Categories
AGENDA NASIONAL

Dua maut, dua lagi kritikal akibat keracunan karbon monoksida

BUTTERWORTH, 17 SEPT: Dua wanita maut manakala dua lagi rakan mereka yang juga pasangan kembar berada dalam keadaan kritikal akibat mengalami keracunan karbon monoksida, selepas mereka tertidur dalam kereta semasa berehat di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.40 pagi tadi, dan dua yang meninggal dunia dalam kejadian itu dikenali sebagai Sharifah Fariesha Syed Fathi dan Ayuni Shazwanie Shabri manakala pasangan kembar yang kritikal Nor Adilah Mohd Safwan dan Nor Aqilah.

Beliau berkata siasatan awal mendapati keempat-empat rakan baik berumur 21 tahun itu pergi ke Pulau Jerejak sempena cuti umum Hari Malaysia semalam, dan difahamkan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah, apabila mengambil keputusan untuk berhenti rehat di kawasan parkir berkenaan.

“Mereka yang menaiki kereta jenis Honda Odyssey berhenti di stesen minyak di kawasan Lebuhraya Utara Selatan menghala Utara untuk berehat, namun mereka dipercayai tertidur sehingga masing-masing tidak sedarkan diri dan mengalami keracunan karbon monoksida,” katanya hari ini.

Katanya, menurut ibu kepada Ayuni, anaknya menghantar mesej kepada beliau pada pukul 9.15 malam tadi memaklumkan berada di stesen minyak itu untuk berehat sebentar, namun sehingga pukul 11 malam tadi Ayuni tidak pulang ke rumah di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, menyebabkan dia mulai bimbang.

Shafee berkata bapa Ayuni pergi ke stesen minyak itu untuk mencari anaknya sebelum menemui kereta dinaiki mereka, namun empat rakan baik itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan enjin kenderaan masih hidup, manakala pintu dan tingkap tertutup.

Katanya, sebaik sahaja ambulans tiba di lokasi pada pukul 1.00 pagi, Sharifah Fariesha Syed Fathi yang merupakan penumpang hadapan didapati telah meninggal dunia, manakala Ayuni Shazwanie pula dilaporkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Beliau berkata dua pasangan kembar yang berasal dari Taman Ria Mesra di Gurun itu kini menerima rawatan di HSJ dan keadaan mereka kritikal.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup di stesen minyak itu mendapati kenderaan dinaiki mereka tiba di kawasan parkir itu pada pukul 8.30 malam, dan terdapat pergerakan keluar beberapa penumpang untuk membeli makanan sebelum mereka masuk semula ke dalam kereta, dan tidak lagi keluar sehingga mayat ditemukan,” katanya.

Katanya kes itu disiasat sebagai mati mengejut kerana setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikesan, namun pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian.

Sementara itu, ibu saudara kepada Sharifah Fariesha yang ditemui di bilik mayat HSJ, Nor Jamilah Ahmad berkata anak saudaranya itu merupakan anak tunggal kepada kakak dan abang iparnya malah beliau sangat rapat dengan arwah yang dipanggil Fariesha itu.

“Mereka (empat orang) memang rakan baik dan baru habis belajar di sebuah kolej swasta di Batu Caves, Selangor dalam bidang kejururawatan, Fariesha baru bekerja di sebuah klinik swasta dan arwah sangat teruja untuk keluar bersama tiga kawannya itu semalam kerana mahu berjalan-jalan di Pantai Jerejak.

Wanita berusia 30-an itu berkata beliau hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas dihubungi ibu Fariesha yang memaklumkan anak saudaranya itu tidak pulang ke rumah di Amanjaya di Sungai Petani selepas lewat malam sebelum dia menghubungi rakan-rakan arwah.

“Kami baru hendak keluar mencari Fariesha sebelum tunangnya menghubungi saya semula memaklumkan mereka semua ditemui namun perlu ke hospital, saya memang terkejut dan terus ke HSJ.. sebaik sampai kami dimaklumkan dia telah meninggal, ibu arwah terus rebah kerana sangat terkejut,” katanya.

