadi.

Mereka yang terkorban adalah juruterbang dan pembantunya Haryanto dan Li Solihin serta dua kru pesawat itu, Hari Marsono dan Budi Santoso, manakala empat anggota pasukan penyelamat Basarnas ialah Maulana Afandi, Nyoto Purwanto, Budi Resti dan Catur.