Menurutnya jenazah anak saudaranya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Lalang selepas solat Asar hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Lebih 100 doktor maut di Indonesia

JAKARTA, 11 SEPT: Indonesia mencatatkan 3,737 kes positif baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes positif keseluruhan di republik itu kini 210,940 kes.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 88 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian keseluruhan kini 8,544 orang.

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 51,635 kes, dengan tambahan 964 kes positif baharu dalam tempoh 24 jam lepas.

Gabenor Jakarta Anies Baswedan pada Rabu lepas mengumumkan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) akan dikuatkuasakan kembali bermula 14 Sept ini, dengan membatalkan aktiviti sosio ekonomi yang dibenarkan beroperasi pada fasa transisi PSBB.

Jakarta menguatkuasakan PSBB bermula 31 Mac lepas, sebelum membenarkan beberapa aktiviti sosio ekonomi kembali beroperasi menerusi fasa transisi PSBB pada 5 Jun 2020.

Menurut data yang dikeluarkan pemerintah Jakarta, sebanyak 67 hospital di Jakarta kini ditahap lebih 70 peratus penggunaan peralatan, katil serta kemudahan perubatan, dan akan mencapai tahap maksima kapasitinya pada 17 Sept ini, sekiranya trend kes positif baharu di Jakarta yang secara puratanya hampir 1,000 kes setiap hari sejak akhir Ogos lepas, berterusan berlaku.

Sementara itu provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah keseluruhan kematian tertinggi di Indonesia iaitu 2,717 orang, dengan 26 lagi kematian dalam tempoh 24 jam lepas.

Sementara itu Ikatan Dokter Indonesia (IDI) dalam satu kenyataan menyatakan, seramai 109 doktor di Indonesia terkorban akibat Covid-19.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian doktor tertinggi akibat pandemik itu iaitu seramai 29 orang, diikuti Sumatera Utara (20 orang), Jakarta (13) dan selebihnya di beberapa wilayah lain di Indonesia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga maut, sembilan terselamat kemalangan di Segamat

JOHOR BAHRU, 16 OGOS: Tiga maut manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Jalan Genuang-Tenang, Kampung Melayu Raya Segamat, Segamat malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat Pegawai Bomba Kanan II Fuad Mohamad berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan pada 10.47 malam dan 15 anggota berserta tiga jentera daripada BBP Segamat dan Labis digegaskan ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi didapati dua kereta iaitu jenis Honda Accord dan Proton Saga terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya selepas kebakaran dipadamkan, pihaknya menemukan tiga mangsa yang rentung iaitu satu di tempat duduk pemandu Honda Accord dan dua lagi ditemukan di dalam kereta Proton Saga.

Nahas turut menyaksikan sembilan lagi mangsa yang menaiki tiga lagi kenderaan, iaitu tujuh yang menaiki Proton Saga berlainan dan masing-masing seorang lelaki yang memandu Perodua Alza dan Proton Wira mengalami kecederaan.

Menurutnya setakat ini maklumat mangsa belum diperoleh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Supt Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata pihaknya sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti mangsa serta punca nahas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Enam mangsa kemalangan Simpang Pulai dikebumi satu liang lahad

KULIM, 12 OGOS: Jenazah enam sekeluarga mangsa nahas jalan raya di Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai, Perak, petang semalam selamat dikebumi di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Badlishah, Serdang, di sini, lewat petang tadi.

Mereka ialah Fatimah Mat Isa, 68, anak lelakinya Mohd Zairul Mat Isa, 34, isteri Mohd Zairul, Nur Atiqah Abdul Hamid, 30, seorang anak mereka Nur Qaseh Damia Mohd Zairul, 4, anak saudara Fatimah iaitu Hasliza Mahmud, 40, serta anak Hasliza, Mohd Alif Firdaus, 3.

Kesemua jenazah tiba di tanah perkuburan itu kira-kira jam 6.10 petang dan dibawa menggunakan lima van jenazah dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, terus ke tanah perkuburan untuk disembahyangkan di luar perkarangan tanah perkuburan sebelum dikebumikan.

Enam jenazah selamat dikebumikan kira-kira jam 7.30 petang tadi manakala difahamkan, satu lagi jenazah iaitu suami kepada Hasliza, Zulkifli Shuib, 41, dibawa ke Hospital Kulim untuk dituntut ahli keluarganya.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam, tujuh daripada 10 sekeluarga yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) maut selepas kenderaan mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 5, Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands.

Siasatan awal polis mendapati MPV yang dipandu Mohd Zairul dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

AS dahului kematian Covid-19, lebih 650,000 maut seluruh dunia

NEW YORK, 28 JULAI: Angka korban Covid-19 di seluruh dunia kini mencecah 650,029 pada 2:00 (1800 GMT), Isnin, menurut data Johns Hopkins University.

Sementara itu, jumlah kes jangkitan pula meningkat kepada 16,330,977, lapor agensi berita Xinhua.

Amerika Syarikat melaporkan kes dan kematian paling ramai, masing-masing berjumlah 4,262,674 dan 147,143. Brazil, Britain, Mexico, Itali, Perancis, Sepanyol, dan India pula mencatatkan jumlah kematian melebihi 20,000.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Bayi tiga bulan maut, bapa positif dadah ditahan

JOHOR BAHRU, 21 JULAI: Polis menahan seorang lelaki yang didapati positif dadah jenis Meth, selepas mendapati bayinya yang baru berusia tiga bulan meninggal dunia semasa berada di bawah jagaannya, di sebuah rumah di Gelang Patah, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar dalam kenyataan hari ini berkata lelaki berumur 31 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi membantu siasatan.

Beliau berkata bayi itu didapati tidak sedarkan diri pada pukul 5.15 petang, sebelum dibawa ibu serta neneknya ke klinik kesihatan berdekatan, dan selepas diperiksa doktor mengesahkan bayi itu telah meninggal dunia.

Menurutnya, terdahulu ibu serta nenek bayi berkenaan dikatakan berniaga di kedai makan di Taman Nusa Perintis, Gelang Patah, manakala lelaki itu berada di rumah menjaga tiga anaknya yang berumur enam tahun, empat tahun, dan bayi berkenaan.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang bayi lelaki berusia 10 bulan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri semasa dalam jagaan pengasuh di Gelang Patah di sini semalam.

Dzulkhairi berkata pada mulanya pengasuh itu yang menyedari bayi berkenaan dalam keadaan lemah serta sesak nafas membawanya ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan, namun bayi itu disahkan meninggal dunia pada pukul 4.50 petang.

Katanya kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001/SDR dan mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis jaga sekatan jalan Op Covid-19 maut dirempuh pemandu mabuk

SHAH ALAM, 3 MEI: Seorang anggota polis yang sedang bertugas menjaga sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 maut selepas dirempuh pemandu disyaki mabuk di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya Lekas, awal pagi tadi.

Mangsa, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata dalam kejadian jam 2.11 pagi, pemandu menaiki Toyota Hilux datang dari arah Kajang menuju ke plaza tol berkenaan.

“Pemandu gagal mengawal kenderaan hingga merempuh mangsa dan kenderaan polis di tepi jalan. Penyelia SJR sudah membuat laporan polis tetapi pemandu Hilux masih belum berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Categories
BERITA UTAMA

Lelaki maut dipercayai selepas bergelut

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Seorang lelaki maut dipercayai selepas terbabit dalam satu pergelutan susulan perselisihan faham yang berpunca daripada kemalangan jalan raya di Kilometer 239 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, berhampiran susur Bandar Baru Bangi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, polis menahan sepasang suami isteri, masing-masing berumur dalam lingkungan awal 40-an dan lewat 30-an bagi membantu siasatan.

“Kemalangan berlaku lebih kurang 1.40 tengah hari, dan berlaku perselisihan faham yang membawa kepada pergelutan antara dia dengan suspek lelaki berumur awal 40-an.

“Lelaki yang berusia 29 tahun itu dikejarkan ke Hospital Nilai dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat kes itu dengan menelefon 016-406 4202, atau hubungai balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

30 maut dalam pertempuran di bandar Aden, Yaman

MOSCOW, 10 OGOS: Sekurang-kurangnya 30 orang maut ketika bertempur dalam sebuah kem pasukan keselamatan istana presiden di bandar Aden, Yaman, lapor Al Arabiya memetik kenyataan sumber pada Sabtu, di tengah-tengah pertempuran antara puak pemisah dan tentera kerajaan di sana.

Pertempuran meletus di briged keempat pasukan keselamatan itu, lapor agensi berita Rusia Sputnik memetik laporan Al Arabiya.

Sumber memberitahu Al Arabiya bahawa pemisah Majlis Peralihan Selatan telah mengambil alih kawalan kem itu.

Pertempuran di Aden telah berlanjutan sejak Rabu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki maut dikisar mesin pembersih bijih besi

GUA MUSANG, 3 OGOS: Seorang lelaki warga Thailand maut setelah terjatuh ke dalam mesin pembersih bijih besi di kawasan lombong Kampung 5, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Mohd Taufik Maidin berkata, mayat Roheemee Da-oh, 48, ditemui dalam keadaan perut terburai kira-kira jam 1.15 tengah hari.

Beliau berkata, sebelum kejadian, mangsa yang bekerja sebagai operator mesin palong bijih itu sedang melakukan kerja pemeriksaan di kawasan palong terbabit apabila kakinya tergelincir lalu terjatuh ke dalam palong.

Katanya, ketika itu mesin pembersih bijih besi sedang beroperasi menyebabkan badannya turut dikisar bersama-sama bijih.

“Kejadian itu disaksikan seorang lagi pekerja di situ lalu bertindak segera menutup suis untuk memberhentikan mesin palong terbabit,” katanya.

Mohd Taufik berkata, ketika kejadian mangsa masih bernyawa sebelum meninggal dunia sejurus dikeluarkan.

Katanya, mangsa yang berasal dari Narathiwat, Thailand bekerja di lombong bijih itu sejak lapan bulan lepas sebagai operator dan bertanggungjawab mengendali tugasan menjaga mesin serta palong.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat sebelum dituntut isterinya untuk dikebumikan di Thailand,” katanya.

Kes kematian mangsa yang ditemui di dalam mesin palong bijih besi itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga maut terperangkap kebakaran

KUANTAN, 21 JULAI: Tiga termasuk dua kanak-kanak maut dipercayai akibat terperangkap dalam kebakaran membabitkan empat buah rumah di Kampung Sungai Isap di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata, mangsa yang maut ialah wanita dewasa berusia dalam lingkungan 30-an dan kanak-kanak berusia 10 dan tujuh tahun.

Identiti mangsa, bagaimanapun setakat ini masih belum dapat dikenalpasti.

“Semua mangsa ditemui di sebuah rumah yang musnah 100 peratus dan mereka dipercayai terperangkap ,” katanya kepada pemberita di sini.

—BERNAMA

Categories
NASIONAL

Warga Singapura putus kepala dirempuh van

JOHOR BAHRU, 16 JUN: Seorang warga Singapura maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya putus selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah van di Kilometer 6.6, Jalan Gelang Patah menghala ke Ulu Choh, dekat Iskandar Puteri, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian pada 9.33 pagi itu, lelaki berusia 43 tahun itu menunggang motosikal jenis BMW dari Gelang Patah menuju ke Ulu Choh, maut di tempat kejadian selepas dipercayai merempuh sebuah van Toyota Hiace yang dipandu seorang lelaki warga tempatan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu van berkenaan memasuki simpang kanan jalan sebelum dirempuh oleh mangsa yang bergerak lurus dari arah Gelang Patah menghala ke Ulu Choh.

“Ekoran dari kemalangan itu, bahagian kepala mangsa terputus dan tercampak ke tengah jalan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Pemandu van berkenaan yang berusia 28 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan, kata Dzulkhairi.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk dibedah siasat. Polis juga menahan pemandu van tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya.

-BERNAMA